أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Monday, January 19, 2015

Reunion Al-Azhar Zagazig Kelantan 2014

Seiring dengan perkembangan teknologi yang berkembang pesat maka semuanya menjadi cepat dan mudah. Teknologi WhatsApp dan Telegram telah menghubungkan silatulrahim antara sesama manusia. Tamadun hari ini dapat menghubungkan yang terpisah dan mendekatkan yang jauh.


Image result for alzhar student malaysia

Di atas kemudahan ini, reunion Al-Azhar cawangan Zagazig Kelantan telah dilangsungkan  pada 23 Disember 2014 bertempat Restoran Sup Special As-Salam Kubang Kerian mulai pukul 8.00 – 12 malam.

Namun sebelum ini telah ada reunion dalam bilangan yang kecil seperti  Majlis Iftar Ramadhan di hotel Ansar Kota Bharu tahun 2013. Pertemuan kali ini lebih mengujakan kerana ramai yang bersetuju untuk datang. Pertemuan ini telah disertai ramai  pelajar paling senior dalam penempatan pertama sesi 1993/1994 di bumi Zagazig wilayah timur Mesir ( Muhafazah al-Syarqiah ). Mereka berada adalah jurusan Lughah Arabiah dan paling awal meninggalkan Zagazig  pada tahun 1997.

Masing-masing sudah berkeluarga dan sedikit berusia yang jelas dapat dilihat pada raut wajah. Majoriti bekerja sebagai guru agama di sekolah menengah dan rendah. Selain itu ada yang menjadi pensyarah universiti, pensyarah politeknik, KAGAT, peniaga dan pengurus syarikat haji & umrah. Seorang rakan dikenal pasti mengalami masalah ingatan manakala seorang lagi telah meninggal dunia.

Kehadiran seramai 18 orang dianggap berjaya kerana masing-masing dapat meluahkan rasa rindu dan saling bertukar pandangan dalam pelbagai isu dengan mengenepikan perbezaan fahaman politik. Pertemuan ini juga berjaya menubuhkan “Persatuan Anak Kelantan Zagazig” yang memberi fokus kepada kebajikan ahli.



Image result for al azhar malay student


Bumi Zagazig yang indah permai meninggalkan seribu kenangan manis dan pahit kepada kami. Pelbagai peristiwa suka duka tercipta. Di sini tempat tadahan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru kami tercinta barisan ulama al-Azhar. Dr. Hasan Ali Kabir dekan kuliah Lughah Arabiah dan Dr. Muhammad Said Arram dekan kuliah Usuluddin menjadi sebutan bibir pada suatu masa dahulu.



Hakikatnya kami bukanlah orang pertama dan terakhir datang dari asia merentasi sempadan bangsa dan warna kulit kerana mencari permata di dalam institusi al-Azhar. Universiti yang menjadi perhatian dunia islam dan dunia barat. Masih diingat kata-kata terakhir wakil kuliah Usuluddin Dr. Ali Syarif “ Syarafa lakum wa syarafa lana” membawa maksud kamu pulang ke Malaysia mengajarkan ilmu agama kepada masyarakat dengan itu ia menjadi kemuliaan bagi kamu pelajar al-Azhar secara tidak langsung ia menjadi kemuliaan bagi kami di institusi al-Azhar. 

Kata-kata ini tersimpan erat dibenak kami. Ia menjadi pembakar semangat untuk meneruskan risalah al- azhar saban waktu dan selamanya.






Saturday, January 3, 2015

Peristiwa Banjir Kelantan : Ujian daripada Allah?

Negeri-negeri di Malaysia iaitu Kelantan ,Terengganu, Pahang, Perlis, Negeri Sembilan dan Johor telah dilanda banjir sejak 18 Disember 2014. Banjir terburuk dalam sejarah negara seperti yang dilaporkan di dalam media.

