أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Tuesday, March 11, 2014

MH370 : Tanyalah kepada yang Maha Mengetahui…


Rakyat Malaysia dan seluruh dunia masih terkejut dan tertanya-tanya dengan kehilangan pesawat MAS sehingga kini. Malam ini masuk malam kelima dan kehilangannya sangat misteri. Pesawat itu berlepas dari KLIA dan sepatutnya mendarat di Beijing, China.

Seluruh kepakaran manusia digunakan untuk mencari di mana kedudukan pesawat itu. Pelbagai teori dikemukakan dan peliknya semua teori tersebut hanyalah teori semata-mata tanpa ada keputusan yang pasti. Asas kepada teori tersebut ialah kenapa kapten kapal dan pembantu juruterbang tidak menghubungi menara kawalan sedangkan mereka berdua sangat terlatih dan pesawat dalam kategori paling canggih dan paling selamat.

Keputusan pengurusan masjid dan surau seluruh negeri mengadakan solat hajat dan berdoa untuk keselamatan pesawat MH370 adalah tindakan yang sangat tepat dan kena pada masanya. Kita hendaklah sentiasa sedar dan insaf bahawa usaha yang bersungguh-sungguh beserta doa dan tawakal adalah gandingan yang mantap untuk mendapat pertolongan daripada Allah dalam saat-saat genting seperti ini.

Teknologi sains dan agama hendaklah seiring dalam kes ini. Seolah-olah isyarat daripada Allah kepada manusia supaya manusia sedar bahawa sains hendaklah digandingkan dengan agama. Teori sains bukan penentu segala-galanya. Hanya keizinan daripada Allah sesuatu itu boleh berlaku. Contoh untuk kita fahaminya ialah tentang sifat api yang sentiasa membakar dan menghanguskan benda. Agama mengatakan adakalanya api membakar tetapi tidak menghanguskan benda.Cerita nabi Ibrahim dalam al-Quran membuktikan kenyataan ini iaitu api membakar nabi Ibrahim a.s ketika beliau dilontar ke dalamnya namun kuasa menghanguskan pada api tidak ada pada masa itu kerana tiada keizinan daripada Allah sedangkan pada masa yang lain api ada kuasa menghanguskan. Jelaslah kepada kita bahawa sesuatu perkara yang berlaku hanya dengan izin Allah melangkaui jangkaan sains dalam sesuatu perkara. Dengan izin Allah jua jika sains dan agama digandingkan pesawat MH370 akan ditemui.

Telah kita yakini bahawa Allah bersifat al-Alim yang bermaksud Maha Mengetahui.Tanyalah kepada yang Maha Mengetahui ini. Pasti ada jawapannya. Marilah kita semua seluruh masyarakat Islam mengaku  di atas kelemahan kita dan mengharapkan pertolonganNYA.

Ya Allah! Pengetahuan kami sangat sedikit dan terbatas. Engkau Maha Mengetahui sesuatu perkara tanpa batasannya.Tunjukkanlah kepada kami di mana MH370…Amin.

No comments:

Post a Comment