أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Sunday, March 16, 2014

Tawakal : Syarat jumpai MH370

Dalam Sunan al-Tirmizi terdapat hadis tentang kepentingan tawakal yang lafaznya :

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ  تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً

Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal nescaya kamu akan diberi rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki kepada burung yang keluar pada sebelah pagi dengan perut kosong dan pulang pada sebelah petang dengan perut kenyang 
(  Al-Tirmizi, no. hadis 2344 )


Mufradat hadis

حَقَّ تَوَكُّلِهِ = Hanya Allah yang memberi rezeki tiada terlintas dalam hati selainNya.
لَرَزَقَكُمْ = Setiap hari diberi rezeki yang baru kepada kamu
تَغْدُو خِمَاصاً = Keluar pagi dalam keadaan perut lapar
وَتَرُوحُ بِطَاناً = Pulang petang dalam keadaan perut kenyang
 ( Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Muhammad Fuad Abd al-Baqi, jld. 2, hlm. 1394 )

Kedudukan hadis :

Al-Tirmizi telah menilai hadis ini sebagai hadis hasan sahih. Al-Albani seorang pengkaji hadis telah menilai hadis ini sebagai hadis sahih. Ini membawa maksud hadis ini sahih pada sanad ( rangkaian perawi ) dan  sahih pada matan (  teks hadith ) dan boleh beramal serta berhujah dengannya.         
 ( Riyadh al-Salihin, al-Fahl,  jld. 1, hlm 80 )

Intisari hadis

Hadis menerangkan seekor burung yang yang keluar pada sebelah pagi dengan perut yang lapar dan pulang pada sebelah petang dengan perut yang  kenyang. Burung ini berusaha bersungguh-sungguh mencari makan di tempat yang ia yakin terdapat makanan dan Allah memberikan makanan ( rezeki ) kepadanya di atas hasil usahanya. Usaha dan keyakinan ini memberi makna tawakal kepada Allah.

Maksud tawakal

Pada bahasa : Pergantungan kepada Allah beserta menzahirkan kelemahan diri.
( Tafsir Al-Qurtubi jld. 4, hlm. 248 )

Pada istilah Fuqaha : Thiqah ( yakin ) kepada Allah, yakin kepada qada Allah, mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. dan berusaha untuk mendapatkan sesuatu dengan sebab-sebabnya.
( Tafsir Al-Qurtubi jld. 4, hlm. 189 )

Kesimpulannya tawakal bermaksud menyerahkan sesuatu urusan kepada Allah setelah berusaha bersungguh-sungguh dengan kemampuan yang ada.

Aplikasi hadis

Burung telah berusaha bersungguh-sungguh mencari makanan pada awal-awal pagi dengan tawakal. Usahanya berjaya sehingga ia balik dengan kenyang pada waktu petang. Manusia berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan sesuatu dan bertawakal. Usaha manusia akan berjaya sehingga manusia mendapatkan apa yang diinginkannya.

Hari kelapan

Pencarian  pesawat MH370 telah masuk  hari kelapan ( 15 Mac 2014 ). Maklumat terkini yang disahkan oleh MAS ialah pesawat MH370 telah berpatah balik dari laluan asal selepas ia hilang dari radar. Berdasarkan maklumat terbaru ini pelbagai teori positif yang dilontarkan. Antaranya pesawat itu tidak terhempas dan mempunyai unsur rampasan pesawat. Ini menjadi sinar baru kepada waris-waris yang terlibat. Namun begitu pesawat MH370 tetap dalam status missing .

Menurut pendapat penulis pesawat MH370 boleh dijumpai dengan kadar cepat dan redha tuhan melalui satu syarat terpenting seperti di atas. Syarat ini dapat diaplikasikan daripada hadis dalam Sunan Ibn Majah dan Sunan al-Tirmizi. Syarat jumpai ialah bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal selepas berusaha bersungguh-sungguh dengan segala teknologi dan kepakaran yang ada pada manusia.

Marilah umat islam seluruhnya tanpa terkecuali seorangpun menyuburi sifat tawakal kepada Allah setelah berusaha. Janganlah kita ego dengan usaha-usaha jitu yang dilakukan sehingga lupa kepada tawakal.Teknologi dan agama hendaklah seiring untuk penemuan yang pasti dan diredhai... 

