أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Friday, May 30, 2014

Israk Dan Mikraj : Sungai Nil Dari Syurga ?

Berdasarkan hadis dalam riwayat Muslim sungai Nil di Mesir adalah sungai dari syurga. Begitu juga tiga sungai lain iaitu sungai Saihan, Jaihan dan Furat.


سَيْحَانُ وَجَيْحَانُ وَالفُرَاتُ وَالنِّيلُ كُلٌّ مِنْ أَنْهَارِ الجَنَّةِ

Maksudnya :” Sungai Saihan, Jaihan, Furat dan Nil semuanya dari sungai-sungai di dalam syurga “(Muslim, no. 2839)


Lokasi Sungai

Pendapat pertama mengatakan sungai Saihan dan Jaihan berada di Khurasan Iran, pendapat kedua mengatakan sungai Saihan di berada di India dan sungai Jaihan berada di Khurasan. Manakala sungai Furat ialah sungai yang memisahkan antara Syam dan semenanjung Arab. ( Mustafa al-Khin, Syarh Riyadh al-Salihin, hlm. 468, j. 2 ) Pendapat lain mengatakan sungai Saihan dan Jaihan terletak di Syam.

Hakikat Sungai

Kata al-Nawawi dalam Syarh Muslim takwil yang pertama ialah pengaruh keimanan secara umum akan meresapi ke negeri-negeri tersebut namun takwil yang paling sahih ialah sungai-sungai ini pada zahirnya ada  unsur syurga kerana syurga sudah wujud.(Syarh al-Nawawi ala Muslim, hlm.177, j.17 )

Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan kemungkinan disandarkan sungai-sungai ini kepada sungai-sungai syurga kerana keberkatan sungai ini.( Ibn Hajar, Fath al-Bari. hlm. 214, j. 7 )

Kata Mahir Yasin al-Fahl, terdapat dua pendapat ulama berkenaan hal ini :

1. Ia adalah dari sungai-sungai syurga yang sebenar tetapi ketika ia turun ke dunia ia menjadi hukum  sungai dunia.

2. Ia bukan dari sungai-sungai syurga yang sebenar tetapi ia merupakan sebaik-baik sungai dunia dan nabi s.a.w mensifatkannya dari sudut ketinggian dan kelebihan sungai ini. ( Mahir Yasin al-Fahl, Syarh Riyadh al-Salihin, hlm. 319, j. 2 )

Pada realitinya keberkatan ini dapat dibuktikan dengan sungai di negara-negara berkenaan yang telah menyuburkan tanah-tanihnya dan mengeluarkan hasil tanaman yang banyak  dan segar. Antaranya pokok Tin dan Zaitun serta sayur-sayuran yang subur menghijau.

Negara persekitaran sungai seperti Mesir, Jordan, Syria, Iraq, Saudia, Palestin, dan Sudan adalah negara-negara yang tersebarnya agama Islam dan menjadi pusat pengajian Islam yang dikunjungi dari seluruh pelosok dunia. Di persekitaran ini juga telah lahir tamadun kerajaan Umaiyyah, Abbasiyyah, dan Uthmaniyyah yang telah mengangkat kedudukan umat Islam.

Sehingga kini persekitaran ini terus dikunjungi dan akan sentiasa dikunjungi sehingga hari kiamat. Perkara ini menjadi bukti kebenaran hadis di atas.




Saturday, May 17, 2014

Status hadis doa bulan Rejab

أَخْبَرَنَا أَبُو عَبْدِ اللهِ الْحَافِظُ، أَخْبَرَنَا أَبُو بَكْرٍ مُحَمَّدُ بْنُ الْمُؤَمَّلِ، حَدَّثَنَا الْفَضْلُ بْنُ مُحَمَّدٍ الشَّعْرَانِيُّ، حَدَّثَنَا الْقَوَارِيرِيُّ، حَدَّثَنَا زَائِدَةُ، حَدَّثَنَا زِيَادٌ النُّمَيْرِيُّ، عَنْ أَنَسٍ، قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ، قَالَ: " اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ، وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ "

