أَخْبَرَنَا أَبُو عَبْدِ اللهِ الْحَافِظُ،
أَخْبَرَنَا أَبُو بَكْرٍ مُحَمَّدُ بْنُ الْمُؤَمَّلِ،
حَدَّثَنَا الْفَضْلُ بْنُ مُحَمَّدٍ
الشَّعْرَانِيُّ، حَدَّثَنَا الْقَوَارِيرِيُّ، حَدَّثَنَا زَائِدَةُ، حَدَّثَنَا زِيَادٌ النُّمَيْرِيُّ، عَنْ أَنَسٍ، قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ، قَالَ: " اللهُمَّ
بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ، وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ "
Maksudnya:”Telah
mengkhabarkan kepada kami Abu Abdullah al-Hafiz, telah mengkhabarkan
kepada kami Abu Bakar Muhammad b.
al-Muammal,
telah menghadiskan kepada kami al-Fadl b. Muhammad al-Sya‘rani, telah menghadiskan
kepada kami al-Qawaririy, telah menghadiskan
kepada kami Zaaidah, telah menghadiskan kepada
kami Ziyad, daripada Anas,”Apabila masuk bulan Rejab nabi s.a.w
berdoa:” Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami kepada bulan Ramadhan”
(Abu Bakar al-Baihaqi, Sya’bu
al-Iman, ( Abdul Aliy Abdul Hamid ), hlm. 348, j.5, h. no. 3534)
Latar belakang hadis
Hadis ini sangat masyhur
dan tersebar luas dalam kalangan masyarakat. Ia tercatat dalam kitab-kitab
hadis seperti Musnad Ahmad oleh Ahmad b. Hanbal, Sya‘bu al-Iman
oleh al-Baihaqi, al-Mukjam al-Ausat oleh al-Tabrani.
Memandangkan hadis ini sangat masyhur diperkatakan apabila
masuk sahaja bulan Rejab, maka penulis ingin membincangkan status hadis ini dari
sudut ilmu Mustalah al-Hadis supaya masyarakat lebih jelas dan dapat mengamalkan
sesuatu hadis dengan yakin.
Sahih , dhaif atau
maudhu?
Status sebuah hadis sama
ada sahih, dhaif atau maudhu ditentukan oleh sanad ( rangkaian perawi ) dan
matan ( teks hadis ). Hadis menjadi sahih jika menepati lima syarat sahih iaitu
hadis bersambung sanad, perawi adil, dhabt, tidak syaz dan tidak illah. Jika
tidak mencapai syarat ini maka hadis menjadi dhaif. Jika perawi terkenal sebagai pendusta maka hadis menjadi maudhu.
Jarah dan takdil
terhadap perawi
Pentahqiq hadis kitab
Syab al-Iman iaitu Abdul Aliy Abdul Hamid mengatakan hadis ini
diriwayatkan secara tafarrud (
bersendirian ) iaitu pada perawi yang bernama Zaaidah dan Ziyad.
Dalam hadis di atas perawi
yang bernama Zaaidah dan Ziyad telah ditajrihkan oleh ulama hadis. Abdul Aliy
Abdul Hamid berkata, Bukhari berkata Zaaidah
b. Abi Ruqqad munkar al-hadis. ( perawi banyak lupa ) (Abu Bakar
al-Baihaqi, Sya’bu al-Iman, ( Abdul Aliy Abdul Hamid ), hlm. 348, j.5
)
Syuaib al-Arnaut seorang pentahqiq hadis Musnad
Ahmad berkata sanad hadis ini dhaif, berdasarkan perkataan Bukhari dan al-Nasai
”Zaaidah b. Abi Ruqqad munkar al-hadis, Abu Daud pula berkata “aku tidak tahu
hadisnya”,
Kata Syuaib al-Arnaut lagi Ziad al-Numairi telah didhaifkan oleh Ibn Main dan Abu Daud,
sementara Abu Hatim berkata, “ditulis hadisnya tetapi tidak boleh berhujah
dengannya”.
Ibn Hibban pula meletakkan Ziad al-Numairi dalam kitab
al-thiqat seterusnya dalam al-Majruhin dan akhirnya beliau
mengatakan Ziyad al-Numairi adalah munkar al-hadis. ( Ahmad b.
Hanbal, Musnad Ahmad, ( Syuaib al-Arnaut ) no. 2346 hlm. 180, jld. 4 )
Siapakah Zaaidah b. Abi Ruqqad dan Ziyad al-Numairi ?
Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Tahzib al-Tahzib
menerangkan tentang Zaaidah :
Beliau ialah Zaaidah b. Abi Ruqqad al-Bahili Abu Muaz
al-Basriy, pengarang kitab al-Hulliy, berguru kepada Asim b. al-Ahwal, Thabit
al-Bunani, Ziyad al-Numairi. Muridnya pula Yahya b. Kathir al-Anbari, Muhammad
b. Abu Bakar al-Muqaddami, Ubaidillah b. Umar al-Qawaririy, Muhammad b. Sallam.
Berkata
muridnya al-Qawaririy “ aku tulis semua daripadanya “ Berkata Bukhari, munkar
al-Hadis , Berkata Abu Daud, “ aku tidak tahu hadisnya” Berkata
al-Nasai, “ aku tidak kenal siapa dia“ ( Ibn Hajar al-Asqalani,
Tahzib al-tahzib, ( Ibrahim Zaibaq ) hlm. 620, jld.1 )
Tentang Ziyad pula kata Ibn Hajar al-Asqalani dalam
kitab Tahzib al-Tahzib :
Beliau ialah Ziyad b. Abdullah al-Numairi al-Basri
berguru dengan Anas. Muridnya ialah Sadaqah b. Yasar al-Makki, Abdul Rahman
maula Qais, Umarah b. Zadan.
Yahya b. Main berkata, “hadis daripadanya dhaif,
Abu Hatim berkata, “hadisnya ditulis tetapi tidak berhujah dengannya”
Ibn Hibban meletakan namanya dalam kitabnya al-Thiqat dan mengatakan
beliau “yukhti” juga mengatakan beliau seorang ahli ibadat. ( Ibn Hajar
al-Asqalani, Tahzib al-Tahzib, ( Ibrahim Zaibaq ) hlm. 650-651, jld. 1 )
Kesimpulan
Hadis ini telah dinilai taraf dhaif oleh ulama hadis kerana
terdapat dua orang dalam rangkaian perawinya tidak mencapai taraf perawi adil.
Tambahan pula hadis ini dikenali dengan hadis taffarud kerana hadis ini
hanya melalui jalan periwayatan Zaaidah b. Abi Ruqqad sahaja dan tiada jalan
periwayatan lain.
Hadis dhaif boleh diamalkan dalam perkara-perkara
fadhilat dan tidak boleh berhujah dengannya. Hukum beramal dengan hadis dhaif telah
diterangkan dalam tajuk perbincangan yang lalu.
Oleh itu, boleh beramal dengan hadis ini dengan
mengenalinya sebagai hadis dhaif.
"اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ، وَشَعْبَانَ،
وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ "
" Ya Allah, berkatilah kepada kami bulan Rejab, bulan Syaaban dan sampaikan kami kepada bulan Ramadhan "
Sikap prihatin terhadap status hadis dapat meletakkan
diri kita berada dalam situasi penuh yakin dalam mengamalkan ajaran-ajaran
agama yang benar ini.
No comments:
Post a Comment