أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Friday, August 29, 2014

Peritnya zaman penjajahan dan erti nikmat kemerdekaan

Kalimah merdeka merupakan kalimah keramat bagi menerangkan sesebuah negara bebas dari penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain ( DBP, Kamus Dewan, hlm. 1024 ). Bukan mudah untuk melafazkan kalimah ini. Mengimbasi sejarah Malaysia menunjukkan betapa perit dan azabnya berada pada zaman-zaman penjajahan.


Bermula dengan jatuhnya Kota Melaka pada tahun 1511 oleh Portugis, maka era penjajahan berterusan silih berganti dengan kedatangan Belanda, Inggeris, siam, Jepun, dan Inggeris kali kedua sehinggalah Malaysia diistiharkan merdeka pada tahun 1957.

Cebisan kisah kekejaman Jepun

Penjajahan Jepun  antara yang terkenal dengan kezaliman dan keperitan hidup rakyat negara ini. Penulis sempat bertanya pengalaman beberapa penduduk kampung sendiri yang pernah hidup pada zaman Jepun.




Salah seorang menceritakan,  sewaktu menaiki basikal ke tempat kerja dan sampai di Bunot Payong kira-kira tiga kilometer dari Kota Bharu beliau dan rakan-rakan ditahan tentera Jepun hanya kerana tentera Jepun ingin mendengar lagu negara mereka dinyanyikan ( Lagu Aikoku Koushin ). Mujurnya semua mereka dapat mengingati lagu kebangsaan negara itu. Mereka yang tidak mengingati lagu akan ditampar tanpa belas kasihan. Kemungkinan ini timbulnya perkataan” Penampar Jepun”. 

Seorang penduduk lain menceritakan sewaktu Jepun datang beliau berumur tujuh tahun ketika itu askar-askar Jepun menyerang kampung dan bom-bom digugurkan. Beliau dibawa lari oleh ibunya ke dalam hutan berhampiran dalam keadaan kelam kabut dan tidak sempat memakai pakaian.

Penduduk lain menceritakan askar-askar Jepun bertempur dengan askar-askar Inggeris dan beliau melihat askar-askar Inggeris kalah dan berundur dan beberapa mayat askar Inggeris yang terdiri daripada bangsa Benggali dihumbankan ke dalam telaga.

Keinsafan

Kisah-kisah seumpama ini sewajarnya menjadi keinsafan kepada generasi hari ini betapa bertuahnya generasi kini. Generasi yang hidup bebas bergerak ke sana sini tanpa ada sekatan. Sentiasa aman dari serangan bom dan bedilan. Makanan dan minuman yang melimpah-limpah dan ditambah lagi dengan kemudahan komunikasi yang berada di hujung jari.

Penghargaan yang tidak ternilai ditujukan kepada generasi pejuang terdahulu yang berkorban nyawa harta dan kehidupan kerana membela agama bangsa dan tanahair tercinta. Kesyukuran kepada Allah s.w.t  di atas nikmat kedamaian ini.

Bumi Gaza yang  bermandi darah menjadi nilaian sesebuah negara bebas dari kekejaman penjajahan. Beruntungnya rakyat Malaysia yang terus menikmati kedamaian dan kemakmuran tanpa batasan.

Kemerdekaan hakiki

Dari sudut kehidupan seorang muslim pengertian kemerdekaan dapat disimpulkan sebagai kemerdekaan atau kebebasan dari api neraka. Dalam al-Quran Allah s.w.t. menjelaskan :

فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا مَتَاعُ الْغُرُورِ (185)

Maksudnya : “ Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya” ( Ali Imran : 4 ( 185 )

Kata al-Sya’rawi dalam tafsirnya kejayaan yang besar adalah kebebasan dari api neraka. Kejayaan bebas dari api neraka adalah lebih utama dari dimasukkan ke dalam syurga. ( Al-Sya’rawi, Tafsir al-Sya’rawi, hlm. 100, j. 1 )

Muslim yang prihatin terhadap ajaran agama hendaklah menginsafi nikmat kemerdekaan negara dan pada masa yang sama hendaklah menyedari kemerdekaan yang hakiki adalah kemerdekaan dari api neraka. Kemerdekaan dari api neraka pula lebih diutamakan dari dimasukkan ke dalam syurga.

