أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Monday, December 28, 2015

Bangsa Rom Dalam Al-Quran Dan Hadis

Rom adalah satu bangsa yang kewujudannya dijelaskan dalam al-Quran dan hadis. Sejarah membuktikan sebelum kelahiran nabi Muhamad s.a.w. Rom dan Parsi telah mendominasi tamadun manusia pada ketika itu. Ketika Rom dikalahkan oleh Parsi umat Islam berdukacita. Namun selepas Rom mengalahkan Parsi beberapa tahun selepas itu umat Islam bergembira.


Image result for roman people


Al-Quran telah mengabadikan peristiwa ini dalam surah al-Rum (  الروم ). Ia menjadi isyarat bahawa Rom adalah suatu bangsa yang perlu diberi perhatian dari sudut kekuatan dan beberapa kelebihan yang ada pada mereka. Allah berfirman :

الم (1) غُلِبَتِ الرُّومُ (2) فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُمْ مِنْ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ (3) فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ (4)

بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ (5)

Maksudnya : “ Alif  Laam Miim  (1) Telah dikalahkan bangsa Rum  ( 2 ) Di negeri yang terdekat dan mereka sesudah kekalahan itu akan menang ( 3 ) Dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah urusan sebelum dan sesudah ( mereka menang ) Dan hari tu bergembiralah  orang-orang yang beriman ( 4 ) Kerana pertolongan Allah . Dia menolong siapa yang dikehendakiNya. Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang ( 5 ) ( Surah al-Rum : 1-5 )

Umat Islam Bergembira Dengan Kemenangan Rom

Al-Qurtubi berkata umat Islam turut bergembira dengan Rom mengalahkan Parsi kerana Rom merupakan Ahli Kitab. Sementara itu Quraisy Mekah berdukacita dengan kekalahan Parsi kerana Quraisy dan Parsi bukan Ahli Kitab yang tidak beriman kepada Allah dan hari Akhirat. ( al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, hlm. 197/9 )

Ini bermakna umat Islam saling berkongsi kegembiraan di atas kemenangan ini kerana Rom beragama Nasrani yang diturunkan kitab Injil  dan umat Islam mempunyai kitab al-Quran. Akidah Rom lebih mendekati akidah umat Islam kerana masing-masing mempunyai Kitab yang diturunkan. Parsi pula beragama Majusi yang menyembah api dan Quraisy sembahan mereka adalah patung berhala. Kedua-dua akidah ini sangat jauh daripada petunjuk Allah  s.w.t seperti  yang diturunkan kepada nabi Isa a.s dan nabi Muhammad s.a.w.

Siapakah Rom ?

Ibn Kathir berkata Rom berasal daripada keturunan al-´Iss bin Ishaq bin Ibrahim. Mereka juga dikenali Bani  al-Asfar dan mereka beragama seperti bangsa Yunan. Yunan pula berasal daripada keturunan Yafis bin Nuh. Mereka menyembah bintang yang tujuh. Rom ini beragama Yunan selama 300 tahun sehingalah kebangkitan nabi Isa a.s. ( Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, hlm. 306/6, Dar al-Toyyibah )

Hal ini turut ditegaskan oleh Syeikh Muhammad Hassan bahawa Rom pada masa kini adalah keturunan Bani Asfar iaitu Amerika dan Eropah. ( Durus li al-Syeikh Muhammad Hassan, Muhammad bin Ibrahim).Manakala Dr. Maza berpendapat Rom adalah bangsa Eropah. (http://drmaza.com/home/?p=1954)

Empat Ciri Yang Baik Bangsa Rom

Dr. Maza dalam artikelnya menerangkan beberapa kelebihan bangsa Rom berdasarkan maksud hadis riwayat Muslim.

“Berlakunya Kiamat dan Rom merupakan manusia terbanyak” 

Maksudnya, sehingga berlaku Kiamat, bangsa Eropah akan kekal dengan jumlah dan kekuatan mereka. Rom ataupun bangsa Roman adalah bangsa Eropah hari ini. 