Maksudnya:”Telah mengkhabarkan kepada kami Abu Abdullah al-Hafiz, telah mengkhabarkan kepada kami Abu Bakar Muhammad b. al-Muammal, telah menghadiskan kepada kami al-Fadl b. Muhammad al-Sya‘rani, telah menghadiskan kepada kami al-Qawaririy, telah menghadiskan kepada kami Zaaidah, telah menghadiskan kepada kami Ziyad, daripada Anas,”Apabila masuk bulan Rejab nabi s.a.w berdoa:” Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan  Syaaban dan sampaikan kami kepada  bulan Ramadhan”
(Abu Bakar al-Baihaqi, Sya’bu al-Iman, ( Abdul Aliy Abdul Hamid ), hlm. 348, j.5, h. no. 3534)

Latar belakang hadis

Hadis ini sangat masyhur dan tersebar luas dalam kalangan masyarakat. Ia tercatat dalam kitab-kitab hadis seperti Musnad Ahmad oleh Ahmad b. Hanbal, Sya‘bu al-Iman oleh al-Baihaqi, al-Mukjam al-Ausat oleh al-Tabrani.

Memandangkan  hadis ini sangat masyhur diperkatakan apabila masuk sahaja bulan Rejab, maka penulis ingin membincangkan status hadis ini dari sudut ilmu Mustalah al-Hadis supaya masyarakat lebih jelas dan dapat mengamalkan sesuatu hadis dengan yakin.

Sahih , dhaif atau maudhu?

Status sebuah hadis sama ada sahih, dhaif atau maudhu ditentukan oleh sanad ( rangkaian perawi ) dan matan ( teks hadis ). Hadis menjadi sahih jika menepati lima syarat sahih iaitu hadis bersambung sanad, perawi adil, dhabt, tidak syaz dan tidak illah. Jika tidak mencapai syarat ini maka hadis menjadi dhaif. Jika perawi terkenal sebagai pendusta maka hadis menjadi maudhu.


Jarah dan takdil terhadap perawi

Pentahqiq hadis kitab Syab al-Iman iaitu Abdul Aliy Abdul Hamid mengatakan hadis ini diriwayatkan  secara tafarrud ( bersendirian ) iaitu pada perawi yang bernama Zaaidah dan Ziyad.

Dalam hadis di atas perawi yang bernama Zaaidah dan Ziyad telah ditajrihkan oleh ulama hadis. Abdul Aliy Abdul Hamid berkata,  Bukhari berkata Zaaidah b. Abi Ruqqad munkar al-hadis. ( perawi banyak lupa ) (Abu Bakar al-Baihaqi, Sya’bu al-Iman, ( Abdul Aliy Abdul Hamid ), hlm. 348, j.5 )

Syuaib al-Arnaut seorang pentahqiq hadis Musnad Ahmad berkata sanad hadis ini dhaif, berdasarkan perkataan Bukhari dan al-Nasai ”Zaaidah b. Abi Ruqqad munkar al-hadis,  Abu Daud pula berkata “aku tidak tahu hadisnya”,

Kata Syuaib al-Arnaut lagi Ziad al-Numairi  telah didhaifkan oleh Ibn Main dan Abu Daud, sementara Abu Hatim berkata, “ditulis hadisnya tetapi tidak boleh berhujah dengannya”.

Ibn Hibban pula meletakkan Ziad al-Numairi dalam kitab al-thiqat seterusnya dalam al-Majruhin dan akhirnya beliau mengatakan Ziyad al-Numairi adalah munkar al-hadis. ( Ahmad b. Hanbal, Musnad Ahmad, ( Syuaib al-Arnaut ) no. 2346 hlm. 180, jld. 4 )

Siapakah Zaaidah b. Abi Ruqqad dan Ziyad al-Numairi ?

Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Tahzib al-Tahzib menerangkan tentang Zaaidah :

Beliau ialah Zaaidah b. Abi Ruqqad al-Bahili Abu Muaz al-Basriy, pengarang kitab al-Hulliy, berguru kepada Asim b. al-Ahwal, Thabit al-Bunani, Ziyad al-Numairi. Muridnya pula Yahya b. Kathir al-Anbari, Muhammad b. Abu Bakar al-Muqaddami, Ubaidillah b. Umar al-Qawaririy, Muhammad b. Sallam.

Berkata muridnya al-Qawaririy “ aku tulis semua daripadanya “ Berkata Bukhari, munkar al-Hadis , Berkata Abu Daud, “ aku tidak tahu hadisnya” Berkata al-Nasai, “ aku tidak kenal siapa dia“ ( Ibn Hajar al-Asqalani, Tahzib al-tahzib, ( Ibrahim Zaibaq ) hlm. 620, jld.1 )

Tentang Ziyad pula kata Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Tahzib al-Tahzib :

Beliau ialah Ziyad b. Abdullah al-Numairi al-Basri berguru dengan Anas. Muridnya ialah Sadaqah b. Yasar al-Makki, Abdul Rahman maula Qais, Umarah b. Zadan.

