Mesir dikenali oleh masyarakat antarabangsa dengan sebutan Egypt. Ibu kota Mesir ialah
Kaherah. Ianya terletak di bahagian utara benua Afrika. Mesir memiliki peranan
penting dalam kalangan negara-negara Afrika dan Timur Tengah. Bangsa Semit dan
etnik Arab menyebut negara ini dengan nama Mishr (Mesir) sedangkan bangsaYunani dan Romawi serta majoriti bangsa Eropah dan belahan dunia lainya
menyebut negara ini dengan nama Egypt. Negara Mesir dan penduduknya banyak
disebut dalam ayat al-Quran dan menjadi perhatian khusus nabi Muhammad s.a.w.(Zainudin
Hashim, Muhammad Morsi, hlm. 1)
Penulis memfokuskan tulisan ini mengenai apa yang
akan berlaku kepada negara Mesir mengikut isyarat al-Quran dan hadis yang sahih.
Kebenaran isyarat ini tidak dapat disangkal lagi tetapi huraian kepada
peristiwa dan perincian berlakunya tidak dapat diputuskan secara pasti pada
sesuatu peristiwa.
Hal ini kerana sesetengah ulama mengatakan bahawa
sesuatu kejadian atau peristiwa akan berlaku pada setiap zaman akan
berulang-ulang pada zaman seterusnya. Kemungkinan juga apa yang berlaku pada
zaman itu salah satu daripadanya.
Hadis Sahih Muslim
Imam Muslim dalam kitab Sahih Muslim
meriwayatkan bahawa akan terjadi sekatan dinar bagi negara Iraq, Syam ( Syria )
Mesir. Sekatan dinar bermaksud sekatan ekonomi akan berlangsung bagi negara
yang terlibat. Rasulullah s.a.w. bersabda :
مَنَعَتِ
الْعِرَاقُ دِرْهَمَهَا وَقَفِيزَهَا وَمَنَعَتِ الشَّامُ مُدْيَهَا وَدِينَارَهَا
وَمَنَعَتْ مِصْرُ إِرْدَبَّهَا وَدِينَارَهَا وَعُدْتُمْ مِنْ حَيْثُ بَدَأْتُمْ
وَعُدْتُمْ مِنْ حَيْثُ
بَدَأْتُمْ وَعُدْتُمْ مِنْ حَيْثُ بَدَأْتُمْ شَهِدَ
عَلَى ذَلِكَ لَحْمُ أَبِى هُرَيْرَةَ وَدَمُهُ
“Iraq telah menyekat dirham dan
qafiznya ( sukatan Iraq ) Syam telah menyekat madyu ( sukatan Syam ) dan
dinarnya, dan mesir telah menyekat irdabba ( sukatan Mesir ) dan dinarnya. Kamu
akan kembali seperti permulaan dahulu ( dagang ) Kamu akan kembali seperti
permulaan dahulu ( dagang ) Kamu akan kembali seperti permulaan dahulu ( dagang
). Daging dan darah Abu Hurairah menjadi saksi di atas perkara ini” ( Muslim no. 2896, Abu Daud no. 3037 )
Imam al-Nawawi (m.676H/1277M) berkata maksud sekatan dinar
Iraq, Syam, (Syria) dan Mesir mempunyai
dua pendapat yang masyhur. Pertama kerana penduduknya telah memeluk Islam maka
terlepas kewajipan cukai jizyah dan perkara ini telah pun berlaku.
Pendapat kedua mengatakan kaum Ajam (bukan arab) dan Rom akan menguasai negeri pada akhir zaman yang menyebabkan terhalangnya dinar mereka. (Muslim, Syarh al-Nawawi ala Sahih Muslim, 20/18)
Pendapat kedua mengatakan kaum Ajam (bukan arab) dan Rom akan menguasai negeri pada akhir zaman yang menyebabkan terhalangnya dinar mereka. (Muslim, Syarh al-Nawawi ala Sahih Muslim, 20/18)
Sementara itu al-Azim Abadi dalam al-Aun
al-Ma’bud mengatakan bahawa hadis di atas merupakan sebahagian ilmu kenabian yang
dikhabarkan oleh nabi s.a.w. tentang kawasan yang akan dikuasai oleh umat Islam.
Mereka akan mendapat hasil cukai jizyah dan kharaj. Selepas itu hak cukai akan
gugur disebabkan musuh Islam akan menguasai mereka semula. ( Al-Azim Abadi, Aun
al-Ma’bud, 195/8 )
Melihat hakikat masakini penulis berpendapat bahawa pendapat kedua yang mengatakan musuh Islam
akan gugur membayar cukai jizyah kerana mereka pula akan menguasai umat Islam adalah lebih tepat berbanding pendapat yang pertama.
Mutakhir ini sangat jelas ekonomi
Iraq dan Syria telah mengalami sekatan akibat penguasaan Ajam (bukan Arab)
serta Rom (Amerika dan Eropah). Ketidakstabilan ekonomi Iraq menjadi
realitinya apabila berlaku Perang Teluk pada tahun 1990 dan pencerobohan
Amerika dan sekutu pada tahun 2003. Iraq tidak mampu bangkit dari keruntuhan
ekonomi sehingga sekarang. Manakala Syria pula semenjak tahun 2011 sehingga
sekarang (Januari 2016) masih berada dalam kancah peperangan yang tidak
diketahui tamatnya. Semua ini merupakan kesan penguasaan bangsa Ajam dan Rom ke atas
kedua-dua negara ini.
