أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Sunday, October 16, 2016

Syria Ukuran Ummah

Pergolakan  yang sedang dialami di kawasan Asia Barat tidak menampakkan arus keredaan. Pelakon-pelakon utama sedang melaksanakan aksi pertarungan secara aktif mengikut plot yang disusun oleh produser masing-masing.

Pelakon utama adalah presiden Syria Basyar al-Asad yang ditentang oleh beberapa kumpulan penentang utama seperti Jabhah Fath al-Syam, Hizbu al-Islami al-Turkistani, Jaisy al-Islami,  Harakah Fath al-Syam, Harakah Nur al-Din Al-Zenki dan ISIS.

Aksi pertarungan semakin ganas kerana masing-masing mengambil pelakon tambahan. Syria menerima Iran, Hizbullah Lubnan dan Russia sebagai pelakon tambahan, manakala kumpulan penentang menerima Arab Saudi dan Turki sebagai pelakon tambahan. Peranan US pula kelihatan sekadar pelakon simpanan untuk para penentang.


Image result for syrian civil war


Inilah senario yang penulis dapat gambarkan mengenai  konflik dan ketegangan yang sedang melanda di kawasan Asia Barat pada masa kini. Konflik ini telah bermula semenjak tahun 2011 dan tidak diketahui bilakah ia akan berakhir.


Syria Dalam Lipatan Sejarah

Menelusuri nas-nas agama Syria  bukanlah negara biasa seperti negara-negara lain di dunia ini. Syria merupakan antara negara yang dinyatakan kelebihannya di dalam al-Quran dan hadis.Rasulullah s.a.w pernah tiba di Syria bersama bapa saudaranya Abu Talib di atas urusan perniagaan. Kata Muhammad Said Ramadhan al-Buthi dalam kitab Fiqh a[-Sirah al-Nabawiyyah :
“ Ketika genap umur nabi s.a.w. 12 tahun baginda dan bapa saudaranya berangkat ke bumi Syam mengikuti kafilah perniagaan. Ketika sampai di Busra kafilah baginda telah melalui penempatan Rahib dan bertemu dengan seorang Rahib yang bernama Buhaira yang sangat alim dengan kitab Injil serta sangat mendalami ajaran agama Nasrani. Buhaira telah melihat, memerhati ,dan bercakap dengan nabi s.a.w . Kemudian Buhaira menoleh kepada Abu Talib dan bertanya : “ Siapakah budak ini ? Abu Talib menjawab : “ Anakku” ( Abu Talib menganggap sebagai anak kerana terlalu cinta dan sayang kepada baginda ) Buhaira berkata : “ Dia bukan anakmu dan tidak  patut bapa budak ini masih hidup” Abu Talib menjawab : “ Dia adalah anak saudaraku “ (Muhammad Said Ramadhan al-Buthi , Fiqh a[-Sirah al-Nabawiyyah, hlm. 48 )

Hal ini membuktikan Syria adalah tempat yang aman dan menjadi sumber rezeki bagi kaum Quraisy. Kisah urusan perniagaan Quraisy  ke Syam ini telah diceritakan dalam al-Quran melalui Surah Quraisy.

Syria juga pernah menjadi tempat perpindahan nabi Ibrahim a.s dan nabi Luth a.s. Dalam Surah al-Anbiya : 71 menceritakan :

وَنَجَّيْنَاهُ وَلُوطًا إِلَى الأرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا لِلْعَالَمِين

“ Dan kami telah selamatkan dia dan nabi Luth ke negeri yang kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia “ ( Al-Anbiya : 71 )

Ibn Jarir al-Thabari ketika mentafsir ayat ini mengatakan bahawa Allah s.w.t  telah menyelamatkan nabi Ibrahim a.s. daripada raja Namrud dan menyelamatkan nabi Luth a.s daripada kaumnya di Iraq, kemudian mereka berpindah ke negara yang diberkati iaitu Syam ( Al-Thabari, Jami‘ al-Bayan, Ahmad Muhammad Syakir, 18/468 )


