أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Tuesday, December 31, 2013

Mengenali Jin ( 1 )



 Menurut bahasa :

" Benda atau makhluk  yang tersembunyi" . ( Muhammad Isa Dawud, Berdialog dengan jin Islam, hlm. 3 )

Menurut Istilah :

Suatu roh yang berakal yang mempunyai kehendak. Mereka adalah mukallaf seperti manusia tetapi tidak mempunyai jasad seperti manusia, tidak dapat dilihat dengan penglihatan, tidak dapat disaksikan bentuk dan tabiat mereka yang asli dan mereka mempunyai kuasa tersendiri untuk membentuk diri mereka. ( Ismail Kamus, Jin, hakikat dan pengubatan, hlm. 4 )

Penciptaan Jin

Dalam Surah al-Hijr 15 : 27 Allah menerangkan asal penciptaan jin.


والجاّن خلقنه من قبل من مارج من النار

Maksudnya :

” Jin itu Kami ciptakannya sebelum manusia daripada api yang sangat panas “ ( al-Hijr; 15:27 )

Al- Razi mengatakan yang dikehendaki dengan penciptaan  jin pada ayat ini ialah Abu al-Jin ( bapa jin ). ( Al-Razi, Tafsir al-Razi, hlm. 184, j. 19 )


Tiga kategori Jin


Dalam hadith riwayat al-Hakim :

أنّ الجنّ ثلاثة أصناف صنف لهم أجنحة يطيرون في الهواء وصنف حيات وكلاب وصنف يحلون ويظعنون

Maksudnya :

“Jin itu ada tiga golongan, satu golongan yang mempunyai kepak yang terbang di udara, satu golongan pula berbentuk ular dan anjing, dan golongan yang ketiga ada yang tinggal setempat dan ada yang berpindah-randah “ ( Riwayat al-Hakim )


Tempat tinggal jin

1.Tempat-tempat yang sunyi daripada manusia.
2. Tempat-tempat yang kotor.
3.Tinggal di tandas-tandas.
4.Tempat-tempat berlubang
5. Tempat-tempat buangan sampah.
6. Tempat-tempat tinggalan manusia.
7. Padang pasir.
8. Tanah perkuburan.
( Sharhan Shafie, Perubatan Islam, hlm.14, Ismail Kamus, Jin, hakikat dan pengubatan, hlm. 30 )

Termasuk tempat tinggal  kesukaan jin ialah tempat di antara cahaya matahari masuk dan tempat teduh, juga tempat pertemuan dua arus. ( disukai kerana menambahkan kekuatan mereka )

Makanan jin

1. Tulang
2. Kotoran binatang
3. Asap
( Sharhan Shafie, Perubatan Islam, hlm.14 )

Makanan jin yang lain ialah semua jenis makanan dan minuman yang tidak disebut dengan nama Allah. ( Majdi Muhammad al-Syahawi, Al-Ilaj al-Rabbani, hlm. 20 )

 Kenyataan ini bermaksud segala makanan dan minuman yang tidak dimulai dengan bacaan “Bismillah” adalah menjadi makanan kegemaran jin sehingga mereka menjadi sihat dan gemuk. 

Monday, December 30, 2013

Ibn Kathir : Tokoh Ulama TafsirTerbilang ( 700H-774H )

Nama dan nasab
Beliau ialah Imad al-Din Abi al-Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir al-Busrawi al-Qurasyi al-Dimasyqi al-Syafi’i. ( Ibn Hajar, Al-Durar al- Kaminah, hlm.374, j. 1 ) Menurut al-Dhahabi beliau dilahirkan di Mijdal iaitu di sebuah kampung di di sebelah timur Busra, Damsyiq selepas tahun 700H atau pada tahun 700H (Al-Dhahabi, Tazkirah al-Huffaz, hlm. 1508, j.4 ) Menurut Ibn Hajar beliau dilahirkan pada tahun tahun 700H atau selang sedikit selepas tahun itu. (Ibn Kathir, Al-Bidayah Wa al-Nihayah, hlm. 14-15, j.1 )

