أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Monday, January 25, 2016

Sekatan dinar Iraq, Syam, (Syria) dan Mesir

Mesir dikenali oleh masyarakat antarabangsa dengan sebutan Egypt. Ibu kota Mesir ialah Kaherah. Ianya terletak di bahagian utara benua Afrika. Mesir memiliki peranan penting dalam kalangan negara-negara Afrika dan Timur Tengah. Bangsa Semit dan etnik Arab menyebut negara ini dengan nama Mishr (Mesir) sedangkan bangsaYunani dan Romawi serta majoriti bangsa Eropah dan belahan dunia lainya menyebut negara ini dengan nama Egypt. Negara Mesir dan penduduknya banyak disebut dalam ayat al-Quran dan menjadi perhatian khusus nabi Muhammad s.a.w.(Zainudin Hashim, Muhammad Morsi, hlm. 1)


Image result for cairo


Penulis memfokuskan tulisan ini mengenai apa yang akan berlaku kepada negara Mesir mengikut isyarat al-Quran dan hadis yang sahih. Kebenaran isyarat ini tidak dapat disangkal lagi tetapi huraian kepada peristiwa dan perincian berlakunya tidak dapat diputuskan secara pasti pada sesuatu peristiwa.

Hal ini kerana sesetengah ulama mengatakan bahawa sesuatu kejadian atau peristiwa akan berlaku pada setiap zaman akan berulang-ulang pada zaman seterusnya. Kemungkinan juga apa yang berlaku pada zaman itu salah satu daripadanya.

Hadis Sahih Muslim

Imam Muslim dalam kitab Sahih Muslim meriwayatkan bahawa akan terjadi sekatan dinar bagi negara Iraq, Syam ( Syria ) Mesir. Sekatan dinar bermaksud sekatan ekonomi akan berlangsung bagi negara yang terlibat. Rasulullah s.a.w. bersabda :

مَنَعَتِ الْعِرَاقُ دِرْهَمَهَا وَقَفِيزَهَا وَمَنَعَتِ الشَّامُ مُدْيَهَا وَدِينَارَهَا وَمَنَعَتْ مِصْرُ إِرْدَبَّهَا وَدِينَارَهَا وَعُدْتُمْ مِنْ حَيْثُ بَدَأْتُمْ وَعُدْتُمْ مِنْ حَيْثُ 
بَدَأْتُمْ وَعُدْتُمْ مِنْ حَيْثُ بَدَأْتُمْ شَهِدَ عَلَى ذَلِكَ لَحْمُ أَبِى هُرَيْرَةَ وَدَمُهُ
“Iraq telah menyekat dirham dan qafiznya ( sukatan Iraq ) Syam telah menyekat madyu ( sukatan Syam ) dan dinarnya, dan mesir telah menyekat irdabba ( sukatan Mesir ) dan dinarnya. Kamu akan kembali seperti permulaan dahulu ( dagang ) Kamu akan kembali seperti permulaan dahulu ( dagang ) Kamu akan kembali seperti permulaan dahulu ( dagang ). Daging dan darah Abu Hurairah menjadi saksi di atas perkara ini” ( Muslim no. 2896, Abu Daud no. 3037 )

Image result for iraq war

Imam al-Nawawi (m.676H/1277M) berkata maksud sekatan dinar Iraq, Syam, (Syria) dan Mesir mempunyai dua pendapat yang masyhur. Pertama kerana penduduknya telah memeluk Islam maka terlepas kewajipan cukai jizyah dan perkara ini telah pun berlaku.

Pendapat kedua mengatakan kaum Ajam (bukan arab) dan Rom akan menguasai negeri pada akhir zaman yang menyebabkan terhalangnya dinar mereka. (Muslim, Syarh al-Nawawi ala Sahih Muslim, 20/18)

Sementara  itu al-Azim Abadi dalam al-Aun al-Ma’bud  mengatakan bahawa hadis di atas merupakan sebahagian ilmu kenabian yang dikhabarkan oleh nabi s.a.w. tentang kawasan yang akan dikuasai oleh umat Islam. Mereka akan mendapat hasil cukai jizyah dan kharaj. Selepas itu hak cukai akan gugur disebabkan musuh Islam akan menguasai mereka semula. ( Al-Azim Abadi, Aun al-Ma’bud, 195/8 )

Melihat hakikat masakini penulis berpendapat bahawa pendapat  kedua yang mengatakan musuh Islam akan gugur membayar cukai jizyah kerana mereka pula akan menguasai umat Islam adalah lebih tepat berbanding pendapat yang pertama.

