أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Friday, August 29, 2014

Peritnya zaman penjajahan dan erti nikmat kemerdekaan

Kalimah merdeka merupakan kalimah keramat bagi menerangkan sesebuah negara bebas dari penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain ( DBP, Kamus Dewan, hlm. 1024 ). Bukan mudah untuk melafazkan kalimah ini. Mengimbasi sejarah Malaysia menunjukkan betapa perit dan azabnya berada pada zaman-zaman penjajahan.


Bermula dengan jatuhnya Kota Melaka pada tahun 1511 oleh Portugis, maka era penjajahan berterusan silih berganti dengan kedatangan Belanda, Inggeris, siam, Jepun, dan Inggeris kali kedua sehinggalah Malaysia diistiharkan merdeka pada tahun 1957.

Cebisan kisah kekejaman Jepun

Penjajahan Jepun  antara yang terkenal dengan kezaliman dan keperitan hidup rakyat negara ini. Penulis sempat bertanya pengalaman beberapa penduduk kampung sendiri yang pernah hidup pada zaman Jepun.




Salah seorang menceritakan,  sewaktu menaiki basikal ke tempat kerja dan sampai di Bunot Payong kira-kira tiga kilometer dari Kota Bharu beliau dan rakan-rakan ditahan tentera Jepun hanya kerana tentera Jepun ingin mendengar lagu negara mereka dinyanyikan ( Lagu Aikoku Koushin ). Mujurnya semua mereka dapat mengingati lagu kebangsaan negara itu. Mereka yang tidak mengingati lagu akan ditampar tanpa belas kasihan. Kemungkinan ini timbulnya perkataan” Penampar Jepun”. 

Seorang penduduk lain menceritakan sewaktu Jepun datang beliau berumur tujuh tahun ketika itu askar-askar Jepun menyerang kampung dan bom-bom digugurkan. Beliau dibawa lari oleh ibunya ke dalam hutan berhampiran dalam keadaan kelam kabut dan tidak sempat memakai pakaian.

Penduduk lain menceritakan askar-askar Jepun bertempur dengan askar-askar Inggeris dan beliau melihat askar-askar Inggeris kalah dan berundur dan beberapa mayat askar Inggeris yang terdiri daripada bangsa Benggali dihumbankan ke dalam telaga.

Keinsafan

Kisah-kisah seumpama ini sewajarnya menjadi keinsafan kepada generasi hari ini betapa bertuahnya generasi kini. Generasi yang hidup bebas bergerak ke sana sini tanpa ada sekatan. Sentiasa aman dari serangan bom dan bedilan. Makanan dan minuman yang melimpah-limpah dan ditambah lagi dengan kemudahan komunikasi yang berada di hujung jari.

Penghargaan yang tidak ternilai ditujukan kepada generasi pejuang terdahulu yang berkorban nyawa harta dan kehidupan kerana membela agama bangsa dan tanahair tercinta. Kesyukuran kepada Allah s.w.t  di atas nikmat kedamaian ini.

Bumi Gaza yang  bermandi darah menjadi nilaian sesebuah negara bebas dari kekejaman penjajahan. Beruntungnya rakyat Malaysia yang terus menikmati kedamaian dan kemakmuran tanpa batasan.

Kemerdekaan hakiki

Dari sudut kehidupan seorang muslim pengertian kemerdekaan dapat disimpulkan sebagai kemerdekaan atau kebebasan dari api neraka. Dalam al-Quran Allah s.w.t. menjelaskan :

فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا مَتَاعُ الْغُرُورِ (185)

Maksudnya : “ Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya” ( Ali Imran : 4 ( 185 )

Kata al-Sya’rawi dalam tafsirnya kejayaan yang besar adalah kebebasan dari api neraka. Kejayaan bebas dari api neraka adalah lebih utama dari dimasukkan ke dalam syurga. ( Al-Sya’rawi, Tafsir al-Sya’rawi, hlm. 100, j. 1 )

Muslim yang prihatin terhadap ajaran agama hendaklah menginsafi nikmat kemerdekaan negara dan pada masa yang sama hendaklah menyedari kemerdekaan yang hakiki adalah kemerdekaan dari api neraka. Kemerdekaan dari api neraka pula lebih diutamakan dari dimasukkan ke dalam syurga.

Selamat menyambut hari kemerdekaan negara ke-57.“ Malaysia… Di sini Lahirnya Sebuah Cinta “. Semoga Malaysia kekal aman, makmur, dan merdeka.

Sunday, August 17, 2014

Masih 6 Syawal

Masih berada dalam bulan syawal yang mulia. Suatu anugerah Allah di atas kesabaran menjalani ibadat selama sebulan. 1 Syawal yang disambut adalah hari kasih sayang dan keampunan Allah kepada semua hamba yang beriman serta menjadi pengubat di atas pemergian Ramadhan yang mulia.