Ahmad Muhammad Syakir dalam Umdah al-Tafsir telah mentarjihkan tahun kelahiran Ibn Kathir pada tahun 700H. Semasa bapa Ibn Kathir meninggal beliau telah berumur tiga tahun. (Ahmad  Syakir, Umdah al-Tafsir, hlm.23)

Latar belakang pendidikan

Pada tahun 707H Ibn Kathir berpindah ke Damsyiq bersama abangnya Kamal al-Din Abd al-Wahhab. Beliau mulai berguru dengan abangnya sekian lama sehingga abangnya meninggal pada tahun 750H. Kemudian beliau meneruskan pengajianya dengan berguru dengan ramai kibar ulama pada zamannya. Beliau telah menghafaz al-Quran al-Karim dan berjaya menamatkan hafazannya pada tahun 711H. Beliau juga belajar ilmu qiraat dan mahir dalam ilmu tafsir. Al-Dhawadi ( w. 945H ) telah menilainya sebagai mufasirin dan meletakkan terjemah Ibn Kathir dalam Tabaqatnya.(Ahmad  Syakir, Umdah al-Tafsir, hlm.23-24 )

Seterusnya  penerokaan ilmu beliau diteruskan dengan menghafaz kitab “Mukhtasar Ibn Hajib dalam bidang ilmu Usul al-Fiqh” selepas itu mendalami ilmu dengan dua orang guru iaitu Burhan al-Din al-Fazri dan Kamal al-Din bin Qadi Syahbah.

Kemudian beliau menghafaz kitab al-Tanbih karya al-Syirazi dalam ilmu furu’ al-Syafi’iyyah, Beliau juga berguru dengan Abu al-Hujjaj al-Mizzi dan mengambil manfaat dari kitab Rijal al-Mizzi yang terkenal iaitu Tahzib al-Kamal fi Asma al-Rijal. Ibn Kathir kemudian berkahwin dengan anak perempuan gurunya yang bernama Zainab. Beliau juga di antara murid kanan Ibn Taimiyyah yang selalu mendampingi dan mendapat Ibn Taimiyyah secara langsung. (Muhammad Tahir, Nil al-Sairin fi Ùabaqat al-Mufasirin , hlm 247  )

Kedudukan sebagai ilmuan

Ibn Kathir telah dilantik  menjadi Masyayikh Ummu al-Salah selepas kewafatan al-Dhahabi, dan dilantik sebagai Masyayikh Dar al-Hadith al-Asyrafiah selepas kewafatan al-Subki.

Antara madrasah-madrasah yang beliau terajui ialah madrasah Dar al-Hadith al-Asyrafiah, madrasah al-Salahiyyah atau madrasah Ummu al-Salah, madrasah al-Najibiyyah, madrasah al-Tankiziyyah, madrasah al-Nuriyyah al-Kubra. Madrasah-madrasah ini menjadi tumpuan seluruh penuntut ilmu dari timur dan barat ( Ibn Kathir, Al-Bidayah  wa al-Nihayah, hlm. 15-16 )

Antara masjid yang yang beliau sampaikan kuliahnya ialah masjid al-Umawi, masjid Ibn Hisyam, Jami’ al-Tinkiz dan Jami’ al-Faqani. Masjid ini juga menjadi tempat beliau menyampaikan khutbah Jumaat.    ( Ibn Kathir, Al-Bidayah  wa al-Nihayah, hlm. 17 )

Pujian ulama terhadap Ibn Kathir

Ibn Hajar menerangkan dalam al-Durar al-Kaminah yang memetik perkataan al-Dhahabi dalam Mu’jam al-Mukhtas :


“Beliau seorang imam, mufti, Ahl al-Hadith yang mahir, seorang yang faqih, pakar hadith yang sangat mahir, ahli tafsir, dan mempunyai karya-karya yang bermanfaat” (Ibn Hajar, Al-Durar al-Kaminah,  hlm. 374, j. 1 )

