أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Thursday, April 24, 2014

Hukum memberi salam dan menjawab salam dengan bukan Islam

Imam al-Nawawi berpendapat haram memberi salam kepada orang bukan Islam berdasarkan hadis dalam riwayat Muslim :
لاتبدأوا اليهود ولاالنصارى بالسلام

Maksudnya : “Janganlah kamu memulakan terhadap orang Yahudi dan orang Nasrani dengan ucapan salam “
(Al-Nawawi, Syarh sahih Muslim, no. h. 2167, hlm 136, jld. 14)

Pendapat ini juga dipersetujui oleh Mustafa al-Bugha dan Mustafa al-Khin dalam kitab Riyadh al-Salihin (Mustafa al-Bugha, Mustafa al-Khin, Riyadh al-Salihin, , hlm. 586, jld. 1 )

Menurut Imam al-Nawawi walaupun ada sebahagian ulama dan golongan al-Salaf mengharuskan memberi salam kepada bukan Islam berdasarkan maksud hadis yang menceritakan kelebihan menyebarkan salam (افشاء السلام) namun hadis ini menurut Imam al-Nawawi merupakan hadis umum. Hadis (لاتبدأوا اليهود ولاالنصارى بالسلام) mengkhususkan hadis umum tersebut.

Begitu juga al-Imam al-Nawawi menolak pendapat sebahagian ulama yang berpendapat makruh memberi salam kepada bukan Islam. Hal ini kerana larangan dalam hadis adalah bersifat larangan haram. (Al-Nawawi, Syarh sahih Muslim, hlm. 136, jld. 14)

Ucapan salam yang dimaksudkan ialah "Assalamualaikum atau Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh". Ucapan seperti ini dilarang kerana seolah-olah mendoakan kesejahteraan daripada Allah kepada mereka sedangkan mereka kufur dan jauh daripada rahmat Allah. Namun ucapan "selamat pagi", "selamat petang" ,"selamat malam" dan seumpamanya adalah diharuskan.

Di atas sebab ini , majoriti ulama berpendapat haram memberi salam kepada orang bukan Islam manakala minoriti ulama mengharuskannya. Imam al-Nawawi termasuk dalam ulama al-Syafie yang mengharamkannya.

Bilakah hukum harus memberi salam terpakai ?

Dari konteks yang lain,  kata al-Nawawi berkata al-Qadi bahawa harus memberi salam kepada bukan Islam jika berada dalam keadaan dharurat, jika sebagai keperluan atau mempunyai sebab tertentu.

Harus juga memberi salam jika orang Islam dan bukan Islam berada dalam satu majlis yang sama tetapi hendaklah dimaksudkan salam kepada orang Islam di dalam majlis tersebut. (Al-Nawawi, Syarh sahih Muslim, hlm. 136, jld. 14)

Hukum menjawab salam daripada bukan Islam

Bolehkah menjawab salam apabila bukan Islam memberi salam kepada orang Islam? Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari mengharuskan orang Islam menjawab salam daripada bukan Islam dengan berdasarkan ayat al-Quran :

فحيوا بأحسن منها أو ردوها

Maksudnya : “Jawablah salam lebih baik daripadanya atau sama sepertinya “
( Ibn Hajar, Fath al-Bari, hlm. 42, jld. 11)

Kata Mustafa al-Bugha dan Mustafa al-Khin dalam Riyadh al-Salihin menjawab salam bukan Islam cukuplah dengan perkataan وعليكم Waalaikum ). Perkataan ini terdapat dalam hadis riwayat Bukhari dan riwayat Muslim. ( Mustafa al-Bugha, Mustafa al-Khin, Riyadh al-Salihin, , hlm. 587, jld. 1 )

Oleh itu, harus menjawab salam bukan Islam jika mereka berniat baik juga untuk berinteraksi spontan dalam masyarakat majmuk. Menjawab dengan perkataan وعليكم yang memberi maksud “seperti kamu”. Jawapan ini menampilkan adab pergaulan muslim yang bersopan.