Image result for syrian old town


Syria Tempat Kemunculan Pasukan Tentera Islam


سَيَصِيرُ الأَمْرُ إِلَى أَنْ تَكُونُوا جُنُودًا مُجَنَّدَةً جُنْدٌ بِالشَّامِ وَجُنْدٌ بِالْيَمَنِ وَجُنْدٌ بِالْعِرَاقِ ». قَالَ ابْنُ حَوَالَةَ خِرْ لِى يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ. فَقَالَ « عَلَيْكَ بِالشَّامِ فَإِنَّهَا خِيَرَةُ اللَّهِ مِنْ أَرْضِهِ يَجْتَبِى إِلَيْهَا خِيَرَتَهُ مِنْ عِبَادِهِ فَأَمَّا إِنْ أَبَيْتُمْ فَعَلَيْكُمْ بِيَمَنِكُمْ وَاسْقُوا مِنْ غُدُرِكُمْ فَإِنَّ اللَّهَ تَوَكَّلَ لِى بِالشَّامِ وَأَهْلِهِ

“Kamu semua akan menjadi pasukan-pasukan perang, satu pasukan di Syam, satu pasukan di Yaman dan satu pasukan di Iraq“ Ibn Hawalah berkata :”Pilihlah untukku wahai Rasulullah sekiranya aku sempat dengan zaman itu” Rasulullah menjawab “ Pilihlah Syam dan sesiapa yang enggan maka dia hendaklah bergabung dengan pasukan di Yaman dan minumlah dari sumber mata air Yaman. “ Sesungguhnya aku menjamin bahawa Allah s.w.t telah melindungi Syam dan penduduknya”( Abu Daud, no. 2466, Musnad Ahmad, no. 17005)

Hadis di atas memerangkan kelak akan muncul pasukan tentera Islam di Syria, Yaman dan Iraq. Penulis mendapati tidak ada ulasan dari ulama hadis mengenai zaman berlakunya kemunculan Pasukan Tentera Islam. Zahir hadis memberi mafhum bahawa perkara ini akan berlaku pada masa akan datang. Namun apabila melihat kepada situasi semasa di Asia Barat kini menunjukkan keadaan seakan-akan menyerupai apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. semenjak 1400 tahun dahulu.

Syria telah menjadi medan pertempuran yang tidak pasti reda, Yaman telah mengalami situasi yang sama. Begitu juga Iraq negara yang tidak stabil dari sudut keamanan politik dan perbalahan pegangan agama semenjak kejatuhan Saddam pada tahun 2003.

Apabila diperhatikan secara  mendalam didapati ketiga-tiga  negara ini telah terlibat dengan konflik Sunni-Syiah yang parah. Timbul persoalan siapakah yang dimaksudkan dengan Pasukan Tentera Islam dalam hadis  di atas?


Syria Ukuran Jatuh Bangun Ummah Akhir Zaman

إِذَا فَسَدَ أَهْلُ الشَّامِ فَلاَ خَيْرَ فِيكُمْ ، لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي مَنْصُورِينَ لاَ يَضُرُّهُمُ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ.

“Apabila penduduk Syam telah rosak maka tidak ada kebaikan bagi kamu semua, akan sentiasa ada sekumpulan umatku yang sentiasa menang dan tidak memberi mudharat kepada mereka oleh kumpulan yang menentang mereka sehingga hari kiamat”( Tuhfah al-Ahwazi, al-Mubarakfuri, no. 2192, Sahih Ibn Hibban, al-Arnaut, no. 7302 , 16/292 )

Kata al-Mubarakfuri “tidak ada kebaikan” bermaksud tidak ada kebaikan untuk berada di sana dan untuk menetap di sana. ( Tuhfah al-Ahwazi, al-Mubarakfuri 6/364 ). Penulis berpendapat hadis ini hendaklah difahami dalam konteksnya iaitu tidak ada kebaikan untuk datang menetap di Syria ketika berlaku huru-hara. Hadis ini juga berbentuk umum kepada penduduk Syria dan selainnya dan tidak ditentukan kepada zaman tertentu. Pada sudut yang lain kumpulan yang akan sentiasa  menang dan tidak akan dapat ditewaskan oleh musuh akan tetap wujud dan berkekalan di Syria sehingga hampirnya kiamat.