Tuesday, March 11, 2014

MH370 : Tanyalah kepada yang Maha Mengetahui…


Rakyat Malaysia dan seluruh dunia masih terkejut dan tertanya-tanya dengan kehilangan pesawat MAS sehingga kini. Malam ini masuk malam kelima dan kehilangannya sangat misteri. Pesawat itu berlepas dari KLIA dan sepatutnya mendarat di Beijing, China.

Seluruh kepakaran manusia digunakan untuk mencari di mana kedudukan pesawat itu. Pelbagai teori dikemukakan dan peliknya semua teori tersebut hanyalah teori semata-mata tanpa ada keputusan yang pasti. Asas kepada teori tersebut ialah kenapa kapten kapal dan pembantu juruterbang tidak menghubungi menara kawalan sedangkan mereka berdua sangat terlatih dan pesawat dalam kategori paling canggih dan paling selamat.

Keputusan pengurusan masjid dan surau seluruh negeri mengadakan solat hajat dan berdoa untuk keselamatan pesawat MH370 adalah tindakan yang sangat tepat dan kena pada masanya. Kita hendaklah sentiasa sedar dan insaf bahawa usaha yang bersungguh-sungguh beserta doa dan tawakal adalah gandingan yang mantap untuk mendapat pertolongan daripada Allah dalam saat-saat genting seperti ini.

Teknologi sains dan agama hendaklah seiring dalam kes ini. Seolah-olah isyarat daripada Allah kepada manusia supaya manusia sedar bahawa sains hendaklah digandingkan dengan agama. Teori sains bukan penentu segala-galanya. Hanya keizinan daripada Allah sesuatu itu boleh berlaku. Contoh untuk kita fahaminya ialah tentang sifat api yang sentiasa membakar dan menghanguskan benda. Agama mengatakan adakalanya api membakar tetapi tidak menghanguskan benda.Cerita nabi Ibrahim dalam al-Quran membuktikan kenyataan ini iaitu api membakar nabi Ibrahim a.s ketika beliau dilontar ke dalamnya namun kuasa menghanguskan pada api tidak ada pada masa itu kerana tiada keizinan daripada Allah sedangkan pada masa yang lain api ada kuasa menghanguskan. Jelaslah kepada kita bahawa sesuatu perkara yang berlaku hanya dengan izin Allah melangkaui jangkaan sains dalam sesuatu perkara. Dengan izin Allah jua jika sains dan agama digandingkan pesawat MH370 akan ditemui.

Telah kita yakini bahawa Allah bersifat al-Alim yang bermaksud Maha Mengetahui.Tanyalah kepada yang Maha Mengetahui ini. Pasti ada jawapannya. Marilah kita semua seluruh masyarakat Islam mengaku  di atas kelemahan kita dan mengharapkan pertolonganNYA.

Ya Allah! Pengetahuan kami sangat sedikit dan terbatas. Engkau Maha Mengetahui sesuatu perkara tanpa batasannya.Tunjukkanlah kepada kami di mana MH370…Amin.

Sunday, March 2, 2014

Hadis sumber hukum Islam

 Pengertian Hadis

Hadis pada istilah syarak ialah apa yang disandarkan kepada nabi s.a.w. daripada perkataan, perbuatan, pengakuan dan sifat. ( Ahmad Umar Hasyim,Qawaid Usul al-Hadis, Dar al-Kitab  al-Arabi : Beirut hlm. 6 ) Hadis dan al-Sunnah  pada istilah syarak adalah sama pengertiannya menurut sebahagian ulama.

Kedudukan  hadis dan al-Quran di sisi Islam

Al-Quran dan al-Hadis adalah dua perkara yang menjadi rujukan  penting untuk umat Islam. Kedua-dua sumber ini saling berkait rapat  antara satu sama lain dalam memahami sesuatu hukum atau  nas-nas agama.