Al-Dhahabi berkata dalam al-Mu’jam al-Mukhtas :

“Beliau menguasai Fiqh, memahami bahasa Arab dan Usul, menghafal
sebilangan besar matan-matan tafsir, rijal al-hadith, beliau mendengar
 daripadaku, seorang yang hafz dan seorang yang  berpengetahuan”
(Al-Dhahabi, Al-Mu‘jam al-Mukhtas , hlm. 75 )

Karya-karya yang dihasilkan

Antara kitab- kitab beliau yang masyhur seperti yang disebut di dalam kitab ‘Alam :

1. Al-BidÉyah wa al-NihÉyah
2. Syarh SahÊh al-BukhÉrÊ
3. ÙabaqÉt al-Fuqaha’ al-SyÉfi’iyyÊn
4. TafsÊr al-QurÉn al-‘AzÊm
5. Al-IjtihÉd fi Ùalab al-JihÉd
6. Jami’ al-MasÉnid
7. IkhtisÉr ‘UlËm al-HadÊth
8. IkhtisÉr al-SirÉh al-NabawiyyÉh
9. RisÉlah fi al-JihÉd
10. Al-TakmÊl fi ‘Marifah al-ThiqÉt wa al-Dhu‘afa’ wa al-MajÉhil
( Khayr al-DÊn al- ZiriklÊ, al‘AlÉm, hlm.178, j. 1 )

Dalam kitab al-Baith al-Hathith :

1. ThabaqÉal-Syafi’iyyÉh
2.TakhrÊj AhÉdith Adillah al-TanbÊh fi Fiqh al-Syafi‘iyyÉh
3. Takhrij AhÉdith MukhtasÉr Ibn Al-HÉjib
3. Al-AhkÉm al-SughrÉ fi al-HadÊth
4. KabÊr fi al-AhkÉm
5. MusnÉd Abi Bakar al-SiddÊq
6. MusnÉd ‘Umar Ibn al-KhattÉb
7. Al-MuqadimÉt
8. Al-MukhtasÉr al-MudkhÉl ilÉ KitÉb al-Sunan li al-BaihaqÊ
(Ahmad Muhammad Syakir,  Al-BÉ’ith al-HathÊth Syarh IkhtisÉr UlËm al-HadÊth , hlm. 14-15 )

Manakala dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah  :

1. Syarh Qut’ah min al-BukhÉrÊ
2. Syarh Qut’ah min al-TanbÊh
3. ÙabaqÉt al-‘Ulama
4. ÙabaqÉt ‘ImÉd al-DÊn
5. Al-Fusul fi IkhtisÉr Sirah al-RasËl
6. FaÌÉil al-QurÉn      
7. Al-KawÉkÊb al-DËrÉrÊ fi al-TÉrÊkh
( Al-Bidayah wa al-Nihayah, hlm. 25-33, j. 1)

Kewafatan

Ibn Kathir telah wafat pada hari Khamis 26 haribulan Syaaban tahun 774H di Damsyiq ketika berumur 74 tahun. Beliau dikebumikan mengikut wasiatnya iaitu berdekatan dengan kubur gurunya Ibn Taimiyyah di perkuburan al-Sufiyyah, di Damsyiq. (Ahmad bin Muhammad al-Adnarawi, Ùabaqat al-Mufassirin, hlm. 260 ) Tidak ada khilaf dalam kalangan ulama tentang  tahun kewafatan beliau iaitu pada tahun 774H. 


Renungan

Setelah menghayati ketekunan, kegigihan, jasa, pengorbanan dan ketokohan Ibn Kathir terhadap umat Islam pada zamannya sehingga zaman kini  maka timbul persoalan untuk difikirkan penyelesaiannya. Di manakah kedudukan dan keprihatinan kita terhadap umat ini ? Apakah ada ruang-ruang yang boleh kita "jihadkan" terhadap kemuliaan agama ini ?