Yahya b. Main berkata, “hadis daripadanya dhaif, Abu Hatim berkata, “hadisnya ditulis tetapi tidak berhujah dengannya” Ibn Hibban meletakan namanya dalam kitabnya al-Thiqat dan mengatakan beliau “yukhti” juga mengatakan beliau seorang ahli ibadat. ( Ibn Hajar al-Asqalani, Tahzib al-Tahzib, ( Ibrahim Zaibaq ) hlm. 650-651, jld. 1 )

Kesimpulan

Hadis ini telah dinilai taraf dhaif oleh ulama hadis kerana terdapat dua orang dalam rangkaian perawinya tidak mencapai taraf perawi adil. Tambahan pula hadis ini dikenali dengan hadis taffarud kerana hadis ini hanya melalui jalan periwayatan Zaaidah b. Abi Ruqqad sahaja dan tiada jalan periwayatan lain.

Hadis dhaif boleh diamalkan dalam perkara-perkara fadhilat dan tidak boleh berhujah dengannya. Hukum beramal dengan hadis dhaif telah diterangkan dalam tajuk perbincangan yang lalu.

Oleh itu, boleh beramal dengan hadis ini dengan mengenalinya sebagai hadis dhaif.

          "اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ، وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ "  
  
" Ya Allah, berkatilah kepada kami bulan Rejab, bulan Syaaban dan sampaikan kami kepada bulan Ramadhan "

Sikap prihatin terhadap status hadis dapat meletakkan diri kita berada dalam situasi penuh yakin dalam mengamalkan ajaran-ajaran agama yang benar ini.



Sunday, May 11, 2014

Hudud : Menangis untuk perompak ?

Hudud adalah sebahagian dari hukum jenayah dalam Islam. Perbahasan tentang hudud terkandung di dalam kitab-kitab feqah, tafsir dan hadis. Oleh itu setiap individu muslim bertanggungjawab untuk memahami dan berusaha melaksanakannya apabila keadaan mengizinkan. 

Hudud bertujuan  memastikan keamanan wujud dalam masyarakat Islam. Hudud juga berperanan mendidik dan menggerunkan masyarakat terhadap hukuman yang akan dikenakan sekiranya melanggar batasan agama.

Perkataan hudud berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud “batasan-batasan”. Dari segi istilah syarak majoriti ulama bersepakat  hudud bermaksud “  Hukuman yang telah ditentukan oleh syarak sama ada berkaitan hak terhadap Allah atau hak terhadap manusia “ ( Wahbah al-Zuhaili, Feqh al-Islam wa Adilatuh hlm. 2, j.6 )

Ciri-ciri hudud

1. Hukuman-hukuman telah ditentukan mengikut ketetapan syarak. Tidak ada sesiapa yang dapat mengubah, menambah atau mengurangkan hukuman.

2. Kesalahan-kesalahan hudud boleh dimaafkan sebelum ia dibawa ke muka pengadilan. Sekiranya sudah sampai ke muka pengadilan maka tiada sesiapa dapat memaaf atau mengurangkan hukuman.

3. Hukuman akan dijalankan kepada sesiapa sahaja yang mencukupi syarat dan tiada pengecualian.

Kesalahan-kesalahan yang dikenakan hudud

1. Murtad ( keluar dari agama Islam )
2. Zina
3. Tuduhan zina
4. Meminum arak
5. Mencuri
6. Merompak
7. Bughah ( pemberontak )
8. Liwath ( homoseks )
9. Hubungan seks dengan haiwan
10. Sihir
( Abdul Ghani Idris, Mengenal Kanun jenayah Islam, hlm. 28-29 )

Contoh pelaksanaan hudud terhadap kesalahan merompak

Di dalam hukum jenayah Islam perompak akan dikenakan salah satu daripada empat  hukuman berikut.

