أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Sunday, May 10, 2015

Tinta Kembara Umrah 2015 ( 2 )

Lebih kurang 3 jam perjalanan bas berhenti rehat di suatu tempat yang tidak di pastikan lokasinya. Ia merupakan sebuah kedai makan yang dimiliki oleh rakyat Pakistan yang boleh berbahasa Melayu. Nasi ayam berharga SAR10.00 atau boleh juga membayar dengan RM10.00. Minuman tea panas pula berharga SAR2.00. Semasa sedang makan, tiba-tiba datang seorang lelaki Pakistan menjual telefon jenama Lenovo berharga SD500.00. Dia sanggup menurunkan harga sehingga SD300.00. Namun semua ahli rombongan tidak melayan jualannya. Sebelum itu aku telah membeli satu Sim Card yang berharga SAR30.00 daripada kawannya. Aku berserah dan tawakal saja entah menjadi ataupun tidak Sim Card tersebut.

Dari sudut bacaan doa, tiada bacaan doa khusus thabit daripada Rasulullah SAW ketika mula memasuki kota Madinah, namun dibolehkan kita berdoa yang berbentuk doa umum ketika mula memasuki mana-mana kawasan atau bandar. Hadis dalam riwayat al-Nasai daripada Suhaib r.ahu menyatakan Rasulullah  SAW berdoa :

( اللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَوَاتِ السَّبْعِ وَمَا أَظْلَلْنَ ، وَرَبَّ الأَرَضِينِ السَّبْعِ وَمَا أَقْلَلْنَ ، وَرَبَّ الشَّيَاطِينِ وَمَا أَضْلَلْنَ ، وَرَبَّ الرِّيَاحِ وَمَا ذَرَيْنَ ، فَإِنَّا نَسْأَلُكَ خَيْرَ هَذِهِ الْقَرْيَةِ وَخَيْرَ أَهْلِهَا ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ أَهْلِهَا وَشَرِّ مَا فِيهَا )


Image result for road to madinah

Lebih kurang pukul 1.30 pagi rombongan kami tiba di kota Madinah. Hotel yang ditempah adalah Hotel Barakah al-Andalus terletak 300 meter dari Masjid Nabawi. Perkara pertama yang dilakukan oleh ketua rombongan  ialah memberikan kad alamat hotel, kemudian barulah taklimat ringkas serta nombor bilik. Rombongan berkeluarga mendapat bilik bersama sementara ahli rombongan yang tidak berkeluarga mendapat bilik berempat atau berlima. Waktu solat Subuh adalah pada pukul 4.25 pagi. Masing-masing sempat berehat sementara menanti masuk waktu solat. Ketika  membuka televisyen terdapat dua siaran sahaja iaitu siaran bacaan al-Quran dan siaran berita. Siaran lain kelihatan ditutup oleh pengurusan hotel.

Kelihatan para jemaah kelihatan berduyun-duyun ke Masjid Nabawi ketika menjelang waktu Subuh. Dari pandangan tingkap hotel para jemaah itu bagaikan kelkatu yang berwarna putih yang keluar dari merata ceruk bertebaran menuju ke suatu arah sedangkan waktu itu jam menunjukkan pukul 3 pagi.

Image result for road to madinah

Pada saat itu diriku terasa sangat teruja kerana dapat membawa isteri dan anak-anak menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi kali pertama bagi mereka dan kali kedua bagi diriku. Satu anugerah yang tidak terhingga daripada Allah SWT. Setelah menunaikan solat sunat aku menyapa seorang lelaki  Arab yang duduk disebelahku. Beliau kelihatan tadi tidak putus-putus berdoa tanpa mengangkat tangan sebagaimana keadaan orang ramai berdoa. Katanya dia datang dari Kaherah. Aku katakan kepadanya bahawa aku pernah ke Kaherah dan belajar di Al-Azhar Zagazig sewaktu ketika dahulu. Selepas berbual ringkas dia mendoakan kebaikan untukku kemudian masing-masing meneruskan ibadat sementara menunggu waktu Subuh.

