Selepas solat Subuh, aku memimpin tangan anak lelakiku
untuk cuba menziarahi maqam Rasulullah SAW pada jarak yang dekat. Namun terhalang
oleh penghadang mudah alih yang diletakkan oleh pengawal keselamatan Masjid
sementelahan pada masa ini jemaah terlampau ramai. Setelah memberi salam kepada
Rasulullah SAW, saidina Abu Bakar, saidina Umar dan berdoa, aku memberitahu
anakku untuk mendekati maqam ini dengan
lebih dekat lagi pada kesempatan yang lain.
Masjid Quba
Selama tiga hari di Madinah antara lain rombongan kami, dibawa menziarahi masjid Quba iaitu masjid
yang pertama didirikan di Madinah ketika dalam perjalanan hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Musyrif
mengingatkan untuk solat Tahiyatul masjid dan solat Dhuha. Dalam hadis sahih Rasulullah SAW datang ke Masjid Quba pada setiap hari
Sabtu untuk solat di masjid ini.
Bukit Uhud
Selepas itu, rombongan kami dibawa melawat bukit Uhud
di mana terdapatnya medan perang Uhud yang terkenal. Medan perang ini terletak
antara bukit Uhud dan bukit Ramat. Di sebelah kaki bukit ini terdapat maqam
para syuhada Uhud, antaranya maqam sayyidul syuhada (penghulu orang yang mati
syahid) Hamzah bin Abdul Muttalib ra.hu. Sebelum terbunuh Hamzah ra.hu telah
berjaya membunuh seramai 21 tentera musyrikin Quraisy. Ramai para jemaah
mendaki bukit Ramat tempat tentera Islam mengambil kedudukan memanah ke arah
musuh untuk merasai gambaran peperangan Uhud. Dalam sirah diceritakan ramai
tentera pemanah turun untuk mengambil harta rampasan sebelum diizinkan oleh
Rasulullah SAW. Mereka menyangka perang telah tamat kerana pihak musuh telah
lari bertempiaran meninggalkan harta benda mereka. Namun perang belum tamat, panglima perang tentera Quraisy
ketika itu ialah Khalid bin al-Walid telah mengambil kesempatan dengan menyerang tentera Islam yang leka mengutip harta
dari sebelah belakang. Akhirnya, tentera Islam
tewas kerana tiada sokongan daripada tentera pemanah dari atas bukit Ramat.

Kekalahan tentera Islam dalam perang Uhud ini, pada
asasnya tidak mematuhi arahan panglima
perang iaitu Rasulullah SAW yang melarang tentera pemanah turun dari bukit
Ramat sehingga diizinkan. Umat Islam telah mendapat pengajaran yang menyakitkan dari
peperangan ini.
Perjalanan kami diteruskan dengan menuju ke Masjid Qiblatain, medan perang Khandak, dan
masjid Tujuh. Kesemua masjid ini hanya dilintasi sahaja kerana kekangan masa. Suatu
perkara yang agak memeranjatkan telah terbongkar hasil perjalanan ini iaitu dalam
aplikasi WhatsApp yang berlegar-legar sebelum ini adalah bukit - bukit di Madinah mengeluarkan air yang banyak dari celahannya. Terbukti air yang keluar ini adalah hasil dari batang-batang paip yang
disalurkan ke atas puncak bukit. Ia
sebenarnya sebahagian hiasan Bandar Madinah. Oleh itu, pengajaran di sebalik
peristiwa ini ialah sebarang berita hendaklah dipastikan kesahihannya agar ia tidak
menjadi fitnah dan menyalahi fakta agama.
Rutin harian jemaah adalah solat berjemaah di masjid
Nabawi. Selepas itu kembali ke hotel untuk rehat dan makan, kemudian bersiap-siap
untuk solat berjemaah kembali di Masjid Nabawi. Sangat mendapat kerugian kepada sesiapa
yang tidak mengambil peluang mendampingi Masjid Nabawi sepanjang berada di
pemusafiran umrah ini.
Kad Hotel
Antara perkara yang menjadi perkara penting
ketika berada di Madinah atau Makkah ialah kad alamat hotel. Aku mengalami dua
peristiwa jemaah haji dari Indonesia yang tidak mengetahui di mana hotel yang
dia tinggal.
Peristiwa pertama seseorang mengekori aku dari belakang dan memberitahu bahawa dia tidak mengetahui nama dan lokasi hotelnya. Kad jemaah yang
dipakai tidak membantu kerana kad itu menyatakan nama syarikat umrah sahaja. Aku membawa jemaah ini ke kaunter hotelku menginap untuk bertanya sesuatu, namun pengurusan hotel juga
tidak dapat mengenal pasti kerana tidak dinyatakan alamat hotel di Madinah. Akhirnya aku menasihati jemaah itu supaya dia pergi semula ke Masjid Nabawi dan mencari ahli rombongannya di situ.