Image result for syrian civil war


Ibn Hibban menyatakan bahawa hadis di atas menerangkan kelebihan dan kebaikan yang dimiliki oleh penduduk Syria. Apabila mereka berada dalam suasana baik dan aman maka suasana baik dan amanlah untuk ummah keseluruhannya, Namun, jika mereka berada dalam kepayahan dan kerosakan maka keseluruhan ummah akan menerima tempias kepayahan dan kerosakan secara bersama.







Tuesday, July 19, 2016

Turki Jambatan ke Rom

Peristiwa rampasan kuasa oleh tentera di Turki  menjadi  perhatian  dan mengejutkan masyarakat dunia. Sebelum ini Turki menjadi  perhatian dunia kerana ketegangannya dengan Russia akibat jet pejuang Russia yang ditembak jatuh oleh Turki. Beberapa tahun sebelum ini Turki juga menjadi perhatian dunia kerana kapal bantuan kemanusiaan Turki Mavi Marmara ke Palestin telah diserang oleh pasukan tentera Israel.

Menurut laporan akhbar di Turki dan di Timur Tengah ketegangan kali ini akibat percubaan rampasan kuasa  oleh tentera yang diketuai oleh Kolonel Muharam Kusa sebagai penasihat undang-undang tentera dan dibantu oleh pimpinan tentera laut dan darat. Namun percubaan rampasan kuasa terhadap presiden Recep Tayyip Erdogan ini telah gagal kerana tidak mendapat sokongan majoriti pegawai tentera yang lain.

Faktor lain kegagalan rampasan ini disebabkan Presiden Erdogan telah mendapat sokongan padu rakyat Turki. Hal ini dapat dibuktikan dengan kebanjiran rakyat Turki ke jalan-jalan raya dari bandaraya Ankara Ke utara dan dari bandaraya Istanbul ke tenggara negara  tanpa mengira usia dan keselamatan diri sendiri untuk menyekat kemaraan tentera pemberontak. 

Rakyat sebenarnya ingin mempertahankan demokrasi yang baru bertapak di negara ini. Pasukan Polis Khas Turki dengan bantuan rakyat Turki telah berjaya mengekang dan menangkap tentera-tentera dan pegawai-pegawai yang terlibat.


Image result for rampasan kuasa di turki


Akhbar al-Jazeera dan elshaab melaporkan seramai 90 orang terbunuh, 1154 orang cedera dan lebih 6000 askar ditangkap dalam peristiwa rampasan ini.

Kota Konstantinople

Meninjau nas-nas Islam terdapat perkhabaran tentang pembukaan Turki yang yang dikenali dengan Konstantinople juga merupakan nama lama bagi Istanbul ( Al-Mukjam Asasi h. 87 ). Pada zaman Rasulullah s.a.w. kota ini berada di bawah kekuasaan Bizantium atau Empayar Rom Timur.

Antara hadis Rasulullah s.a.w iaitu :


إِذْ سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: أَىُّ الْمَدِينَتَيْنِ تُفْتَحُ أَوَّلاً قُسْطَنْطِينِيَّةُ أَوْ رُومِيَّةُ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: مَدِينَةُ هِرَقْلَ تُفْتَحُ أَوَّلاً يَعْنِى قُسْطَنْطِينِيَّةَ

“ Ketika Rasulullah s.a.w. ditanya kota manakah yang pertama kali akan dibuka kota Konstantinople atau kota Rom ? Rasulullah s.a.w bersabda : Kota Hercules yang akan pertama kali dibuka iaitu Konstantinople “ ( Musnad Ahmad, no. 6645, Sunan al-Baihaqi, no. 19811 )

Keterangan Hadis

Hadis ini dihukum sahih pada sanad oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Dhahabi ( Musnad Ahmad, al-Arnaut, 225/11)

Rom pula adalah keturunan yang dinisbahkan kepada Rom b. al-Iss b.Ishaq b. Ibrahim.  Kerajaan Rom zaman silam adalah kerajaan yang melangkaui Syam,Turki dan sebahagian dari Kesatuan Soviet. Antakia yang berada di bawah penguasaan mereka telah berjaya dibuka oleh orang Islam semasa era pemerintahan Khulafa al-Rasyidin. Majoriti kaum Rom beragama Nasrani ( Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Hamwiyah al-Kubra,  Hamad b. Abd. al-Mihsan, h. 222 )

Rasulullah s.a.w. pada peringkat awal pemerintahan di Madinah al-Munawarrah pernah mengutuskan surat kepada Maharaja Rom. Kisah surat ini diceritakan oleh Abu Sufian bin al-Harb semasa beliau berada di Syam untuk urusan perniagaan. Ketika itu beliau belum memeluk Islam.

مِنْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى هِرَقْلَ عَظِيمِ الرُّومِ سَلَامٌ عَلَى مَنْ اتَّبَعَ الْهُدَى أَمَّا بَعْدُ فَإِنِّي أَدْعُوكَ بِدِعَايَةِ الْإِسْلَامِ أَسْلِمْ تَسْلَمْ وَأَسْلِمْ يُؤْتِكَ اللَّهُ أَجْرَكَ مَرَّتَيْنِ

Daripada Muhammad hamba Allah dan Rasulnya kepada Hercules Penguasa Rom. Salam sejahtera kepada sesesiapa yang mengikut petunjuk. Adapun kemudian dari itu, sesungguhnya aku menyeru kamu kepada agama Islam. Jika kamu memeluk Islam nescaya kamu selamat. Islamlah kamu Allah akan memberikan kepada kamu dua gandaan pahala” ( Bukhari no. 2941 )

Tentang hal Hercules beliau telah mengumpulkan pembesar dan kaum Rom serta membuat perbincangan di suatu tempat tertutup sehingga akhirnya Hercules melihat penolakan terhadap surat Rasulullah s.a.w berdasarkan  riak wajah-wajah mereka. Maka kaum Rom kekal menolak seruan Islam. ( Al-Tabrani, al-Mukjam Kabir, Hamdi Abd al-Majid, h. 14/8 )

Melihat kepada hadis-hadis tentang Rom, majoriti mereka akan memeluk Islam pada akhirnya. Mereka berperang bagi pihak Islam dan akan memasuki kota Rom tanpa peperangan hanya dengan laungan tahlil dan takbir.

Sultan Muhammad al-Fatih

Kebenaran hadis di atas telah terbukti dengan pembukaan Kota Konstantinople untuk kali pertama pada tahun 1453H/ 857M oleh Sultan Muhammad al-Fatih. Berdasarkan hadis-hadis pembukaan Kota Konstantinople, Muhammad al-Barzanji dalam kitabnya al-Isyaah li Asyraat al-Saah berpendapat Kota Konstantinople terdiri dari dua bahagian. Kota Konstaninople kecil (Turki) dan Kota Konstantinople besar (Rom). Kedua-dua kota ini akan dibuka sepenuhnya oleh umat Islam dan ia menjadi tanda–tanda hampirnya kiamat.

Image result for muhammad al fateh

Pembukaan Kota Konstantinople juga terdapat dalam hadis Al-Mukjam al-Kabir  oleh al-Tabrani : 

يفتح الله عليهم قسطنطينية و رومية بالتسبيح و التكبير

“ Allah akan membuka kepada mereka Kota Konstantinople dan Kota Rom dengan laungan tasbih dan takbir “ ( Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 107/19 )

Berdasarkan hadis ini dan selainnya menunjukkan Turki (Konstantinople kecil) dan Rom di Itali (Konstantinople besar) akan berada di bawah penguasaan Islam sepenuhnya pada suatu masa kelak. Namun ulama Islam tidak dapat menentukan dengan tepat bilakah zaman yang dimaksudkan dalam hadis-hadis tersebut. Hakikatnya penguasaan ini berlaku sebelum munculnya Dajjal.

Ketika rakyat Turki turun ke jalan-jalan raya menyokong presiden mereka laungan mereka berbunyi Ya Allah, Bismillah, Allahu Akbar”. Bagi penulis, perkara ini patut difikirkan dan diinsafi dengan mendalam kerana laungan ini mendekati terjemahan hadis Kota Konstantinople yang akan dibuka dengan tasbih dan takbir seperti hadis di atas dan hadis selainnya.

