أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Sunday, March 16, 2014

Tawakal : Syarat jumpai MH370

Dalam Sunan al-Tirmizi terdapat hadis tentang kepentingan tawakal yang lafaznya :

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ  تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً

Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal nescaya kamu akan diberi rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki kepada burung yang keluar pada sebelah pagi dengan perut kosong dan pulang pada sebelah petang dengan perut kenyang 
(  Al-Tirmizi, no. hadis 2344 )


Mufradat hadis

حَقَّ تَوَكُّلِهِ = Hanya Allah yang memberi rezeki tiada terlintas dalam hati selainNya.
لَرَزَقَكُمْ = Setiap hari diberi rezeki yang baru kepada kamu
تَغْدُو خِمَاصاً = Keluar pagi dalam keadaan perut lapar
وَتَرُوحُ بِطَاناً = Pulang petang dalam keadaan perut kenyang
 ( Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Muhammad Fuad Abd al-Baqi, jld. 2, hlm. 1394 )

Kedudukan hadis :

Al-Tirmizi telah menilai hadis ini sebagai hadis hasan sahih. Al-Albani seorang pengkaji hadis telah menilai hadis ini sebagai hadis sahih. Ini membawa maksud hadis ini sahih pada sanad ( rangkaian perawi ) dan  sahih pada matan (  teks hadith ) dan boleh beramal serta berhujah dengannya.         
 ( Riyadh al-Salihin, al-Fahl,  jld. 1, hlm 80 )

Intisari hadis

Hadis menerangkan seekor burung yang yang keluar pada sebelah pagi dengan perut yang lapar dan pulang pada sebelah petang dengan perut yang  kenyang. Burung ini berusaha bersungguh-sungguh mencari makan di tempat yang ia yakin terdapat makanan dan Allah memberikan makanan ( rezeki ) kepadanya di atas hasil usahanya. Usaha dan keyakinan ini memberi makna tawakal kepada Allah.

Maksud tawakal

Pada bahasa : Pergantungan kepada Allah beserta menzahirkan kelemahan diri.
( Tafsir Al-Qurtubi jld. 4, hlm. 248 )

Pada istilah Fuqaha : Thiqah ( yakin ) kepada Allah, yakin kepada qada Allah, mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. dan berusaha untuk mendapatkan sesuatu dengan sebab-sebabnya.
( Tafsir Al-Qurtubi jld. 4, hlm. 189 )

Kesimpulannya tawakal bermaksud menyerahkan sesuatu urusan kepada Allah setelah berusaha bersungguh-sungguh dengan kemampuan yang ada.

Aplikasi hadis

Burung telah berusaha bersungguh-sungguh mencari makanan pada awal-awal pagi dengan tawakal. Usahanya berjaya sehingga ia balik dengan kenyang pada waktu petang. Manusia berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan sesuatu dan bertawakal. Usaha manusia akan berjaya sehingga manusia mendapatkan apa yang diinginkannya.

Hari kelapan

Pencarian  pesawat MH370 telah masuk  hari kelapan ( 15 Mac 2014 ). Maklumat terkini yang disahkan oleh MAS ialah pesawat MH370 telah berpatah balik dari laluan asal selepas ia hilang dari radar. Berdasarkan maklumat terbaru ini pelbagai teori positif yang dilontarkan. Antaranya pesawat itu tidak terhempas dan mempunyai unsur rampasan pesawat. Ini menjadi sinar baru kepada waris-waris yang terlibat. Namun begitu pesawat MH370 tetap dalam status missing .

Menurut pendapat penulis pesawat MH370 boleh dijumpai dengan kadar cepat dan redha tuhan melalui satu syarat terpenting seperti di atas. Syarat ini dapat diaplikasikan daripada hadis dalam Sunan Ibn Majah dan Sunan al-Tirmizi. Syarat jumpai ialah bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal selepas berusaha bersungguh-sungguh dengan segala teknologi dan kepakaran yang ada pada manusia.

Marilah umat islam seluruhnya tanpa terkecuali seorangpun menyuburi sifat tawakal kepada Allah setelah berusaha. Janganlah kita ego dengan usaha-usaha jitu yang dilakukan sehingga lupa kepada tawakal.Teknologi dan agama hendaklah seiring untuk penemuan yang pasti dan diredhai... 

Tuesday, March 11, 2014

MH370 : Tanyalah kepada yang Maha Mengetahui…


Rakyat Malaysia dan seluruh dunia masih terkejut dan tertanya-tanya dengan kehilangan pesawat MAS sehingga kini. Malam ini masuk malam kelima dan kehilangannya sangat misteri. Pesawat itu berlepas dari KLIA dan sepatutnya mendarat di Beijing, China.

Seluruh kepakaran manusia digunakan untuk mencari di mana kedudukan pesawat itu. Pelbagai teori dikemukakan dan peliknya semua teori tersebut hanyalah teori semata-mata tanpa ada keputusan yang pasti. Asas kepada teori tersebut ialah kenapa kapten kapal dan pembantu juruterbang tidak menghubungi menara kawalan sedangkan mereka berdua sangat terlatih dan pesawat dalam kategori paling canggih dan paling selamat.

Keputusan pengurusan masjid dan surau seluruh negeri mengadakan solat hajat dan berdoa untuk keselamatan pesawat MH370 adalah tindakan yang sangat tepat dan kena pada masanya. Kita hendaklah sentiasa sedar dan insaf bahawa usaha yang bersungguh-sungguh beserta doa dan tawakal adalah gandingan yang mantap untuk mendapat pertolongan daripada Allah dalam saat-saat genting seperti ini.

