Pergolakan yang
sedang dialami di kawasan Asia Barat tidak menampakkan arus keredaan.
Pelakon-pelakon utama sedang melaksanakan aksi pertarungan secara aktif
mengikut plot yang disusun oleh produser masing-masing.
Pelakon utama adalah presiden Syria Basyar al-Asad
yang ditentang oleh beberapa kumpulan penentang utama seperti Jabhah Fath
al-Syam, Hizbu al-Islami al-Turkistani, Jaisy al-Islami, Harakah Fath al-Syam, Harakah Nur al-Din
Al-Zenki dan ISIS.
Aksi pertarungan semakin ganas kerana masing-masing
mengambil pelakon tambahan. Syria menerima Iran, Hizbullah Lubnan dan Russia
sebagai pelakon tambahan, manakala kumpulan penentang menerima Arab Saudi dan
Turki sebagai pelakon tambahan. Peranan US pula kelihatan sekadar pelakon
simpanan untuk para penentang.
Inilah senario yang penulis dapat gambarkan mengenai konflik dan ketegangan yang sedang melanda di
kawasan Asia Barat pada masa kini. Konflik ini telah bermula semenjak tahun
2011 dan tidak diketahui bilakah ia akan berakhir.
Syria Dalam Lipatan Sejarah
Menelusuri nas-nas agama Syria bukanlah negara biasa seperti negara-negara
lain di dunia ini. Syria merupakan antara negara yang dinyatakan kelebihannya
di dalam al-Quran dan hadis.Rasulullah s.a.w pernah tiba di Syria bersama bapa saudaranya
Abu Talib di atas urusan perniagaan. Kata Muhammad Said Ramadhan al-Buthi dalam
kitab Fiqh a[-Sirah al-Nabawiyyah :
“ Ketika genap umur nabi s.a.w. 12 tahun baginda dan
bapa saudaranya berangkat ke bumi Syam mengikuti kafilah perniagaan. Ketika sampai
di Busra kafilah baginda telah melalui penempatan Rahib dan bertemu dengan
seorang Rahib yang bernama Buhaira yang sangat alim dengan kitab Injil serta
sangat mendalami ajaran agama Nasrani. Buhaira telah melihat, memerhati ,dan
bercakap dengan nabi s.a.w . Kemudian Buhaira menoleh kepada Abu Talib dan
bertanya : “ Siapakah budak ini ? Abu Talib menjawab : “ Anakku” ( Abu Talib
menganggap sebagai anak kerana terlalu cinta dan sayang kepada baginda )
Buhaira berkata : “ Dia bukan anakmu dan tidak
patut bapa budak ini masih hidup” Abu Talib menjawab : “ Dia adalah anak
saudaraku “ (Muhammad Said Ramadhan al-Buthi , Fiqh a[-Sirah al-Nabawiyyah, hlm.
48 )
Hal ini membuktikan Syria adalah tempat yang aman dan
menjadi sumber rezeki bagi kaum Quraisy. Kisah urusan perniagaan Quraisy ke Syam ini telah diceritakan dalam al-Quran
melalui Surah Quraisy.
Syria juga pernah menjadi tempat perpindahan nabi
Ibrahim a.s dan nabi Luth a.s. Dalam Surah al-Anbiya : 71 menceritakan :
وَنَجَّيْنَاهُ
وَلُوطًا إِلَى الأرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا لِلْعَالَمِين
“ Dan kami telah selamatkan dia dan nabi Luth ke negeri
yang kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia “ ( Al-Anbiya : 71 )
Ibn Jarir al-Thabari ketika mentafsir ayat ini
mengatakan bahawa Allah s.w.t telah menyelamatkan
nabi Ibrahim a.s. daripada raja Namrud dan menyelamatkan nabi Luth a.s daripada
kaumnya di Iraq, kemudian mereka berpindah ke negara yang diberkati iaitu Syam (
Al-Thabari, Jami‘ al-Bayan, Ahmad Muhammad Syakir, 18/468 )
Syria Tempat Kemunculan Pasukan Tentera Islam
سَيَصِيرُ
الأَمْرُ إِلَى أَنْ تَكُونُوا جُنُودًا مُجَنَّدَةً جُنْدٌ بِالشَّامِ وَجُنْدٌ
بِالْيَمَنِ وَجُنْدٌ بِالْعِرَاقِ ». قَالَ ابْنُ حَوَالَةَ خِرْ لِى يَا رَسُولَ
اللَّهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ. فَقَالَ « عَلَيْكَ بِالشَّامِ فَإِنَّهَا
خِيَرَةُ اللَّهِ مِنْ أَرْضِهِ يَجْتَبِى إِلَيْهَا خِيَرَتَهُ مِنْ عِبَادِهِ
فَأَمَّا إِنْ أَبَيْتُمْ فَعَلَيْكُمْ بِيَمَنِكُمْ وَاسْقُوا مِنْ غُدُرِكُمْ
فَإِنَّ اللَّهَ تَوَكَّلَ لِى بِالشَّامِ وَأَهْلِهِ
“Kamu semua akan menjadi
pasukan-pasukan perang, satu pasukan di Syam, satu pasukan di Yaman dan satu
pasukan di Iraq“ Ibn Hawalah berkata :”Pilihlah untukku wahai Rasulullah
sekiranya aku sempat dengan zaman itu” Rasulullah menjawab “ Pilihlah Syam dan
sesiapa yang enggan maka dia hendaklah bergabung dengan pasukan di Yaman dan
minumlah dari sumber mata air Yaman. “ Sesungguhnya aku menjamin bahawa Allah
s.w.t telah melindungi Syam dan penduduknya”( Abu Daud, no.