1. Jika membunuh tetapi tidak mengambil harta hukumnya dibunuh.
2. Jika membunuh dan mengambil harta hukumnya dibunuh dan disalib.
3. Jika mengambil harta tetapi tidak membunuh hukumnya dipotong tangan dan kaki secara bersilang.
4. Jika menakut-nakutkan orang ramai hukumnya dipenjara dan ditakzir ( mengikut hukuman bersesuaian oleh pemerintah ) ( Takiyuddin Abu Bakar al-Husaini, Kifayah al-Akhyar, (Syeikh Kamil Muhammad ), hlm, 639 )

Pesalah hudud akan dibicarakan dan dithabitkan kesalahan. Hukuman hudud seperti kesalahan merompak tidak akan dijalankan sekiranya tidak mencapai syarat hukuman. Namun hukuman takzir akan dikenakan. Hukuman hudud akan dilangsungkan di khalayak ramai seperti selepas solat Jumaat.

Sekiranya telah thabit kesalahan merompak dan pelakunya dihukum potong tangan dan kaki secara bersilang adakah sanggup seseorang mengatakan, “Hukuman ini tidak adil dan tidak berperikemanusiaan“ lalu dia menangis untuk perompak !. Dia lupa akibat jenayah yang dilakukan oleh perompak.



Friday, May 2, 2014

Selayang pandang lawatan Obama ke Malaysia

Pada 26-28 April 2014 merupakan detik bersejarah bagi Malaysia kerana menerima kunjungan daripada Presiden Amerika Barrack Obama. Ini ialah kunjungan kali kedua oleh Presiden Amerika sejak 46 tahun dahulu. Presiden pertama yang mengunjungi Malaysia adalah Lyndon B. Johnson pada tahun 1966.

Utusan Malaysia melaporkan bahawa tiga Memorandum Persefahaman ( MoU ) antara syarikat Malaysia dan AS membabitkan pelaburan bernilai AS2bilion.

Perjanjian ini termasuklah MoU antara Sime Darby-Verdezyne dalam bidang bioteknologi, GE dan AirAsia untuk penyelenggaraan 25 pesawat baharu A3330 AirAsia X. Satu lagi perjanjian antara MetLife dengan kumpulan ArabMalaysian untuk pembelian saham dalam Amlife dan  AmTakaful.

Antara tempat lawatan Obama ialah Masjid Negara dan bertemu dengan Imam Masjid Negara Syeikh Ismail Muhammad. Beliau sempat meminta Obama sebagai Presiden Amerika supaya menghentikan pembunuhan umat Islam di seluruh dunia.

Obama sempat makan nasi lemak dan buah-buahan tempatan seperti durian dan manggis. Menurut Obama  buah durian beliau pernah makan semasa kecil di Indonesia tetapi tidak menyukai rasanya.

Sebagai negara kerdil di peringkat antarabangsa Malaysia tentunya berbangga dengan lawatan Obama sebagai lelaki paling berkuasa di dunia ketika ini di samping dapat mengeratkan persahabatan yang sedia terjalin sejak sekian lama dan dapat meningkatkan kerjasama ekonomi antara dua negara.

Namun bagi sesetengah pihak tujuan lawatan Obama adalah untuk melobi negara-negara Asia termasuk Malaysia supaya menandatangani Perkongsian Perjanjian Trans-Pasifik ( TPPA ). Pengkritik mendakwa perjanjian ini tidak menguntungkan Malaysia dalam jangka masa panjang kerana negara tidak mampu bersaing dengan negara-negara lain yang lebih maju dalam beberapa perkara.

SEKADAR IMPIAN

Alangkah bertuahnya dunia Islam sekiranya Barrak Hussein Obama adalah seorang pemimpin Islam. Pemimpin yang memegang kuasa dunia berdasarkan prinsip-prinsip keadilan Islam. Keadilan yang  merentasi segala bangsa dan agama.

Bangsa pula bukanlah sesuatu yang utama dalam keadilan Islam. Bangsa yang bertakwa dan beriman itulah yang terbaik. Begitulah nilai seseorang manusia adalah berdasarkan takwa. Sesiapa yang paling bertakwa adalah yang paling mulia di sisi Allah. Takwa pula memberi makna melakukan segala suruhan Allah dan meningggalkan segala larangannya.

Dalam satu hadis Rasululah s.a.w. pernah menyatakan :

لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ، وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ، إِلَّا بِالتَّقْوَى

Maksudnya : Tidak ada kelebihan bangsa Arab dengan bangsa Ajam, bangsa Ajam dengan Arab, bangsa berkulit merah dengan berkulit hitam, bangsa berkulit hitam dengan berkulit merah melainkan dengan kelebihan takwa.
( Ahmad b. Hanbal, Musnad Ahmad, ( Syuaib al-Arnaut ) hlm. 474, jld. 38, no. h. 23489 )
Bangsa Ajam dalam hadis di atas ialah bangsa selain  bangsa Arab. Oleh itu nilai takwa yang menjadi ukuran ketinggian sesuatu bangsa.