Image result for rampasan kuasa di turki


Sesungguhnya hari-hari kemenangan Islam semakin tersingkap. Musuh-musuh Turki hanya mampu memperlahankan arus kebangkitan namun tidak dapat menghadangnya. Sinar Konstantinople semakin mendekati tamadun umat ini.


Monday, January 25, 2016

Sekatan dinar Iraq, Syam, (Syria) dan Mesir

Mesir dikenali oleh masyarakat antarabangsa dengan sebutan Egypt. Ibu kota Mesir ialah Kaherah. Ianya terletak di bahagian utara benua Afrika. Mesir memiliki peranan penting dalam kalangan negara-negara Afrika dan Timur Tengah. Bangsa Semit dan etnik Arab menyebut negara ini dengan nama Mishr (Mesir) sedangkan bangsaYunani dan Romawi serta majoriti bangsa Eropah dan belahan dunia lainya menyebut negara ini dengan nama Egypt. Negara Mesir dan penduduknya banyak disebut dalam ayat al-Quran dan menjadi perhatian khusus nabi Muhammad s.a.w.(Zainudin Hashim, Muhammad Morsi, hlm. 1)


Image result for cairo


Penulis memfokuskan tulisan ini mengenai apa yang akan berlaku kepada negara Mesir mengikut isyarat al-Quran dan hadis yang sahih. Kebenaran isyarat ini tidak dapat disangkal lagi tetapi huraian kepada peristiwa dan perincian berlakunya tidak dapat diputuskan secara pasti pada sesuatu peristiwa.

Hal ini kerana sesetengah ulama mengatakan bahawa sesuatu kejadian atau peristiwa akan berlaku pada setiap zaman akan berulang-ulang pada zaman seterusnya. Kemungkinan juga apa yang berlaku pada zaman itu salah satu daripadanya.

Hadis Sahih Muslim

Imam Muslim dalam kitab Sahih Muslim meriwayatkan bahawa akan terjadi sekatan dinar bagi negara Iraq, Syam ( Syria ) Mesir. Sekatan dinar bermaksud sekatan ekonomi akan berlangsung bagi negara yang terlibat. Rasulullah s.a.w. bersabda :

مَنَعَتِ الْعِرَاقُ دِرْهَمَهَا وَقَفِيزَهَا وَمَنَعَتِ الشَّامُ مُدْيَهَا وَدِينَارَهَا وَمَنَعَتْ مِصْرُ إِرْدَبَّهَا وَدِينَارَهَا وَعُدْتُمْ مِنْ حَيْثُ بَدَأْتُمْ وَعُدْتُمْ مِنْ حَيْثُ 
بَدَأْتُمْ وَعُدْتُمْ مِنْ حَيْثُ بَدَأْتُمْ شَهِدَ عَلَى ذَلِكَ لَحْمُ أَبِى هُرَيْرَةَ وَدَمُهُ
“Iraq telah menyekat dirham dan qafiznya ( sukatan Iraq ) Syam telah menyekat madyu ( sukatan Syam ) dan dinarnya, dan mesir telah menyekat irdabba ( sukatan Mesir ) dan dinarnya. Kamu akan kembali seperti permulaan dahulu ( dagang ) Kamu akan kembali seperti permulaan dahulu ( dagang ) Kamu akan kembali seperti permulaan dahulu ( dagang ). Daging dan darah Abu Hurairah menjadi saksi di atas perkara ini” ( Muslim no. 2896, Abu Daud no. 3037 )

Image result for iraq war

Imam al-Nawawi (m.676H/1277M) berkata maksud sekatan dinar Iraq, Syam, (Syria) dan Mesir mempunyai dua pendapat yang masyhur. Pertama kerana penduduknya telah memeluk Islam maka terlepas kewajipan cukai jizyah dan perkara ini telah pun berlaku.

Pendapat kedua mengatakan kaum Ajam (bukan arab) dan Rom akan menguasai negeri pada akhir zaman yang menyebabkan terhalangnya dinar mereka. (Muslim, Syarh al-Nawawi ala Sahih Muslim, 20/18)

Sementara  itu al-Azim Abadi dalam al-Aun al-Ma’bud  mengatakan bahawa hadis di atas merupakan sebahagian ilmu kenabian yang dikhabarkan oleh nabi s.a.w. tentang kawasan yang akan dikuasai oleh umat Islam. Mereka akan mendapat hasil cukai jizyah dan kharaj. Selepas itu hak cukai akan gugur disebabkan musuh Islam akan menguasai mereka semula. ( Al-Azim Abadi, Aun al-Ma’bud, 195/8 )

Melihat hakikat masakini penulis berpendapat bahawa pendapat  kedua yang mengatakan musuh Islam akan gugur membayar cukai jizyah kerana mereka pula akan menguasai umat Islam adalah lebih tepat berbanding pendapat yang pertama.