 

Saturday, April 19, 2014

Dendam Iblis kepada Adam

Permusuhan antara manusia dengan Iblis bermula semenjak penciptaan manusia pertama yang bernama Adam. Setelah itu Iblis dan malaikat diperintahkan sujud hormat kepada Adam. Malaikat patuh dan sujud kepada Adam sedangkan  Iblis enggan dan takbur untuk sujud kepada Adam. Akibatnya Iblis telah dihukumkan kafir dan mendapat laknat daripada Allah Taala.

Hakikat permusuhan ini telah dirungkaikan dalam al-Quran pada Surah al-Baqarah ayat 34 

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ (34)      
     
Maksudnya :“Ingatlah ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah kepada Adam” lalu mereka semuanya tunduk hormat melainkan Iblis. Ia enggan dan takbur dan jadilah ia daripada golongan yang kafir.


Dalam Surah al-A‘raf ayat 12 diterangkan sebab Iblis enggan sujud kepada Adam iaitu :


قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ (12)

Maksudnya :“Allah berfirman :“ Apakah yang menghalangmu untuk sujud ketika aku perintahkan kepadamu”  Iblis menjawab: “ Aku lebih baik daripada Adam, Engkau jadikan aku dari api  sedangkan  engkau jadikan dia dari tanah”

Kata al-Sya‘rawi Iblis beranggapan ia lebih baik dan lebih tinggi kedudukan daripada Adam kerana ia dicipta dari api. Dengan kedudukan yang tinggi ini ia tidak layak untuk  tunduk kepada Adam.

Al-Sya‘rawi meneruskan dengan mengatakan Iblis tersilap sama sekali dengan anggapan yang sedemikian. Hal ini kerana setiap jenis benda ada peranannya. Api ada peranannya dan tanah ada peranannya. Tidak ada kelebihan  antara jenis benda tersebut. Api tidak boleh menjalankan kerja tanah dan tidak mungkin kita menanam di dalam api.(Al-Sya‘rawi, Tafsir al-Sya‘rawi, hlm. 2823, jld. 1)

Namun begitu penciptaan manusia sebagai makhluk baru merupakan makhluk terbaik untuk dijadikan khalifah dibumi. Perkara ini diterangkan dalam Surah al-Baqarah pada ayat 30 :

Maksudnya:“Ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya aku hendak menjadikan khalifah di bumi “

Selain dari Surah al-Baqarah dan Surah al-A‘raf kisah Iblis dan Adam juga terdapat dalam Surah al-Hijr, al-Isra’ dan al-Kahf.

Api Permusuhan

Iblis menjadi kafir akibat enggan sujud kepada Adam. Namun ia meminta tempoh masa untuk menyesatkan Adam dan keturunannya sehingga hari kiamat. Allah  mengizinkan permintaan Iblis .

Episod pertama yang dilakukan Iblis ialah menggoda Adam dan Hawa supaya memakan buah larangan dalam Syurga. Akhirnya Iblis berjaya memperdaya Adam dan Hawa sehingga mereka memakan buah larangan. Adam dan Hawa merasa menyesal dan bertaubat kepada Allah dan Allah menerima taubat mereka. Adam dan Hawa diturunkan ke dunia kerana tidak layak tinggal di syurga lagi.

Episod seterusnya Iblis menggoda anak Adam yang bernama Qabil untuk membunuh adiknya Habil kerana dengki korbannya tidak diterima sedangkan korban Habil diterima. Inilah pembunuhan yang pertama dalam sejarah manusia akibat termakan hasutan Iblis. Kisah ini diceritakan dalam al-Quran pada Surah al-An‘am : 27.