Selamat menyambut hari kemerdekaan negara ke-57.“ Malaysia… Di sini Lahirnya Sebuah Cinta “. Semoga Malaysia kekal aman, makmur, dan merdeka.

Sunday, August 17, 2014

Masih 6 Syawal

Masih berada dalam bulan syawal yang mulia. Suatu anugerah Allah di atas kesabaran menjalani ibadat selama sebulan. 1 Syawal yang disambut adalah hari kasih sayang dan keampunan Allah kepada semua hamba yang beriman serta menjadi pengubat di atas pemergian Ramadhan yang mulia.

Segala ibadat-ibadat yang dilakukan tidaklah terhenti dengan pemergian Ramadhan tetapi hendaklah diteruskan pada bulan-bulan yang lain selepas Ramadhan.

Ibadat yang paling diutamakan pada bulan ini adalah berpuasa sunat sebanyak enam hari. Pahalanya menyamai setahun berpuasa.




 Rasulullah bersabda :
من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر

Rasulullah SAW. bersabda, Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun.( Muslim no. 1164 )

Huraian Hadis: 

1. Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa melakukan amalan kebaikan walau dengan kadar yang sedikit. ( istiqamah )

2. Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Hal ini boleh difahami dengan kiraan berikut :

- 1 kebaikan digandakan 10 gandaan. ( mafhum hadis yang lain )
- 30 Ramadhan x 10 gandaan = 300 kebaikan.
- 6 Syawal x 10 gandaan = 60 kebaikan.
- 30 + 6 hari = 36 hari berpuasa x 10 = 360 kebaikan.
- 1 tahun = 12 bulan x 30 hari = 360 hari.

3. Disunatkan berpuasa Syawal bila-bila masa sepanjang Syawal. Diharuskan juga berpuasa berselang seli seperti puasa nabi Daud a.s.

Dengan Syawal yang masih berbaki 8 atau 9 hari lagi maka peluang masih terbuka kepada orang-orang yang ingin mendapat pahala setahun berpuasa. Rebutlah yang berbaki ini…



Friday, August 1, 2014

Ramadhan : Saat-Saat Pemergian

Ramadhan kali ini dan kita sudah berada di penghujungnya. Ramadhan bulan berkat dan rahmat akan pergi meninggalkan kita. Ramadhan… mengapa secepat ini engkau akan pergi ?

Bulan yang di dalamnya dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka, bulan yang di dalamya puasa dan al-Quran, bulan yang di dalamnya disediakan pintu syurga al-Rayyan, bulan yang terdapat di dalamnya  dua kegembiraan. Bulan yang di dalamnya sedekah, bulan yang di dalamnya silatulrahim, bulan yang di dalamnya qiamulail dan bulan yang di dalamnya kasih sayang dan pengampunan Allah.

Ramadhan… perasaan kami tidak puas dengan kedatanganmu yang terasa sekejap. Masih tidak puas menghirup kemanisan ibadat yang mempersona jiwa. Saat rintihan pengabdian kepada tuhan. Alunan al-Quran dan zikir memecah jiwa. Sedekah dan silatulrahim menyebak dada. Ramadhan… Pemergian ini satu keperitan abadi.

Segala siri latihan yang dilalui akan digenggami. Kemanisan ibadat akan diamali sepenuh hati. Mengingati janji-janji Allah adalah pasti. Semoga tuhan memberkati amalan Ramadhan yang dirindui. Istiqamah adalah jawapan pasti beserta izin Ilahi.





Bersyukur kepada tuhan dengan anugerah Syawal yang akan menjelma. Hadiah tuhan kepada hamba-hambanya yang taat. Pengubat duka jiwa yang kehilangan Ramadhan. Hari kejayaan dan keampunan kepada hamba-hambanya.

Selamat tinggal Ramadhan semoga bertemu kembali. Selamat datang Syawal semoga sinar kebahagiaan menjadi insan sejati.