أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Saturday, April 19, 2014

Dendam Iblis kepada Adam

Permusuhan antara manusia dengan Iblis bermula semenjak penciptaan manusia pertama yang bernama Adam. Setelah itu Iblis dan malaikat diperintahkan sujud hormat kepada Adam. Malaikat patuh dan sujud kepada Adam sedangkan  Iblis enggan dan takbur untuk sujud kepada Adam. Akibatnya Iblis telah dihukumkan kafir dan mendapat laknat daripada Allah Taala.

Hakikat permusuhan ini telah dirungkaikan dalam al-Quran pada Surah al-Baqarah ayat 34 

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ (34)      
     
Maksudnya :“Ingatlah ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah kepada Adam” lalu mereka semuanya tunduk hormat melainkan Iblis. Ia enggan dan takbur dan jadilah ia daripada golongan yang kafir.


Dalam Surah al-A‘raf ayat 12 diterangkan sebab Iblis enggan sujud kepada Adam iaitu :


قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ (12)

Maksudnya :“Allah berfirman :“ Apakah yang menghalangmu untuk sujud ketika aku perintahkan kepadamu”  Iblis menjawab: “ Aku lebih baik daripada Adam, Engkau jadikan aku dari api  sedangkan  engkau jadikan dia dari tanah”

Kata al-Sya‘rawi Iblis beranggapan ia lebih baik dan lebih tinggi kedudukan daripada Adam kerana ia dicipta dari api. Dengan kedudukan yang tinggi ini ia tidak layak untuk  tunduk kepada Adam.

Al-Sya‘rawi meneruskan dengan mengatakan Iblis tersilap sama sekali dengan anggapan yang sedemikian. Hal ini kerana setiap jenis benda ada peranannya. Api ada peranannya dan tanah ada peranannya. Tidak ada kelebihan  antara jenis benda tersebut. Api tidak boleh menjalankan kerja tanah dan tidak mungkin kita menanam di dalam api.(Al-Sya‘rawi, Tafsir al-Sya‘rawi, hlm. 2823, jld. 1)

Namun begitu penciptaan manusia sebagai makhluk baru merupakan makhluk terbaik untuk dijadikan khalifah dibumi. Perkara ini diterangkan dalam Surah al-Baqarah pada ayat 30 :

Maksudnya:“Ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya aku hendak menjadikan khalifah di bumi “

Selain dari Surah al-Baqarah dan Surah al-A‘raf kisah Iblis dan Adam juga terdapat dalam Surah al-Hijr, al-Isra’ dan al-Kahf.

Api Permusuhan

Iblis menjadi kafir akibat enggan sujud kepada Adam. Namun ia meminta tempoh masa untuk menyesatkan Adam dan keturunannya sehingga hari kiamat. Allah  mengizinkan permintaan Iblis .

Episod pertama yang dilakukan Iblis ialah menggoda Adam dan Hawa supaya memakan buah larangan dalam Syurga. Akhirnya Iblis berjaya memperdaya Adam dan Hawa sehingga mereka memakan buah larangan. Adam dan Hawa merasa menyesal dan bertaubat kepada Allah dan Allah menerima taubat mereka. Adam dan Hawa diturunkan ke dunia kerana tidak layak tinggal di syurga lagi.

Episod seterusnya Iblis menggoda anak Adam yang bernama Qabil untuk membunuh adiknya Habil kerana dengki korbannya tidak diterima sedangkan korban Habil diterima. Inilah pembunuhan yang pertama dalam sejarah manusia akibat termakan hasutan Iblis. Kisah ini diceritakan dalam al-Quran pada Surah al-An‘am : 27.

Jelasnya Iblis akan sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan anak cucu Adam seluruhnya supaya menjadi kafir sepertinya. Allah menyatakan dalam al-Quran bahawa orang-orang yang terselamat daripada hasutan Iblis ialah hamba-hambanya yang ikhlas kepadanya.


Kesimpulan :

1. Iblis adalah musuh orang-orang mukmin yang nyata dan wajib diperangi.

2. Permusuhan Iblis dan manusia  berpanjangan sehingga hari kiamat.

3. Hanya orang-orang yang ikhlas kepada Allah yang akan terselamat dari godaan Iblis.



No comments:

Post a Comment