Segala ibadat-ibadat yang dilakukan tidaklah terhenti dengan pemergian Ramadhan tetapi hendaklah diteruskan pada bulan-bulan yang lain selepas Ramadhan.

Ibadat yang paling diutamakan pada bulan ini adalah berpuasa sunat sebanyak enam hari. Pahalanya menyamai setahun berpuasa.




 Rasulullah bersabda :
من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر

Rasulullah SAW. bersabda, Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun.( Muslim no. 1164 )

Huraian Hadis: 

1. Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa melakukan amalan kebaikan walau dengan kadar yang sedikit. ( istiqamah )

2. Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Hal ini boleh difahami dengan kiraan berikut :

- 1 kebaikan digandakan 10 gandaan. ( mafhum hadis yang lain )
- 30 Ramadhan x 10 gandaan = 300 kebaikan.
- 6 Syawal x 10 gandaan = 60 kebaikan.
- 30 + 6 hari = 36 hari berpuasa x 10 = 360 kebaikan.
- 1 tahun = 12 bulan x 30 hari = 360 hari.

3. Disunatkan berpuasa Syawal bila-bila masa sepanjang Syawal. Diharuskan juga berpuasa berselang seli seperti puasa nabi Daud a.s.

Dengan Syawal yang masih berbaki 8 atau 9 hari lagi maka peluang masih terbuka kepada orang-orang yang ingin mendapat pahala setahun berpuasa. Rebutlah yang berbaki ini…



Friday, August 1, 2014

Ramadhan : Saat-Saat Pemergian

Ramadhan kali ini dan kita sudah berada di penghujungnya. Ramadhan bulan berkat dan rahmat akan pergi meninggalkan kita. Ramadhan… mengapa secepat ini engkau akan pergi ?

Bulan yang di dalamnya dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka, bulan yang di dalamya puasa dan al-Quran, bulan yang di dalamnya disediakan pintu syurga al-Rayyan, bulan yang terdapat di dalamnya  dua kegembiraan. Bulan yang di dalamnya sedekah, bulan yang di dalamnya silatulrahim, bulan yang di dalamnya qiamulail dan bulan yang di dalamnya kasih sayang dan pengampunan Allah.

Ramadhan… perasaan kami tidak puas dengan kedatanganmu yang terasa sekejap. Masih tidak puas menghirup kemanisan ibadat yang mempersona jiwa. Saat rintihan pengabdian kepada tuhan. Alunan al-Quran dan zikir memecah jiwa. Sedekah dan silatulrahim menyebak dada. Ramadhan… Pemergian ini satu keperitan abadi.

Segala siri latihan yang dilalui akan digenggami. Kemanisan ibadat akan diamali sepenuh hati. Mengingati janji-janji Allah adalah pasti. Semoga tuhan memberkati amalan Ramadhan yang dirindui. Istiqamah adalah jawapan pasti beserta izin Ilahi.





Bersyukur kepada tuhan dengan anugerah Syawal yang akan menjelma. Hadiah tuhan kepada hamba-hambanya yang taat. Pengubat duka jiwa yang kehilangan Ramadhan. Hari kejayaan dan keampunan kepada hamba-hambanya.

Selamat tinggal Ramadhan semoga bertemu kembali. Selamat datang Syawal semoga sinar kebahagiaan menjadi insan sejati.

Tuesday, July 8, 2014

Ramadhan : Puasa dan al-Quran sebagai syafaat

Antara amalan yang menjadi syafaat ( penolong ) pada hari akhirat ialah amalan berpuasa dan amalan membaca al-Quran. Dalam hadis riwayat Ahmad Rasulullah s.a.w. telah bersabda :


الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة يقول الصيام أي رب منعته الطعام والشهوات بالنهار فشفعني فيه ويقول القرآن منعته النوم بالليل فشفعني فيه قال فيشفعان


Maksudnya : “Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat dengan katanya wahai tuhan aku telah menghalangnya makan dan menghalag nafsu syahwat pada siang maka jadikanlah aku sebagai syafaat baginya manakala al-Quran berkata aku telah menghalangnya tidur pada malam hari maka berilah syafaat  kepadanya kemudian kata rasul kedua duanya memberi syafaat ( Ahmad b. Hanbal, Musnad Ahmad, no.6626 )


Hadis menerangkan ibadat puasa yang terkandung di dalamya menahan makan dan minum dan menahan nafsu syahwat serta perkara-perkara yang membatalkan puasa akan menjadi syafaat. Begitu juga amalan membaca al-Quran akan turut memberi syafaat kepada pembacanya pada hari akhirat


Tadarus  dan tadabur al-Quran


Kelebihan amalan membaca al-Quran sebagai pemberi syafaat diterangkan dalam riwayat Bukhari dan Muslim.


اقرءوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعاً لأصحابه


Maksudnya: “ Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya dia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya”


Bacaan al-Quran secara tadarus ( bacaan al-Quran berkumpulan dan saling membetulkan bacaan ) amat digalakkan di dalam bulan ramadhan. Setiap kesalahan bacaan yang berlaku akan dibetulkan oleh ahli kumpulan tadarus tersebut secara langsung. Dengan ini mutu pembacaan al-Quran  ahli kumpulan tadarus semakin baik.



 



Selain amalan membaca al-Quran secara individu atau bertadarus hendaklah ditambah nilai amalan dengan tadabur al-Quran ( memahami makna al-Quran ).

Kata Yusuf al-Qaradhawi :


“ Tidak cukup untuk seseorang muslim membaca dan beriman dengan al-Quran tetapi hendaklah ditambah dengan tadabur dan mahir dengan maknanya”  Yusuf al-Qaradhawi, al-Marjiah al-ulya fi al-Islam li al-Quran wa al-Sunnah, hlm. 22 )   


Hal ini memberi makna setiap individu muslim hendaklah berusaha memahami al-Quran yang dibaca mengikut kadar kemampuan yang ada pada dirinya. Sekurang-kurangnya dia memahami surah al-Fatihah dan surah-surah lazim yang dibaca.

Sebagai permulaan usaha ini hendaklah merujuk kepada terjemahan al-Quran  atau kitab-kitab tafsir yang diterjemahkan dalam Bahasa Melayu. Kitab-kitab atau program terjemahan al-Quran sangat mudah didapati dalam dunia moden hari ini.

Sebagai contoh tadabur untuk diinsafi ketika membaca ayat 43 - 46 surah al-Dukhan :


إِنَّ شَجَرَةَ الزَّقُّومِ (43) طَعَامُ الأثِيمِ (44) كَالْمُهْلِ يَغْلِي فِي الْبُطُونِ (45) كَغَلْيِ الْحَمِيمِ (46

Maksudnya : “ Sesungguhnya pokok Zaqqum, ( buahnya menjadi makanan bagi orang yang berdosa, seperti tembaga cair yang mendidih di dalam perut, seperti mendidihnya air yang meluap-luap  panasnya “ ( surah al-Dukhan : 43-46 )

Makanan ahli neraka adalah buah Zaqqum berbentuk  tembaga cair  yang  mendidih di dalam perut apabila dimakan. Sungguh dahsyat !!! Tadaburlah ayat-ayat azab seperti ini dan tanyalah diri sendiri adakah kita akan selamat ???

Saturday, June 28, 2014

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Anugerah yang tidak terhingga kepada hamba-hambanya yang terpilih. Ketibaan yang dinanti-nanti oleh hati-hati yang tulus. Dijanjikan keampunan kepada sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan. Telah tiba saat dan peluangnya. Inilah Ramadhan bulan yang diturunkan al-Quran. “Ahlan Wa sahlan Ya Ramadhan” dengan penuh riang berbunga kami ungkapkan dan menyambut kedatanganmu.

Ramadhan di Mesir

Pengalaman menyambut Ramadhan ketika penulis berada di perlembahan Nil ( Mesir ) sewaktu masa dahulu menjadi nostalgia yang tersendiri. Ketika Ramadhan menjelang Orang-orang Arab Mesir saling berbalas ucapan tahniah sesama mereka dengan ucapan “Ramadhan Karim“ atau “Ramadhan Mubarak “ dengan kedua-duanya bermaksud “Selamat menyambut bulan Ramadhan yang mulia”.

Ucapan lain adalah “ Kullu ‘Amin Wa Antum Bi Khair ” bermaksud “ Setiap tahun anda berada dalam kebaikan “. Ucapan-ucapan seumpama ini menjadi mainan bibir apabila masuk sahaja bulan Ramadhan.

Mereka juga memasang lampu yang dipanggil fanus di kediaman masing-masing. Fanus ini terdiri daripada pelbagai bentuk dan saiz. Biasanya ia dipasang lebih daripada satu bagi setiap rumah.

Masjid-masjid juga menyediakan juadah berbuka puasa yang dipanggil “Maidah al-Rahman”. Makanan ringan berupa buat tamar dengan susu ketika  masuk waktu berbuka. Selepas solat Maghrib makanan berat diberikan seperti roti atau pun nasi Arab.




Sambutan-sambutan seperti ini diharuskan dalam agama untuk menzahirkan rasa gembira di atas anugerah bulan Ramadhan terhadap umat Islam. Ajaran Islam meraikan perasaan semulajadi insan untuk bergembira apabila mendapat sesuatu yang menggembirakan perasaan mereka.