Hakikatnya, bumi Damsyiq, Syria yang ada dalamnya jasad Ibn Kathir tetap bergolak dan bergolak, berterusan menuntut keprihatinan umat Islam seluruhnya.Tanah ini akhirnya akan menyaksikan penurunan nabi Isa a.s pada suatu hari kelak. 



Sunday, December 29, 2013

Hukum beramal dengan hadith dhaif

Para ulama telah berselisih pendapat tentang hukum beramal dengan hadith dhaif kepada tiga pendapat :

1. Tidak boleh beramal dengan hadith dhaif secara mutlak.
Pendapat ini disandarkan kepada sebahagian ulama seperti Yahya bin Main, Abu Bakar bin Arabi, Ibn Hazm al-Andalusi.

Al-Albani dalam kitab Ulum al-Hadith merajihkan pendapat ini kerana katanya Rasulullah memerintahkan kita supaya menjauhi riwayat yang tidak pasti kebenarannya. (Al-Albani, Ulum Al-Hadith hlm. 34-35 )

2. Boleh beramal dengan hadith dhaif secara mutlak.
Dibenarkan beramal dengan hadith dhaif dalam perkara hukum-hakam dan dalam perkara fadhilat. Ini sekiranya tidak ada hadith yahg lebih sahih daripadanya. Pendapat ini merupakan riwayat daripada Imam Ahmad dan disandarkan daripada Abu Daud.

3. Boleh beramal dengan hadith dhaif dalam perkara fadhilat.
Pendapat ini diambil daripada Imam Ahmad dan Ibn Mahdi. Imam al-Nawawi telah menasabkan perkataan ini kepada para ulama al-Muhadithin dan Fuqaha. ( Sulayman bin Saleh, Mauqif al-Mutakalimin hlm. 202-205 )

Sebahagian ulama mensyaratkan untuk untuk beramal dengan hadith dhaif dengan tiga syarat :

1.Hadith itu tidak terlampau dhaif
2.Tidak menjazamkan hadith dhaif seperti hadith sahih. Biasanya hadith dhaif digunakan lafaz "diriwayatkan" (رُوِ يَ) bukan penggunaan lafaz "telah menghadithkan kepada kami" ( حدثنا )
3. Beramal hanya pada perkara fadhail al-Amal ( kelebihan amalan )

Wednesday, December 25, 2013

Tentang al-Israiliyyat

Pengertian al-Israiliyyat
Dari segi bahasa : 

perkataan al-Israiliyyat (الٳسرائيليات ) merupakan jamak daripada perkataan mufrad iaitu israil ( ٳسرائيل ). 

Dalam kamus al-Mu’jam al-Asasi perkataan israil (ٳسرائيل ) merujuk kepada tiga perkara iaitu: 

1. Gelaran yang diberikan kepada Ya’qub bin Ishaq
2. Anak-anak Ya’qub
3. Negara Israel di Palestin yang diduduki.
Ahmad al-‘Aid, Al-Mu’jam al-‘Arabi al-Asasi, hlm. 88 )

Sementara dalam Kamus Idris al-Marbawi pula perkataan Israil (ٳسرائيل ) ialah merujuk kepada nabi Allah Ya’qub. MuhammÉd Idris al-Marbawi, Kamus Idris al-MarbawÊ, hlm. 20 )

Dari segi istilah :

Ibn Taimiyyah dalam kitab Muqadimah fi Usul al-Tafsir memberi takrifan israiliyyat seperti berikut :

 “Apa yang diambil daripada Ahl al-Kitab seperti mengambil daripada Kaab, Wahab, Muhammad bin Ishaq dan lain-lain Ibn Taimiyyah, Muqadimah fi Usul al-Tafsir, Fawwaz Ahmad Zamarli, hlm. 49-50 )

Muhammad Husayn al-Dhahabi menampilkan takrifan israiliyyat sebagai : 


