أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Saturday, June 28, 2014

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Anugerah yang tidak terhingga kepada hamba-hambanya yang terpilih. Ketibaan yang dinanti-nanti oleh hati-hati yang tulus. Dijanjikan keampunan kepada sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan. Telah tiba saat dan peluangnya. Inilah Ramadhan bulan yang diturunkan al-Quran. “Ahlan Wa sahlan Ya Ramadhan” dengan penuh riang berbunga kami ungkapkan dan menyambut kedatanganmu.

Ramadhan di Mesir

Pengalaman menyambut Ramadhan ketika penulis berada di perlembahan Nil ( Mesir ) sewaktu masa dahulu menjadi nostalgia yang tersendiri. Ketika Ramadhan menjelang Orang-orang Arab Mesir saling berbalas ucapan tahniah sesama mereka dengan ucapan “Ramadhan Karim“ atau “Ramadhan Mubarak “ dengan kedua-duanya bermaksud “Selamat menyambut bulan Ramadhan yang mulia”.

Ucapan lain adalah “ Kullu ‘Amin Wa Antum Bi Khair ” bermaksud “ Setiap tahun anda berada dalam kebaikan “. Ucapan-ucapan seumpama ini menjadi mainan bibir apabila masuk sahaja bulan Ramadhan.

Mereka juga memasang lampu yang dipanggil fanus di kediaman masing-masing. Fanus ini terdiri daripada pelbagai bentuk dan saiz. Biasanya ia dipasang lebih daripada satu bagi setiap rumah.

Masjid-masjid juga menyediakan juadah berbuka puasa yang dipanggil “Maidah al-Rahman”. Makanan ringan berupa buat tamar dengan susu ketika  masuk waktu berbuka. Selepas solat Maghrib makanan berat diberikan seperti roti atau pun nasi Arab.




Sambutan-sambutan seperti ini diharuskan dalam agama untuk menzahirkan rasa gembira di atas anugerah bulan Ramadhan terhadap umat Islam. Ajaran Islam meraikan perasaan semulajadi insan untuk bergembira apabila mendapat sesuatu yang menggembirakan perasaan mereka.

Kelebihan berpuasa

Antara hadisnya :

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يضاعَفُ ، الحسنةُ بِعَشْرِ أمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِئَةِ ضِعْفٍ . قَالَ الله تَعَالَى : إِلاَّ الصَّوْمَ فَإنَّهُ لِي وَأنَا أجْزِي بِهِ ؛ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أجْلِي . للصَّائِمِ فَرْحَتَانِ : فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ . وَلَخُلُوفُ فِيهِ أطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيحِ المِسْكِ

Maksudnya : “Semua amalan anak Adam akan digandakan. Satu kebaikan akan digandakan dengan sepuluh  sehingga tujuh ratus kebaikan, Allah berfirman : “ kecuali puasa kerana ia untukku dan aku akan membalas pahalanya disebabkan dia meninggalkan syahwat dan makanannya keranaku. Bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan : " Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu tuhannya". Bau mulut orang berpuasa di sisi Allah adalah lebih harum daripada haruman kasturi” ( Muslim, Sahih Muslim, no. 1151, hlm. 310, Maktabah Alfa )

Di dalam hadis ini dinyatakan kelebihan berpuasa bulan Ramadhan iaitu :

1. Satu amalan kebaikan yang dilakukan muslim akan digandakan sepuluh sehingga tujuh ratus kali ganda.

2. Amalan puasa akan digandakan pahala lebih dari tujuh ratus kali ganda dan hanya Allah yang Maha mengetahui gandaannya.

3. Amalan berpuasa di bulan Ramadhan adalah paling utama kerana ia amalan yang jauh daripada riyak ( menunjuk-nunjuk ).

4. Orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika ia berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Allah  di Akhirat.

Maksud perkataan “ puasa untukku dan aku akan membalasnya”.

Kata Ahmad Umar Hasyim dalam kitab Adwa Min Huda al-Nubuwwah perkataan “ puasa untukku dan aku akan membalasnya” membawa maksud puasa daripada jenis amalan yang tidak mempunyai ruang untuk riyak berbanding amalan-amalan kebaikan lain. ( Ahmad Umar Hasyim, Adwa Min Huda al-Nubuwwah, hlm. 135 )

5. Bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah adalah lebih harum dari haruman kasturi.

Di sebalik kelebihan berpuasa yang dinyatakan dalam hadis ini dan hadis-hadis lain, terdapat tujuan utama puasa diwajibkan kepada umat islam. Melazimi takwa kepada Allah pada setiap saat adalah menjadi tujuan terakhir kenapa puasa diwajibkan kepada seluruh umat islam sepanjang zaman.

