Umat Islam adalah sebaik-baik umat yang dizahirkan
untuk alam ini. Dinyatakan demikian kerana mereka berkeadaan menyuruh ke arah
kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.
Pengamalan
kepada dua perkara asas ini akan mewujudkan pertembungan antara kebenaran dan
kebatilan. Kebenaran akan berpihak kepada umat Islam kerana fitrahnya yang suci
manakala kebatilan akan didokong oleh kaum kafir dengan kekufuran kepada fitrah
yang suci. Natijahnya umat Islam yang mendokong kebenaran akan diperangi dari
segenap penjuru oleh musuh-musuh mereka yang dikepalai oleh Yahudi dan Nasrani.
Memahami realiti ini adalah menjadi kewajipan untuk umat Islam bersedia dengan segala
kekuatan untuk mempertahankan diri dan menggerunkan musuh-musuh. Kekuatan yang
dimaksudkan ialah kekuatan persenjataan dan kekuatan kerohanian.
Perintah ini telah dinukilkan dalam al-Quran :
وَأَعِدُّوا
لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ
عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ
اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ
Maksudnya : Dan sediakanlah untuk menentang mereka dengan
segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dari pasukan-pasukan berkuda
yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan
musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak
mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya (Surah al-Anfal 8 : 60 )
Maksud “Quwwah” ( قُوَّةٍ )
Berkata al-Tabari kata Uqbah b. Amir al-Quwwah bermaksud lontaran (panah), kata Ikrimah al-Quwwah bermaksud kuda-kuda perang. Kata al-Suddi
al-Quwwah bermaksud alatan perang. ( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari,
hlm.34, jld. 14 )
Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir
menyatakan Allah menerangkan kepada orang-orang mukmin supaya menyediakan
alat-alat peperangan yang sesuai dengan zaman masing-masing. Persediaan
alat-alat peperangan oleh tentera hendaklah berada pada tahap maksimum dan
mengikut kemampuan kerana tentera menjadi benteng utama umat. (Wahbah
al-Zuhaili, Tafsir Munir, hlm. 48, jld. 10 )
Dalam Tafsir Pimpinan al-Rahman menjelaskan persediaan itu hendaklah sebanding
dengan alat-alat senjata yang digunakan oleh pihak lawan ( Sheikh Abdullah Basmeih
Tafsir Pimpinan al-Rahman, hlm. 418 )
Muhammad Rasyid Ridha dalam Tafsir al-Manar
menyatakan pada asasnya Islam telah mengariskan bahawa kita memerangi mereka sama seperti mereka
memerangi kita maka akan ada perlumbaan dalam penggunaan senjata api, kereta
perisai, kapal tentera laut, kereta kebal dan pesawat pejuang.
Muhammad Rasyid Ridha menyatakan lagi bahawa perkara
ini tertumpu pada kemahiran yang tinggi dalam menguasai ilmu matematik dan ilmu
fizik serta perkara ini menjadi wajib kepada umat Islam pada masa sekarang kerana
ia menjadi wajib dalam persediaan ketenteraan. (Muhammad Rasyid Ridha, Tafsir
al-Manar hlm. 261, jld. 4 )
Kenyataan-kenyataan di atas menunjukkan kepentingan
kekuatan persenjataan ketenteraan yang terkini wajib dimiliki oleh umat Islam untuk
mempertahankan diri dan menggeruni musuh. Kekuatan ini mampu dimiliki hasil
dari kemahiran ilmu sains dan teknologi yang pesat. Namun kemampuan mempertahankan
diri pada masa sekarang adalah sangat mendesak berbanding kemampuan menggerunkan
musuh.
Iktibar MH370
Hari ini genap 30 hari (6 April 2014) pencarian dilakukan. Ia masih
tidak mendatangkan hasil walaupun 26 negara berusaha mencarinya. Peringkat pencarian
ini sukar dilakukan kerana tertumpu di dasar laut. Negara-negara yang maju yang
dipelopori Amerika, Britain, Perancis, Australia mampu melakukannya kerana
mempunyai aset pencarian dasar laut seperti penggunaan kapal selam. Akbar Metro
melaporkan Britain menggunakan kapal selam (UK) HMS Tireless yang dilengkapi
peralatan pendengaran dalam air bagi mengesan lampu isyarat pengesan kotak hitam.
Malaysia sebagai negara membangun tidak memiliki aset seperti
ini. Kita menumpang kepakaran negara lain. Perkara ini menjadi contoh iktibar
kepada seluruh rakyat Malaysia tentang kepentingan teknologi yang diperlukan
pada bila-bila masa.
Sinar Harian melaporkan Amerika menggunakan
asetnya dengan kadar minimum. Laporan satelitnya tidak dikongsi dengan
Malaysia. Perkara ini menimbulkan persoalan kepada kita mengapa Amerika tidak
memberi komitmen yang tinggi seperti negara-negara lain. Persoalan ini menarik
untuk difikirkan namun jawapan tersiratya Amerika akan menjawab “ini satelit
kami, ikut suka kami. Jika anda ingin maklumat sila buat satelit sendiri”.
No comments:
Post a Comment