Selepas solat Subuh, aku memimpin tangan anak lelakiku untuk cuba menziarahi maqam Rasulullah SAW pada jarak yang dekat. Namun terhalang oleh penghadang mudah alih yang diletakkan oleh pengawal keselamatan Masjid sementelahan pada masa ini jemaah terlampau ramai. Setelah memberi salam kepada Rasulullah SAW, saidina Abu Bakar, saidina Umar dan berdoa,  aku memberitahu anakku untuk mendekati maqam ini dengan lebih dekat lagi pada kesempatan yang lain.


Masjid Quba 

Selama tiga hari di Madinah antara lain rombongan kami, dibawa menziarahi masjid Quba iaitu masjid  yang  pertama didirikan di Madinah ketika  dalam perjalanan  hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Musyrif mengingatkan untuk solat Tahiyatul masjid dan solat Dhuha. Dalam hadis sahih  Rasulullah  SAW datang ke Masjid Quba pada setiap hari Sabtu untuk solat di masjid ini.

Bukit Uhud

Selepas itu, rombongan kami dibawa melawat bukit Uhud di mana terdapatnya medan perang Uhud yang terkenal. Medan perang ini terletak antara bukit Uhud dan bukit Ramat. Di sebelah kaki bukit ini terdapat maqam para syuhada Uhud, antaranya maqam sayyidul syuhada (penghulu orang yang mati syahid) Hamzah bin Abdul Muttalib ra.hu. Sebelum terbunuh Hamzah ra.hu telah berjaya membunuh seramai 21 tentera musyrikin Quraisy. Ramai para jemaah mendaki bukit Ramat tempat tentera Islam mengambil kedudukan memanah ke arah musuh untuk merasai gambaran peperangan Uhud. Dalam sirah diceritakan ramai tentera pemanah turun untuk mengambil harta rampasan sebelum diizinkan oleh Rasulullah SAW. Mereka menyangka perang telah tamat kerana pihak musuh telah lari bertempiaran meninggalkan harta benda mereka. Namun perang belum tamat, panglima perang tentera Quraisy ketika itu ialah  Khalid bin al-Walid telah mengambil kesempatan dengan menyerang tentera Islam yang leka mengutip harta dari  sebelah belakang. Akhirnya, tentera Islam tewas kerana tiada sokongan daripada tentera pemanah dari atas bukit Ramat.


Image result for bukit uhud

Kekalahan tentera Islam dalam perang Uhud ini, pada asasnya  tidak mematuhi arahan panglima perang iaitu Rasulullah SAW yang melarang tentera pemanah turun dari bukit Ramat sehingga diizinkan. Umat Islam telah mendapat pengajaran yang menyakitkan dari peperangan ini.

Perjalanan kami diteruskan dengan menuju ke Masjid Qiblatain, medan perang Khandak, dan masjid Tujuh. Kesemua masjid ini hanya dilintasi sahaja kerana kekangan masa. Suatu perkara yang agak memeranjatkan telah terbongkar hasil perjalanan ini iaitu dalam aplikasi WhatsApp yang berlegar-legar sebelum ini  adalah bukit - bukit di Madinah mengeluarkan air yang banyak dari celahannya. Terbukti air yang keluar ini adalah hasil dari batang-batang paip yang disalurkan ke atas puncak  bukit. Ia sebenarnya sebahagian hiasan Bandar Madinah. Oleh itu, pengajaran di sebalik peristiwa ini ialah sebarang berita hendaklah dipastikan kesahihannya agar ia tidak menjadi fitnah dan menyalahi  fakta agama.

Rutin harian jemaah adalah solat berjemaah di masjid Nabawi. Selepas itu kembali ke hotel untuk rehat dan makan, kemudian bersiap-siap untuk solat berjemaah kembali di Masjid Nabawi. Sangat mendapat kerugian kepada sesiapa yang tidak mengambil peluang mendampingi Masjid Nabawi sepanjang berada di pemusafiran umrah ini.

Kad Hotel

Antara perkara yang menjadi perkara penting ketika berada di Madinah atau Makkah ialah kad alamat hotel. Aku mengalami dua peristiwa jemaah haji dari Indonesia yang tidak mengetahui di mana hotel yang dia tinggal.