Banjir ini telah menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke pusat-pusat pemindahan sehingga mencapai bilangan 200 ribu orang. Sehingga kini  lebih daripada sepuluh orang telah terkorban dan sehingga kini terdapat 100 ribu masih berada di pusat-pusat pemindahan.

Kelantan paling ramai penduduk yang menjadi mangsa banjir sehingga mencapai lebih 100 ribu orang di jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas, Machang, Tumpat dan Kota Bharu. Banjir ini telah menghanyutkan rumah-rumah, kenderaan, dan merosakkan harta benda yang banyak.


Penduduk yang tidak mengalami banjir secara langsung juga telah mengalami situasi panik kerana kemudahan asas telah tiada. Ini berikutan elektrik terputus maka segala peralatan elektrik tidak berfungsi. Tidak ada kemudahan bank, pam minyak, telefon, barangan runcit dan penduduk terpaksa menggunakan lilin pada waktu malam. Penduduk berada dalam ketakutan kerana banjir ini luar biasa disebabkan  berlaku banjir tanpa hujan. Pengalaman ini telah dialami oleh penulis sendiri.

Di pusat-pusat pemindahan banjir pula bukanlah sesuatu yang enak untuk diperkatakan. Seorang rakan penulis menceritakan di sebuah pusat pemindahan yang diduduki yang seramai 800 mangsa, seperti tidak  belajar etika maupun toleransi. Ramai yang mementingkan diri sendiri. Ada yang berebut-rebut makanan, barangan seperti lilin tidak dikongsi, ada yang memecahkan kedai-kedai mengambil makanan. Terdapat juga yang memecahkan Pasaraya untuk mengambil peralatan seperti jam, pakaian dan lain-lain yang tidak sepatutnya.



Berdasarkan situasi ini adakah isu dharurat atau mengambil kesempatan di atas tragedi ? Mengapa manusia kelihatan rakus dan tidak mengambil iktibar dalam saat-saat genting tersebut?

Sepatutnya manusia harus sedar dan memahami bahawa kejadian banjir ini merupakan sunnah Allah Taala kepada hambaNya untuk menguji tahap keimanan dan kesabaran setiap hamba. Seolah-olah mereka tidak mengetahui ayat al-Quran tentang situasi sebegini seperti firman Allah Taala :


وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ (155) الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ (156)

"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata "innalillahi wa inna ilaihi raji'un" (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali)." (Al-Baqarah: 155-156).


Ibn Kathir menyatakan dalam tafsirnya bahawa ujian Allah kepada hambaNya berlaku sama ada ketika senang atau ketika susah seperti perasaan takut, berada dalam kelaparan, hilang sebahagian harta, kematian orang yang disayangi dan kerosakan kebun-kebun tanaman.

Allah memuji orang yang bersabar dan mengungkapkan kalimah istirja‘ (إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون) juga hambaNya menyedari bahawa Allah Taala yang mengatur urusannya dan segala amalan kebaikan yang dilakukan tidak akan berkurang sedikitpun. ( Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, hlm. 308/1)

Sangat jelas peristiwa banjir yang berlaku adalah bentuk ujian Allah Taala untuk menguji tahap keimanan hamba sama ada dapat bersabar atau tidak juga mengukur adakah semakin bertambah pahala atau semakin mendapat dosa. Peristiwa ini seharusnya menjadi iktibar untuk musabah  diri masing-masing.Beruntunglah orang yang melepasi ujian ini dan kerugian bagi yang sebaliknya.



Selain itu, peristiwa banjir dapat menguji sifat kerjasama dan tolong menolong sesama insan diperingkat global. Kelengkapan persediaan menghadapi banjir dan sebab-sebab berlaku banjir turut menjadi perhatian pihak-pihak berwajib untuk diberi penyelesaian yang sewajarnya.

Friday, August 29, 2014

Peritnya zaman penjajahan dan erti nikmat kemerdekaan

Kalimah merdeka merupakan kalimah keramat bagi menerangkan sesebuah negara bebas dari penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain ( DBP, Kamus Dewan, hlm. 1024 ). Bukan mudah untuk melafazkan kalimah ini. Mengimbasi sejarah Malaysia menunjukkan betapa perit dan azabnya berada pada zaman-zaman penjajahan.