Manna al-Qattan dalam kitab Mabahith fi Ulum al-Hadith menyatakan :

“ Sunnah Nabawi menjadi sumber kedua dari sumber-sumber dalil- dalil syarak dan kedudukannya mengikuti kedudukan al-Quran, wajib mengikutinya sebagaimana wajib mengikuti al-Quran“
 ( Manna al- Qattan, Mabahith fÊ Ulum al-Hadith, Kaherah : Maktabah Wahbah, hlm. 15)

Yusuf al-QaraÌawi dalam kitab al-Murji’iyyah al-Ulya li al-Quran wa al-Sunnah mengatakan  hubungan antara al-Quran dan al-Sunnah terjalin dalam tiga bentuk.

1   Al-Sunnah bertepatan dengan al-Quran pada setiap keadaan.
2   Al-Sunnah menerangkan apa yang dikehendaki al-Quran dan menjadi tafsirannya.
3   Al-Sunnah mewajibkan hukum yang didiamkan al-Quran
 ( Yusuf al-QaraÌawi,  Al-Murji’iyyah al-Ulya fÊ al-Islam li al-Quran wa al-Sunnah , Kaherah :   Maktabah Wahbah hlm. 99 )

Abu al-Layth Khayr Abadi menyatakan al-Quran dan al-Sunnah mempunyai kaitan yang erat. Perkaitan ini  dapat dilihat dengan  jelas  dalam  tiga keadaan

1.Al-Sunnah menguatkan hukum yang terdapat dalam al-Quran. Contohnya hadis
hadis yang  menerangkan tentang kewajipan solat, zakat, puasa, dan  haji.

2. Al-Sunnah menerangkan perkara yang umum dalam al-Quran. Contohya hadis-
hadis yang  menerangkan tentang bilangan rakaat dan cara-cara menunaikan solat.

3. Al-Sunnah menjelaskan akidah-akidah dan hukum-hukum yang didiamkan al-
Quran. Contohnya tentang kenabian Adam serta kenabian  nabi-nabi lain, kelebihan nabi
Muhammad terhadap semua nabi dan rasul, dan pengharaman memakan setiap
binatang yang bertaring.
( Abu Layth Khayr Abadi, Ulum al-Hadith Asiluha wa Mu’asiruha Dar al-Syakir : Malaysia, hlm. 46-48)

Melihat kepada kepada perkaitan di atas menunjukkan al-Sunnah amat berperanan terhadap al-Quran sebagai sumber hukum yang kedua dalam pensabitan hukum syarak. Ini kerana al-Sunnah menerangkan tentang hukum-hukum yang umum dari al-Quran.

Namun, pada keadaan yang lain al-Sunnah menjadi sumber hukum yang  pertama dalam pensabitan hukum syarak kerana al-Quran mendiamkan perkara tersebut. Contohya hadis yang menerangkan pengharaman memakan binatang yang bertaring.

Kesimpulan

1. Umat Islam wajib beriman dengan al-Quran dan hadis tanpa keraguan.
2. Orang  Islam yang ragu-ragu terhadap hadis akan rosak akidahnya.


Saturday, February 22, 2014

Pemikiran Kassim Ahmad yang janggal

Kassim Ahmad dilaporkan berkata  dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian" di Putrajaya.


Kasta Paderi

"Kasta paderi ini tidak wujud dalam zaman Nabi dan empat Khalifah ar-Rasyidun. Mereka muncul kira-kira 300 tahun kemudian  dan melantik diri sendiri sebagai pentafsir agama kepada umat Islam”.


Pendewaan pemimpin
"Mereka (umat Islam) mendewa-dewakan pemimpin agama yang mereka anggap maksum  dan yang telah memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka,"

Rambut wanita bukan aurat

“Tiga puluh tahun dahulu,  wanita Islam tidak memakai tudung,
sebaliknya hanya sehelai selendang “kerana rambut itu bukan aurat”
.