Peristiwa pertama seseorang mengekori aku dari belakang dan memberitahu bahawa dia tidak mengetahui nama dan lokasi hotelnya. Kad jemaah yang dipakai tidak membantu kerana kad itu menyatakan nama syarikat umrah sahaja. Aku membawa jemaah ini ke kaunter hotelku menginap untuk bertanya sesuatu, namun pengurusan hotel juga tidak dapat mengenal pasti kerana tidak dinyatakan alamat hotel di Madinah. Akhirnya aku menasihati  jemaah itu supaya dia pergi semula ke Masjid Nabawi dan mencari ahli rombongannya di situ.

Peristiwa kedua juga jemaah dari Indonesia mengalami masalah yang sama. Aku juga menyarankan jemaah tersebut supaya mencari ahli rombongannya di Masjid Nabawi. Pasti akan bertemu kerana di Masjid Nabawi sentiasa akan ada jemaah yang akan berulang-alik dari Masjid Nabawi ke kediaman masing-masing.

Menuju Makkah al-Mukarramah

Hari terakhir di Madinah musyrif mengingatkan supaya jemaah melakukan solat jamak takdim waktu Zohor dan Asar serta menziarahi maqam Rasulullah SAW kali terakhir sebelum berangkat ke Makkah. Jemaah dingatkan supaya memakai pakaian ihram kerana rombongan akan bertolak ke tempat berniat ihram (Bir Ali) lebih kurang 40 minit dari kota Madinah.

Di masjid Bir Ali para jemaah akan melakukan solat Tahiyatul masjid dan solat sunat ihram serta berniat ihram. Perjalanan ke Makkah akan mengambil masa 5 hingga 6 jam dengan jarak 420 Km. Di sepanjang perjalanan para jemaah disunatkan bertabiah.

Sepanjang jalan sebelah di kiri dan kanan perjalanan ke Makkah kelihatan bukit bukau kontang yang sejauh mata memandang. Sudut pandangan jauh bukit bukau ini bagaikan hamparan gelombang ombak laut. Realitinya  bukit bukau yang kontang ini menghubungkan antara Makkah dan Madinah yang menjadi tanah suci umat Islam. Apakah hikmah kejadian bukit bukau kontang ini dan kaitannya dengan Makkah dan Madinah? Aku masih tidak menemui jawapannya.

Bait al-Hujjaj

Bas berhenti rehat di Bait al-Hujjaj yang merupakan tempat perhentian umum. Para jemaah melakukan solat Maghrib dan Isyak jamak taakhir. Perkara yang aku tertarik di sini adalah terdapat seorang penjual yang melambaikan tangan sambil melaungkan lima bahasa yang berlainan antaranya dilaungkan “ Ayam..ayam…ayam…Wajbah…wajbah…wajbah…” "chiken...chiken...chiken..." Suatu strategi yang menguntungkan. Pakej “broast”  menjadi pilihan ramai iaitu makanan campuran  ayam, kentang dan roti gulung.

Makkah al-Mukarramah

Lebih kurang pukul 10 malam rombongan tiba di  Kota Makkah. Selepas mendapat bilik penginapan, musyrif mengingatkan supaya jemaah bersiap kerana pada pada pukul 1 pagi nanti jemaah akan  menyelesaikan rukun-rukun umrah. Antara doa yang dibaca ketika melihat Kaabah :


 اَللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ ، فَحَيِّنَا رَبَّنَا بِالسَّلاَمِ
    
    “Ya Allah Engkaulah As-Salaam, daripada Mu keselamatan dan hidupkanlah kami wahai Tuhan kami dengan keselamatan.



 Image result for sesungguhnya bukit sofa


Umrah kali pertama dapat diselesaikan pada pukul 3 pagi. Sementara menunggu waktu Subuh pada pukul 4.22 pagi masing-masing beriktikaf dan berzikir. Imam yang bertugas bernama Syeikh Bandar Balilah seorang Imam yang paling terkenal pada masa ini.