Mutakhir ini sangat jelas ekonomi Iraq dan Syria telah mengalami sekatan akibat penguasaan Ajam (bukan Arab) serta Rom (Amerika dan Eropah). Ketidakstabilan ekonomi Iraq menjadi realitinya apabila berlaku Perang Teluk pada tahun 1990 dan pencerobohan Amerika dan sekutu pada tahun 2003. Iraq tidak mampu bangkit dari keruntuhan ekonomi sehingga sekarang. Manakala Syria pula semenjak tahun 2011 sehingga sekarang (Januari 2016) masih berada dalam kancah peperangan yang tidak diketahui tamatnya. Semua ini merupakan kesan penguasaan bangsa Ajam dan Rom ke atas kedua-dua negara ini.

Empangan al-Nahdahسد النهضة) dan nasib Mesir

Berdasarkan rantaian hadis sahih di atas maka Mesir akan menerima nasib yang sama. Namun bilakah dan bagaimanakah perkara peristiwa ini akan berlaku tidak dijelaskan di dalam hadis yang bertaraf sahih. Yang pasti perkhabaran ini hendaklah dijadikan panduan oleh Mesir dan negara sekitarnya. Persediaan hendaklah dilakukan dengan kadar kemampuan yang ada dan perancangan Allah s.w.t tentunya mempunyai hikmah yang tersendiri bagi negara-negara yang terbabit.

Terdapat hadis riwayat al-Dani memberi isyarat bahawa Mesir akan mengalami keruntuhan ekonomi disebabkan sungai Nil yang akan kering suatu masa nanti. Namun hadis ini hanya bertaraf dhaif.

ان أسرع الأرضين خرابا البصرة ومصر فأما مصر فان نيلها ينضب – أو قال ييبس- فيكون ذلك خرابها

“ Sesungguhnya dua negeri yang paling cepat binasa ialah Basrah dan Mesir. Adapun Mesir kerana sungai Nilnya mengering- atau kontang- itulah sebab binasanya “ ( Al-Dani, al-Sunan al-Waridah fi al-Fitan, al-Mubarakfuri, hlm.855 no. 476 )

Menurut al-Mubarakfuri hadis di atas bertaraf dhaif kerana seorang perawinya yang bernama Ghailan b. Kharsyah al-Dhibbi seorang yang dinilai majhul al-ain (perawi yang hanya dikenali namanya sahaja) (Al-Dani, al-Sunan al-Waridah fi al-Fitan, al-Mubarakfuri, hlm.855) Namun jika ada sanad yang lebih kuat dari sanad ini hadis ini  akan mencapai taraf hasan lighairihi.



Realiti politik semasa pula memperlihatkan persoalan empangan al-Nahdah yang sedang dalam proses pembinaan di sempadan Ethiopia dan Sudan. Ia mula dibina pada tahun 2011 dan dijangka akan siap pada tahun 2017. Berketinggian 145 meter dan selebar 1800 meter merupakan pusat janakuasa elektrik yang terbesar di benua Afrika. Empangan ini juga menjadi kebimbangan yang amat sangat kepada pakar-pakar Mesir khususnya tentang kecukupan air sungai Nil kepada penduduk Mesir. ( https://ar.m.wikipedia.org/wiki/سد_النهضة)

Kebimbangan kehilangan sumber bekalan air Mesir ini juga disuarakan oleh Dr. Sameh Qantush seorang pakar empangan air dari universiti Kyoto Jepun. Beliau mengatakan bahaya empangan akan menimpa juga kepada Ethiopia sendiri dengan limpahan air empangan. Mesir akan kehilangan sumber minuman serta Mesir dan Sudan juga akan kehilangan simpanan air di Tasik Nasser. (alshaab - سد النهضة سيكون كارثة على مصر والسودان)


Bangsa Ajam dan Rom

Negara manakah yang membantu Ethiopia membina empangan al-Nahdah? Akhbar dalam talian www.dotmsr.com pada tarikh 28/3/2015 melaporkan China dan Itali adalah dua negara yang membantu membina empangan terbesar ini. 