“Setiap apa yang dilandaskan kepada tafsir dan hadis daripada cerita dongeng orang dahulu kala yang disandarkan kepada asal riwayatnya daripada Yahudi atau Nasrani atau selain mereka”( Muhammad Husayn al-Dhahabi al-Israiliyyat fÊ al-TafsÊr wa al-Hadith hlm. 13 )

Manakala Muhammad Abu Syahbah memberi takrifan israiliyyat dari segi istilah sebagai :


“Kisah atau peristiwa yang diriwayatkan dari sumber Israil " 
( Muhammad Abu Syahbah al-IsrailiyyÉt wa al-MawdËat fÊ Kutub al-Tafsir, hlm.  12 )

 Jenis-jenis Israiliyyat

1. Diterima kerana disokong oleh al-Quran dan al-Sunnah seperti menentukan nama sahabat Musa a.s yang bernama Khidir, kisah Jasasah, dan kisah Jurayj seorang abid. Bahagian ini dianggap sahih dan maqbul . Ia boleh menjadi sokongan kepada al-Quran dan al-Hadith serta boleh menjadi hujah ke atas kitab mereka. Contohya hadith tentang yang dimaksudkan dengan sahabat nabi Musa a.s ialah nabi Khidir a.s.

Daripada Ibn Al-Abbas :

 عن ابن عباس أنه تمارى هو والحر بن قيس بن حصن الفزاري في صاحب موسى, قال ابن عباس : هو خضر فمر بهما أبي  بن كعب, فدعاه ابن عباس, فقال : إني تماريت أنا وصاحبي هذا في صاحب موسى, الذي سأل موسى السبيل الى لقيه  هل سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يذكر شأنه ؟ قال نعم, سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : بينما موسى في ملإ من بني إسرائيل, جاءه رجل, فقال : هل تعلم أحدا أعلم منك ؟ قال موسى : لا, فأوحى الله عز وجل الى موسى بلى عبدنا خضر فسأل موسى السبيل إليه.

Daripada Ibn Abbas ia berselisih faham dengan al-Hurru bin al-Qais bin al-Hisn bin al-Fazari tentang sahabat Musa, Ibn Abbas berkata:“Dia adalah Khidir” Kebetulan telah datang kepada mereka Ubay bin Kaab maka Ibn Abbas memanggilnya dan berkata : "Adakah engkau mendengar Nabi s.a.w menyebut sesuatu tentangnya,Ubay menjawab :"ya" Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :"Ketika Musa berada bersama kaumnya 
( Bani israil ) tiba-tiba datang seorang lelaki dan bertanya adakah engkau tahu orang yang lebih alim daripada engkau, Musa menjawab,“tidak” maka Allah telah mewahyukan kepada Musa,“Ya” dia adalah hamba Kami Khidir, maka Musa memohon kepada Allah bagaimana cara bertemu dengannya. 

Ubay bin Kaab adalah salah seorang al-Ahbar Yahudi memperakui bahawa yang dimaksudkan dengan sahabat Musa tersebut ialah Khidir. Pendapat ini sama dengan pendapat Abdullah bin Abbas. manakala pendapat al-Hurru bin al-Qais tidak dinyatakan dalam hadith di atas.

2. Ditolak kerana bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah. Bahagian ini tidak boleh diterima dan tidak boleh meriwayatkannya kecuali untuk menerangkan kebatilannya. Bahagian ini ada yang berkaitan dengan tuduhan al-Ismah ( kemaksuman para nabi ) seperti kisah nabi Yusuf, nabi Daud, nabi Sulaiman. Bahagian ini juga ada yang berkaitan dengan perkara hukum.