Jelasnya Iblis akan sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan anak cucu Adam seluruhnya supaya menjadi kafir sepertinya. Allah menyatakan dalam al-Quran bahawa orang-orang yang terselamat daripada hasutan Iblis ialah hamba-hambanya yang ikhlas kepadanya.


Kesimpulan :

1. Iblis adalah musuh orang-orang mukmin yang nyata dan wajib diperangi.

2. Permusuhan Iblis dan manusia  berpanjangan sehingga hari kiamat.

3. Hanya orang-orang yang ikhlas kepada Allah yang akan terselamat dari godaan Iblis.



Sunday, April 13, 2014

Pengakhiran kepada orang-orang kafir


وَسِيقَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِلَى جَهَنَّمَ زُمَرًا حَتَّى إِذَا جَاءُوهَا فُتِحَتْ أَبْوَابُهَا وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِنْكُمْ يَتْلُونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِ رَبِّكُمْ وَيُنْذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا قَالُوا بَلَى وَلَكِنْ حَقَّتْ كَلِمَةُ الْعَذَابِ عَلَى الْكَافِرِينَ (71) قِيلَ ادْخُلُوا أَبْوَابَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا فَبِئْسَ مَثْوَى الْمُتَكَبِّرِينَ (72) 
( Surah al-Zumar 39 : 71-72 )

Maksudnya : “ Orang-orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berbondong-bondong sehingga apabila mereka sampai ke neraka dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka” Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri  yang membacakan kepada kamu ayat-ayat tuhan kamu dan memperingatkan kepada kamu tentang pertemuan hari ini ?” Mereka menjawab : “Ya, telah datang ! tetapi telah ditetapkan hukuman azab kepada orang-orang yang kafir “ ( 71 )“Setelah itu dikatakan kepada mereka masuklah ke dalam pintu-pintu neraka Jahannam  itu dengan tinggal kekal di dalamnya, maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam” ( 72 )

Intisari ayat

1. Orang-orang kafir akan dihalau dengan kasar ke neraka Jahannam dalam kumpulan-
    kumpulan mengikut tahap kesesatan mereka semasa di dunia.

2. Apabila sampai ke neraka, pintu neraka yang tertutup akan terbuka sebagai penghinaan       
    kepada mereka.

3. Malaikat penjaga neraka akan bertanya, adakah ada Rasul-rasul daripada kalangan bangsa
    manusia seperti kamu yang membawakan kitab-kitab daripada Allah dan menakutkan  
    kamu dengan pertemuan hari ini.

4. Orang-orang kafir akan menjawab ya, Rasul-rasul telah datang dan membacakan kitab-  
    kitab kepada kami.

5. Neraka Jahannam adalah seburuk-buruk tempat orang yang takbur dan menolak
    Kebenaran. ( Ismail b.Mustafa al-Istanbuli al-Hanafi, Tafsir Ruh al-Bayan, hlm. 106, j.8 )

Perkara yang membawa seseorang ke neraka ialah perbuatan takbur dan menolak kebenaran. Ini adalah sifat Iblis yang telah dihukum kafir dan akan kekal di dalam neraka selama-lamanya lantas mencari pengikut untuk bersama-sama ke neraka.

Khusus kepada sahabat-sahabatku non-muslim ketahuilah bahawa ayat al-Quran di atas ditujukan kepada anda. Carilah kebenaran yang hakiki…

Sunday, April 6, 2014

Persediaan kekuatan menggeruni musuh

Umat Islam adalah sebaik-baik umat yang dizahirkan untuk alam ini. Dinyatakan demikian kerana mereka berkeadaan menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.

Pengamalan kepada dua perkara asas ini akan mewujudkan pertembungan antara kebenaran dan kebatilan. Kebenaran akan berpihak kepada umat Islam kerana fitrahnya yang suci manakala kebatilan akan didokong oleh kaum kafir dengan kekufuran kepada fitrah yang suci. Natijahnya umat Islam yang mendokong kebenaran akan diperangi dari segenap penjuru oleh musuh-musuh mereka yang dikepalai oleh Yahudi dan Nasrani.