Masjidil Haram pada masa ini masih dalam pembinaan. Sekitar 50% sahaja bangunan yang dapat digunakan. Apabila siap nanti ia kan menjadi binaan yang paling mahal dan paling canggih. Itu yang tercatat dalam  keratan akhbar di Malaysia dan kebenarannya kini  terserlah di depan mata.

Tawaf Dan Saie

Aku dan keluarga bertawaf pada  aras yang kedua memandangkan aras pertama jemaah sangat ramai. Terdapat empat aras untuk tawaf di Kaabah tetapi aras yang keempat masih belum dibuka. Ketika bertawaf aku teringat tentang firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kisah nabi Ibrahim  AS dan anaknya nabi Ismail AS membina Kaabah.

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."  ( al-Baqarah : 127 )

Ketika bersaie aku teringat kepada firman Allah SWT  juga dalam surah al-Baqarah :

     إِنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ البَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا
( al-Baqarah : 158 )

Dalam tempoh ini, musyrif sempat membawa jemaah melawat padang Arafah, Mina, Mudzalifah, Tanaim, Jakranah dan pasar membeli belah “Suq Jaafariah” . Masih banyak yang hendak aku perkatakan, namun cukuplah pengalaman ini sekadar perkongsian biasa khususnya kepada mereka-mereka yang belum menjejakkan kaki ke kota Makkah dan kota Madinah.






Sunday, April 5, 2015

Tinta Kembara Umrah 2015 ( 1 )

Pada tarikh 11 Mac 2015 diriku yang dhaif ini bersama-sama ahli keluarga direzekikan oleh Allah SWT  menziarahi tempat yang dimuliakan iaitu Makkah dan Madinah yang di kenali dengan tanah “al-Haramaini al-Syarifaini” (dua tanah haram yang mulia). Kembara ibadah umrah ini yang menjadi kewajipan sekali seumur hidup kepada semua umat Islam yang berkemampuan.

Kunjungan kali  ini merupakan kunjungan kali kedua bagiku selepas lebih dari satu dekad. Kunjungan pertama dahulu adalah ketika masih  bergelar mahasiswa tahun akhir di Mesir. Pada ketika itu aku dengan rombongan pelajar Mesir menaiki kapal laut di pelabuhan Suez dan berlabuh di pelabuhan Jeddah. Perjalanan yang memakan masa empat puluh lapan jam yang penuh nostalgia. Namun kedatangan kali ini lebih bermakna kerana keberadaan isteri dan anak-anak bersama.


Image result for saudi airport


Ketika aku tiba di airport Jeddah kelihatan perangai orang Arab tidak banyak berubah sejak dahulu. Setelah lama kami beratur panjang untuk urusan mengecop pasport seorang ahli rombongan dihalau keluar dari barisan dan disuruh berada di barisan lain tanpa difahami apa sebabnya. Perkara yang sama berlaku kepada diriku apabila tiba giliranku aku dihalau keluar dari barisan. Pegawai imegresen bertugas menyuruhku beratur di barisan lain pula. Aku lantas bertanya“fi  muskilah ih..kulluna Malizia” (apa masalah di sini… kami semua orang Malaysia) beliau menepuk-nepuk komputer di hadapannya dan mengatakan ada masalah. Satu pembohongan yang mengjengkelkan kami dan menggelikan hati. Di dalam hati aku berkata "bukan kami tidak tahu perangai anda yang berlagak dan tidak serius bekerja"

Rupa-rupanya pegawai  imegresen berkenaan maukan kaunternya hanya didatangi golongan wanita dan golongan tua sahaja. Persoalannya mengapa tidak diberitahu awal-awal atau diletakkan notis terlebih dahulu? Pada barisan yang baru ini pegawai imegresen kelihatan lebih rajin. Semua orang diambil gambar dan diminta mengimbas kedua belah tangan ke atas alat pengimbas. Seolah-olah pegawai ini bekerja dengan penuh dedikasi namun tangannya tidak lepas dari berWhatsApp sambil berurusan dengan pelanggan.