Contoh perkara hukum hadith riwayat al-Bukhari :

حدثنا أبو نعيم حدثنا سفيان عن ابن المنكدر سمعت جابرا رضي الله عنه قال كانت اليهود تقول إذا جامعها من ورائها جاء الولد أحول فنزلت { نساؤكم حرث لكم فأتوا حرثكم أنى شئتم 

“Telah menceritakan kepada kami Abu Nuaim, telah menceritakan kepada kami Sufian, daripada Ibn al-Munkadir, Aku mendengar Jabir r.a.hu berkata : “Orang Yahudi berkata apabila kamu menggauli isteri kamu dari belakangnya maka akan lahir anak yang bermata juling” Maka turunlah ayat ( Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datanglah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai"

Ibn Hajar memberi ulasan dalam kitab  Fath al-Bari dengan berkata :


 “ Orang Yahudi telah mendustakan Allah dengan dakwaan mereka kerana sebenarnya, harus bagi seorang suami mendatangi isteri-isteri mereka mengikut kemahuan mereka". 

Maksud ayat ini sebagaimana diterangkan nabi s.a.w pada hadith yang lain ialah diharuskan mendatangi isteri sama ada mendepani atau membelakangi asalkan melalui faraj.

Kesimpulannya, perkataan orang Yahudi dalam riwayat di atas adalah perkataan yang bertentangan dengan hukum dan ia merupakan riwayat Israiliyyat yang ditolak.

3. Didiamkan kerana tiada sokongan al-Quran dan al-Sunnah. Bahagian ini didiamkan, tidak beriman dengannya dan tidak mendustakannya tetapi harus untuk meriwayatkannya sebagaimana hadith Rasulullah s.a.w :

لا تصدقوا أهل الكتاب ولا تكذبوهم وقولوا آمنا بالله وما أنزل إلينا

“Janganlah kamu membenarkan Ahl al-Kitab dan janganlah kamu mendustakannya dan katakanlah kepada mereka kami beriman kepada Allah dan kami beriman dengan apa yang diturunkan kepada “ Bahagian yang ketiga ini menjadi perselisihan antara ulama tentang keharusan meriwayatkannya"

Kata Ibn Taymiyyah berkaitan bahagian ini :

 "Oleh itu ulama Ahl al-Kitab telah berselisih dengan perselisihan yang besar dan menyebabkan berlaku perselisihan juga di kalangan al-Mufasirrin seperti mana mereka menyebut tentang nama-nama ashab al-Kahfi, warna dan bilangan anjing, tongkat Musa dari jenis pokok apa ? nama- nama burung yang Allah s.w.t hidupkan kepada Ibrahim, menentukan bahagian yang dipukul kepada mayat dari lembu dan jenis pokok yang Allah s.w.t bercakap melaluinya dengan Musa….. hinggalah kepada selain itu yang Allah s.w.t tidak jelaskan dalam al-Quran dan tidak memberi sebarang faedah kepada umat Islam sama ada dalam kehidupan dunia ataupun  agama".

Contoh dalam bahagian ini : Nama pokok larangan dalam syurga pada ayat :

 " ولا تقربا هذه الشجرة “ 

"Janganlah kamu hampiri pokok ini “  ( Surah al-Baqarah 1 : 35 )

Ibn Kathir mengatakan khilaf mengenai jenis pokok tersebut dan terbahagi kepada enam pendapat.

Riwayat pertama yang disandarkan kepada al-Suddi bahawa pokok itu ialah pokok anggur 
( الكرم ). Riwayat kedua yang disandarkan kepada Ibn Abbas dimaksudkan dengan setangkai bijian ( السنبلة ). Riwayat ketiga yang disandarkan juga disandarkan kepada Ibn Abbas bahawa pokok itu ialah pokok gandum ( البر ). Riwayat keempat yang disandarkan kepada Abi al-Jild bahawa pokok itu ialah pokok zaitun ( الزيتونة ), Riwayat kelima yang disandarkan kepada Abi Malik bahawa pokok itu ialah pokok tamar ( النخلة ). Riwayat keenam yang disandarkan kepada Ibn Juraij bahawa pokok itu ialah pokok tin.(الثينة )

Kata Ibn Jarir al-Tabari : 

“Apa yang benar Allah S.W.T telah melarang Adam dan isterinya makan buah dari sebatang pokok dari pokok-pokok dalam syurga tetapi mereka berdua telah memakannya. Kita tidak tahu jenis pokok tersebut kerana Allah tidak memberi sebarang petanda kepada hambanya mengenai perkara tersebut dalam al-Quran atau dalam al-Sunnah yang sahih. Dikatakan pokok gandum, pokok anggur, pokok tin, dan harus dikatakan dari mana-mana satu pokok tersebut. Hal ini kerana orang yang mengetahui jenis pokok tersebut ianya tidak memberi manfaat dengan pengetahuan itu dan orang yang jahil tentang pokok tersebut ianya tidak memberi bahaya dengan kejahilannya. Wallahu ‘Alam".

