Malam Nisfu
Syaaban
Isu lama yang tiada pengakhiran antara dua golongan berkenaan
amalan menghidupkan malam Nisfu Syaaban (pertengahan bulan Syaaban). Persoalan berkisar
amalan membaca Yasin selepas waktu Maghrib sebanyak tiga kali, membaca doa
Nisfu Syaaban, solat sunat Nisfu Syaaban, dan puasa sunat pada siangnya. Adakah
semua ini bidaah atau syariat?
Pendapat golongan pertama (aliran salaf ) mengatakan
menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan ibadat khusus secara berjemaah adalah
bidaah. Mereka berpendapat setiap bidaah adalah dhalalah (sesat) kerana perkara ini tidak pernah
dilakukan oleh nabi s.a.w. , para sahabat dan tabien. Golongan ini juga
berpendapat tiada istilah bidaah hasanah ( baik ). Setiap bidaah adalah
dhalalah. Contohnya amalan membaca Yasin sebanyak tiga kali secara berjemaah
selepas Maghrib pada malamnya. Nabi s.a.w dan para sahabat tidak pernah
melakukannya.
Yusuf al-Qaradawi berkata :
“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan
para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu
Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada
sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai
berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah
Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula
dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang
tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabat, tabien dan tabi tabien).
Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah)
juga bercanggah dan bertentang maknanya. Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban)
seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang
Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar
yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala
keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang
diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang
sesat itu dalam neraka.”( Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Muasarah, hlm. 382-383, jld. 1)
Sementara golongan
kedua (aliran khalaf) berpendapat ia adalah amalan yang disyariatkan.Walaupun nabi s.a.w. dan para
sahabat tidak melakukannya namun ia adalah baik kerana termasuk dalam bab
berzikir kepada Allah berdasarkan dalil umum.
Kata
Ali Jumaah dalam fatwanya :
" Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di
dalam kitabnya ( Lataif al-Maarif ) :
“Ulama di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban kepada dua pandangan.
Pertama :
Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid.
Kedua :
“Ulama di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban kepada dua pandangan.
Pertama :
Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid.
Khalid b. Maadan dan Luqman b. Amir dan selain
daripada mereka telah memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta
mengenakan celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.
Dan Ishaq b. Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka
terhadap perkara tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan
ibadah di masjid secara berjamaah : “Perkara tersebut tidaklah menjadi bidaah.”
Perkataan ini dinukilkan oleh Harb al-Kirmani di dalam kitab Masail.
Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya
di masjid untuk melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh
sekiranya seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah
pandangan al-Auzaie Imam penduduk Syam.(http://elmansyud.blogspot.com/2009/08/solat-dan-doa-pada-malam-nisfu-syaban.html
)
Hadis sahih Nisfu Syaaban
عن مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى
جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ
خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ ".
Maksudnya :Daripada Muaz b. Jabal r.a.hu. Rasulullah
s.a.w. bersabda : “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam Nisfu
Syaaban, maka Dia mengampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang
syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban,
( syuaib al-Arnaut) hlm.481, jld.12, no. 5665)
Syuaib al-Arnaut mensahihkan hadis ini dengan
mengatakan hadis ini sahih dengan banyak syawahid ( hadis-hadis menyokong matan
).Hadis ini juga terdapat di dalam Musnad Ahmad, al-Tabrani dan
lain-lain.
Hadis Maudu
Nisfu Syaaban
عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله وجهه قَالَ : قَالَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "إِذَا كَانَتْ
لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا
فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا
فَيَقُولُ أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا مُسْتَرْزِقٌ
فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا حَتَّى
يَطْلُعَ الْفَجْرُ".
Maksudnya :“Daripada Ali r.a.hu bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda : “Apabila masuk malamNisfu Syaaban, maka hendaklah
kamu bangun pada malamnya dan berpuasa pada siang harinya, Sesungguhnya Allah
Taala turun ke langit dunia pada malamnya setelah terbenamnya matahari, lalu
Allah berkata : “Sesiapa yang memohon keampunan padaKu maka Aku akan
mengampunkan baginya, Sesiapa yang memohon rezeki padaKu maka Aku akan
memberikannya rezeki, Sesiapa yang ditimpa musibah maka Aku akan melepaskannya,
sesiapa yang demikian..sesiapa yang demikian..sehinggalah terbitnya fajar.”