Mutakhir ini sangat jelas ekonomi Iraq dan Syria telah mengalami sekatan akibat penguasaan Ajam (bukan Arab) serta Rom (Amerika dan Eropah). Ketidakstabilan ekonomi Iraq menjadi realitinya apabila berlaku Perang Teluk pada tahun 1990 dan pencerobohan Amerika dan sekutu pada tahun 2003. Iraq tidak mampu bangkit dari keruntuhan ekonomi sehingga sekarang. Manakala Syria pula semenjak tahun 2011 sehingga sekarang (Januari 2016) masih berada dalam kancah peperangan yang tidak diketahui tamatnya. Semua ini merupakan kesan penguasaan bangsa Ajam dan Rom ke atas kedua-dua negara ini.

Empangan al-Nahdahسد النهضة) dan nasib Mesir

Berdasarkan rantaian hadis sahih di atas maka Mesir akan menerima nasib yang sama. Namun bilakah dan bagaimanakah perkara peristiwa ini akan berlaku tidak dijelaskan di dalam hadis yang bertaraf sahih. Yang pasti perkhabaran ini hendaklah dijadikan panduan oleh Mesir dan negara sekitarnya. Persediaan hendaklah dilakukan dengan kadar kemampuan yang ada dan perancangan Allah s.w.t tentunya mempunyai hikmah yang tersendiri bagi negara-negara yang terbabit.

Terdapat hadis riwayat al-Dani memberi isyarat bahawa Mesir akan mengalami keruntuhan ekonomi disebabkan sungai Nil yang akan kering suatu masa nanti. Namun hadis ini hanya bertaraf dhaif.

ان أسرع الأرضين خرابا البصرة ومصر فأما مصر فان نيلها ينضب – أو قال ييبس- فيكون ذلك خرابها

“ Sesungguhnya dua negeri yang paling cepat binasa ialah Basrah dan Mesir. Adapun Mesir kerana sungai Nilnya mengering- atau kontang- itulah sebab binasanya “ ( Al-Dani, al-Sunan al-Waridah fi al-Fitan, al-Mubarakfuri, hlm.855 no. 476 )

Menurut al-Mubarakfuri hadis di atas bertaraf dhaif kerana seorang perawinya yang bernama Ghailan b. Kharsyah al-Dhibbi seorang yang dinilai majhul al-ain (perawi yang hanya dikenali namanya sahaja) (Al-Dani, al-Sunan al-Waridah fi al-Fitan, al-Mubarakfuri, hlm.855) Namun jika ada sanad yang lebih kuat dari sanad ini hadis ini  akan mencapai taraf hasan lighairihi.



Realiti politik semasa pula memperlihatkan persoalan empangan al-Nahdah yang sedang dalam proses pembinaan di sempadan Ethiopia dan Sudan. Ia mula dibina pada tahun 2011 dan dijangka akan siap pada tahun 2017. Berketinggian 145 meter dan selebar 1800 meter merupakan pusat janakuasa elektrik yang terbesar di benua Afrika. Empangan ini juga menjadi kebimbangan yang amat sangat kepada pakar-pakar Mesir khususnya tentang kecukupan air sungai Nil kepada penduduk Mesir. ( https://ar.m.wikipedia.org/wiki/سد_النهضة)

Kebimbangan kehilangan sumber bekalan air Mesir ini juga disuarakan oleh Dr. Sameh Qantush seorang pakar empangan air dari universiti Kyoto Jepun. Beliau mengatakan bahaya empangan akan menimpa juga kepada Ethiopia sendiri dengan limpahan air empangan. Mesir akan kehilangan sumber minuman serta Mesir dan Sudan juga akan kehilangan simpanan air di Tasik Nasser. (alshaab - سد النهضة سيكون كارثة على مصر والسودان)


Bangsa Ajam dan Rom

Negara manakah yang membantu Ethiopia membina empangan al-Nahdah? Akhbar dalam talian www.dotmsr.com pada tarikh 28/3/2015 melaporkan China dan Itali adalah dua negara yang membantu membina empangan terbesar ini. 

China menjadi penasihat pembangunan dan diplomasi manakala Itali bertindak menyediakan sebuah syarikat pembinaan yang terulung. Adakah menjadi kebetulan kedua-dua negara ini adalah sebahagian daripada bangsa Ajam dan Rom ?

Berdasarkan perbincangan ringkas di atas menunjukkan pada suatu masa nanti Mesir akan mengalami krisis ekonomi yang  sangat teruk. Bilakah zaman krisis ekonomi ini akan berlaku tidak dinyatakan dalam hadis nabi s.a.w. Namun isyarat yang ada menunjukkan krisis ekonomi akan berlaku secara berurutan bermula dengan kejatuhan ekonomi Iraq, Syria, dan terakhirnya Mesir.

Terdapat hadis yang bertaraf dhaif menjelaskan krisis ekonomi akan berlaku disebabkan penyusutan air sungai Nil. Realiti masakini pula seolah-olah membenarkan perkara ini. Pembinaan empangan al-Nahdah di Ethiopia seperti yang telah dinyatakankan berkemungkinan besar menjadi salah satu punca utama krisis ekonomi. Hanya Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui  hakikat peristiwa ini.




No comments:

Post a Comment