Berdasarkan kenyataan di atas riwayat-riwayat yang datang adalah tidak marfu’ kepada nabi s.a.w. tetapi disandarkan kepada Ibn Abbas dan selainnya. Ia termasuk dalam israiliyyat yang yang didiamkan, tidak dibenarkan dan tidak didustakan. Nama pokok tersebut tidak perlu diperincikan kerana tidak diterangkan dalam al-Quran dan al-Hadith. Cukup sekadar yang disebut dalam al-Quran sahaja iaitu perkataan " الشجرة “ (sepohon pokok) tanpa ditentukan nama pokok tersebut.

Contoh Hadith palsu

 عن الحسن بن على بن زكريا : حدثنا شيبان بن فروخ : حدثنا يزيد بن زياد : حدثنا عبدالله بن سمعان عن عمرو ابن شعيب عن ابيه عن جده مرفوعا. إذا ختم العبد القرآن صلى عليه عند ختمه ستون ألف ملك 

“Apabila seseorang hamba mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60,000 malaikat akan berselawat kepadanya ketika dia mengkhatamkannya”

 Kata al-Fitni dalam kitab Tazkirah al-Mauduah :

“Ibn Sam‘an adalah Kazzab ( pendusta ) dan Abu Said al-Adawi terkenal wadda’ (pereka hadith palsu)”

 Kata al-Ghumari dalam kitab al-Mughayyir :

 “Hadith ini palsu (maudu )‘” Kata al-Suyuti dalam kitab al-Zail : “Ibn Sam‘an kazzab dan al-Hasan bin Ali bin Zakaria ialah Abu Said al-Adawi seorang yang terkenal dengan pencipta hadith palsu” 

Kata al-Albani dalam kitab Silsilah al-Ahadith al-Daifah wa al-Mauduah :

“Hadis ini hadith palsu‘” 

Kata al-Dhahabi dalam kitab al-Mughni fi al-Dhuafa : 

“Al-Hasan bin Ali ialah Abu Said al-Adawi hidup selepas tahun 300 H. adalah seorang pereka hadith palsu” 

 Ulasan : 

Berdasarkan ilmu Ulum al-Hadith dalam rangkaian sanad hadith di atas terdapat dua orang perawi yang tidak thiqah ( tidak dipercayai ) yang menyebabkan hadith ini tertolak. Perawi pertama bernama al-Hasan bin Ali yang digelar Abu Said al-Adawi merupakan seorang yang terkenal dengan wadda’ ( pereka hadith palsu ). Perkara ini telah dinyatakan oleh al-Suyuti dan al-Dhahabi seperti di atas.

Manakala perawi yang kedua ialah Abdullah bin Sam‘an atau Ibn Sam‘an terkenal dengan kazzab
( pendusta ) seperti kata al-Fitni dan al-Dhahabi. Setelah melihat kata-kata ulama hadith terhadap perawi- perawi di atas, secara ringkasnya menunjukkan bahawa rangkaian sanad hadith adalah tidak sahih kerana terdapat dua orang perawi yang dituduh kazzab dan wadda‘. Hadith ini telah dihukumkan  palsu seperti kata al-Albani dan selain beliau..

