Menelusuri sejarah umat Islam yang panjang telah
memperlihatkan rentetan penindasan dan kezaliman terhadap kaum Muslimin yang
lemah dan minoriti. Sejarah silam ini memperlihatkan senario kezaliman terhadap
kaum Ashab al-Ukhdud, kaum nabi Musa, kaum Muhajirin Quraisy dan selainnya. Manakala
sejarah moden pula memperlihatkan senario yang sama seperti kezaliman terhadap kaum
Bosnia, kaum Melayu Pattani, kaum Uighur dan terkini kaum Rohingya.
Dari satu sudut, kaum Muslimin yang beriman kepada
Allah S.W.T. akan diuji keimanan mereka sebagai sunah dan ketetapan yang akan
berlaku. Perkara ini telah disebutkan dalam al-Quran dalam surah al-Ankabut :
1-3 seperti berikut :
الم (1) أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا
وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ (2) وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ
اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (3)
Maksudnya : Alif
laam miim (1) Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja)
mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?
(Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka
sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia
mengetahui orang-orang yang dusta (3)
Al-Razi mengatakan para Sahabat nabi S.A.W. telah mengalami
kesusahan dan kemudharatan daripada kaum musyrikin, munafiqin dan Yahudi.
Kemudian ketika diizinkan berperang mereka pula
mengalami kecederaan, kehilangan
harta dan jiwa yang tidak terkira. Namun Allah S.W.T. memuliakan mereka dengan
hal ini dan menerangkan perkara yang sama telah berlaku kepada umat sebelum
mereka sewaktu berjuang menegakkan agama. (Fakh al-Razi, Tafsir al-Fakh
al-Razi, hlm. 870/1, Dar Ihya al-Turath al-Arabi )
Al-Quran menerangkan hanya disebabkan faktor keimanan
kepada Allah S.W.T menyebabkan kaum Muslimin Makkah dihalau dari kampung
halaman mereka seperti dalam surah al-Hajj : 38 seperti berikut :
الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ
حَقٍّ إِلَّا أَنْ يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ..(38)
Maksudnya : Iaitu
mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang
alas an yang benar, semata-mata mereka mengatakan tuhan kami ialah Allah (38
Wahbah al-Zuhaili mengatakan kaum yang diusir dari
kampung halaman mereka iaitu Makkah dengan tanpa hak yang sebenar yang
mewajibkan berlaku pengusiran melainkan hanya mereka berkata tuhan kami Allah.
Perkataan ini benar dan pengusiran ini tanpa hak (Wahbah al-Zuhaili al-Tafsir
al-Munir, 223/17, Dar al-Fikr)
Kaum Ashab al-Ukhdud sebelumnya juga diusir hanya
mereka beriman kepada Allah S.W.T seperti dalam surah al-Buruj : 8.
وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا
أَنْ يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ (8)
Maksudnya : Dan mereka tidak marah dan menyiksakan
orang-orang yang beriman, melainkan
orang-orang yang beriman itu beriman kepada Allah yang Maha Kuasa lagi Maha
Terpuji.
Al-Baghawi berkata, kata Ibn Abbas ra.huma: Mereka
tidak memusuhi kamu melainkan kamu hanya beriman kepada Allah S.W.T (Al-Baghawi,
Ma‘lim al-Tanzil, hlm.387/8, Dar al-Toyyibah )
Beberapa penegasan daripada al-Quran tentang sebab
paling utama umat Islam diseksa, dirampas harta, dibunuh, dan diusir adalah keimanan
mereka kepada Allah S.W.T. Berpandukan keimanan ini umat Islam menjalani
kehidupan yang tersendiri yang harmoni dan sepatutnya dihormati oleh kaum lain.
Namun fitrahnya, kebenaran dan kebatilan akan bertentangan antara satu sama
lain sehinggalah ke hari kiamat.