Bermula dengan jatuhnya Kota Melaka pada tahun 1511 oleh Portugis, maka era penjajahan berterusan silih berganti dengan kedatangan Belanda, Inggeris, siam, Jepun, dan Inggeris kali kedua sehinggalah Malaysia diistiharkan merdeka pada tahun 1957.

Cebisan kisah kekejaman Jepun

Penjajahan Jepun  antara yang terkenal dengan kezaliman dan keperitan hidup rakyat negara ini. Penulis sempat bertanya pengalaman beberapa penduduk kampung sendiri yang pernah hidup pada zaman Jepun.




Salah seorang menceritakan,  sewaktu menaiki basikal ke tempat kerja dan sampai di Bunot Payong kira-kira tiga kilometer dari Kota Bharu beliau dan rakan-rakan ditahan tentera Jepun hanya kerana tentera Jepun ingin mendengar lagu negara mereka dinyanyikan ( Lagu Aikoku Koushin ). Mujurnya semua mereka dapat mengingati lagu kebangsaan negara itu. Mereka yang tidak mengingati lagu akan ditampar tanpa belas kasihan. Kemungkinan ini timbulnya perkataan” Penampar Jepun”. 

Seorang penduduk lain menceritakan sewaktu Jepun datang beliau berumur tujuh tahun ketika itu askar-askar Jepun menyerang kampung dan bom-bom digugurkan. Beliau dibawa lari oleh ibunya ke dalam hutan berhampiran dalam keadaan kelam kabut dan tidak sempat memakai pakaian.

Penduduk lain menceritakan askar-askar Jepun bertempur dengan askar-askar Inggeris dan beliau melihat askar-askar Inggeris kalah dan berundur dan beberapa mayat askar Inggeris yang terdiri daripada bangsa Benggali dihumbankan ke dalam telaga.

Keinsafan

Kisah-kisah seumpama ini sewajarnya menjadi keinsafan kepada generasi hari ini betapa bertuahnya generasi kini. Generasi yang hidup bebas bergerak ke sana sini tanpa ada sekatan. Sentiasa aman dari serangan bom dan bedilan. Makanan dan minuman yang melimpah-limpah dan ditambah lagi dengan kemudahan komunikasi yang berada di hujung jari.

Penghargaan yang tidak ternilai ditujukan kepada generasi pejuang terdahulu yang berkorban nyawa harta dan kehidupan kerana membela agama bangsa dan tanahair tercinta. Kesyukuran kepada Allah s.w.t  di atas nikmat kedamaian ini.

Bumi Gaza yang  bermandi darah menjadi nilaian sesebuah negara bebas dari kekejaman penjajahan. Beruntungnya rakyat Malaysia yang terus menikmati kedamaian dan kemakmuran tanpa batasan.

Kemerdekaan hakiki

Dari sudut kehidupan seorang muslim pengertian kemerdekaan dapat disimpulkan sebagai kemerdekaan atau kebebasan dari api neraka. Dalam al-Quran Allah s.w.t. menjelaskan :

فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا مَتَاعُ الْغُرُورِ (185)

Maksudnya : “ Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya” ( Ali Imran : 4 ( 185 )

Kata al-Sya’rawi dalam tafsirnya kejayaan yang besar adalah kebebasan dari api neraka. Kejayaan bebas dari api neraka adalah lebih utama dari dimasukkan ke dalam syurga. ( Al-Sya’rawi, Tafsir al-Sya’rawi, hlm. 100, j. 1 )

Muslim yang prihatin terhadap ajaran agama hendaklah menginsafi nikmat kemerdekaan negara dan pada masa yang sama hendaklah menyedari kemerdekaan yang hakiki adalah kemerdekaan dari api neraka. Kemerdekaan dari api neraka pula lebih diutamakan dari dimasukkan ke dalam syurga.

