أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Sunday, September 10, 2017

Rohingya Yang Dizalimi

Menelusuri sejarah umat Islam yang panjang telah memperlihatkan rentetan penindasan dan kezaliman terhadap kaum Muslimin yang lemah dan minoriti. Sejarah silam ini memperlihatkan senario kezaliman terhadap kaum Ashab al-Ukhdud, kaum nabi Musa, kaum Muhajirin Quraisy dan selainnya. Manakala sejarah moden pula memperlihatkan senario yang sama seperti kezaliman terhadap kaum Bosnia, kaum Melayu Pattani, kaum Uighur dan terkini kaum Rohingya.


Image result for war in bosnia 1992


Dari satu sudut, kaum Muslimin yang beriman kepada Allah S.W.T. akan diuji keimanan mereka sebagai sunah dan ketetapan yang akan berlaku. Perkara ini telah disebutkan dalam al-Quran dalam surah al-Ankabut : 1-3 seperti berikut :


الم (1) أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ (2) وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (3)
Maksudnya : Alif laam miim (1) Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? (Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta (3)


Al-Razi mengatakan para Sahabat nabi S.A.W. telah mengalami kesusahan dan kemudharatan daripada kaum musyrikin, munafiqin dan Yahudi. Kemudian ketika diizinkan berperang mereka pula  mengalami kecederaan, kehilangan harta dan jiwa yang tidak terkira. Namun Allah S.W.T. memuliakan mereka dengan hal ini dan menerangkan perkara yang sama telah berlaku kepada umat sebelum mereka sewaktu berjuang menegakkan agama. (Fakh al-Razi, Tafsir al-Fakh al-Razi, hlm. 870/1, Dar Ihya al-Turath al-Arabi )

Al-Quran menerangkan hanya disebabkan faktor keimanan kepada Allah S.W.T menyebabkan kaum Muslimin Makkah dihalau dari kampung halaman mereka seperti dalam surah al-Hajj : 38 seperti berikut :

الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَنْ يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ..(38)

Maksudnya : Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alas an yang benar, semata-mata mereka mengatakan tuhan kami ialah Allah (38


Wahbah al-Zuhaili mengatakan kaum yang diusir dari kampung halaman mereka iaitu Makkah dengan tanpa hak yang sebenar yang mewajibkan berlaku pengusiran melainkan hanya mereka berkata tuhan kami Allah. Perkataan ini benar dan pengusiran ini tanpa hak (Wahbah al-Zuhaili al-Tafsir al-Munir, 223/17, Dar al-Fikr)

Kaum Ashab al-Ukhdud sebelumnya juga diusir hanya mereka beriman kepada Allah S.W.T seperti dalam surah al-Buruj : 8.

وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَنْ يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ (8)
Maksudnya : Dan mereka tidak marah dan menyiksakan orang-orang  yang beriman, melainkan orang-orang yang beriman itu beriman kepada Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.

Al-Baghawi berkata, kata Ibn Abbas ra.huma: Mereka tidak memusuhi kamu melainkan kamu hanya beriman kepada Allah S.W.T (Al-Baghawi, Ma‘lim al-Tanzil, hlm.387/8, Dar al-Toyyibah )

Beberapa penegasan daripada al-Quran tentang sebab paling utama umat Islam diseksa, dirampas harta, dibunuh, dan diusir adalah keimanan mereka kepada Allah S.W.T. Berpandukan keimanan ini umat Islam menjalani kehidupan yang tersendiri yang harmoni dan sepatutnya dihormati oleh kaum lain. Namun fitrahnya, kebenaran dan kebatilan akan bertentangan antara satu sama lain sehinggalah ke hari kiamat.


Etnik Rohingya

Satu kumpulan etnik beragama Islam di utara Negeri Rakhine yang terletak di Barat Burma. Kebanyakan populasi Rohingya tertumpu di dua buah bandar utara Negeri Rakhine yang dahulunya dikenali sebagai ArakanSejarah orang Rohingya dikatakan bertarikh dari awal kurun ke-7 di Negeri Arakan yang menjadi penempatan pedagang-pedagang Arab yang beragama Islam, namun bukti sejarah tersebut adalah sedikit. Orang Rohingya memiliki persamaan fizikal, bahasa dan budaya dengan orang Asia Selatan, terutamanya orang Benggali. Malahan, sesetengah orang Rohingya yang menetap di Arakan adalah keturunan orang Arab, orang Parsi dan orang Pashtun yang berhijrah ke Arakan semasa era pemerintahan Empayar Mughal.