Mendengarkan hadis tersebut, ‘Amru bin al-‘As sebagai seorang yang berpengalaman dengan pelbagai bangsa pada zaman tersebut mengulas dengan berkata kepada al-Mustawrid “:

 “Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam bahaya. Kedua; Mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; Paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; Mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja”. (http://drmaza.com/home/?p=1954)


 Image result for nato army

Dalam hadis sahih riwayat Abu Daud dan lain-lain menerangkan umat Islam kelak akan bergabung dengan Rom untuk menewaskan musuh bersama. Namun hadis-hadis ini tidak menerangkan siapakah musuh umat Islam dan Rom ini. Pengakhiran gabungan ini Rom dan umat Islam akan menang dan akan mendapat harta rampasan perang. 

Seterusnya pada hadis sahih yang lain menerangkan Rom akan melakukan pengkhianatan dan akan bangkit menentang umat Islam maka akan terjadinya al-Malhamah al-Kubra ( Perang terbesar dengan kehadiran 960.000 tentera Rom). Akhirnya umat Islam akan memenangi peperangan ini.







Friday, October 23, 2015

Amalan Puasa Sunat Bulan Muharram

Bulan Muharram adalah antara Bulan-Bulan Haram  yang dinyatakan kelebihannya di dalam al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.  Antara amalan sunat dilakukan pada bulan ini ialah memperbanyakkan puasa sunat. Anjuran ini terdapat dalam hadis riwayat Muslim dan selainnya.

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللهِ الْمُحَرَّمُ

“Puasa paling afdhal selepas puasa bulan Ramadhan ialah puasa bulan Allah bulan Muharram” (Muslim, no. 3495, Tirmizi, no.740, Abu Daud, no. 2431)

Menurut al-Zarqani kelebihan berpuasa sunat bulan Muharram tidak bertentangan dengan anjuran  memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban. Hal ini kerana Rasulullah s.a.w. mengetahui kelebihan ini pada akhir hayat beliau. Oleh itu memperbanyakkan puasa sunat pada bulan ini adalah digalakkan sama seperti galakan berpuasa  sunat pada bulan Syaaban.


Image result for bulanmuharram

Puasa Asyura

Sunnah berpuasa pada hari Asyura iaitu pada 10 Muharram berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. :

قدم النبي صلى الله عليه و سلم المدينة . فوجد اليهود صياما . فقال ( ما هذا ؟ ) قالوا هذا يوم أنجى الله فيه موسى وأغرق فيه فرعون فصامه موسى شكرا . فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم ( نحن أحق بموسى منكم ) فصامه وأمر بصيامه 

“ Nabi s.a.w telah tiba ke Madinah dan mendapati orang-orang Yahudi berpuasa. Kata nabi “ puasa apakah ini ? Mereka menjawab hari ini adalah hari yang Allah selamatkan Musa dan menenggelamkan Firaun lantas Musa berpuasa sebagai tanda bersyukur. Kata Rasulullah s.a.w  Kami lebih berhak tentang Musa daripada kamu lantas nabi berpuasa dan menganjurkan umat islam berpuasa “( Bukhari no. 2004, Muslim no. 1130, Ibn Majah no. 1734 )

Al-Mubarakfuri ketika memberi ulasan terhadap hadis ini beliau mengatakan bahawa berpuasa pada hari Asyura mempunyai tiga peringkat :

Peringkat paling rendah ketika seseorang berpuasa hanya pada 10 Muharram. Peringkat kedua apabila berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Manakala peringkat ketiga ialah berpuasa pada 9, 10, dan 11 Muharram. ( Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/384 )

Anjuran berpuasa pada 9 dan 10 Muharram ini berdasarkan hadis riwayat Muslim :

لئن بقيت الي قابل لأصومن التاسع

“ Sekiranya ada hayatku pada tahun hadapan aku akan berpuasa pada 9 Muharram“ 
( Muslim no.1134)


Wahbah al-Zuhaili juga berpendapat menghimpunkan puasa 9 dan 10 Muharam adalah sunat berdasarkan hadis di atas. ( Wahbah al-Zuhaili, al-Feqh al-Islamiyyah wa Adilatuhu, 590/2 )

Oleh itu amalan berpuasa sunat pada 9 dan 10 Muharram menjadi sunnah berdasarkan hadis khusus terhadap amalan ini. Sementara berpuasa pada 11 Muharram adalah berdasarkan hadis umum tentang galakan memperbanyakkan berpuasa sunat secara mutlak pada bulan Muharram.

