أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Sunday, March 16, 2014

Tawakal : Syarat jumpai MH370

Dalam Sunan al-Tirmizi terdapat hadis tentang kepentingan tawakal yang lafaznya :

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ  تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً

Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal nescaya kamu akan diberi rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki kepada burung yang keluar pada sebelah pagi dengan perut kosong dan pulang pada sebelah petang dengan perut kenyang 
(  Al-Tirmizi, no. hadis 2344 )


Mufradat hadis

حَقَّ تَوَكُّلِهِ = Hanya Allah yang memberi rezeki tiada terlintas dalam hati selainNya.
لَرَزَقَكُمْ = Setiap hari diberi rezeki yang baru kepada kamu
تَغْدُو خِمَاصاً = Keluar pagi dalam keadaan perut lapar
وَتَرُوحُ بِطَاناً = Pulang petang dalam keadaan perut kenyang
 ( Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Muhammad Fuad Abd al-Baqi, jld. 2, hlm. 1394 )

Kedudukan hadis :

Al-Tirmizi telah menilai hadis ini sebagai hadis hasan sahih. Al-Albani seorang pengkaji hadis telah menilai hadis ini sebagai hadis sahih. Ini membawa maksud hadis ini sahih pada sanad ( rangkaian perawi ) dan  sahih pada matan (  teks hadith ) dan boleh beramal serta berhujah dengannya.         
 ( Riyadh al-Salihin, al-Fahl,  jld. 1, hlm 80 )

Intisari hadis

Hadis menerangkan seekor burung yang yang keluar pada sebelah pagi dengan perut yang lapar dan pulang pada sebelah petang dengan perut yang  kenyang. Burung ini berusaha bersungguh-sungguh mencari makan di tempat yang ia yakin terdapat makanan dan Allah memberikan makanan ( rezeki ) kepadanya di atas hasil usahanya. Usaha dan keyakinan ini memberi makna tawakal kepada Allah.

Maksud tawakal

Pada bahasa : Pergantungan kepada Allah beserta menzahirkan kelemahan diri.
( Tafsir Al-Qurtubi jld. 4, hlm. 248 )

Pada istilah Fuqaha : Thiqah ( yakin ) kepada Allah, yakin kepada qada Allah, mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. dan berusaha untuk mendapatkan sesuatu dengan sebab-sebabnya.
( Tafsir Al-Qurtubi jld. 4, hlm. 189 )

Kesimpulannya tawakal bermaksud menyerahkan sesuatu urusan kepada Allah setelah berusaha bersungguh-sungguh dengan kemampuan yang ada.

Aplikasi hadis

Burung telah berusaha bersungguh-sungguh mencari makanan pada awal-awal pagi dengan tawakal. Usahanya berjaya sehingga ia balik dengan kenyang pada waktu petang. Manusia berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan sesuatu dan bertawakal. Usaha manusia akan berjaya sehingga manusia mendapatkan apa yang diinginkannya.

Hari kelapan

Pencarian  pesawat MH370 telah masuk  hari kelapan ( 15 Mac 2014 ). Maklumat terkini yang disahkan oleh MAS ialah pesawat MH370 telah berpatah balik dari laluan asal selepas ia hilang dari radar. Berdasarkan maklumat terbaru ini pelbagai teori positif yang dilontarkan. Antaranya pesawat itu tidak terhempas dan mempunyai unsur rampasan pesawat. Ini menjadi sinar baru kepada waris-waris yang terlibat. Namun begitu pesawat MH370 tetap dalam status missing .

Menurut pendapat penulis pesawat MH370 boleh dijumpai dengan kadar cepat dan redha tuhan melalui satu syarat terpenting seperti di atas. Syarat ini dapat diaplikasikan daripada hadis dalam Sunan Ibn Majah dan Sunan al-Tirmizi. Syarat jumpai ialah bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal selepas berusaha bersungguh-sungguh dengan segala teknologi dan kepakaran yang ada pada manusia.

Marilah umat islam seluruhnya tanpa terkecuali seorangpun menyuburi sifat tawakal kepada Allah setelah berusaha. Janganlah kita ego dengan usaha-usaha jitu yang dilakukan sehingga lupa kepada tawakal.Teknologi dan agama hendaklah seiring untuk penemuan yang pasti dan diredhai... 

2 comments: