أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Thursday, April 24, 2014

Hukum memberi salam dan menjawab salam dengan bukan Islam

Imam al-Nawawi berpendapat haram memberi salam kepada orang bukan Islam berdasarkan hadis dalam riwayat Muslim :
لاتبدأوا اليهود ولاالنصارى بالسلام

Maksudnya : “Janganlah kamu memulakan terhadap orang Yahudi dan orang Nasrani dengan ucapan salam “
(Al-Nawawi, Syarh sahih Muslim, no. h. 2167, hlm 136, jld. 14)

Pendapat ini juga dipersetujui oleh Mustafa al-Bugha dan Mustafa al-Khin dalam kitab Riyadh al-Salihin (Mustafa al-Bugha, Mustafa al-Khin, Riyadh al-Salihin, , hlm. 586, jld. 1 )

Menurut Imam al-Nawawi walaupun ada sebahagian ulama dan golongan al-Salaf mengharuskan memberi salam kepada bukan Islam berdasarkan maksud hadis yang menceritakan kelebihan menyebarkan salam (افشاء السلام) namun hadis ini menurut Imam al-Nawawi merupakan hadis umum. Hadis (لاتبدأوا اليهود ولاالنصارى بالسلام) mengkhususkan hadis umum tersebut.

Begitu juga al-Imam al-Nawawi menolak pendapat sebahagian ulama yang berpendapat makruh memberi salam kepada bukan Islam. Hal ini kerana larangan dalam hadis adalah bersifat larangan haram. (Al-Nawawi, Syarh sahih Muslim, hlm. 136, jld. 14)

Ucapan salam yang dimaksudkan ialah "Assalamualaikum atau Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh". Ucapan seperti ini dilarang kerana seolah-olah mendoakan kesejahteraan daripada Allah kepada mereka sedangkan mereka kufur dan jauh daripada rahmat Allah. Namun ucapan "selamat pagi", "selamat petang" ,"selamat malam" dan seumpamanya adalah diharuskan.

Di atas sebab ini , majoriti ulama berpendapat haram memberi salam kepada orang bukan Islam manakala minoriti ulama mengharuskannya. Imam al-Nawawi termasuk dalam ulama al-Syafie yang mengharamkannya.

Bilakah hukum harus memberi salam terpakai ?

Dari konteks yang lain,  kata al-Nawawi berkata al-Qadi bahawa harus memberi salam kepada bukan Islam jika berada dalam keadaan dharurat, jika sebagai keperluan atau mempunyai sebab tertentu.

Harus juga memberi salam jika orang Islam dan bukan Islam berada dalam satu majlis yang sama tetapi hendaklah dimaksudkan salam kepada orang Islam di dalam majlis tersebut. (Al-Nawawi, Syarh sahih Muslim, hlm. 136, jld. 14)

Hukum menjawab salam daripada bukan Islam

Bolehkah menjawab salam apabila bukan Islam memberi salam kepada orang Islam? Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari mengharuskan orang Islam menjawab salam daripada bukan Islam dengan berdasarkan ayat al-Quran :

فحيوا بأحسن منها أو ردوها

Maksudnya : “Jawablah salam lebih baik daripadanya atau sama sepertinya “
( Ibn Hajar, Fath al-Bari, hlm. 42, jld. 11)

Kata Mustafa al-Bugha dan Mustafa al-Khin dalam Riyadh al-Salihin menjawab salam bukan Islam cukuplah dengan perkataan وعليكم Waalaikum ). Perkataan ini terdapat dalam hadis riwayat Bukhari dan riwayat Muslim. ( Mustafa al-Bugha, Mustafa al-Khin, Riyadh al-Salihin, , hlm. 587, jld. 1 )

Oleh itu, harus menjawab salam bukan Islam jika mereka berniat baik juga untuk berinteraksi spontan dalam masyarakat majmuk. Menjawab dengan perkataan وعليكم yang memberi maksud “seperti kamu”. Jawapan ini menampilkan adab pergaulan muslim yang bersopan.

 

No comments:

Post a Comment