Umat Islam dianjurkan supaya berpuasa sekurang-kurangnya pada 10 Muharram kerana kelebihannya dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu seperti yang direkodkan pada riwayat yang lain. 

Memperbanyakkan puasa sunat pada bulan ini adalah digalakkan kerana ia termasuk dalam Bulan-Bulan Haram yang mempunyai kelebihan yang tersendiri.


Sunday, May 10, 2015

Tinta Kembara Umrah 2015 ( 2 )

Lebih kurang 3 jam perjalanan bas berhenti rehat di suatu tempat yang tidak di pastikan lokasinya. Ia merupakan sebuah kedai makan yang dimiliki oleh rakyat Pakistan yang boleh berbahasa Melayu. Nasi ayam berharga SAR10.00 atau boleh juga membayar dengan RM10.00. Minuman tea panas pula berharga SAR2.00. Semasa sedang makan, tiba-tiba datang seorang lelaki Pakistan menjual telefon jenama Lenovo berharga SD500.00. Dia sanggup menurunkan harga sehingga SD300.00. Namun semua ahli rombongan tidak melayan jualannya. Sebelum itu aku telah membeli satu Sim Card yang berharga SAR30.00 daripada kawannya. Aku berserah dan tawakal saja entah menjadi ataupun tidak Sim Card tersebut.

Dari sudut bacaan doa, tiada bacaan doa khusus thabit daripada Rasulullah SAW ketika mula memasuki kota Madinah, namun dibolehkan kita berdoa yang berbentuk doa umum ketika mula memasuki mana-mana kawasan atau bandar. Hadis dalam riwayat al-Nasai daripada Suhaib r.ahu menyatakan Rasulullah  SAW berdoa :

( اللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَوَاتِ السَّبْعِ وَمَا أَظْلَلْنَ ، وَرَبَّ الأَرَضِينِ السَّبْعِ وَمَا أَقْلَلْنَ ، وَرَبَّ الشَّيَاطِينِ وَمَا أَضْلَلْنَ ، وَرَبَّ الرِّيَاحِ وَمَا ذَرَيْنَ ، فَإِنَّا نَسْأَلُكَ خَيْرَ هَذِهِ الْقَرْيَةِ وَخَيْرَ أَهْلِهَا ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ أَهْلِهَا وَشَرِّ مَا فِيهَا )


Image result for road to madinah

Lebih kurang pukul 1.30 pagi rombongan kami tiba di kota Madinah. Hotel yang ditempah adalah Hotel Barakah al-Andalus terletak 300 meter dari Masjid Nabawi. Perkara pertama yang dilakukan oleh ketua rombongan  ialah memberikan kad alamat hotel, kemudian barulah taklimat ringkas serta nombor bilik. Rombongan berkeluarga mendapat bilik bersama sementara ahli rombongan yang tidak berkeluarga mendapat bilik berempat atau berlima. Waktu solat Subuh adalah pada pukul 4.25 pagi. Masing-masing sempat berehat sementara menanti masuk waktu solat. Ketika  membuka televisyen terdapat dua siaran sahaja iaitu siaran bacaan al-Quran dan siaran berita. Siaran lain kelihatan ditutup oleh pengurusan hotel.

Kelihatan para jemaah kelihatan berduyun-duyun ke Masjid Nabawi ketika menjelang waktu Subuh. Dari pandangan tingkap hotel para jemaah itu bagaikan kelkatu yang berwarna putih yang keluar dari merata ceruk bertebaran menuju ke suatu arah sedangkan waktu itu jam menunjukkan pukul 3 pagi.

Image result for road to madinah

Pada saat itu diriku terasa sangat teruja kerana dapat membawa isteri dan anak-anak menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi kali pertama bagi mereka dan kali kedua bagi diriku. Satu anugerah yang tidak terhingga daripada Allah SWT. Setelah menunaikan solat sunat aku menyapa seorang lelaki  Arab yang duduk disebelahku. Beliau kelihatan tadi tidak putus-putus berdoa tanpa mengangkat tangan sebagaimana keadaan orang ramai berdoa. Katanya dia datang dari Kaherah. Aku katakan kepadanya bahawa aku pernah ke Kaherah dan belajar di Al-Azhar Zagazig sewaktu ketika dahulu. Selepas berbual ringkas dia mendoakan kebaikan untukku kemudian masing-masing meneruskan ibadat sementara menunggu waktu Subuh.

