Anugerah yang tidak terhingga kepada hamba-hambanya
yang terpilih. Ketibaan yang dinanti-nanti oleh hati-hati yang tulus. Dijanjikan
keampunan kepada sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan. Telah tiba saat
dan peluangnya. Inilah Ramadhan bulan yang diturunkan al-Quran. “Ahlan Wa
sahlan Ya Ramadhan” dengan penuh riang berbunga kami ungkapkan dan menyambut
kedatanganmu.
Ramadhan di Mesir
Pengalaman menyambut Ramadhan ketika penulis berada di
perlembahan Nil ( Mesir ) sewaktu masa dahulu menjadi nostalgia yang
tersendiri. Ketika Ramadhan menjelang Orang-orang Arab Mesir saling berbalas
ucapan tahniah sesama mereka dengan ucapan “Ramadhan Karim“ atau “Ramadhan
Mubarak “ dengan kedua-duanya bermaksud “Selamat menyambut bulan
Ramadhan yang mulia”.
Ucapan lain adalah “ Kullu ‘Amin Wa Antum Bi Khair
” bermaksud “ Setiap tahun anda berada dalam kebaikan “.
Ucapan-ucapan seumpama ini menjadi mainan bibir apabila masuk sahaja bulan
Ramadhan.
Mereka juga memasang lampu yang dipanggil fanus di
kediaman masing-masing. Fanus ini terdiri daripada pelbagai bentuk dan saiz.
Biasanya ia dipasang lebih daripada satu bagi setiap rumah.
Masjid-masjid juga menyediakan juadah berbuka puasa
yang dipanggil “Maidah al-Rahman”. Makanan ringan berupa buat tamar
dengan susu ketika masuk waktu berbuka.
Selepas solat Maghrib makanan berat diberikan seperti roti atau pun nasi Arab.
Sambutan-sambutan seperti ini diharuskan dalam agama untuk
menzahirkan rasa gembira di atas anugerah bulan Ramadhan terhadap umat Islam.
Ajaran Islam meraikan perasaan semulajadi insan untuk bergembira apabila
mendapat sesuatu yang menggembirakan perasaan mereka.
Kelebihan berpuasa
Antara hadisnya :
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يضاعَفُ ، الحسنةُ بِعَشْرِ أمْثَالِهَا
إِلَى سَبْعِمِئَةِ ضِعْفٍ . قَالَ الله تَعَالَى : إِلاَّ الصَّوْمَ فَإنَّهُ لِي
وَأنَا أجْزِي بِهِ ؛ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أجْلِي . للصَّائِمِ
فَرْحَتَانِ : فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ .
وَلَخُلُوفُ فِيهِ أطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيحِ المِسْكِ
Maksudnya : “Semua amalan anak Adam
akan digandakan. Satu kebaikan akan digandakan dengan sepuluh sehingga tujuh ratus kebaikan, Allah berfirman
: “ kecuali puasa kerana ia untukku dan aku akan membalas pahalanya disebabkan
dia meninggalkan syahwat dan makanannya keranaku. Bagi orang berpuasa akan
mendapat dua kegembiraan : " Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika
bertemu tuhannya". Bau mulut orang berpuasa di sisi Allah adalah lebih harum
daripada haruman kasturi” ( Muslim, Sahih Muslim, no. 1151, hlm.
310, Maktabah Alfa )
Di dalam hadis ini dinyatakan kelebihan
berpuasa bulan Ramadhan iaitu :
1. Satu amalan kebaikan yang dilakukan muslim akan digandakan sepuluh sehingga tujuh ratus kali ganda.
2. Amalan puasa akan digandakan pahala lebih dari tujuh ratus kali ganda dan hanya Allah yang Maha mengetahui gandaannya.
2. Amalan puasa akan digandakan pahala lebih dari tujuh ratus kali ganda dan hanya Allah yang Maha mengetahui gandaannya.
3. Amalan berpuasa di bulan Ramadhan adalah
paling utama kerana ia amalan yang jauh daripada riyak ( menunjuk-nunjuk ).
4. Orang yang berpuasa akan mendapat dua
kegembiraan iaitu kegembiraan ketika ia berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu
Allah di Akhirat.
Maksud perkataan “ puasa untukku dan aku
akan membalasnya”.
Kata Ahmad Umar Hasyim dalam kitab Adwa Min
Huda al-Nubuwwah perkataan “ puasa untukku dan aku akan membalasnya”
membawa maksud puasa daripada jenis amalan yang tidak mempunyai ruang untuk
riyak berbanding amalan-amalan kebaikan lain. ( Ahmad Umar Hasyim, Adwa Min
Huda al-Nubuwwah, hlm. 135 )
5. Bau mulut orang yang berpuasa di sisi
Allah adalah lebih harum dari haruman kasturi.
Di sebalik kelebihan berpuasa yang dinyatakan
dalam hadis ini dan hadis-hadis lain, terdapat tujuan utama puasa diwajibkan
kepada umat islam. Melazimi takwa kepada Allah pada setiap saat adalah menjadi tujuan
terakhir kenapa puasa diwajibkan kepada seluruh umat islam sepanjang zaman.
Takwa pula memberi maksud melakukan segala
suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya. Allah memberikan masa sebulan kepada umat islam untuk menjalani latihan takwa. Berjayakah kita dalam latihan ini ?
No comments:
Post a Comment