Musyrif (ketua kumpulan) us Ramli menenangkan kami supaya bersabar sahaja dengan karenah-karenah orang Arab yang pelik dan tidak konsisten dalam tugasan.


Image result for madina road


Dari airport Jeddah perjalanan diteruskan dengan menaiki bas yang disediakan menuju ke Madinah yang memakan masa lima jam. Semua ahli kumpulan merasa penat dan tertidur di sepanjang perjalanan. Pemandangan ke luar bas kelihatan gelap hanya lampu-lampu jalan yang sedikit menerangi kegelapan malam…



Monday, January 19, 2015

Reunion Al-Azhar Zagazig Kelantan 2014

Seiring dengan perkembangan teknologi yang berkembang pesat maka semuanya menjadi cepat dan mudah. Teknologi WhatsApp dan Telegram telah menghubungkan silatulrahim antara sesama manusia. Tamadun hari ini dapat menghubungkan yang terpisah dan mendekatkan yang jauh.


Image result for alzhar student malaysia

Di atas kemudahan ini, reunion Al-Azhar cawangan Zagazig Kelantan telah dilangsungkan  pada 23 Disember 2014 bertempat Restoran Sup Special As-Salam Kubang Kerian mulai pukul 8.00 – 12 malam.

Namun sebelum ini telah ada reunion dalam bilangan yang kecil seperti  Majlis Iftar Ramadhan di hotel Ansar Kota Bharu tahun 2013. Pertemuan kali ini lebih mengujakan kerana ramai yang bersetuju untuk datang. Pertemuan ini telah disertai ramai  pelajar paling senior dalam penempatan pertama sesi 1993/1994 di bumi Zagazig wilayah timur Mesir ( Muhafazah al-Syarqiah ). Mereka berada adalah jurusan Lughah Arabiah dan paling awal meninggalkan Zagazig  pada tahun 1997.

Masing-masing sudah berkeluarga dan sedikit berusia yang jelas dapat dilihat pada raut wajah. Majoriti bekerja sebagai guru agama di sekolah menengah dan rendah. Selain itu ada yang menjadi pensyarah universiti, pensyarah politeknik, KAGAT, peniaga dan pengurus syarikat haji & umrah. Seorang rakan dikenal pasti mengalami masalah ingatan manakala seorang lagi telah meninggal dunia.

Kehadiran seramai 18 orang dianggap berjaya kerana masing-masing dapat meluahkan rasa rindu dan saling bertukar pandangan dalam pelbagai isu dengan mengenepikan perbezaan fahaman politik. Pertemuan ini juga berjaya menubuhkan “Persatuan Anak Kelantan Zagazig” yang memberi fokus kepada kebajikan ahli.



Image result for al azhar malay student


Bumi Zagazig yang indah permai meninggalkan seribu kenangan manis dan pahit kepada kami. Pelbagai peristiwa suka duka tercipta. Di sini tempat tadahan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru kami tercinta barisan ulama al-Azhar. Dr. Hasan Ali Kabir dekan kuliah Lughah Arabiah dan Dr. Muhammad Said Arram dekan kuliah Usuluddin menjadi sebutan bibir pada suatu masa dahulu.



Hakikatnya kami bukanlah orang pertama dan terakhir datang dari asia merentasi sempadan bangsa dan warna kulit kerana mencari permata di dalam institusi al-Azhar. Universiti yang menjadi perhatian dunia islam dan dunia barat. Masih diingat kata-kata terakhir wakil kuliah Usuluddin Dr. Ali Syarif “ Syarafa lakum wa syarafa lana” membawa maksud kamu pulang ke Malaysia mengajarkan ilmu agama kepada masyarakat dengan itu ia menjadi kemuliaan bagi kamu pelajar al-Azhar secara tidak langsung ia menjadi kemuliaan bagi kami di institusi al-Azhar. 

Kata-kata ini tersimpan erat dibenak kami. Ia menjadi pembakar semangat untuk meneruskan risalah al- azhar saban waktu dan selamanya.






Saturday, January 3, 2015

Peristiwa Banjir Kelantan : Ujian daripada Allah?