Mempertikai kewibawaan nabi Muhammad

"Saya pernah cakap yang al Quran menjelaskan ia sendiri. Method lama
ialah menggunakan Hadis untuk menjelaskan al Quran kurang baik kerana bermakna menganggap Nabi Muhammad itu tahu segala-galanya. Ini ridiculous, beliau hanya utusan Allah"(Malaysiakini.com 16 feb 2014)

Disiplin ilmu-ilmu wahyu

Kesimpulan mudah daripada  kata-kata di atas dapat difahami bahawa Kassim Ahmad telah melakukan serangan terhadap kedudukan ulama Islam, meletakkan  pensyariatan batasan aurat berdasarkan akal, dan mempertikai kewibawaan nabi Muhammad s.a.w. Semua kata-kata tersebut adalah berdasarkan akal semata-mata tanpa dibuktikan secara ilmiah. Bahkan kata-kata di atas menyanggahi nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

Sebagai seorang Islam, sebelum melakukan serangan Kassim sepatutnya memasuki gerbang disiplin ilmu-ilmu wahyu terlebih dahulu seperti mendalami ilmu Tafsir al-Quran, Ulum al-Quran, Hadis, Ulum al-Hadis, Akidah, Feqah, Usul Feqh, Tarikh Islam, Sirah Nabawiyyah, Bahasa Arab, ( Nahu & Saraf ), Balaghah ( Maani, Bayan, Badie ) dan Nuzum Islamiyyah. Ini adalah teras disiplin ilmu-ilmu wahyu yang wajib Kassim hadami sebelum menyerang membabi buta syariat Islam dan kewibawaan nabi Muhammad s.a.w. serta para ulama.

Kassim sepatutnya merujuk kepada ulama antarabangsa sekiranya ulama tempatan di Malaysia masih tidak menepati keinginan akal fikirannya. Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang keilmuannya diiktiraf. Pergilah ke mana-mana pertubuhan Islam yang berautoriti di seluruh dunia Islam.

Kassim sebenarnya tidak layak mendaftar sebagai ahli namun menyerang dari luar gelanggang. Perbuatan ini adalah tidak beradab. Rempuhan terhadap sesuatu disiplin ilmu adalah tidak bermoral.

Hakikatnya, Islam membenarkan umatnya mengkritik  dan memberi idea-idea baru. Namun kritikan dan idea-idea baru mestilah dalam kerangka ilmiah ( keilmuan ) . Dalam disiplin ilmu-ilmu Islam seperti ilmu Ulum al-Hadis terdapat perbahasan tentang kritikan. Contohnya bab Al-Jarh wa al-Takdil ( Kritikan terhadap perawi hadis ) dan bab tentang Naqd al-Hadis ( Kritikan terhadap matan dan sanad hadis ) Dibenarkan mengkritik dan menyatakan idea-idea baru berdasarkan disiplin ilmu ini.

Setelah Kassim memasuki disiplin ilmu-ilmu wahyu dan telah membuat rujukan kepada ulama antarabangsa dan tempatan dibenarkan dia menyerang seperti ini sambil berkata :

“Akukah yang benar atau orang-orang itu yang benar” ???. Adakah aku benar-benar telah mengenali Muhammad bin Abdullah sebagai Rasulullah ??? Murtadkah aku dengan pemikiran yang sebegini ???. Ramaikah orang yang akan menziarahiku pada hari kematianku ???. Aku akan dikenang sebagai apa terhadap umat ini ???.

Kesimpulan

Kassim Ahmad tidak layak membuat doktrin-doktrin baru terhadap  agama ini kerana berada di luar bidang kepakarannya. Perbuatan ini akan membenarkan pepatah Melayu yang berbunyi “ Seperti tikus membaiki labu”. Insaf dan bertaubatlah sebelum terlambat.


Sunday, February 16, 2014

Valentine Day Budaya Kristian

Tarikh 14 Febuari saban tahun  merupakan tarikh yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan remaja dan pasangan bagi bagi menyatakan rasa kasih sayang  antara satu sama lain. Ia disambut dengan pelbagai cara seperti kiriman ucapan, kiriman bunga, parti tari menari, dan  pertemuan . Apa yang lebih buruk dari itu berlaku pertemuan yang berakhir dengan perzinaan demi membuktikan perasaan cinta dan kasih sayang mereka.