Etnik Rohingya
Satu kumpulan etnik beragama Islam di utara Negeri Rakhine yang terletak di Barat Burma. Kebanyakan populasi Rohingya tertumpu di dua buah bandar
utara Negeri
Rakhine yang
dahulunya dikenali sebagai Arakan. Sejarah orang Rohingya dikatakan bertarikh dari
awal kurun ke-7 di Negeri Arakan yang menjadi penempatan pedagang-pedagang Arab
yang beragama Islam, namun bukti sejarah tersebut adalah sedikit. Orang Rohingya memiliki persamaan fizikal, bahasa
dan budaya dengan orang Asia Selatan, terutamanya orang Benggali.
Malahan, sesetengah orang Rohingya yang menetap di Arakan adalah keturunan
orang Arab, orang Parsi dan
orang Pashtun yang
berhijrah ke Arakan semasa era pemerintahan Empayar Mughal.
Sultan Mahmood, seorang Rohingya yang kaya dan
berpengaruh, merupakan setiausaha politik dalam kerajaan U Nu dan
kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kesihatan. Orang Islam Rohingya lain dalam
kerajaan U Nu yang menjadi setiausaha parlimen antaranya ialah Sultan Ahmed dan
Abdul Gaffar. Abdul Bashar, Zohora Begum, Abul Khair, Abdus Sobhan, Rashid
Ahmed dan Nasiruddin (U Pho Khine) ialah juga ahli-ahli parlimen dalam cabinet
U Nu. (https://ms.wikipedia.org/wiki/Orang_Rohingya)
Pencabulan Hak-hak Asasi Kemanusiaan
Menurut Amnesty International, orang Rohingya terus
menerus menderita akibat pencabulan hak kemanusiaan oleh junta tentera Myanmar sejak tahun 1978, dan akibatnya
ramai yang telah melarikan diri ke negara jiran seperti Bangladesh. Gerakan pembebasan orang Rohingya disekat dengan
keras dan pada hakikatnya sebahagian besar mereka telah dinafikan
kewarganegaraan Myanmar mereka. Mereka juga tertakluk pada pelbagai bentuk
pemerasan dan pencukaian sembarangan; penyitaan tanah; pengusiran paksa dan
pemusnahan rumah; dan sekatan kewangan ke atas perkahwinan. Orang Rohingya
terus menerus dipaksa menjadi buruh dalam pembinaan jalan raya dan di kem-kem
tentera walaupun jumlah buruh paksa di utara Negeri Rakhine telah menurun sejak
sedekad yang lalu.
Pada tahun 1978, dianggarkan seramai 200,000 orang
Rohingya telah melarikan ke Bangladesh berikutan operasi Nagamin’ (‘Raja Naga’)
tentera Myanmar. Secara rasmi kempen ini mensasarkan "pemeriksaan setiap
individu yang tinggal dalam negeri tersebut, menandai warganegara dan orang
asing bertepatan dengan undang-undang dan mengambil tindakan terhadap orang asing
yang menyusup masuk ke dalam negara secara haram". Kempen ketenteraan ini
disasarkan secara terus kepada orang awam, dan mengakibatkan pembunuhan, rogol
dan pemusnahan masjid serta penindasan agama secara besar-besaran.
Semasa 1991-1992, satu gelombang baru orang Rohingya
yang dianggarkan berjumlah suku juta orang telah melarikan diri ke Bangladesh.
Mereka melaporkan tentang buruh paksa di samping hukuman mati terus, penyeksaan
dan rogol. Orang Rohingya dipaksa bekerja tanpa bayaran oleh tentera Myanmar di
projek-projek infrastruktur dan ekonomi, lazimnya dalam keadaan yang teruk.