Realitinya dunia Islam memerlukan pemimpin besar seperti Obama yang  memimpin kuasa besar dunia untuk memakmurkan alam berasaskan prinsip-prinsip keadilan Islam seperti yang pernah tercatat dalam lembaran sejarah silam.









Thursday, April 24, 2014

Hukum memberi salam dan menjawab salam dengan bukan Islam

Imam al-Nawawi berpendapat haram memberi salam kepada orang bukan Islam berdasarkan hadis dalam riwayat Muslim :
لاتبدأوا اليهود ولاالنصارى بالسلام

Maksudnya : “Janganlah kamu memulakan terhadap orang Yahudi dan orang Nasrani dengan ucapan salam “
(Al-Nawawi, Syarh sahih Muslim, no. h. 2167, hlm 136, jld. 14)

Pendapat ini juga dipersetujui oleh Mustafa al-Bugha dan Mustafa al-Khin dalam kitab Riyadh al-Salihin (Mustafa al-Bugha, Mustafa al-Khin, Riyadh al-Salihin, , hlm. 586, jld. 1 )

Menurut Imam al-Nawawi walaupun ada sebahagian ulama dan golongan al-Salaf mengharuskan memberi salam kepada bukan Islam berdasarkan maksud hadis yang menceritakan kelebihan menyebarkan salam (افشاء السلام) namun hadis ini menurut Imam al-Nawawi merupakan hadis umum. Hadis (لاتبدأوا اليهود ولاالنصارى بالسلام) mengkhususkan hadis umum tersebut.

Begitu juga al-Imam al-Nawawi menolak pendapat sebahagian ulama yang berpendapat makruh memberi salam kepada bukan Islam. Hal ini kerana larangan dalam hadis adalah bersifat larangan haram. (Al-Nawawi, Syarh sahih Muslim, hlm. 136, jld. 14)

Ucapan salam yang dimaksudkan ialah "Assalamualaikum atau Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh". Ucapan seperti ini dilarang kerana seolah-olah mendoakan kesejahteraan daripada Allah kepada mereka sedangkan mereka kufur dan jauh daripada rahmat Allah. Namun ucapan "selamat pagi", "selamat petang" ,"selamat malam" dan seumpamanya adalah diharuskan.

Di atas sebab ini , majoriti ulama berpendapat haram memberi salam kepada orang bukan Islam manakala minoriti ulama mengharuskannya. Imam al-Nawawi termasuk dalam ulama al-Syafie yang mengharamkannya.

Bilakah hukum harus memberi salam terpakai ?

Dari konteks yang lain,  kata al-Nawawi berkata al-Qadi bahawa harus memberi salam kepada bukan Islam jika berada dalam keadaan dharurat, jika sebagai keperluan atau mempunyai sebab tertentu.

Harus juga memberi salam jika orang Islam dan bukan Islam berada dalam satu majlis yang sama tetapi hendaklah dimaksudkan salam kepada orang Islam di dalam majlis tersebut. (Al-Nawawi, Syarh sahih Muslim, hlm. 136, jld. 14)

Hukum menjawab salam daripada bukan Islam

Bolehkah menjawab salam apabila bukan Islam memberi salam kepada orang Islam? Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari mengharuskan orang Islam menjawab salam daripada bukan Islam dengan berdasarkan ayat al-Quran :

فحيوا بأحسن منها أو ردوها

Maksudnya : “Jawablah salam lebih baik daripadanya atau sama sepertinya “
( Ibn Hajar, Fath al-Bari, hlm. 42, jld. 11)

Kata Mustafa al-Bugha dan Mustafa al-Khin dalam Riyadh al-Salihin menjawab salam bukan Islam cukuplah dengan perkataan وعليكم Waalaikum ). Perkataan ini terdapat dalam hadis riwayat Bukhari dan riwayat Muslim. ( Mustafa al-Bugha, Mustafa al-Khin, Riyadh al-Salihin, , hlm. 587, jld. 1 )

Oleh itu, harus menjawab salam bukan Islam jika mereka berniat baik juga untuk berinteraksi spontan dalam masyarakat majmuk. Menjawab dengan perkataan وعليكم yang memberi maksud “seperti kamu”. Jawapan ini menampilkan adab pergaulan muslim yang bersopan.