Image result for rohingya arakan

Sultan Mahmood, seorang Rohingya yang kaya dan berpengaruh, merupakan setiausaha politik dalam kerajaan U Nu dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kesihatan. Orang Islam Rohingya lain dalam kerajaan U Nu yang menjadi setiausaha parlimen antaranya ialah Sultan Ahmed dan Abdul Gaffar. Abdul Bashar, Zohora Begum, Abul Khair, Abdus Sobhan, Rashid Ahmed dan Nasiruddin (U Pho Khine) ialah juga ahli-ahli parlimen dalam cabinet U Nu. (https://ms.wikipedia.org/wiki/Orang_Rohingya)

Pencabulan Hak-hak Asasi Kemanusiaan

Menurut Amnesty International, orang Rohingya terus menerus menderita akibat pencabulan hak kemanusiaan oleh junta tentera Myanmar sejak tahun 1978, dan akibatnya ramai yang telah melarikan diri ke negara jiran seperti BangladeshGerakan pembebasan orang Rohingya disekat dengan keras dan pada hakikatnya sebahagian besar mereka telah dinafikan kewarganegaraan Myanmar mereka. Mereka juga tertakluk pada pelbagai bentuk pemerasan dan pencukaian sembarangan; penyitaan tanah; pengusiran paksa dan pemusnahan rumah; dan sekatan kewangan ke atas perkahwinan. Orang Rohingya terus menerus dipaksa menjadi buruh dalam pembinaan jalan raya dan di kem-kem tentera walaupun jumlah buruh paksa di utara Negeri Rakhine telah menurun sejak sedekad yang lalu.

Pada tahun 1978, dianggarkan seramai 200,000 orang Rohingya telah melarikan ke Bangladesh berikutan operasi Nagamin’ (‘Raja Naga’) tentera Myanmar. Secara rasmi kempen ini mensasarkan "pemeriksaan setiap individu yang tinggal dalam negeri tersebut, menandai warganegara dan orang asing bertepatan dengan undang-undang dan mengambil tindakan terhadap orang asing yang menyusup masuk ke dalam negara secara haram". Kempen ketenteraan ini disasarkan secara terus kepada orang awam, dan mengakibatkan pembunuhan, rogol dan pemusnahan masjid serta penindasan agama secara besar-besaran.



Image result for rohingya burned


Semasa 1991-1992, satu gelombang baru orang Rohingya yang dianggarkan berjumlah suku juta orang telah melarikan diri ke Bangladesh. Mereka melaporkan tentang buruh paksa di samping hukuman mati terus, penyeksaan dan rogol. Orang Rohingya dipaksa bekerja tanpa bayaran oleh tentera Myanmar di projek-projek infrastruktur dan ekonomi, lazimnya dalam keadaan yang teruk. Banyak pencabulan hak-hak kemanusiaan lain berleluasa dalam konteks buruh paksaan orang awam Rohingya oleh pasukan keselamatan. Pada 6 Februari 2009, Menteri Luar IndonesiaHassan Wirajuda telah mengkritik Burma kerana menzalimi pelarian Rohingya, selepas hampir 400 orang pelarian Rohingya diselamatkan di pantai Sumatra pada Januari 2009. (https://ms.wikipedia.org/wiki/Orang_Rohingya)

Pelarian
Gelombang berikutnya yang mengandungi ratusan ribu orang Rohingya yang melarikan diri daripada Burma dan ramai pelarian itu membanjiri negara jiran iaitu Bangladesh seramai 250,000 orang pada tahun 1978 kesan daripada Operasi King Dragon di Arakan. Pada tahun 1991, berikutan tindakan keras terhadap orang Rohingya, seramai 250,000 orang pelarian mencari perlindungan di daerah Cox's Bazar di Bangladesh. Sesetengah mereka kemudiannya dihantar pulang ke negara tersebut yang menafikan kewarganegaraan mereka. Sesetengahnya masih berada dalam buangan dan tinggal di Bangladesh, PakistanArab SaudiUAEThailandMalaysia dan Indonesia. Bermula pada tahun 2005, UNHCR telah membantu penghantaran pulang orang Rohingya dari Bangladesh, tetapi tuduhan mengenai pencabulan hak asasi manusia di kem-kem pelarian tersebut telah mengancam usaha ini.