Negeri-negeri di Malaysia iaitu Kelantan ,Terengganu, Pahang, Perlis, Negeri Sembilan dan Johor telah dilanda banjir sejak 18 Disember 2014. Banjir terburuk dalam sejarah negara seperti yang dilaporkan di dalam media.

Banjir ini telah menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke pusat-pusat pemindahan sehingga mencapai bilangan 200 ribu orang. Sehingga kini  lebih daripada sepuluh orang telah terkorban dan sehingga kini terdapat 100 ribu masih berada di pusat-pusat pemindahan.

Kelantan paling ramai penduduk yang menjadi mangsa banjir sehingga mencapai lebih 100 ribu orang di jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas, Machang, Tumpat dan Kota Bharu. Banjir ini telah menghanyutkan rumah-rumah, kenderaan, dan merosakkan harta benda yang banyak.


Penduduk yang tidak mengalami banjir secara langsung juga telah mengalami situasi panik kerana kemudahan asas telah tiada. Ini berikutan elektrik terputus maka segala peralatan elektrik tidak berfungsi. Tidak ada kemudahan bank, pam minyak, telefon, barangan runcit dan penduduk terpaksa menggunakan lilin pada waktu malam. Penduduk berada dalam ketakutan kerana banjir ini luar biasa disebabkan  berlaku banjir tanpa hujan. Pengalaman ini telah dialami oleh penulis sendiri.

Di pusat-pusat pemindahan banjir pula bukanlah sesuatu yang enak untuk diperkatakan. Seorang rakan penulis menceritakan di sebuah pusat pemindahan yang diduduki yang seramai 800 mangsa, seperti tidak  belajar etika maupun toleransi. Ramai yang mementingkan diri sendiri. Ada yang berebut-rebut makanan, barangan seperti lilin tidak dikongsi, ada yang memecahkan kedai-kedai mengambil makanan. Terdapat juga yang memecahkan Pasaraya untuk mengambil peralatan seperti jam, pakaian dan lain-lain yang tidak sepatutnya.



Berdasarkan situasi ini adakah isu dharurat atau mengambil kesempatan di atas tragedi ? Mengapa manusia kelihatan rakus dan tidak mengambil iktibar dalam saat-saat genting tersebut?

Sepatutnya manusia harus sedar dan memahami bahawa kejadian banjir ini merupakan sunnah Allah Taala kepada hambaNya untuk menguji tahap keimanan dan kesabaran setiap hamba. Seolah-olah mereka tidak mengetahui ayat al-Quran tentang situasi sebegini seperti firman Allah Taala :


وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ (155) الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ (156)

"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata "innalillahi wa inna ilaihi raji'un" (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali)." (Al-Baqarah: 155-156).


Ibn Kathir menyatakan dalam tafsirnya bahawa ujian Allah kepada hambaNya berlaku sama ada ketika senang atau ketika susah seperti perasaan takut, berada dalam kelaparan, hilang sebahagian harta, kematian orang yang disayangi dan kerosakan kebun-kebun tanaman.

Allah memuji orang yang bersabar dan mengungkapkan kalimah istirja‘ (إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون) juga hambaNya menyedari bahawa Allah Taala yang mengatur urusannya dan segala amalan kebaikan yang dilakukan tidak akan berkurang sedikitpun. ( Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, hlm. 308/1)

Sangat jelas peristiwa banjir yang berlaku adalah bentuk ujian Allah Taala untuk menguji tahap keimanan hamba sama ada dapat bersabar atau tidak juga mengukur adakah semakin bertambah pahala atau semakin mendapat dosa. Peristiwa ini seharusnya menjadi iktibar untuk musabah  diri masing-masing.Beruntunglah orang yang melepasi ujian ini dan kerugian bagi yang sebaliknya.



Selain itu, peristiwa banjir dapat menguji sifat kerjasama dan tolong menolong sesama insan diperingkat global. Kelengkapan persediaan menghadapi banjir dan sebab-sebab berlaku banjir turut menjadi perhatian pihak-pihak berwajib untuk diberi penyelesaian yang sewajarnya.