Selepas solat Subuh, aku memimpin tangan anak lelakiku untuk cuba menziarahi maqam Rasulullah SAW pada jarak yang dekat. Namun terhalang oleh penghadang mudah alih yang diletakkan oleh pengawal keselamatan Masjid sementelahan pada masa ini jemaah terlampau ramai. Setelah memberi salam kepada Rasulullah SAW, saidina Abu Bakar, saidina Umar dan berdoa,  aku memberitahu anakku untuk mendekati maqam ini dengan lebih dekat lagi pada kesempatan yang lain.


Masjid Quba 

Selama tiga hari di Madinah antara lain rombongan kami, dibawa menziarahi masjid Quba iaitu masjid  yang  pertama didirikan di Madinah ketika  dalam perjalanan  hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Musyrif mengingatkan untuk solat Tahiyatul masjid dan solat Dhuha. Dalam hadis sahih  Rasulullah  SAW datang ke Masjid Quba pada setiap hari Sabtu untuk solat di masjid ini.

Bukit Uhud

Selepas itu, rombongan kami dibawa melawat bukit Uhud di mana terdapatnya medan perang Uhud yang terkenal. Medan perang ini terletak antara bukit Uhud dan bukit Ramat. Di sebelah kaki bukit ini terdapat maqam para syuhada Uhud, antaranya maqam sayyidul syuhada (penghulu orang yang mati syahid) Hamzah bin Abdul Muttalib ra.hu. Sebelum terbunuh Hamzah ra.hu telah berjaya membunuh seramai 21 tentera musyrikin Quraisy. Ramai para jemaah mendaki bukit Ramat tempat tentera Islam mengambil kedudukan memanah ke arah musuh untuk merasai gambaran peperangan Uhud. Dalam sirah diceritakan ramai tentera pemanah turun untuk mengambil harta rampasan sebelum diizinkan oleh Rasulullah SAW. Mereka menyangka perang telah tamat kerana pihak musuh telah lari bertempiaran meninggalkan harta benda mereka. Namun perang belum tamat, panglima perang tentera Quraisy ketika itu ialah  Khalid bin al-Walid telah mengambil kesempatan dengan menyerang tentera Islam yang leka mengutip harta dari  sebelah belakang. Akhirnya, tentera Islam tewas kerana tiada sokongan daripada tentera pemanah dari atas bukit Ramat.


Image result for bukit uhud

Kekalahan tentera Islam dalam perang Uhud ini, pada asasnya  tidak mematuhi arahan panglima perang iaitu Rasulullah SAW yang melarang tentera pemanah turun dari bukit Ramat sehingga diizinkan. Umat Islam telah mendapat pengajaran yang menyakitkan dari peperangan ini.

Perjalanan kami diteruskan dengan menuju ke Masjid Qiblatain, medan perang Khandak, dan masjid Tujuh. Kesemua masjid ini hanya dilintasi sahaja kerana kekangan masa. Suatu perkara yang agak memeranjatkan telah terbongkar hasil perjalanan ini iaitu dalam aplikasi WhatsApp yang berlegar-legar sebelum ini  adalah bukit - bukit di Madinah mengeluarkan air yang banyak dari celahannya. Terbukti air yang keluar ini adalah hasil dari batang-batang paip yang disalurkan ke atas puncak  bukit. Ia sebenarnya sebahagian hiasan Bandar Madinah. Oleh itu, pengajaran di sebalik peristiwa ini ialah sebarang berita hendaklah dipastikan kesahihannya agar ia tidak menjadi fitnah dan menyalahi  fakta agama.

Rutin harian jemaah adalah solat berjemaah di masjid Nabawi. Selepas itu kembali ke hotel untuk rehat dan makan, kemudian bersiap-siap untuk solat berjemaah kembali di Masjid Nabawi. Sangat mendapat kerugian kepada sesiapa yang tidak mengambil peluang mendampingi Masjid Nabawi sepanjang berada di pemusafiran umrah ini.

Kad Hotel

Antara perkara yang menjadi perkara penting ketika berada di Madinah atau Makkah ialah kad alamat hotel. Aku mengalami dua peristiwa jemaah haji dari Indonesia yang tidak mengetahui di mana hotel yang dia tinggal.