Image result for rohingya arakan

Di sebalik usaha-usaha terdahulu oleh PBB, majoriti besar pelarian Rohingya masih kekal di Bangladesh yang tidak dapat pulang kerana tidak diterima oleh rejim di Burma. Kini mereka menghadapi masalah-masalah di Bangladesh yang di sana mereka tidak mendapat sokongan daripada kerajaan. Pada Februari 2009, ramai pelarian Rohingya telah ditolong oleh pelaut-pelaut Aceh di Selat Melaka selepas berada selama 21 hari. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangka kira-kira terdapat seramai 800,000 orang etnik Rohingya berada di Myanmar. Kofi Annan telah menubuhkan suruhanjaya penasihat. Cadangan akhir diumumkan pada bulan Ogos 2017. (https://ms.wikipedia.org/wiki/Orang_Rohingya)

Krisis  yang berlaku sekarang ini adalah akibat daripada pelampau-pelampau Buddha yang telah mendapat sokongan  kerajaan Myanmar untuk menjalankan operasi penghapusan etnik. Ia satu perbuatan yang zalim dan tidak dapat diterima pada Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa. Situasi ini merobek hukum agama yang melarang pembunuhan terhadap makhluk bernyawa tanpa haknya yang sebenar.

Peranan Umat Islam Sejagat

Sebagai umat Islam yang prihatin dengan kesusahan dan penderitaan sesama Muslim, maka beberapa usaha perlu dimainkan dan dipergiatkan seperti berikut :

1. Mempergiatkan peranan Majlis Agama Negeri-Negeri dan mengaktifkan Risalah masjid dan  surau dalam isu ini.

2. Menyertai aktiviti Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO ) Islam dan bukan Islam untuk memberi sokongan dan bantuan mengikut saluran yang dibenarkan.

3. Membuat desakan kepada pemimpin Islam dan Arab di negara masing-masing supaya kezaliman ini mesti dihentikan melalui ASEAN, OIC, D-8, PBB, dan sebagainya.

4. Melazimi doa dan Qunut Nazilah secara individu dan secara berjemaah sehingga isu ini dapat diredakan.

5. Memberi keprihatinan dan tindakbalas yang  positif terhadap usaha-usaha yang dilakukan oleh  Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia ( Internasional Union For Muslim Scholars ).


Image result for ‫اتحاد علماء المسلمين‬‎


Apa yang tersirat pada isu ini seolah-olah Allah S.W.T ingin menyedarkan kepada umat Islam supaya dapat meningkatkan kesatuan melalui persaudaraan Islam yang merentasi bangsa, warna kulit, dan keturunan. Hasil kesatuan dan kebersamaan yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunah umat Islam akan berdaya saing, maju, dan disegani serta keharmonian sejagat akan dapat diterjemahkan melalui keamanan untuk semua bangsa di alam ini. 



Monday, May 1, 2017

Bangsa Rom : Mereka Paling Santun Ketika Dalam Bahaya

Para sarjana Islam mengatakan Rom adalah bangsa Eropah pada hari ini. Mereka terkenal dengan beberapa sifat mulia antaranya seperti yang terdapat dalam riwayat hadis sahih seperti berikut :
 

إِنَّهُمْ لَأَحْلَمُ النَّاسِ عِنْدَ فِتْنَةٍ وَأَسْرَعُهُمْ إِفَاقَةً بَعْدَ مُصِيبَةٍ وَأَوْشَكُهُمْ كَرَّةً بَعْدَ فَرَّةٍ وَخَيْرُهُمْ لِمِسْكِينٍ وَيَتِيمٍ وَضَعِيفٍ وَخَامِسَةٌ حَسَنَةٌ 
جَمِيلَةٌ وَأَمْنَعُهُمْ مِنْ ظُلْمِ الْمُلُوك




Maksudnya : “Mereka paling santun ketika dalam bahaya, paling pantas bangkit selepas bencana, paling cepat menyerang balas musuh, paling baik untuk anak yatim, orang miskin  dan orang lemah  dalam kalangan mereka, tambahan kelima satu ciri yang baik lagi indah; mereka paling mencegah kezaliman raja-raja” (Sahih Muslim no. 2898, Musnad Ahmad, no. 18022 )

Al-Arnaut ketika mensyarahkan hadis ini mengatakan al-Nawawi tidak membuat membuat sebarang penilaian semula terhadap hadis ini kerana ia diambil dari jalur pertama riwayat Uliy b. Rabah daripada bapanya, daripada Mustaurid secara bersambung sanad. (Musnad Ahmad, al-Arnaut, 549/29)

Apa yang penting, teks hadis tidak disyarahkan secara umum atau secara terperinci oleh al-Nawawi dalam Syarah Muslim dan al-Arnaut dalam Musnad Ahmad. Kedua-dua tokoh ini hanya membincangkan kedudukan sanad sahaja dalam perbahasan mereka. Pada zahirnya hadis ini mempunyai makna yang terang tanpa ada sebarang kemusykilan pada teksnya.