China menjadi penasihat pembangunan dan diplomasi manakala Itali bertindak menyediakan sebuah syarikat pembinaan yang terulung. Adakah menjadi kebetulan kedua-dua negara ini adalah sebahagian daripada bangsa Ajam dan Rom ?

Berdasarkan perbincangan ringkas di atas menunjukkan pada suatu masa nanti Mesir akan mengalami krisis ekonomi yang  sangat teruk. Bilakah zaman krisis ekonomi ini akan berlaku tidak dinyatakan dalam hadis nabi s.a.w. Namun isyarat yang ada menunjukkan krisis ekonomi akan berlaku secara berurutan bermula dengan kejatuhan ekonomi Iraq, Syria, dan terakhirnya Mesir.

Terdapat hadis yang bertaraf dhaif menjelaskan krisis ekonomi akan berlaku disebabkan penyusutan air sungai Nil. Realiti masakini pula seolah-olah membenarkan perkara ini. Pembinaan empangan al-Nahdah di Ethiopia seperti yang telah dinyatakankan berkemungkinan besar menjadi salah satu punca utama krisis ekonomi. Hanya Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui  hakikat peristiwa ini.




Saturday, January 9, 2016

Pakatan damai antara Rom dengan Islam menentang musuh bersama petanda hampirnya kiamat

Keimanan kepada hari kiamat  adalah salah satu dari teras akidah Islam. Antara tanda semakin hampirnya hari kiamat adalah berlakunya pakatan damai antara Rom dan Islam  seperti yang terdapat dalam hadis berikut.

سَتُصَالِحُونَ الرُّومَ صُلْحًا آمِنًا فَتَغْزُونَ أَنْتُمْ وَهُمْ عَدُوًّا مِنْ وَرَائِكُمْ فَتُنْصَرُونَ وَتَغْنَمُونَ وَتَسْلَمُونَ

“Kamu akan mengadakan satu perjanjian perdamaian dengan bangsa Rom. Lalu kamu akan bekerjasama dengan mereka melawan satu musuh yang datang dari belakang kamu. Maka kamu akan diberi kemenangan dan selamat” (Abu Daud 4271)

هُدْنَةٌ تَكُونُ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ بَنِي الْأَصْفَرِ فَيَغْدِرُونَ فَيَأْتُونَكُمْ تَحْتَ ثَمَانِينَ غَايَةً تَحْتَ كُلِّ غَايَةٍ اثْنَا عَشَرَ أَلْفًا

" Perjanjian damai akan berlaku antara kamu dengan Bani Asfar  (bangsa kulit kuning) lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kamu di bawah lapan puluh (80) panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri dari dua belas ribu (12,000) tentera." (Bukhari 3176)

Muhammad al-Azim Abadi mengatakan hadis ini jelas ditujukan kepada kaum Muslimin tentang  perjanjian perdamaian dengan kaum Rom maka dengan itu kaum Muslimin akan  bergabung dengan kaum Rom untuk menentang musuh yang sama daripada belakang. (Al-Azim Abadi, Aun al-Mabud, 398/11 )

Peranan Amerika dan Arab Saudi

Syeikh Muhammad Hassan berkata :
“Kita telah melihat sekarang peringkat perdamaian yang aman antara Amerika, Eropah dengan umat Islam tanpa pengecualian. Umat Islam akan bergabung dengan Amerika dan Eropah untuk menentang musuh bersama tetapi tidak diketahui adakah ia adalah blok timur seperti Russia, China , Jepun ? atau Syiah ? Hanya Allah mengetahui apa yang dimaksudkan oleh  rasulnya . Namun Ahli Kitab sangat yakin dengan peperangan bersama ini yang mereka namakan peperangan Armageddon” (Muhammad bin Ibrahim, Durus li syeikh Muhammad Hassan)