 

Saturday, April 19, 2014

Dendam Iblis kepada Adam

Permusuhan antara manusia dengan Iblis bermula semenjak penciptaan manusia pertama yang bernama Adam. Setelah itu Iblis dan malaikat diperintahkan sujud hormat kepada Adam. Malaikat patuh dan sujud kepada Adam sedangkan  Iblis enggan dan takbur untuk sujud kepada Adam. Akibatnya Iblis telah dihukumkan kafir dan mendapat laknat daripada Allah Taala.

Hakikat permusuhan ini telah dirungkaikan dalam al-Quran pada Surah al-Baqarah ayat 34 

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ (34)      
     
Maksudnya :“Ingatlah ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah kepada Adam” lalu mereka semuanya tunduk hormat melainkan Iblis. Ia enggan dan takbur dan jadilah ia daripada golongan yang kafir.


Dalam Surah al-A‘raf ayat 12 diterangkan sebab Iblis enggan sujud kepada Adam iaitu :


قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ (12)

Maksudnya :“Allah berfirman :“ Apakah yang menghalangmu untuk sujud ketika aku perintahkan kepadamu”  Iblis menjawab: “ Aku lebih baik daripada Adam, Engkau jadikan aku dari api  sedangkan  engkau jadikan dia dari tanah”

Kata al-Sya‘rawi Iblis beranggapan ia lebih baik dan lebih tinggi kedudukan daripada Adam kerana ia dicipta dari api. Dengan kedudukan yang tinggi ini ia tidak layak untuk  tunduk kepada Adam.

Al-Sya‘rawi meneruskan dengan mengatakan Iblis tersilap sama sekali dengan anggapan yang sedemikian. Hal ini kerana setiap jenis benda ada peranannya. Api ada peranannya dan tanah ada peranannya. Tidak ada kelebihan  antara jenis benda tersebut. Api tidak boleh menjalankan kerja tanah dan tidak mungkin kita menanam di dalam api.(Al-Sya‘rawi, Tafsir al-Sya‘rawi, hlm. 2823, jld. 1)

Namun begitu penciptaan manusia sebagai makhluk baru merupakan makhluk terbaik untuk dijadikan khalifah dibumi. Perkara ini diterangkan dalam Surah al-Baqarah pada ayat 30 :

Maksudnya:“Ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya aku hendak menjadikan khalifah di bumi “

Selain dari Surah al-Baqarah dan Surah al-A‘raf kisah Iblis dan Adam juga terdapat dalam Surah al-Hijr, al-Isra’ dan al-Kahf.

Api Permusuhan

Iblis menjadi kafir akibat enggan sujud kepada Adam. Namun ia meminta tempoh masa untuk menyesatkan Adam dan keturunannya sehingga hari kiamat. Allah  mengizinkan permintaan Iblis .

Episod pertama yang dilakukan Iblis ialah menggoda Adam dan Hawa supaya memakan buah larangan dalam Syurga. Akhirnya Iblis berjaya memperdaya Adam dan Hawa sehingga mereka memakan buah larangan. Adam dan Hawa merasa menyesal dan bertaubat kepada Allah dan Allah menerima taubat mereka. Adam dan Hawa diturunkan ke dunia kerana tidak layak tinggal di syurga lagi.

Episod seterusnya Iblis menggoda anak Adam yang bernama Qabil untuk membunuh adiknya Habil kerana dengki korbannya tidak diterima sedangkan korban Habil diterima. Inilah pembunuhan yang pertama dalam sejarah manusia akibat termakan hasutan Iblis. Kisah ini diceritakan dalam al-Quran pada Surah al-An‘am : 27.

Jelasnya Iblis akan sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan anak cucu Adam seluruhnya supaya menjadi kafir sepertinya. Allah menyatakan dalam al-Quran bahawa orang-orang yang terselamat daripada hasutan Iblis ialah hamba-hambanya yang ikhlas kepadanya.


Kesimpulan :

1. Iblis adalah musuh orang-orang mukmin yang nyata dan wajib diperangi.

2. Permusuhan Iblis dan manusia  berpanjangan sehingga hari kiamat.

3. Hanya orang-orang yang ikhlas kepada Allah yang akan terselamat dari godaan Iblis.