Peristiwa kedua juga jemaah dari Indonesia
mengalami masalah yang sama. Aku juga menyarankan jemaah tersebut supaya mencari
ahli rombongannya di Masjid Nabawi. Pasti akan bertemu kerana di Masjid Nabawi
sentiasa akan ada jemaah yang akan berulang-alik dari Masjid Nabawi ke kediaman masing-masing.
Menuju Makkah al-Mukarramah
Hari terakhir di Madinah musyrif mengingatkan
supaya jemaah melakukan solat jamak takdim waktu Zohor dan Asar serta
menziarahi maqam Rasulullah SAW kali terakhir sebelum berangkat ke Makkah. Jemaah dingatkan supaya memakai pakaian
ihram kerana rombongan akan bertolak ke tempat berniat ihram (Bir Ali) lebih
kurang 40 minit dari kota Madinah.
Di masjid Bir Ali para jemaah akan melakukan
solat Tahiyatul masjid dan solat sunat ihram serta berniat ihram. Perjalanan ke
Makkah akan mengambil masa 5 hingga 6 jam dengan jarak 420 Km. Di sepanjang
perjalanan para jemaah disunatkan bertabiah.
Sepanjang jalan sebelah di kiri dan kanan perjalanan ke Makkah kelihatan bukit bukau kontang yang sejauh mata memandang. Sudut
pandangan jauh bukit bukau ini bagaikan hamparan gelombang ombak laut. Realitinya bukit bukau yang kontang ini menghubungkan
antara Makkah dan Madinah yang menjadi tanah suci umat Islam. Apakah hikmah
kejadian bukit bukau kontang ini dan kaitannya dengan Makkah dan Madinah? Aku masih tidak menemui jawapannya.
Bait al-Hujjaj
Bas berhenti rehat di Bait al-Hujjaj yang
merupakan tempat perhentian umum. Para jemaah melakukan solat Maghrib dan Isyak
jamak taakhir. Perkara yang aku tertarik di sini adalah terdapat seorang penjual
yang melambaikan tangan sambil melaungkan lima bahasa yang berlainan antaranya dilaungkan “
Ayam..ayam…ayam…Wajbah…wajbah…wajbah…” "chiken...chiken...chiken..." Suatu strategi yang menguntungkan. Pakej
“broast” menjadi pilihan ramai iaitu
makanan campuran ayam, kentang dan roti gulung.
Makkah al-Mukarramah
Lebih kurang pukul 10 malam rombongan tiba di Kota Makkah. Selepas mendapat bilik penginapan, musyrif mengingatkan supaya jemaah
bersiap kerana pada pada pukul 1 pagi nanti jemaah akan menyelesaikan rukun-rukun umrah. Antara doa
yang dibaca ketika melihat Kaabah :
اَللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ ، فَحَيِّنَا رَبَّنَا بِالسَّلاَمِ
“Ya Allah Engkaulah As-Salaam, daripada Mu keselamatan dan hidupkanlah kami wahai Tuhan kami dengan keselamatan.
Umrah kali pertama dapat diselesaikan pada
pukul 3 pagi. Sementara menunggu waktu Subuh pada pukul 4.22 pagi masing-masing
beriktikaf dan berzikir. Imam yang bertugas bernama Syeikh Bandar Balilah seorang Imam yang
paling terkenal pada masa ini.
Masjidil Haram pada masa ini masih dalam
pembinaan. Sekitar 50% sahaja bangunan yang dapat digunakan. Apabila siap nanti
ia kan menjadi binaan yang paling mahal dan paling canggih. Itu yang tercatat
dalam keratan akhbar di Malaysia dan
kebenarannya kini terserlah di depan mata.
Tawaf Dan Saie
Aku dan keluarga bertawaf pada aras yang kedua memandangkan aras pertama
jemaah sangat ramai. Terdapat empat aras untuk tawaf di Kaabah tetapi aras yang
keempat masih belum dibuka. Ketika bertawaf aku teringat tentang firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kisah nabi Ibrahim AS dan anaknya
nabi Ismail AS membina Kaabah.
"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui." ( al-Baqarah : 127 )
Ketika bersaie aku teringat kepada firman
Allah SWT juga dalam surah al-Baqarah :
إِنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ البَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا
( al-Baqarah : 158 )
Dalam tempoh ini, musyrif sempat membawa
jemaah melawat padang Arafah, Mina, Mudzalifah, Tanaim, Jakranah dan pasar
membeli belah “Suq Jaafariah” . Masih banyak yang hendak aku perkatakan,
namun cukuplah pengalaman ini sekadar perkongsian biasa khususnya kepada
mereka-mereka yang belum menjejakkan kaki ke kota Makkah dan kota Madinah.