Banyak pencabulan hak-hak kemanusiaan lain berleluasa dalam konteks buruh
paksaan orang awam Rohingya oleh pasukan keselamatan. Pada 6 Februari 2009, Menteri Luar Indonesia, Hassan Wirajuda telah mengkritik Burma kerana menzalimi
pelarian Rohingya, selepas hampir 400 orang pelarian Rohingya diselamatkan di
pantai Sumatra pada Januari 2009. (https://ms.wikipedia.org/wiki/Orang_Rohingya)
Pelarian
Gelombang
berikutnya yang mengandungi ratusan ribu orang Rohingya yang melarikan diri
daripada Burma dan ramai pelarian itu membanjiri negara jiran iaitu Bangladesh
seramai 250,000 orang pada tahun 1978 kesan daripada Operasi King Dragon di Arakan. Pada
tahun 1991, berikutan tindakan keras terhadap orang Rohingya, seramai 250,000
orang pelarian mencari perlindungan di daerah Cox's Bazar di
Bangladesh. Sesetengah mereka kemudiannya dihantar pulang ke negara tersebut
yang menafikan kewarganegaraan mereka. Sesetengahnya masih berada dalam buangan
dan tinggal di Bangladesh, Pakistan, Arab Saudi, UAE, Thailand, Malaysia dan Indonesia. Bermula
pada tahun 2005, UNHCR telah membantu penghantaran pulang orang Rohingya
dari Bangladesh, tetapi tuduhan mengenai pencabulan hak asasi manusia di
kem-kem pelarian tersebut telah mengancam usaha ini.
Di
sebalik usaha-usaha terdahulu oleh PBB, majoriti besar pelarian Rohingya masih
kekal di Bangladesh yang tidak dapat pulang kerana tidak diterima oleh rejim di
Burma. Kini mereka menghadapi masalah-masalah di Bangladesh yang di sana mereka
tidak mendapat sokongan daripada kerajaan. Pada Februari 2009, ramai
pelarian Rohingya telah ditolong oleh pelaut-pelaut Aceh di Selat Melaka selepas
berada selama 21 hari. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangka
kira-kira terdapat seramai 800,000 orang etnik Rohingya berada di
Myanmar. Kofi Annan telah menubuhkan suruhanjaya penasihat.
Cadangan akhir diumumkan pada bulan Ogos 2017. (https://ms.wikipedia.org/wiki/Orang_Rohingya)
Krisis yang berlaku sekarang ini adalah akibat daripada pelampau-pelampau Buddha yang telah mendapat sokongan kerajaan Myanmar untuk menjalankan operasi
penghapusan etnik. Ia satu perbuatan yang zalim dan tidak dapat diterima pada Deklarasi Hak
Asasi Manusia Antarabangsa. Situasi ini merobek hukum agama yang melarang
pembunuhan terhadap makhluk bernyawa tanpa haknya yang sebenar.
Peranan Umat Islam Sejagat
Sebagai umat Islam yang prihatin dengan kesusahan dan
penderitaan sesama Muslim, maka beberapa usaha perlu dimainkan dan dipergiatkan
seperti berikut :
1. Mempergiatkan peranan Majlis Agama Negeri-Negeri
dan mengaktifkan Risalah masjid dan surau dalam isu ini.
2. Menyertai aktiviti Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO ) Islam dan bukan Islam untuk memberi sokongan dan bantuan mengikut saluran
yang dibenarkan.
4. Melazimi doa dan Qunut Nazilah secara individu
dan secara berjemaah sehingga isu ini dapat diredakan.
5. Memberi keprihatinan dan tindakbalas yang positif terhadap usaha-usaha yang dilakukan
oleh Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia ( Internasional Union For Muslim Scholars ).
Apa yang tersirat pada isu ini seolah-olah Allah S.W.T
ingin menyedarkan kepada umat Islam supaya dapat meningkatkan kesatuan melalui
persaudaraan Islam yang merentasi bangsa, warna kulit, dan keturunan. Hasil kesatuan dan kebersamaan yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunah umat Islam akan berdaya saing, maju, dan disegani serta keharmonian sejagat akan dapat diterjemahkan melalui keamanan untuk
semua bangsa di alam ini.