Teknologi sains dan agama hendaklah seiring dalam kes ini. Seolah-olah isyarat daripada Allah kepada manusia supaya manusia sedar bahawa sains hendaklah digandingkan dengan agama. Teori sains bukan penentu segala-galanya. Hanya keizinan daripada Allah sesuatu itu boleh berlaku. Contoh untuk kita fahaminya ialah tentang sifat api yang sentiasa membakar dan menghanguskan benda. Agama mengatakan adakalanya api membakar tetapi tidak menghanguskan benda.Cerita nabi Ibrahim dalam al-Quran membuktikan kenyataan ini iaitu api membakar nabi Ibrahim a.s ketika beliau dilontar ke dalamnya namun kuasa menghanguskan pada api tidak ada pada masa itu kerana tiada keizinan daripada Allah sedangkan pada masa yang lain api ada kuasa menghanguskan. Jelaslah kepada kita bahawa sesuatu perkara yang berlaku hanya dengan izin Allah melangkaui jangkaan sains dalam sesuatu perkara. Dengan izin Allah jua jika sains dan agama digandingkan pesawat MH370 akan ditemui.

Telah kita yakini bahawa Allah bersifat al-Alim yang bermaksud Maha Mengetahui.Tanyalah kepada yang Maha Mengetahui ini. Pasti ada jawapannya. Marilah kita semua seluruh masyarakat Islam mengaku  di atas kelemahan kita dan mengharapkan pertolonganNYA.

Ya Allah! Pengetahuan kami sangat sedikit dan terbatas. Engkau Maha Mengetahui sesuatu perkara tanpa batasannya.Tunjukkanlah kepada kami di mana MH370…Amin.

Sunday, March 2, 2014

Hadis sumber hukum Islam

 Pengertian Hadis

Hadis pada istilah syarak ialah apa yang disandarkan kepada nabi s.a.w. daripada perkataan, perbuatan, pengakuan dan sifat. ( Ahmad Umar Hasyim,Qawaid Usul al-Hadis, Dar al-Kitab  al-Arabi : Beirut hlm. 6 ) Hadis dan al-Sunnah  pada istilah syarak adalah sama pengertiannya menurut sebahagian ulama.

Kedudukan  hadis dan al-Quran di sisi Islam

Al-Quran dan al-Hadis adalah dua perkara yang menjadi rujukan  penting untuk umat Islam. Kedua-dua sumber ini saling berkait rapat  antara satu sama lain dalam memahami sesuatu hukum atau  nas-nas agama.

Manna al-Qattan dalam kitab Mabahith fi Ulum al-Hadith menyatakan :

“ Sunnah Nabawi menjadi sumber kedua dari sumber-sumber dalil- dalil syarak dan kedudukannya mengikuti kedudukan al-Quran, wajib mengikutinya sebagaimana wajib mengikuti al-Quran“
 ( Manna al- Qattan, Mabahith fÊ Ulum al-Hadith, Kaherah : Maktabah Wahbah, hlm. 15)

Yusuf al-QaraÌawi dalam kitab al-Murji’iyyah al-Ulya li al-Quran wa al-Sunnah mengatakan  hubungan antara al-Quran dan al-Sunnah terjalin dalam tiga bentuk.

1   Al-Sunnah bertepatan dengan al-Quran pada setiap keadaan.
2   Al-Sunnah menerangkan apa yang dikehendaki al-Quran dan menjadi tafsirannya.
3   Al-Sunnah mewajibkan hukum yang didiamkan al-Quran
 ( Yusuf al-QaraÌawi,  Al-Murji’iyyah al-Ulya fÊ al-Islam li al-Quran wa al-Sunnah , Kaherah :   Maktabah Wahbah hlm. 99 )

Abu al-Layth Khayr Abadi menyatakan al-Quran dan al-Sunnah mempunyai kaitan yang erat. Perkaitan ini  dapat dilihat dengan  jelas  dalam  tiga keadaan

1.Al-Sunnah menguatkan hukum yang terdapat dalam al-Quran. Contohnya hadis
hadis yang  menerangkan tentang kewajipan solat, zakat, puasa, dan  haji.

2. Al-Sunnah menerangkan perkara yang umum dalam al-Quran. Contohya hadis-
hadis yang  menerangkan tentang bilangan rakaat dan cara-cara menunaikan solat.

3. Al-Sunnah menjelaskan akidah-akidah dan hukum-hukum yang didiamkan al-
Quran. Contohnya tentang kenabian Adam serta kenabian  nabi-nabi lain, kelebihan nabi
Muhammad terhadap semua nabi dan rasul, dan pengharaman memakan setiap
binatang yang bertaring.
( Abu Layth Khayr Abadi, Ulum al-Hadith Asiluha wa Mu’asiruha Dar al-Syakir : Malaysia, hlm. 46-48)

Melihat kepada kepada perkaitan di atas menunjukkan al-Sunnah amat berperanan terhadap al-Quran sebagai sumber hukum yang kedua dalam pensabitan hukum syarak. Ini kerana al-Sunnah menerangkan tentang hukum-hukum yang umum dari al-Quran.

Namun, pada keadaan yang lain al-Sunnah menjadi sumber hukum yang  pertama dalam pensabitan hukum syarak kerana al-Quran mendiamkan perkara tersebut. Contohya hadis yang menerangkan pengharaman memakan binatang yang bertaring.

Kesimpulan

1. Umat Islam wajib beriman dengan al-Quran dan hadis tanpa keraguan.
2. Orang  Islam yang ragu-ragu terhadap hadis akan rosak akidahnya.