2466, Musnad Ahmad, no. 17005)
Hadis di
atas memerangkan kelak akan muncul pasukan tentera Islam di Syria, Yaman dan Iraq. Penulis
mendapati tidak ada ulasan dari ulama hadis mengenai zaman berlakunya kemunculan Pasukan Tentera Islam. Zahir hadis memberi mafhum bahawa perkara
ini akan berlaku pada masa akan datang. Namun
apabila melihat kepada situasi semasa di Asia Barat kini menunjukkan keadaan seakan-akan menyerupai
apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. semenjak 1400 tahun dahulu.
Syria telah menjadi medan pertempuran yang
tidak pasti reda, Yaman telah mengalami situasi yang sama. Begitu juga Iraq
negara yang tidak stabil dari sudut keamanan politik dan perbalahan pegangan agama
semenjak kejatuhan Saddam pada tahun 2003.
Apabila diperhatikan secara mendalam didapati ketiga-tiga negara ini telah terlibat dengan konflik
Sunni-Syiah yang parah. Timbul persoalan siapakah yang dimaksudkan dengan Pasukan Tentera Islam dalam hadis di atas?
Syria Ukuran Jatuh Bangun Ummah Akhir Zaman
إِذَا فَسَدَ أَهْلُ الشَّامِ
فَلاَ خَيْرَ فِيكُمْ ، لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ
أُمَّتِي مَنْصُورِينَ لاَ يَضُرُّهُمُ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى تَقُومَ
السَّاعَةُ.
“Apabila penduduk Syam telah
rosak maka tidak ada kebaikan bagi kamu semua, akan sentiasa ada sekumpulan
umatku yang sentiasa menang dan tidak memberi mudharat kepada mereka oleh
kumpulan yang menentang mereka sehingga hari kiamat”( Tuhfah al-Ahwazi, al-Mubarakfuri,
no. 2192, Sahih Ibn Hibban, al-Arnaut, no. 7302 , 16/292 )
Kata al-Mubarakfuri “tidak ada kebaikan” bermaksud
tidak ada kebaikan untuk berada di sana dan untuk menetap di sana. ( Tuhfah
al-Ahwazi, al-Mubarakfuri 6/364 ). Penulis berpendapat hadis ini hendaklah difahami dalam konteksnya iaitu tidak ada kebaikan untuk datang menetap di Syria ketika berlaku huru-hara. Hadis ini juga berbentuk umum kepada penduduk Syria
dan selainnya dan tidak ditentukan kepada zaman tertentu. Pada sudut yang lain kumpulan yang akan sentiasa menang dan tidak akan dapat ditewaskan oleh
musuh akan tetap wujud dan berkekalan di Syria sehingga hampirnya kiamat.
Ibn Hibban menyatakan bahawa hadis di atas menerangkan kelebihan dan
kebaikan yang dimiliki oleh penduduk Syria. Apabila mereka berada dalam suasana baik dan aman maka suasana baik dan amanlah untuk ummah keseluruhannya, Namun, jika mereka berada dalam kepayahan dan kerosakan maka keseluruhan ummah
akan menerima tempias kepayahan dan kerosakan secara bersama.