Memahami realiti ini adalah  menjadi kewajipan  untuk umat Islam bersedia dengan segala kekuatan untuk mempertahankan diri dan menggerunkan musuh-musuh. Kekuatan yang dimaksudkan ialah kekuatan persenjataan dan kekuatan kerohanian.

Perintah ini telah dinukilkan dalam al-Quran :


وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ

Maksudnya : Dan sediakanlah untuk menentang mereka dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya (Surah al-Anfal 8 : 60 )

Maksud “Quwwah” ( قُوَّةٍ )

Berkata al-Tabari kata Uqbah b. Amir al-Quwwah bermaksud lontaran (panah), kata Ikrimah al-Quwwah bermaksud kuda-kuda perang. Kata al-Suddi al-Quwwah bermaksud alatan perang. ( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari, hlm.34, jld. 14 )

Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir menyatakan Allah menerangkan kepada orang-orang mukmin supaya menyediakan alat-alat peperangan yang sesuai dengan zaman masing-masing. Persediaan alat-alat peperangan oleh tentera hendaklah berada pada tahap maksimum dan mengikut kemampuan kerana tentera menjadi benteng utama umat. (Wahbah al-Zuhaili, Tafsir Munir, hlm. 48, jld. 10 )

Dalam Tafsir Pimpinan al-Rahman  menjelaskan persediaan itu hendaklah sebanding dengan alat-alat senjata yang digunakan oleh pihak lawan ( Sheikh Abdullah Basmeih Tafsir Pimpinan al-Rahman, hlm. 418 )

Muhammad Rasyid Ridha dalam Tafsir al-Manar menyatakan pada asasnya Islam telah mengariskan bahawa  kita memerangi mereka sama seperti mereka memerangi kita maka akan ada perlumbaan dalam penggunaan senjata api, kereta perisai, kapal tentera laut, kereta kebal dan pesawat pejuang.

Muhammad Rasyid Ridha menyatakan lagi bahawa perkara ini tertumpu pada kemahiran yang tinggi dalam menguasai ilmu matematik dan ilmu fizik serta perkara ini menjadi wajib kepada umat Islam pada masa sekarang kerana ia menjadi wajib dalam persediaan ketenteraan. (Muhammad Rasyid Ridha, Tafsir al-Manar hlm. 261, jld. 4 )

Kenyataan-kenyataan di atas menunjukkan kepentingan kekuatan persenjataan ketenteraan yang terkini wajib dimiliki oleh umat Islam untuk mempertahankan diri dan menggeruni musuh. Kekuatan ini mampu dimiliki hasil dari kemahiran ilmu sains dan teknologi yang pesat. Namun kemampuan mempertahankan diri pada masa sekarang adalah sangat mendesak berbanding kemampuan menggerunkan musuh.

Iktibar MH370

Hari ini genap 30 hari (6 April 2014) pencarian dilakukan. Ia masih tidak mendatangkan hasil walaupun 26 negara berusaha mencarinya. Peringkat pencarian ini sukar dilakukan kerana tertumpu di dasar laut. Negara-negara yang maju yang dipelopori Amerika, Britain, Perancis, Australia mampu melakukannya kerana mempunyai aset pencarian dasar laut seperti penggunaan kapal selam. Akbar Metro melaporkan Britain menggunakan kapal selam (UK) HMS Tireless yang dilengkapi peralatan pendengaran dalam air bagi mengesan lampu isyarat pengesan kotak hitam.

Malaysia sebagai negara membangun tidak memiliki aset seperti ini. Kita menumpang kepakaran negara lain. Perkara ini menjadi contoh iktibar kepada seluruh rakyat Malaysia tentang kepentingan teknologi yang diperlukan pada bila-bila masa.