Empangan al-Nahdah ( سد النهضة) dan nasib Mesir
Berdasarkan rantaian hadis sahih di atas maka
Mesir akan menerima nasib yang sama. Namun bilakah dan bagaimanakah perkara peristiwa ini akan berlaku tidak
dijelaskan di dalam hadis yang bertaraf sahih. Yang pasti perkhabaran ini hendaklah
dijadikan panduan oleh Mesir dan negara sekitarnya. Persediaan hendaklah dilakukan
dengan kadar kemampuan yang ada dan perancangan Allah s.w.t tentunya mempunyai
hikmah yang tersendiri bagi negara-negara yang terbabit.
Terdapat hadis riwayat al-Dani memberi
isyarat bahawa Mesir akan mengalami keruntuhan ekonomi disebabkan sungai Nil
yang akan kering suatu masa nanti. Namun hadis ini hanya bertaraf dhaif.
ان أسرع الأرضين خرابا البصرة ومصر فأما مصر فان نيلها ينضب – أو قال
ييبس- فيكون ذلك خرابها
“ Sesungguhnya dua negeri yang paling cepat
binasa ialah Basrah dan Mesir. Adapun Mesir kerana sungai Nilnya mengering-
atau kontang- itulah sebab binasanya “ ( Al-Dani, al-Sunan al-Waridah fi
al-Fitan, al-Mubarakfuri, hlm.855 no. 476 )
Menurut al-Mubarakfuri hadis di atas bertaraf
dhaif kerana seorang perawinya yang bernama Ghailan b. Kharsyah al-Dhibbi
seorang yang dinilai majhul al-ain (perawi yang hanya dikenali namanya
sahaja) (Al-Dani, al-Sunan al-Waridah fi al-Fitan,
al-Mubarakfuri, hlm.855) Namun jika ada sanad yang lebih kuat dari
sanad ini hadis ini akan mencapai taraf hasan
lighairihi.
Realiti
politik semasa pula memperlihatkan persoalan empangan al-Nahdah yang sedang dalam proses pembinaan di sempadan Ethiopia
dan Sudan. Ia mula dibina pada tahun 2011 dan dijangka akan siap pada tahun 2017. Berketinggian 145 meter dan selebar 1800 meter merupakan pusat janakuasa elektrik yang terbesar di benua Afrika. Empangan ini
juga menjadi kebimbangan yang amat sangat kepada pakar-pakar Mesir khususnya tentang kecukupan air sungai Nil kepada penduduk Mesir. (
https://ar.m.wikipedia.org/wiki/سد_النهضة)
Kebimbangan
kehilangan sumber bekalan air Mesir ini juga disuarakan oleh Dr. Sameh Qantush seorang pakar empangan air dari universiti
Kyoto Jepun. Beliau mengatakan bahaya empangan akan menimpa juga kepada
Ethiopia sendiri dengan limpahan air empangan. Mesir akan kehilangan sumber minuman serta Mesir dan Sudan juga akan kehilangan simpanan air di Tasik Nasser. (alshaab - سد النهضة سيكون كارثة على مصر والسودان)
Bangsa Ajam dan Rom
Negara
manakah yang membantu Ethiopia membina empangan al-Nahdah? Akhbar dalam talian www.dotmsr.com pada tarikh
28/3/2015 melaporkan China dan Itali adalah dua negara yang membantu membina
empangan terbesar ini.
China menjadi penasihat pembangunan dan diplomasi manakala Itali bertindak menyediakan sebuah syarikat pembinaan yang terulung. Adakah menjadi kebetulan kedua-dua negara ini adalah sebahagian daripada bangsa Ajam dan Rom ?
China menjadi penasihat pembangunan dan diplomasi manakala Itali bertindak menyediakan sebuah syarikat pembinaan yang terulung. Adakah menjadi kebetulan kedua-dua negara ini adalah sebahagian daripada bangsa Ajam dan Rom ?
Berdasarkan
perbincangan ringkas di atas menunjukkan pada suatu masa nanti Mesir akan mengalami krisis ekonomi yang sangat teruk. Bilakah zaman krisis ekonomi ini akan berlaku tidak dinyatakan dalam hadis nabi s.a.w. Namun isyarat yang ada menunjukkan krisis ekonomi akan berlaku secara berurutan bermula dengan kejatuhan ekonomi Iraq, Syria, dan terakhirnya Mesir.
Terdapat hadis yang bertaraf dhaif menjelaskan krisis ekonomi akan berlaku disebabkan penyusutan air sungai Nil. Realiti masakini pula seolah-olah membenarkan perkara ini. Pembinaan empangan al-Nahdah di Ethiopia seperti yang telah dinyatakankan berkemungkinan besar menjadi salah satu punca utama krisis ekonomi. Hanya Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui hakikat peristiwa ini.
Terdapat hadis yang bertaraf dhaif menjelaskan krisis ekonomi akan berlaku disebabkan penyusutan air sungai Nil. Realiti masakini pula seolah-olah membenarkan perkara ini. Pembinaan empangan al-Nahdah di Ethiopia seperti yang telah dinyatakankan berkemungkinan besar menjadi salah satu punca utama krisis ekonomi. Hanya Allah s.w.t jua yang Maha Mengetahui hakikat peristiwa ini.