Kelebihan berpuasa

Antara hadisnya :

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يضاعَفُ ، الحسنةُ بِعَشْرِ أمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِئَةِ ضِعْفٍ . قَالَ الله تَعَالَى : إِلاَّ الصَّوْمَ فَإنَّهُ لِي وَأنَا أجْزِي بِهِ ؛ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أجْلِي . للصَّائِمِ فَرْحَتَانِ : فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ . وَلَخُلُوفُ فِيهِ أطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيحِ المِسْكِ

Maksudnya : “Semua amalan anak Adam akan digandakan. Satu kebaikan akan digandakan dengan sepuluh  sehingga tujuh ratus kebaikan, Allah berfirman : “ kecuali puasa kerana ia untukku dan aku akan membalas pahalanya disebabkan dia meninggalkan syahwat dan makanannya keranaku. Bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan : " Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu tuhannya". Bau mulut orang berpuasa di sisi Allah adalah lebih harum daripada haruman kasturi” ( Muslim, Sahih Muslim, no. 1151, hlm. 310, Maktabah Alfa )

Di dalam hadis ini dinyatakan kelebihan berpuasa bulan Ramadhan iaitu :

1. Satu amalan kebaikan yang dilakukan muslim akan digandakan sepuluh sehingga tujuh ratus kali ganda.

2. Amalan puasa akan digandakan pahala lebih dari tujuh ratus kali ganda dan hanya Allah yang Maha mengetahui gandaannya.

3. Amalan berpuasa di bulan Ramadhan adalah paling utama kerana ia amalan yang jauh daripada riyak ( menunjuk-nunjuk ).

4. Orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika ia berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Allah  di Akhirat.

Maksud perkataan “ puasa untukku dan aku akan membalasnya”.

Kata Ahmad Umar Hasyim dalam kitab Adwa Min Huda al-Nubuwwah perkataan “ puasa untukku dan aku akan membalasnya” membawa maksud puasa daripada jenis amalan yang tidak mempunyai ruang untuk riyak berbanding amalan-amalan kebaikan lain. ( Ahmad Umar Hasyim, Adwa Min Huda al-Nubuwwah, hlm. 135 )

5. Bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah adalah lebih harum dari haruman kasturi.

Di sebalik kelebihan berpuasa yang dinyatakan dalam hadis ini dan hadis-hadis lain, terdapat tujuan utama puasa diwajibkan kepada umat islam. Melazimi takwa kepada Allah pada setiap saat adalah menjadi tujuan terakhir kenapa puasa diwajibkan kepada seluruh umat islam sepanjang zaman.

Takwa pula memberi maksud melakukan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya. Allah memberikan masa sebulan kepada umat islam untuk menjalani latihan takwa. Berjayakah kita dalam  latihan ini ?





Friday, June 20, 2014

Dengan Apa Kita Sambut Ramadhan?

Berkongsi dengan pembaca  tentang tajuk “Dengan Apa Kita Sambut Ramadhan” ? Tajuk ini telah disampaikan oleh Syeikh Ismail Humaidi rahimahullah yang  merupakan  salah seorang ulama Mesir terkenal yang sempat penulis kenali.

Beliau merupakan warganegara Mesir yang menetap di  Arab Saudi. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai imam dan khatib di Masjid al-Qiblatain di Madinah.

Antara Intisarinya :

*Sedarlah masa cepat berlalu dan jangan abaikan masa. Ramadhan tahun lepas dengan Ramadhan
  tahun ini sangat pantas kerana masa saling berdekatan.

*Berapa ramai orang-orang yang tidak bersama kita sekarang untuk menyambut Ramadhan  tahun
  ini? Mereka  semua di alam kubur.

*Jangan banyak habiskan masa di pasar-pasar dan gedung-gedung perniagaan.

*Ubah  kejahatan dengan  mendekatkan diri kepada Allah.

*Bacalah al-Quran. 

*fahami makna  al-Quran dengan merujuk kepada kitab-kitab agama seperti kitab tafsir,  
  hadis, Feqah,  fatwa. Contohnya suami baca pada malam Ramadhan bab sirah Rasul, bab zakat  
 fitrah dan lain-lain kepada isteri dan anak-anak.

*Jaga lidah dan anggota  badan dari maksiat.

*Lakukan solat  sunat Terawih

( Intisari Khutbah Ramadhan Syeikh Ismail Humaidi rahimahullah )

Syeikh Ismail Humaidi rahimahullah ( 1945-2007 )

Ambillah kata-kata pedoman daripada orang yang telah mendahului  kita ini ( meninggal tahun 2007 dan dikebumikan di perkuburan sahabat di al-Baqie Madinah berdekatan kubur Uthman al-Affan r.a.hu. ) Penulis baru menyedari kehilangan beliau tahun 2014.

Pepatah Melayu mengatakan : “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama” . Salam Ramadhan 1435H.