Setiap umat Islam hendaklah menyedari dari mana asal sambutan ini dan bilakah ia mula disambut. Sumber “Catholic Encyclopedia “ menjelaskan bahawa Valentine adalah nama seorang paderi Kristian yang giat menyebarkan agama itu di Rome sehingga dia ditangkap dan diseksa dalam penjara. Dalam penjara beliau telah jatuh cinta dengan seorang gadis anak seorang pegawai penjara. Pada akhir hayatnya sebelum dibunuh dia sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis itu yang bertandatangan “ Daripada Valentinemu”. Semenjak dari itu orang Kristian mengambil sempena 14 Febuari untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka.

Berdasarkan pernyataan versi di atas  di manakah kaitan sambutan ini dengan ajaran Islam? Jawapannya tidak ada kaitan sama sekali. Ia kisah paderi Kristian dengan persoalan cintanya. Oleh itu apakah ruang yang membolehkan umat Islam menyambut sambutan ini?

Rasulullah s.a.w telah menjelaskan dalam satu sabdanya :

لتبعن سنة من كان قبلكم باعا بباع وذراعا بذراع وشبرا بشبر حتى لو دخلوا في جحر ضب لدخلتم فيه ) قالوا يا رسول الله اليهود والنصارى ؟ قال ( فمن إذا ؟
Maksudnya:

“ Demi Allah yang nyawaku dalam genggamannya, pasti kamu akan turuti jejak langkah orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sedepa demi sedepa, sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk lubang dhab. Sahabat bertanya : “ Adakah mereka itu Yahudi atau Nasrani”?  Rasulullah menjawab : “ Siapa lagi kalau bukan mereka” ( Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Fuad Abd al-Baqi,no. h. 3994, hlm. 1322, j.2 )

Menjadi kewajaran kepada umat Islam mengikuti apa yang terdapat di dalam ajaran Islam sahaja. Islam tidak menyekat perasaan  kasih sayang antara manusia. Kasih sayang dalam Islam adalah sepanjang masa tanpa membataskan kepada hari tertentu. Kasih sayang dalam Islam hendaklah melalui batasan syarak contohnya melalui gerbang perkahwinan. Umat Islam tidak perlu kepada budaya barat Kristian seperti sambutan Valentine ini.

Kesimpulan :

1. Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia telah memutuskan amalan menyambut Valentine Day adalah haram kerana amalan ini tidak terdapat dalam ajaran Islam.

2. Valentine Day adalah sambutan penganut Kristian untuk mengenang hari kematian paderi mereka.

3. Umat Islam dilarang menyambut Valentine Day termasuklah memberi kata ucapan, memberi sokongan , mempromosi, dan sebagainya.

4. Umat Islam digalakkan berkasih sayang sesama manusia sepanjang masa tanpa membataskan pada hari-hari tertentu.

5. Pengamal media diminta tidak mempromosi sambutan Valentine Day walau dalam apa bentuk sekalipun.

( Sumber : Teks Khutbah Jumaat JAIS )

            

Saturday, February 1, 2014

Pukulan terhadap anak dalam Islam

Pukulan terhadap anak  yang tidak mengerjakan solat adalah adalah perkara yang disyariatkan dalam ajaran Islam. Perkara ini seperti yang diriwayatkan dalam Sunan Abu Daud  dengan no. hadith 494 dan Sunan al-Tirmizi dengan no. hadith  407.

Hadith dalam  riwayat Sunan Abu Daud  seperti berikut ,

مُرُوا الصَّبِىَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا
Maksudnya :

“Perintahkanlah anak-anak kamu mengerjakan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka ( sekiranya tidak mengerjakan solat ) ketika mereka berumur sepuluh tahun” ( Abi Daud, Sunan Abi Daud, Izzat Ubaid,no. h. 494, hlm. 238, j. 1 )

Hadith ini terdapat dalam Sunan Abu Daud, bab al-Solat, no. hadith 494. Al-Albani seorang pengkaji hadith telah  menilai hadith ini sebagai hadith hasan sahih.

Izzat Ubaid seorang sarjana hadith menegaskan dalam hadith di atas menunjukkan kerasnya hukuman terhadap anak yang meninggalkan solat selepas baligh dengan sengaja. ( Abi Daud, Sunan Abi Daud, Izzat Ubaid,no. h. 494, hlm. 238, j. 1 ) Pukulan yang dimaksudkan adalah pukulan untuk mendidik tanpa mencederakan anak.