Teks hadis mengemukakan lima sifat mulia bangsa Rom ( Eropah ) yang menyebabkan ianya diberi perhatian oleh nabi S.A.W. pada era kenabian. Rom yang dimaksudkan pada era baginda S.A.W adalah Empayar Byzantine yang berpusat di Kota Konstantinople. Antara sifat mulia yang ada pada mereka seperti yang dinyatakan dalam hadis di atas iaitu suatu  bangsa yang paling santun ketika dalam bahaya, paling baik untuk yatim, orang miskin dan lemah, paling lantang menentang kezaliman para raja. Sifat-sifat ini merupakan jati diri mereka yang sangat ketara hasil daripada interaksi umat Islam dengan mereka pada masa itu.

Presiden Justin Trudeau

Dalam suasana “Islamophobia” yang sedang melanda Eropah dan pada masa yang sama telah berlaku krisis kemanusiaan umat Islam di Syria, masih ada negara-negara Eropah yang bersimpati terhadap pelarian Syria dan menyerlahkan sifat kesantunan kemanusiaan yang tinggi. Contohnya Presiden Kanada, Justin Trudeau yang sanggup menerima pelarian ini dengan tangan terbuka, penuh simpati dan prihatin kepada nasib golongan ini.


Image result for justin trudeau syrian

Nama sebenar beliau ialah Justin Pieree James Trudeau dari Parti Liberal, yang dilahirkan pada 25 Disember 1971 di Ottawa, Ontario, Kanada. Dilantik menjadi Presiden Kanada dari pada 4 November 2015 sebagai Presiden yang ke-23. Beliau merupakan seorang penganut Kristian Khatolik dan berlatarkan Pengajian Sarjana Pendidikan dari University of British Columbia. (https://id.m.wikipedia.org/wiki/Justin_Trudeau )


Pelarian Syria

Syria adalah negara yang bergolak semenjak Mac  tahun 2011 yang tidak dipastikan bilakah akan berakhir peperangan dan penderitaan rakyat. Seramai 300,000 rakyat Syria telah terbunuh dan 5 juta orang  telah menjadi pelarian di beberapa negara Arab, Islam dan Eropah.


Image result for syrian civil war


Keputusan Presiden Justin Trudeau menerima pelarian Syria ini sangat mengharukan dan ia menjadi bukti bahawa bangsa Rom sangat mementingkan kesantunan dari sudut keihsanan dan kebajikan serta dapat  merentasi sempadan agama dan keturunan. Harapan baru telah diberikan  kepada pelarian Syria  bahawa Kanada adalah tempat tinggal yang aman bagi mereka. Antara lain Justin Trudeau mengalu-alukan mereka dengan ucapan " Welcome Home! "

Pada dasarnya pelarian Syria tidak mengharapkan layanan yang istimewa daripada Presiden Justin, ia  sekadar dapat berlindung diri serta keluarga daripada penderitaan perang yang tidak berkesudahan. Namun tidak dinafikan bahawa bukan semua negara Eropah yang menunjukkan sifat kesantunan ini. Presiden Amerika Syarikat Donald Trump merupakan presiden yang meninggalkan sifat kesantunan ini secara jelas.


Raja Al-Najasyi

Kisah  awal kedatangan  Islam memperlihatkan bahawa umat Islam yang tertindas di Kota Mekah telah diizinkan oleh nabi S.A.W. supaya mencari tempat perlindungan di Habsyah. Pada masa itu Habsyah telah diperintah oleh seorang Raja yang beragama Nasrani yang adil.