Takwa pula memberi maksud melakukan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya. Allah memberikan masa sebulan kepada umat islam untuk menjalani latihan takwa. Berjayakah kita dalam  latihan ini ?





Friday, June 20, 2014

Dengan Apa Kita Sambut Ramadhan?

Berkongsi dengan pembaca  tentang tajuk “Dengan Apa Kita Sambut Ramadhan” ? Tajuk ini telah disampaikan oleh Syeikh Ismail Humaidi rahimahullah yang  merupakan  salah seorang ulama Mesir terkenal yang sempat penulis kenali.

Beliau merupakan warganegara Mesir yang menetap di  Arab Saudi. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai imam dan khatib di Masjid al-Qiblatain di Madinah.

Antara Intisarinya :

*Sedarlah masa cepat berlalu dan jangan abaikan masa. Ramadhan tahun lepas dengan Ramadhan
  tahun ini sangat pantas kerana masa saling berdekatan.

*Berapa ramai orang-orang yang tidak bersama kita sekarang untuk menyambut Ramadhan  tahun
  ini? Mereka  semua di alam kubur.

*Jangan banyak habiskan masa di pasar-pasar dan gedung-gedung perniagaan.

*Ubah  kejahatan dengan  mendekatkan diri kepada Allah.

*Bacalah al-Quran. 

*fahami makna  al-Quran dengan merujuk kepada kitab-kitab agama seperti kitab tafsir,  
  hadis, Feqah,  fatwa. Contohnya suami baca pada malam Ramadhan bab sirah Rasul, bab zakat  
 fitrah dan lain-lain kepada isteri dan anak-anak.

*Jaga lidah dan anggota  badan dari maksiat.

*Lakukan solat  sunat Terawih

( Intisari Khutbah Ramadhan Syeikh Ismail Humaidi rahimahullah )

Syeikh Ismail Humaidi rahimahullah ( 1945-2007 )

Ambillah kata-kata pedoman daripada orang yang telah mendahului  kita ini ( meninggal tahun 2007 dan dikebumikan di perkuburan sahabat di al-Baqie Madinah berdekatan kubur Uthman al-Affan r.a.hu. ) Penulis baru menyedari kehilangan beliau tahun 2014.

Pepatah Melayu mengatakan : “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama” . Salam Ramadhan 1435H.

Wednesday, June 11, 2014

Nisfu Syaaban : Antara bidaah dan syariat.

Malam Nisfu Syaaban

Isu lama yang tiada pengakhiran antara dua golongan berkenaan amalan menghidupkan malam Nisfu Syaaban (pertengahan bulan Syaaban). Persoalan berkisar amalan membaca Yasin selepas waktu Maghrib sebanyak tiga kali, membaca doa Nisfu Syaaban, solat sunat Nisfu Syaaban, dan puasa sunat pada siangnya. Adakah semua ini bidaah atau syariat?

Pendapat golongan pertama (aliran salaf ) mengatakan menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan ibadat khusus secara berjemaah adalah bidaah. Mereka berpendapat setiap bidaah adalah dhalalah  (sesat) kerana perkara ini tidak pernah dilakukan oleh nabi s.a.w. , para sahabat dan tabien. Golongan ini juga berpendapat tiada istilah bidaah hasanah ( baik ). Setiap bidaah adalah dhalalah. Contohnya amalan membaca Yasin sebanyak tiga kali secara berjemaah selepas Maghrib pada malamnya. Nabi s.a.w dan para sahabat tidak pernah melakukannya.

Yusuf al-Qaradawi berkata :

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabat, tabien dan tabi tabien). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggah dan bertentang maknanya. Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.”( Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Muasarah, hlm. 382-383, jld. 1)

Sementara golongan kedua (aliran khalaf) berpendapat ia adalah amalan yang disyariatkan.Walaupun nabi s.a.w. dan para sahabat tidak melakukannya namun ia adalah baik kerana termasuk dalam bab berzikir kepada Allah berdasarkan dalil umum.

Kata Ali Jumaah dalam fatwanya :

" Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya ( Lataif al-Maarif ) :

“Ulama di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban kepada dua pandangan.

Pertama :

Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid.

Khalid b. Maadan dan Luqman b. Amir dan selain daripada mereka telah memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta mengenakan celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.


Dan Ishaq b.  Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka terhadap perkara tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan ibadah di masjid secara berjamaah : “Perkara tersebut tidaklah menjadi bidaah.” Perkataan ini dinukilkan oleh Harb al-Kirmani di dalam kitab Masail. 

Kedua :


Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya di masjid untuk melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh sekiranya seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan al-Auzaie Imam penduduk Syam.(http://elmansyud.blogspot.com/2009/08/solat-dan-doa-pada-malam-nisfu-syaban.html )

Hadis sahih Nisfu Syaaban

عن مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ ". 