Selamat menyambut hari kemerdekaan negara ke-57.“ Malaysia… Di sini Lahirnya Sebuah Cinta “. Semoga Malaysia kekal aman, makmur, dan merdeka.

Sunday, August 17, 2014

Masih 6 Syawal

Masih berada dalam bulan syawal yang mulia. Suatu anugerah Allah di atas kesabaran menjalani ibadat selama sebulan. 1 Syawal yang disambut adalah hari kasih sayang dan keampunan Allah kepada semua hamba yang beriman serta menjadi pengubat di atas pemergian Ramadhan yang mulia.

Segala ibadat-ibadat yang dilakukan tidaklah terhenti dengan pemergian Ramadhan tetapi hendaklah diteruskan pada bulan-bulan yang lain selepas Ramadhan.

Ibadat yang paling diutamakan pada bulan ini adalah berpuasa sunat sebanyak enam hari. Pahalanya menyamai setahun berpuasa.




 Rasulullah bersabda :
من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر

Rasulullah SAW. bersabda, Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun.( Muslim no. 1164 )

Huraian Hadis: 

1. Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa melakukan amalan kebaikan walau dengan kadar yang sedikit. ( istiqamah )

2. Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Hal ini boleh difahami dengan kiraan berikut :

- 1 kebaikan digandakan 10 gandaan. ( mafhum hadis yang lain )
- 30 Ramadhan x 10 gandaan = 300 kebaikan.
- 6 Syawal x 10 gandaan = 60 kebaikan.
- 30 + 6 hari = 36 hari berpuasa x 10 = 360 kebaikan.
- 1 tahun = 12 bulan x 30 hari = 360 hari.

3. Disunatkan berpuasa Syawal bila-bila masa sepanjang Syawal. Diharuskan juga berpuasa berselang seli seperti puasa nabi Daud a.s.

Dengan Syawal yang masih berbaki 8 atau 9 hari lagi maka peluang masih terbuka kepada orang-orang yang ingin mendapat pahala setahun berpuasa. Rebutlah yang berbaki ini…



Friday, August 1, 2014

Ramadhan : Saat-Saat Pemergian

Ramadhan kali ini dan kita sudah berada di penghujungnya. Ramadhan bulan berkat dan rahmat akan pergi meninggalkan kita. Ramadhan… mengapa secepat ini engkau akan pergi ?

Bulan yang di dalamnya dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka, bulan yang di dalamya puasa dan al-Quran, bulan yang di dalamnya disediakan pintu syurga al-Rayyan, bulan yang terdapat di dalamnya  dua kegembiraan. Bulan yang di dalamnya sedekah, bulan yang di dalamnya silatulrahim, bulan yang di dalamnya qiamulail dan bulan yang di dalamnya kasih sayang dan pengampunan Allah.

Ramadhan… perasaan kami tidak puas dengan kedatanganmu yang terasa sekejap. Masih tidak puas menghirup kemanisan ibadat yang mempersona jiwa. Saat rintihan pengabdian kepada tuhan. Alunan al-Quran dan zikir memecah jiwa. Sedekah dan silatulrahim menyebak dada. Ramadhan… Pemergian ini satu keperitan abadi.

Segala siri latihan yang dilalui akan digenggami. Kemanisan ibadat akan diamali sepenuh hati. Mengingati janji-janji Allah adalah pasti. Semoga tuhan memberkati amalan Ramadhan yang dirindui. Istiqamah adalah jawapan pasti beserta izin Ilahi.





Bersyukur kepada tuhan dengan anugerah Syawal yang akan menjelma. Hadiah tuhan kepada hamba-hambanya yang taat. Pengubat duka jiwa yang kehilangan Ramadhan. Hari kejayaan dan keampunan kepada hamba-hambanya.

Selamat tinggal Ramadhan semoga bertemu kembali. Selamat datang Syawal semoga sinar kebahagiaan menjadi insan sejati.