Ibn Hisyam mengatakan apabila Rasul S.A.W. melihat ramai para sahabat mengalami ancaman dan kesulitan sedangkan Rasul S.A.W. dan para sahabat tidak mampu mencegah ancaman ini sebagaimana yang telah dilakukan oleh Abu Talib maka, Rasul S.A.W. memerintahkan umat Islam supaya berhijrah ke Habsyah. Rasul S.A.W. menyatakan bahawa di Habsyah ada seorang Raja yang tidak pernah menzalimi manusia lain. ( Ibn Ishaq, Al-Sirah Al-Nabawiyah, hlm.214/1 )

Ketika kaum Quraisy mendapati ramai umat Islam telah berhijrah ke Habsyah maka mereka mengutuskan Abdullah b. Abu Rabiah dan Amru b. al-Ass untuk meminta raja al-Najasyi menyerahkan umat Islam yang berhijrah ke Habsyah. Al-Najasyi enggan menyerahkan mereka sehingga beliau dapat mendengar sendiri tentang agama baru yang diwar-warkan tersebut.

Al-Najasyi bertanya “Apakah agama yang membezakan kamu dengan kaum kamu sehingga kamu tidak memeluk agama kami dan agama-agama lain” ?
Jaafar b. Abu Talib menjawab :” Wahai raja, kami dahulu adalah orang-orang jahiliyah. Kami menyembah berhala, memakan bangkai, melaksanakan perbuatan keji, memutus silaturrahim, berbuat jahat kepada tetangga, yang kuat menekan yang lemah dan kami tetap berada dalam keadaan demikian, sehingga Allah mengutus kepada kami seorang rasul yang kami mengetahui nasabnya, kejujurannya, keamanahannya dan sangat memelihara diri. Dia mengajak kami agar beribadah hanya kepada Allah dan meninggalkan patung-patung yang disembah oleh nenek moyang kami. Dia juga memerintahkan kepada kami agar jujur dalam berkata, menunaikan amanah, menyambung silaturrahim, meninggalkan perbuatan keji, memelihara darah, dan melarang kami dari berkata dusta, memakan harta anak yatim, menuduh wanita yang solehah dengan perbuatan zina serta memerintahkan kami agar mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan. Maka kami membenarkannya, beriman kepadanya, dan mengikuti apa yang dibawanya dari sisi Allah. Kami menghalalkan apa yang dihalalkannya dan mengharamkan apa yang diharamkannya. Wahai raja, ketika kaum kami mengetahui tentang apa yang kami lakukan, mereka memusuhi kami, menyiksa kami dengan siksaan yang berat dan berusaha mengembalikan kami kepada agama nenek moyang, dan agar kami kembali menyembah berhala. Maka tatkala mereka terus menekan kami, memaksa kami, akhirnya kami memilih engkau daripada yang lainnya dan kami sangat berharap engkau berbuat baik kepada kami dan tidak menzalimi kami.”
Al-Najasyi kembali bertanya kepada Jaafar :




 “Apakah engkau memiliki apa yang dibawa oleh nabimu daripada Allah?” Jaafar menjawab, “Ya.” Maka Raja al-Najasyi memerintahkan, “Bacakanlah untukku!” Jaafar pun membaca awal ayat-ayat surah Maryam.




Ketika mendengar ayat tersebut, menangislah  al-Najasyi, sehingga air matanya membasahi janggutnya. Para menterinya turut menangis, sehingga membasahi buku-buku mereka. sehinggalah Al-Najasyi berkata :
“Sesungguhnya, apa yang dibawa oleh Nabi kamu dengan apa yang dibawa oleh Isa merupakan dari satu sumber yang sama.” Kemudian al-Najasyi menoleh kepada Amru bin al-Ass dan berkata, “Pergilah kamu! Demi Allah, aku tidak akan serahkan mereka kepada kamu!”(Al-Buthi, Feqah Sirah al-Nabawiyah, hlm. 91-92 )
  

Hakikat sejarah membuktikan bahawa  al-Najasyi pada akhir hayatnya meninggal dunia sebagai seorang muslim yang mengakui kerasulan Isa A.S. dan kerasulan Muhammad S.AW.

Image result for justin trudeau syrian

Kesimpulannya, umat Islam seluruhnya amat menghargai jasa Presiden Justin Trudeau  disebabkan kesantunannya terhadap umat Islam pada ketika ini serta mengharapkan kebaikan pada pemerintahannya. Sesungguhnya sejarah pasang surut antara Islam dengan Rom sedang tercatat sehingga akan terjadinya beberapa siri pertembungan terbesar dengan Rom. Namun pada akhirnya majoriti Rom akan menerima Isa b. Maryam sebagai nabi utusan.