Peristiwa pertama seseorang mengekori aku dari belakang dan memberitahu bahawa dia tidak mengetahui nama dan lokasi hotelnya. Kad jemaah yang dipakai tidak membantu kerana kad itu menyatakan nama syarikat umrah sahaja. Aku membawa jemaah ini ke kaunter hotelku menginap untuk bertanya sesuatu, namun pengurusan hotel juga tidak dapat mengenal pasti kerana tidak dinyatakan alamat hotel di Madinah. Akhirnya aku menasihati  jemaah itu supaya dia pergi semula ke Masjid Nabawi dan mencari ahli rombongannya di situ.

Peristiwa kedua juga jemaah dari Indonesia mengalami masalah yang sama. Aku juga menyarankan jemaah tersebut supaya mencari ahli rombongannya di Masjid Nabawi. Pasti akan bertemu kerana di Masjid Nabawi sentiasa akan ada jemaah yang akan berulang-alik dari Masjid Nabawi ke kediaman masing-masing.

Menuju Makkah al-Mukarramah

Hari terakhir di Madinah musyrif mengingatkan supaya jemaah melakukan solat jamak takdim waktu Zohor dan Asar serta menziarahi maqam Rasulullah SAW kali terakhir sebelum berangkat ke Makkah. Jemaah dingatkan supaya memakai pakaian ihram kerana rombongan akan bertolak ke tempat berniat ihram (Bir Ali) lebih kurang 40 minit dari kota Madinah.

Di masjid Bir Ali para jemaah akan melakukan solat Tahiyatul masjid dan solat sunat ihram serta berniat ihram. Perjalanan ke Makkah akan mengambil masa 5 hingga 6 jam dengan jarak 420 Km. Di sepanjang perjalanan para jemaah disunatkan bertabiah.

Sepanjang jalan sebelah di kiri dan kanan perjalanan ke Makkah kelihatan bukit bukau kontang yang sejauh mata memandang. Sudut pandangan jauh bukit bukau ini bagaikan hamparan gelombang ombak laut. Realitinya  bukit bukau yang kontang ini menghubungkan antara Makkah dan Madinah yang menjadi tanah suci umat Islam. Apakah hikmah kejadian bukit bukau kontang ini dan kaitannya dengan Makkah dan Madinah? Aku masih tidak menemui jawapannya.

Bait al-Hujjaj

Bas berhenti rehat di Bait al-Hujjaj yang merupakan tempat perhentian umum. Para jemaah melakukan solat Maghrib dan Isyak jamak taakhir. Perkara yang aku tertarik di sini adalah terdapat seorang penjual yang melambaikan tangan sambil melaungkan lima bahasa yang berlainan antaranya dilaungkan “ Ayam..ayam…ayam…Wajbah…wajbah…wajbah…” "chiken...chiken...chiken..." Suatu strategi yang menguntungkan. Pakej “broast”  menjadi pilihan ramai iaitu makanan campuran  ayam, kentang dan roti gulung.

Makkah al-Mukarramah

Lebih kurang pukul 10 malam rombongan tiba di  Kota Makkah. Selepas mendapat bilik penginapan, musyrif mengingatkan supaya jemaah bersiap kerana pada pada pukul 1 pagi nanti jemaah akan  menyelesaikan rukun-rukun umrah. Antara doa yang dibaca ketika melihat Kaabah :


 اَللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ ، فَحَيِّنَا رَبَّنَا بِالسَّلاَمِ
    
    “Ya Allah Engkaulah As-Salaam, daripada Mu keselamatan dan hidupkanlah kami wahai Tuhan kami dengan keselamatan.



 Image result for sesungguhnya bukit sofa


Umrah kali pertama dapat diselesaikan pada pukul 3 pagi. Sementara menunggu waktu Subuh pada pukul 4.22 pagi masing-masing beriktikaf dan berzikir. Imam yang bertugas bernama Syeikh Bandar Balilah seorang Imam yang paling terkenal pada masa ini.

Masjidil Haram pada masa ini masih dalam pembinaan. Sekitar 50% sahaja bangunan yang dapat digunakan. Apabila siap nanti ia kan menjadi binaan yang paling mahal dan paling canggih. Itu yang tercatat dalam  keratan akhbar di Malaysia dan kebenarannya kini  terserlah di depan mata.