Sinar Harian melaporkan Amerika menggunakan asetnya dengan kadar minimum. Laporan satelitnya tidak dikongsi dengan Malaysia. Perkara ini menimbulkan persoalan kepada kita mengapa Amerika tidak memberi komitmen yang tinggi seperti negara-negara lain. Persoalan ini menarik untuk difikirkan namun jawapan tersiratya Amerika akan menjawab “ini satelit kami, ikut suka kami. Jika anda  ingin maklumat sila  buat satelit sendiri”.

 




Sunday, March 16, 2014

Tawakal : Syarat jumpai MH370

Dalam Sunan al-Tirmizi terdapat hadis tentang kepentingan tawakal yang lafaznya :

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ  تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً

Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal nescaya kamu akan diberi rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki kepada burung yang keluar pada sebelah pagi dengan perut kosong dan pulang pada sebelah petang dengan perut kenyang 
(  Al-Tirmizi, no. hadis 2344 )


Mufradat hadis

حَقَّ تَوَكُّلِهِ = Hanya Allah yang memberi rezeki tiada terlintas dalam hati selainNya.
لَرَزَقَكُمْ = Setiap hari diberi rezeki yang baru kepada kamu
تَغْدُو خِمَاصاً = Keluar pagi dalam keadaan perut lapar
وَتَرُوحُ بِطَاناً = Pulang petang dalam keadaan perut kenyang
 ( Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Muhammad Fuad Abd al-Baqi, jld. 2, hlm. 1394 )

Kedudukan hadis :

Al-Tirmizi telah menilai hadis ini sebagai hadis hasan sahih. Al-Albani seorang pengkaji hadis telah menilai hadis ini sebagai hadis sahih. Ini membawa maksud hadis ini sahih pada sanad ( rangkaian perawi ) dan  sahih pada matan (  teks hadith ) dan boleh beramal serta berhujah dengannya.         
 ( Riyadh al-Salihin, al-Fahl,  jld. 1, hlm 80 )

Intisari hadis

Hadis menerangkan seekor burung yang yang keluar pada sebelah pagi dengan perut yang lapar dan pulang pada sebelah petang dengan perut yang  kenyang. Burung ini berusaha bersungguh-sungguh mencari makan di tempat yang ia yakin terdapat makanan dan Allah memberikan makanan ( rezeki ) kepadanya di atas hasil usahanya. Usaha dan keyakinan ini memberi makna tawakal kepada Allah.

Maksud tawakal

Pada bahasa : Pergantungan kepada Allah beserta menzahirkan kelemahan diri.
( Tafsir Al-Qurtubi jld. 4, hlm. 248 )

Pada istilah Fuqaha : Thiqah ( yakin ) kepada Allah, yakin kepada qada Allah, mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. dan berusaha untuk mendapatkan sesuatu dengan sebab-sebabnya.
( Tafsir Al-Qurtubi jld. 4, hlm. 189 )

Kesimpulannya tawakal bermaksud menyerahkan sesuatu urusan kepada Allah setelah berusaha bersungguh-sungguh dengan kemampuan yang ada.

Aplikasi hadis

Burung telah berusaha bersungguh-sungguh mencari makanan pada awal-awal pagi dengan tawakal. Usahanya berjaya sehingga ia balik dengan kenyang pada waktu petang. Manusia berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan sesuatu dan bertawakal. Usaha manusia akan berjaya sehingga manusia mendapatkan apa yang diinginkannya.

Hari kelapan

Pencarian  pesawat MH370 telah masuk  hari kelapan ( 15 Mac 2014 ). Maklumat terkini yang disahkan oleh MAS ialah pesawat MH370 telah berpatah balik dari laluan asal selepas ia hilang dari radar. Berdasarkan maklumat terbaru ini pelbagai teori positif yang dilontarkan. Antaranya pesawat itu tidak terhempas dan mempunyai unsur rampasan pesawat. Ini menjadi sinar baru kepada waris-waris yang terlibat. Namun begitu pesawat MH370 tetap dalam status missing .