Maksudnya :Daripada Muaz b. Jabal r.a.hu. Rasulullah s.a.w. bersabda : “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, ( syuaib al-Arnaut) hlm.481, jld.12, no. 5665)

Syuaib al-Arnaut mensahihkan hadis ini dengan mengatakan hadis ini sahih dengan banyak syawahid ( hadis-hadis menyokong matan ).Hadis ini juga terdapat di dalam Musnad Ahmad, al-Tabrani dan lain-lain.

Hadis Maudu Nisfu Syaaban

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله وجهه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ".


Maksudnya :“Daripada Ali r.a.hu bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Apabila masuk malamNisfu Syaaban, maka hendaklah kamu bangun pada malamnya dan berpuasa pada siang harinya, Sesungguhnya Allah Taala turun ke langit dunia pada malamnya setelah terbenamnya matahari, lalu Allah berkata : “Sesiapa yang memohon keampunan padaKu maka Aku akan mengampunkan baginya, Sesiapa yang memohon rezeki padaKu maka Aku akan memberikannya rezeki, Sesiapa yang ditimpa musibah maka Aku akan melepaskannya, sesiapa yang demikian..sesiapa yang demikian..sehinggalah terbitnya fajar.”
(Ibn Majah,Sunan Ibn Majah,(Muhammad fuad) hlm. 444, jld. 1, no. 3888 )

Kata al-Albani hadis ini terlalu dhaif atau maudhu kerana salah seorang perawi hadis ini yang bernama Ibn Sabrah atau Abu Bakar b. Abdullah b. Muhammad b. Abu Sabrah adalah perawi yang lemah. (Ibn Majah,Sunan Ibn Majah,(Muhammad fuad) hlm. 444, jld. 1, no. 3888 )

Ahmad b. Hanbal dan Yahya b. Main mengatakan Ibn Sabrah adalah seorang pereka hadis palsu. Perkataan ini juga dinukilkan daripada Ibn Hajar dalam al-Taqrib dan al-Zahabi dalam Lisan al-Mizan.

Sementara al-Nasai mengatakan Ibn Sabrah matruk al-hadis ( ditinggalkan hadisnya ) Ibn al-Jauzi telah meletakkakn hadis ini dalam kitabnya al-Mauduah sebagai hadis palsu. ( al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, hlm. 366-368, jld. 3 )

Kesimpulan

Amalan menghidupkan malam Nisfu Syaaban secara berjemaah dengan bacaan Yasin, doa Nisfu Syaaban, solat Nisfu Syaaban, puasa Nisfu Syaaban adalah menjadi bidaah yang diharamkan jika seseorang beranggapan perkara ini telah diwajibkan oleh agama.

Hal ini kerana tiada dalil yang sahih menyatakan bahawa nabi s.a.w dan para sahabat melakukan amalan ini secara berjemaah.

Gandaan amalan bidaah akan terkena sekiranya seseorang melakukan solat sunat Nisfu Syaaban dan  berpuasa sunat Nisfu Syaaban pada siangnya. Hadis yang menganjurkan hal ini adalah hadis palsu mengikut kebanyakkan ahli hadis.Mereka mengatakan  Ibn Sabrah salah seorang perawi hadis ( riwayat ibn Majah ) telah dihukum pereka hadis palsu. Teks doa malam Nisfu Syaaban juga mengalami kekacauan makna. 

Namun begitu kelebihan malam Nisfu Syaaban tetap  ada seperti yang digambarkan dalam  hadis sahih Ibn Hibban yang menerangkan keampunan Allah Taala kepada semua hambanya yang memohon ampun kepadanya. Mereka akan diampunkan kecuali orang yang bersyirik dan orang yang saling bermusuh.

Tidak menjadi kesalahan sekiranya seseorang menghidupkannya secara berjemaah dengan menganggap ia sebagai majlis zikir untuk mengingati Allah Taala tanpa mewajibkannya. Begitu juga tidak menjadi kesalahan jika seseorang  berpuasa siangnya dengan berniat puasa sunat Hari Putih ( puasa sunat 13,14, 15 setiap bulan Hijrah ) atau berniat puasa sunat mutlak.

Ajaran agama tidak boleh direka cipta. Ia mestilah berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah. Amalan yang menyalahi dalil khusus atau dalil umum dari al-Quran dan al-Sunnah akan menjadi amalan bidaah.

Dalam isu ini yang paling afdhal ialah kita mengikut jejak langkah nabi s.a.w dan para sahabat. Mereka menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan bertahajud, membaca al-Quran, dan beristighfar secara individu di rumah masing-masing. Perkara ini mempunyai hikmat yang tersendiri. Hanya jalan yang telah ditunjukkan oleh nabi s.a.w.  dan para sahabat adalah paling benar dan terbaik untuk diteladani.