Tawaf Dan Saie

Aku dan keluarga bertawaf pada  aras yang kedua memandangkan aras pertama jemaah sangat ramai. Terdapat empat aras untuk tawaf di Kaabah tetapi aras yang keempat masih belum dibuka. Ketika bertawaf aku teringat tentang firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kisah nabi Ibrahim  AS dan anaknya nabi Ismail AS membina Kaabah.

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."  ( al-Baqarah : 127 )

Ketika bersaie aku teringat kepada firman Allah SWT  juga dalam surah al-Baqarah :

     إِنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ البَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا
( al-Baqarah : 158 )

Dalam tempoh ini, musyrif sempat membawa jemaah melawat padang Arafah, Mina, Mudzalifah, Tanaim, Jakranah dan pasar membeli belah “Suq Jaafariah” . Masih banyak yang hendak aku perkatakan, namun cukuplah pengalaman ini sekadar perkongsian biasa khususnya kepada mereka-mereka yang belum menjejakkan kaki ke kota Makkah dan kota Madinah.






Sunday, April 5, 2015

Tinta Kembara Umrah 2015 ( 1 )

Pada tarikh 11 Mac 2015 diriku yang dhaif ini bersama-sama ahli keluarga direzekikan oleh Allah SWT  menziarahi tempat yang dimuliakan iaitu Makkah dan Madinah yang di kenali dengan tanah “al-Haramaini al-Syarifaini” (dua tanah haram yang mulia). Kembara ibadah umrah ini yang menjadi kewajipan sekali seumur hidup kepada semua umat Islam yang berkemampuan.

Kunjungan kali  ini merupakan kunjungan kali kedua bagiku selepas lebih dari satu dekad. Kunjungan pertama dahulu adalah ketika masih  bergelar mahasiswa tahun akhir di Mesir. Pada ketika itu aku dengan rombongan pelajar Mesir menaiki kapal laut di pelabuhan Suez dan berlabuh di pelabuhan Jeddah. Perjalanan yang memakan masa empat puluh lapan jam yang penuh nostalgia. Namun kedatangan kali ini lebih bermakna kerana keberadaan isteri dan anak-anak bersama.


Image result for saudi airport


Ketika aku tiba di airport Jeddah kelihatan perangai orang Arab tidak banyak berubah sejak dahulu. Setelah lama kami beratur panjang untuk urusan mengecop pasport seorang ahli rombongan dihalau keluar dari barisan dan disuruh berada di barisan lain tanpa difahami apa sebabnya. Perkara yang sama berlaku kepada diriku apabila tiba giliranku aku dihalau keluar dari barisan. Pegawai imegresen bertugas menyuruhku beratur di barisan lain pula. Aku lantas bertanya“fi  muskilah ih..kulluna Malizia” (apa masalah di sini… kami semua orang Malaysia) beliau menepuk-nepuk komputer di hadapannya dan mengatakan ada masalah. Satu pembohongan yang mengjengkelkan kami dan menggelikan hati. Di dalam hati aku berkata "bukan kami tidak tahu perangai anda yang berlagak dan tidak serius bekerja"

Rupa-rupanya pegawai  imegresen berkenaan maukan kaunternya hanya didatangi golongan wanita dan golongan tua sahaja. Persoalannya mengapa tidak diberitahu awal-awal atau diletakkan notis terlebih dahulu? Pada barisan yang baru ini pegawai imegresen kelihatan lebih rajin. Semua orang diambil gambar dan diminta mengimbas kedua belah tangan ke atas alat pengimbas. Seolah-olah pegawai ini bekerja dengan penuh dedikasi namun tangannya tidak lepas dari berWhatsApp sambil berurusan dengan pelanggan.

Musyrif (ketua kumpulan) us Ramli menenangkan kami supaya bersabar sahaja dengan karenah-karenah orang Arab yang pelik dan tidak konsisten dalam tugasan.


Image result for madina road


Dari airport Jeddah perjalanan diteruskan dengan menaiki bas yang disediakan menuju ke Madinah yang memakan masa lima jam. Semua ahli kumpulan merasa penat dan tertidur di sepanjang perjalanan. Pemandangan ke luar bas kelihatan gelap hanya lampu-lampu jalan yang sedikit menerangi kegelapan malam…