Kata al-Syafei dalam kitab al-Mukhtasar diwajibkan kepada ibubapa mengajar  adab kepada anak-anak meraka dan mengajarkan mereka tentang al-thaharah ( bersuci dalam Islam ) dan mengajarkan solat apabila mereka sudah berakal. Sekiranya mereka enggan maka pukullah mereka. Wajib juga mengajar kewajipan agama yang lain termasuklah perkara halal dan haram. ( Sunan Abi Daud, hlm. 238, j. 1 )


Khilaf ulama tentang hukum meninggalkan solat

Malik dan al-Syafei berpendapat orang yang meninggalkan solat hendaklah dihukum bunuh. Makhul berpendapat orang yang meninggalkan solat hendaklah diminta bertaubat sekiranya enggan maka hendaklah dibunuh. Kata Abu Hanifah tidak dibunuh tetapi dipukul dan dipenjarakan. Sementara Ahmad b. Hanbal berpendapat orang yang meninggalkan solat adalah kafir.

Izzat Ubaid menegaskan lagi bahawa pukulan mendidik ini adalah wajib kepada wali ( penjaga ) sama ada dia adalah seorang bapa, datuk, penjaga wasiat atau qadhi ( pegawai agama tempatan ) ( Sunan Abi Daud, hlm. 238, j. 1 )

Dalam surah Taha Allah berfirman :


وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلاةِ
Maksudnya :

“ Perintahkanlah keluargamu dan umatmu mengerjakan solat”( Surah Taha 16 :132 )

Kata al-Qurtubi Allah Taala memerintahkan Rasulullah s.a.w. supaya menyuruh keluarganya menunaikan solat serta tekun dan sabar ketika  menunaikannya. Kata al-Qurtubi lagi bahawa perintah ini termasuk dalam perintah umum kepada seluruh umat sementara perintah kepada ahli keluarga Rasulullah s.a.w. adalah secara khusus. Selepas turunnya ayat ini Rasulullah s.a.w. pergi ke rumah Fatimah dan Ali dan berkata” dirikanlah solat “( Al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, Ahmad al-Barduni, hlm. 263. J.11 )

Istilah pukulan ghair mubarrih ( pukulan tidak mencederakan )

Terdapat perbahasan berkaitan pukulan ghair mubarrih dalam tafsiran ulama tafsir. Kata Ibn Kathir, berkata para fuqaha, pukulan ghair mubarrih bermaksud pukulan yang tidak mematahkan dan  tidak meninggalkan kesan pada anggota badan. Al-Hasan al-Basri  berpendapat pukulan ghair mubarrih bermaksud pukulan yang tidak meninggalkan bekas.
( Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Ali Syairi, hlm. 777, j. 2 )

Kata al-Fakhrurazi berkata al-Syafei, pukulan ghair mubarrih bermaksud pukulan yang tidak mencederakan, tidak tertumpu pada suatu tempat di bahagian badan, tidak memukul muka, dan tidak tidak melebihi 40 kali kali. Pukulan dilakukan dengan kain sapu tangan yang digulung atau dengan tangan dan tidak menggunakan cemeti atau tongkat. Hendaklah mengutamakan keringanan dalam bab ini. ( Al-Fakhrurazi, Mafatih al-Ghaib, al-Syeikh Khalil, hlm. 93, j.10 )

Azizul di Sweden

Dalam kes tindakan Azizul di Sweden yang memukul seorang daripada anaknya yang tidak menunaikan solat merupakan tindakan yang tepat seandainya ia adalah bertujuan mendidik dan tidak mencederakan. Bahkan pukulan seumpama ini adalah wajib seperti yang dinyatakan oleh al-Syafie dalam kitab al-Mukhtasar. Namun tindakan ini menyebabkan beliau ditahan reman oleh pihak berkuasa Sweden lebih dari 40 hari. Ternyata undang-undang ciptaan Allah Taala dan undang-undang ciptaan manusia tidak sama. Kebenarannya sudah pasti undang-undang ciptaan Allah Taala kerana Allah yang mencipta manusia dan  Maha Mengetahui setiap keperluan manusia.