Menurut pendapat penulis pesawat MH370 boleh dijumpai dengan kadar cepat dan redha tuhan melalui satu syarat terpenting seperti di atas. Syarat ini dapat diaplikasikan daripada hadis dalam Sunan Ibn Majah dan Sunan al-Tirmizi. Syarat jumpai ialah bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal selepas berusaha bersungguh-sungguh dengan segala teknologi dan kepakaran yang ada pada manusia.

Marilah umat islam seluruhnya tanpa terkecuali seorangpun menyuburi sifat tawakal kepada Allah setelah berusaha. Janganlah kita ego dengan usaha-usaha jitu yang dilakukan sehingga lupa kepada tawakal.Teknologi dan agama hendaklah seiring untuk penemuan yang pasti dan diredhai... 

Tuesday, March 11, 2014

MH370 : Tanyalah kepada yang Maha Mengetahui…


Rakyat Malaysia dan seluruh dunia masih terkejut dan tertanya-tanya dengan kehilangan pesawat MAS sehingga kini. Malam ini masuk malam kelima dan kehilangannya sangat misteri. Pesawat itu berlepas dari KLIA dan sepatutnya mendarat di Beijing, China.

Seluruh kepakaran manusia digunakan untuk mencari di mana kedudukan pesawat itu. Pelbagai teori dikemukakan dan peliknya semua teori tersebut hanyalah teori semata-mata tanpa ada keputusan yang pasti. Asas kepada teori tersebut ialah kenapa kapten kapal dan pembantu juruterbang tidak menghubungi menara kawalan sedangkan mereka berdua sangat terlatih dan pesawat dalam kategori paling canggih dan paling selamat.

Keputusan pengurusan masjid dan surau seluruh negeri mengadakan solat hajat dan berdoa untuk keselamatan pesawat MH370 adalah tindakan yang sangat tepat dan kena pada masanya. Kita hendaklah sentiasa sedar dan insaf bahawa usaha yang bersungguh-sungguh beserta doa dan tawakal adalah gandingan yang mantap untuk mendapat pertolongan daripada Allah dalam saat-saat genting seperti ini.

Teknologi sains dan agama hendaklah seiring dalam kes ini. Seolah-olah isyarat daripada Allah kepada manusia supaya manusia sedar bahawa sains hendaklah digandingkan dengan agama. Teori sains bukan penentu segala-galanya. Hanya keizinan daripada Allah sesuatu itu boleh berlaku. Contoh untuk kita fahaminya ialah tentang sifat api yang sentiasa membakar dan menghanguskan benda. Agama mengatakan adakalanya api membakar tetapi tidak menghanguskan benda.Cerita nabi Ibrahim dalam al-Quran membuktikan kenyataan ini iaitu api membakar nabi Ibrahim a.s ketika beliau dilontar ke dalamnya namun kuasa menghanguskan pada api tidak ada pada masa itu kerana tiada keizinan daripada Allah sedangkan pada masa yang lain api ada kuasa menghanguskan. Jelaslah kepada kita bahawa sesuatu perkara yang berlaku hanya dengan izin Allah melangkaui jangkaan sains dalam sesuatu perkara. Dengan izin Allah jua jika sains dan agama digandingkan pesawat MH370 akan ditemui.

Telah kita yakini bahawa Allah bersifat al-Alim yang bermaksud Maha Mengetahui.Tanyalah kepada yang Maha Mengetahui ini. Pasti ada jawapannya. Marilah kita semua seluruh masyarakat Islam mengaku  di atas kelemahan kita dan mengharapkan pertolonganNYA.

Ya Allah! Pengetahuan kami sangat sedikit dan terbatas. Engkau Maha Mengetahui sesuatu perkara tanpa batasannya.Tunjukkanlah kepada kami di mana MH370…Amin.