Image result for us and nato


Melihat pada situasi politik semasa Amerika ( Rom ) pada umumnya kelihatan  lunak dengan negara-negara Islam. Utusan Malaysia bertarikh 16/12/2011 melaporkan tentera Amerika telah keluar dari Iraq sejak mendudukinya pada tahun  tahun 2003. Presiden Amerika juga kelihatan sangat mementingkan kerjasama dengan negara rantau Asean khususnya negara Islam seperti Malaysia dan Brunei. Pada tahun 2014 dan 2015 presiden Barack Obama telah melakukan lawatan kerja ke Malaysia merangkumi kerjasama keselamatan dan ekonomi. Kerjasama ekonomi dengan istilah Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA) dilihat sangat penting kepada kepentingan Amerika dalam situasi semasa.

Sumber dari al-Arabiya melaporkan tiada seorang calon presiden Amerika yang bertanding tahun 2016 yang mahu mengulangi sejarah yang dicipta oleh presiden George W, Bush di Timur Tengah iaitu  menyerang Iraq sebanyak 2 kali.

Pada masa yang sama Utusan Malaysia pada 15/12/2015 melaporkan Arab Saudi telah mengumumkan pembentukan pasukan tentera perikatan terdiri daripada 34 buah negara Islam termasuk Malaysia untuk memerangi keganasan. 

Image result for pakatan tentera islam saudi


Penulis berpendapat riak-riak awal hubungan baik Rom dengan Islam semakin terserlah. Dasar luar Amerika dan Eropah yang yang agak lunak dengan negara-negara Islam dan tertubuhnya pakatan tentera negara Islam adalah satu dimensi baru pada abad ini. Berkemungkinan akan ada serangan NATO ke atas negara-negara umat Islam sebelum berlaku tempoh pakatan yang sebenar seperti maksud  hadis, Namun ia hanya bersifat tempatan yang tidak menyeluruh.Yang pastinya perdamaian antara Rom dengan Islam akan membawa kepada pakatan menentang musuh yang sama pada suatu masa nanti sehingga kemenangan akan berpihak kepada mereka.

Musuh di belakang kamu

Seperti yang dinyatakan di atas para ulama Islam tidak dapat menentukan dengan tepat siapakah musuh di belakang kamu “  عَدُوًّا مِنْ وَرَائِكُمْ “ kerana hadis nabi s.a.w. hanya datang secara umum . Jika dilihat dari realiti politik semasa Arab Saudi yang mewakili ketua negara Islam sangat berkonflik dengan Iran dalam banyak peristiwa. Terkini pada 4/1/2016 Berita Harian melaporkan bahawa Arab Saudi telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran akibat berlaku serangan di kedutaan Arab Saudi di Tehran. Adakah Iran yang dimaksudkan dengan musuh dari belakang ?

Realiti politik semasa juga memperlihatkan hubungan yang tegang antara Turki dengan Russia disebabkan jet pejuang Russia  yang telah ditembak jatuh pada 24/11/2015. Turki mendakwa jet pejuang Russia menceroboh ruang udaranya. Apa yang berkaitan adalah Turki merupakan anggota NATO. Russia pula dilihat mula mencampuri urusan dalaman Syria sedangkan Amerika dan Russia merupakan dua kuasa besar yang banyak bertelagah dalam pelbagai isu antarabangsa. Adakah Russia yang dimaksudkan dengan musuh dari belakang?

Sebagai umat yang diberikan kitab al-Quran dan hadis yang menjadi rujukan hidup maka umat Islam perlu prihatin dan peka dengan petunjuk-petunjuk yang datang melalui nas-nas dan realiti politik semasa. Biarpun musuh yang digambarkan tidak jelas kelihatan namun ia adalah hakikat yang nyata pada penghujungnya.

Dalam rentetan hadis-hadis al-Malhamah al-Kubra ( Peperangan Besar ) maka perdamaian dan pergabungan yang aman dengan Rom adalah menjadi pendirian umat Islam pada peringkat permulaannya. Namun akhirnya perdamaian akan terlerai dan Rom akan datang memerangi umat Islam maka terjadinya al-Malhamah al-Kubra sehinggalah Rom akan dikalahkan untuk selama-lamanya.