(Ibn Majah,Sunan Ibn
Majah,(Muhammad fuad) hlm. 444, jld. 1, no. 3888 )
Kata al-Albani hadis ini terlalu
dhaif atau maudhu kerana salah seorang perawi hadis ini yang bernama Ibn Sabrah
atau Abu Bakar b. Abdullah b. Muhammad b. Abu Sabrah adalah perawi yang lemah. (Ibn
Majah,Sunan Ibn Majah,(Muhammad fuad) hlm. 444, jld. 1, no. 3888 )
Ahmad b. Hanbal dan Yahya b. Main
mengatakan Ibn Sabrah adalah seorang pereka hadis palsu. Perkataan ini juga dinukilkan
daripada Ibn Hajar dalam al-Taqrib dan al-Zahabi dalam Lisan al-Mizan.
Sementara al-Nasai mengatakan Ibn
Sabrah matruk al-hadis ( ditinggalkan hadisnya ) Ibn al-Jauzi
telah meletakkakn hadis ini dalam kitabnya al-Mauduah sebagai hadis
palsu. ( al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, hlm. 366-368, jld. 3 )
Kesimpulan
Amalan menghidupkan
malam Nisfu Syaaban secara berjemaah dengan bacaan Yasin, doa Nisfu Syaaban,
solat Nisfu Syaaban, puasa Nisfu Syaaban adalah menjadi bidaah yang diharamkan jika
seseorang beranggapan perkara ini telah diwajibkan oleh agama.
Hal ini kerana tiada dalil yang sahih menyatakan bahawa nabi s.a.w dan para sahabat melakukan amalan ini secara berjemaah.
Gandaan amalan bidaah akan terkena sekiranya seseorang melakukan
solat sunat Nisfu Syaaban dan berpuasa sunat
Nisfu Syaaban pada siangnya. Hadis yang menganjurkan hal ini adalah hadis palsu
mengikut kebanyakkan ahli hadis.Mereka mengatakan Ibn Sabrah salah seorang perawi hadis (
riwayat ibn Majah ) telah dihukum pereka hadis palsu. Teks doa malam Nisfu
Syaaban juga mengalami kekacauan makna.
Namun begitu
kelebihan malam Nisfu Syaaban tetap ada seperti
yang digambarkan dalam hadis sahih Ibn
Hibban yang menerangkan keampunan Allah Taala kepada semua hambanya yang
memohon ampun kepadanya. Mereka akan diampunkan kecuali orang yang bersyirik dan
orang yang saling bermusuh.
Tidak menjadi
kesalahan sekiranya seseorang menghidupkannya secara berjemaah dengan menganggap ia sebagai majlis zikir untuk mengingati Allah
Taala tanpa mewajibkannya. Begitu juga tidak menjadi kesalahan jika seseorang berpuasa siangnya dengan berniat puasa sunat Hari
Putih ( puasa sunat 13,14, 15 setiap bulan Hijrah ) atau berniat puasa sunat mutlak.
Ajaran agama tidak boleh direka cipta. Ia mestilah berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah. Amalan yang menyalahi dalil khusus atau dalil umum dari al-Quran dan al-Sunnah akan menjadi amalan bidaah.
Ajaran agama tidak boleh direka cipta. Ia mestilah berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah. Amalan yang menyalahi dalil khusus atau dalil umum dari al-Quran dan al-Sunnah akan menjadi amalan bidaah.
Dalam isu ini
yang paling afdhal ialah kita mengikut jejak langkah nabi s.a.w
dan para sahabat. Mereka menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan bertahajud, membaca al-Quran, dan beristighfar secara individu di
rumah masing-masing. Perkara ini mempunyai hikmat yang tersendiri. Hanya jalan yang telah ditunjukkan oleh
nabi s.a.w. dan para sahabat adalah paling benar dan terbaik untuk diteladani.
terima kasih atas perkongsian:)
ReplyDeleteAfwan.
ReplyDelete