Sunday, March 2, 2014

Hadis sumber hukum Islam

 Pengertian Hadis

Hadis pada istilah syarak ialah apa yang disandarkan kepada nabi s.a.w. daripada perkataan, perbuatan, pengakuan dan sifat. ( Ahmad Umar Hasyim,Qawaid Usul al-Hadis, Dar al-Kitab  al-Arabi : Beirut hlm. 6 ) Hadis dan al-Sunnah  pada istilah syarak adalah sama pengertiannya menurut sebahagian ulama.

Kedudukan  hadis dan al-Quran di sisi Islam

Al-Quran dan al-Hadis adalah dua perkara yang menjadi rujukan  penting untuk umat Islam. Kedua-dua sumber ini saling berkait rapat  antara satu sama lain dalam memahami sesuatu hukum atau  nas-nas agama.

Manna al-Qattan dalam kitab Mabahith fi Ulum al-Hadith menyatakan :

“ Sunnah Nabawi menjadi sumber kedua dari sumber-sumber dalil- dalil syarak dan kedudukannya mengikuti kedudukan al-Quran, wajib mengikutinya sebagaimana wajib mengikuti al-Quran“
 ( Manna al- Qattan, Mabahith fÊ Ulum al-Hadith, Kaherah : Maktabah Wahbah, hlm. 15)

Yusuf al-QaraÌawi dalam kitab al-Murji’iyyah al-Ulya li al-Quran wa al-Sunnah mengatakan  hubungan antara al-Quran dan al-Sunnah terjalin dalam tiga bentuk.

1   Al-Sunnah bertepatan dengan al-Quran pada setiap keadaan.
2   Al-Sunnah menerangkan apa yang dikehendaki al-Quran dan menjadi tafsirannya.
3   Al-Sunnah mewajibkan hukum yang didiamkan al-Quran
 ( Yusuf al-QaraÌawi,  Al-Murji’iyyah al-Ulya fÊ al-Islam li al-Quran wa al-Sunnah , Kaherah :   Maktabah Wahbah hlm. 99 )

Abu al-Layth Khayr Abadi menyatakan al-Quran dan al-Sunnah mempunyai kaitan yang erat. Perkaitan ini  dapat dilihat dengan  jelas  dalam  tiga keadaan

1.Al-Sunnah menguatkan hukum yang terdapat dalam al-Quran. Contohnya hadis
hadis yang  menerangkan tentang kewajipan solat, zakat, puasa, dan  haji.

2. Al-Sunnah menerangkan perkara yang umum dalam al-Quran. Contohya hadis-
hadis yang  menerangkan tentang bilangan rakaat dan cara-cara menunaikan solat.

3. Al-Sunnah menjelaskan akidah-akidah dan hukum-hukum yang didiamkan al-
Quran. Contohnya tentang kenabian Adam serta kenabian  nabi-nabi lain, kelebihan nabi
Muhammad terhadap semua nabi dan rasul, dan pengharaman memakan setiap
binatang yang bertaring.
( Abu Layth Khayr Abadi, Ulum al-Hadith Asiluha wa Mu’asiruha Dar al-Syakir : Malaysia, hlm. 46-48)

Melihat kepada kepada perkaitan di atas menunjukkan al-Sunnah amat berperanan terhadap al-Quran sebagai sumber hukum yang kedua dalam pensabitan hukum syarak. Ini kerana al-Sunnah menerangkan tentang hukum-hukum yang umum dari al-Quran.

Namun, pada keadaan yang lain al-Sunnah menjadi sumber hukum yang  pertama dalam pensabitan hukum syarak kerana al-Quran mendiamkan perkara tersebut. Contohya hadis yang menerangkan pengharaman memakan binatang yang bertaring.

Kesimpulan

1. Umat Islam wajib beriman dengan al-Quran dan hadis tanpa keraguan.
2. Orang  Islam yang ragu-ragu terhadap hadis akan rosak akidahnya.