أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Friday, May 2, 2014

Selayang pandang lawatan Obama ke Malaysia

Pada 26-28 April 2014 merupakan detik bersejarah bagi Malaysia kerana menerima kunjungan daripada Presiden Amerika Barrack Obama. Ini ialah kunjungan kali kedua oleh Presiden Amerika sejak 46 tahun dahulu. Presiden pertama yang mengunjungi Malaysia adalah Lyndon B. Johnson pada tahun 1966.

Utusan Malaysia melaporkan bahawa tiga Memorandum Persefahaman ( MoU ) antara syarikat Malaysia dan AS membabitkan pelaburan bernilai AS2bilion.

Perjanjian ini termasuklah MoU antara Sime Darby-Verdezyne dalam bidang bioteknologi, GE dan AirAsia untuk penyelenggaraan 25 pesawat baharu A3330 AirAsia X. Satu lagi perjanjian antara MetLife dengan kumpulan ArabMalaysian untuk pembelian saham dalam Amlife dan  AmTakaful.

Antara tempat lawatan Obama ialah Masjid Negara dan bertemu dengan Imam Masjid Negara Syeikh Ismail Muhammad. Beliau sempat meminta Obama sebagai Presiden Amerika supaya menghentikan pembunuhan umat Islam di seluruh dunia.

Obama sempat makan nasi lemak dan buah-buahan tempatan seperti durian dan manggis. Menurut Obama  buah durian beliau pernah makan semasa kecil di Indonesia tetapi tidak menyukai rasanya.

Sebagai negara kerdil di peringkat antarabangsa Malaysia tentunya berbangga dengan lawatan Obama sebagai lelaki paling berkuasa di dunia ketika ini di samping dapat mengeratkan persahabatan yang sedia terjalin sejak sekian lama dan dapat meningkatkan kerjasama ekonomi antara dua negara.

Namun bagi sesetengah pihak tujuan lawatan Obama adalah untuk melobi negara-negara Asia termasuk Malaysia supaya menandatangani Perkongsian Perjanjian Trans-Pasifik ( TPPA ). Pengkritik mendakwa perjanjian ini tidak menguntungkan Malaysia dalam jangka masa panjang kerana negara tidak mampu bersaing dengan negara-negara lain yang lebih maju dalam beberapa perkara.

SEKADAR IMPIAN

Alangkah bertuahnya dunia Islam sekiranya Barrak Hussein Obama adalah seorang pemimpin Islam. Pemimpin yang memegang kuasa dunia berdasarkan prinsip-prinsip keadilan Islam. Keadilan yang  merentasi segala bangsa dan agama.

Bangsa pula bukanlah sesuatu yang utama dalam keadilan Islam. Bangsa yang bertakwa dan beriman itulah yang terbaik. Begitulah nilai seseorang manusia adalah berdasarkan takwa. Sesiapa yang paling bertakwa adalah yang paling mulia di sisi Allah. Takwa pula memberi makna melakukan segala suruhan Allah dan meningggalkan segala larangannya.

Dalam satu hadis Rasululah s.a.w. pernah menyatakan :

لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ، وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ، إِلَّا بِالتَّقْوَى

Maksudnya : Tidak ada kelebihan bangsa Arab dengan bangsa Ajam, bangsa Ajam dengan Arab, bangsa berkulit merah dengan berkulit hitam, bangsa berkulit hitam dengan berkulit merah melainkan dengan kelebihan takwa.
( Ahmad b. Hanbal, Musnad Ahmad, ( Syuaib al-Arnaut ) hlm. 474, jld. 38, no. h. 23489 )
Bangsa Ajam dalam hadis di atas ialah bangsa selain  bangsa Arab. Oleh itu nilai takwa yang menjadi ukuran ketinggian sesuatu bangsa.

Realitinya dunia Islam memerlukan pemimpin besar seperti Obama yang  memimpin kuasa besar dunia untuk memakmurkan alam berasaskan prinsip-prinsip keadilan Islam seperti yang pernah tercatat dalam lembaran sejarah silam.









1 comment:

  1. hakikatnya, masyarakat dunia begitu berbangga dengan pencapaian bangsa. baik bangsa China,German, Yahudi dan sebagainya. sungguh Islam itu yang terbaik yang tidak pernah membezakan warna kulit dan kelas masyarakat.

    entri yang bagus. menjadi cetusan untuk berfikir.

    ReplyDelete