Pihak berkuasa Sweden menganggap kes ini sebagai kes penderaan terhadap anak sementara Islam melihat kes ini sebagai kes mendidik anak. Di manakah pendirian umat Islam sejagat dalam kes ini…. ???




Thursday, January 30, 2014

Muhammad s.a.w : Rahmat kepada haiwan

Masih membicarakan tentang kedatangan nabi Muhammad s.a.w. sebagai nabi akhir zaman yang menjadi   rahmat kepada seluruh alam. Alam haiwan tidak terkecuali dalam kerahmatan ini. Terdapat hadith dalam riwayat Abu Daud :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ جَعْفَرٍ قَالَ...... فَإِذَا جَمَلٌ فَلَمَّا رَأَى النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- حَنَّ وَذَرَفَتْ عَيْنَاهُ فَأَتَاهُ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم- فَمَسَحَ ذِفْرَاهُ فَسَكَتَ فَقَالَ : مَنْ رَبُّ هَذَا الْجَمَلِ لِمَنْ هَذَا الْجَمَلُ . فَجَاءَ فَتًى مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ : لِى يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَقَالَ : أَفَلاَ تَتَّقِى اللَّهَ فِى هَذِهِ الْبَهِيمَةِ الَّتِى مَلَّكَكَ اللَّهُ إِيَّاهَا فَإِنَّهُ شَكَى إِلَىَّ أَنَّكَ تُجِيعُهُ وَتُدْئِبُهُ .

  Maksudnya

“ Daripada Abdullah b.Jaafar beliau berkata :......tiba-tiba terdapat seekor unta. Ketika  nabi s.a.w. melihat unta tersebut maka kelihatan unta itu dalam keadaan sayu dan mengalir air mata dari kedua-dua  matanya. Maka nabi s.a.w.menghampiri unta dan mengusap-usap dibahagian belakang telinga unta lantas unta berhenti mengalirkan air mata. Rasulullah bertanya siapakah tuan unta ini . seorang pemuda daripada kaum Ansar menjawab unta itu kepunyaan saya wahai Rasulullah. Rasulullah bersabda : “Tidakkah kamu bertakwa kepada Allah terhadap haiwan ini. Allah telah memberi milik kepada kamu dan ia telah mengadu kepadaku bahawa kamu membiarkannya dalam keadaan kelaparan sedangkan kamu membebankannya dengan pekerjaan”( Abu Daud, Sunan Abu Daud, Izzat Ubaid, no. h. 2549, bab jihad, hlm. 37, j. 3 ) 


Hadith ini terdapat dalam riwayat Sunan Abu Daud. Al-Albani seorang pengkaji hadith telah menilai hadith ini sebagai hadith sahih.




Kisah seekor unta yang mengadu kepada nabi s.a.w tentang tuannya yang tidak memberikan makanan secukupnya sedangkan pada masa yang sama tuan unta ini membebankannya dengan pekerjaan ladang. Hal ini menjadi mukjizat kepada nabi s.a.w. yang memahami keadaan dan keperluan haiwan. Sepatutnya manusia bersyukur terhadap nikmat memiliki haiwan dengan memberinya makan secukupnya dan berbuat ihsan ( belas kasihan ) kepadanya. ( Mustafa al-Khin, Nuzhah al-Muttaqin, hlm. 724-725 )


Dalam hadith sahih yang lain diceritakan bahawa seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka kerana mengurung seekor kucing dan tidak membiarkannya lepas bebas untuk mencari makanan sendiri. Kucing itu akhirnya mati kelaparan. Perkara yang menyebabkan wanita itu ke neraka ialah kerana tidak ada perasaan ihsan terhadap haiwan tersebut.



Termasuk dalam erti kata tidak bersyukur terhadap nikmat memiliki haiwan ialah membiarkan haiwan-haiwan ini berkeliaran di jalan raya. Sering berlaku kemalangan ngeri disebabkan tidak bertanggungjawab tuan punya haiwan ini. Tuan punya haiwan akan disoal pada hari akhirat di atas kelalaian ini. Insaflah...