 Balasan Berdusta Kepada Nabi :

 Hadith riwayat Abdullah bin al-Zubir daripada ayahnya :

 من كذب علي فليتبوأ مقعده من النار

 “Sesiapa yang mendustakan terhadapku maka disediakan tempatnya di neraka” ( Bukhari no. hadith 107)


 Manakala hadith riwayat daripada al-Mughirah :

 من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار 


Sesiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja maka disediakan tempatnya di neraka “
 ( Bukhari no. hadis 1291 ) 

Walaupun maksud hadith kelihatan baik kerana menggalakkan umat islam mengkhatam al-Quran tetapi  ia bukan perkataan nabi. Ia direka atau dicipta oleh golongan tertentu dengan sebab-sebab yang tersendiri. Beramal dengan hadith di atas seolah-olah beranggapan nabi masih menyembunyikan sesuatu ilmu kepada umatnya sehingga terpaksa disampaikan oleh orang lain. Tohmahan ini sangat besar dosanya kerana termasuk dalam bentuk pendustaan kepada nabi !!!

Namun begitu, kelebihan membaca al-Quran tetap ada pada hadith-hadith yang lain seperti hadith dalam riwayat Bukhari :

خيركم من تعلم القرأن و علمه

"Sebaik-baik kamu siapa yang belajar al-Quran dan mengajarkannya" 

Setiap umat Islam hendaklah menjauhi hadith-hadith yang palsu kerana ia bukan datang daripada nabi s.a.w. Sikap berhati-hati ini akan menyelamatkan diri daripada pendustaan terhadap nabi. s.a.w. dan akan mengelakkan dosa besar tanpa disedari.

Tuesday, December 24, 2013

Zahari !!! Turuuuuuuuun!!!!!!!!

Peristiwa memperbaharui visa kali pertama

Kota Bharu 

Ketika berjalan-jalan di Kota Bharu minggu lepas ( 13 Disember 2013 ) aku terjumpa dengan Zahari yang merupakan  ahli bait ( rakan serumah ) semasa menjadi pelajar baru di Kaherah. Kali terakhir bertemu Zahari ialah di Zagazig akhir tahun 90-an. Kami berbual seketika sambil bertukar-tukar nombor telefon. Aku teringat satu peristiwa bersama Zahari.


Bas  no. 926





Kami pelajar baru seramai 8 orang bersetuju untuk memperbaharui visa pada keesokan hari dengan dibawa oleh pelajar lama yang dikenali dengan us. Suldi. Pada pagi itu kami menaiki bas di Hayyu Sabie no. 926 ( bas popular ) Apabila tiba ke tempat yang di tuju iaitu Jawazat ( Imegresen ) tiba – tiba us. Suldi berteriak “ Zahari !!! turun !!!!!


Mendengar teriakan itu, masing-masing meluru ke pintu dan mula terjun turun seorang demi seorang dalam keadaan bas yang bergerak perlahan. Ada yang turun melalui pintu hadapan dan ada yang turun melalui pintu belakang.

Tiba giliran aku untuk melompat turun melalui pintu belakang dan secara spontan aku melompat turun dalam keadaan terhoyong-hayang. Di belakang aku Hisham yang melompat turun dalam keadaan terbabas dan memaut lelaki-lelaki Arab di bahu jalan. Manakala di belakang Hisham ialah Khairuddin yang teragak-agak untuk melompat turun.

Kata Khairuddin ketika menceritakan kisah ini dia disuruh oleh lelaki-lelaki Arab di dalam bas supaya turun dengan perkataan “aiwah ya Malizi... Inzil, Inzil, Inzil….. ( Hai orang Malaysia, turun...turun...turun....) namun bas terus bergerak laju dan beliau tidak sempat turun sehinggalah bas sampai ke perhentian terakhir. ( Akhir mahattah )

Dari perhentian terakhir, Khairuddin tidak turun dan membayar tiket untuk menuju semula ke Hayyu Sabie dan pulang ke rumah berseorangan. Hanya Khairuddin yang tidak dapat memperbaharui visa pada hari itu.

Moral cerita ini :

1. Pengangkutan awam hendaklah mesra pelanggan.
2. Pilih gaya terjun dari bas yang bergerak perlahan.
3. Larangan mencium jalanraya.