Nama dan nasab
Beliau ialah Imad al-Din Abi al-Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir al-Busrawi al-Qurasyi al-Dimasyqi al-Syafi’i. ( Ibn Hajar, Al-Durar al- Kaminah, hlm.374, j. 1 ) Menurut al-Dhahabi beliau dilahirkan di Mijdal iaitu di sebuah kampung di di sebelah timur Busra, Damsyiq selepas tahun 700H atau pada tahun 700H (Al-Dhahabi, Tazkirah al-Huffaz, hlm. 1508, j.4 ) Menurut Ibn Hajar beliau dilahirkan pada tahun tahun 700H atau selang sedikit selepas tahun itu. (Ibn Kathir, Al-Bidayah Wa al-Nihayah, hlm. 14-15, j.1 )
Ahmad Muhammad Syakir dalam Umdah al-Tafsir telah mentarjihkan tahun kelahiran Ibn Kathir pada tahun 700H. Semasa bapa Ibn Kathir meninggal beliau telah berumur tiga tahun. (Ahmad Syakir, Umdah al-Tafsir, hlm.23)
Latar belakang pendidikan
Pada tahun 707H Ibn Kathir berpindah ke Damsyiq bersama abangnya Kamal al-Din Abd al-Wahhab. Beliau mulai berguru dengan abangnya sekian lama sehingga abangnya meninggal pada tahun 750H. Kemudian beliau meneruskan pengajianya dengan berguru dengan ramai kibar ulama pada zamannya. Beliau telah menghafaz al-Quran al-Karim dan berjaya menamatkan hafazannya pada tahun 711H. Beliau juga belajar ilmu qiraat dan mahir dalam ilmu tafsir. Al-Dhawadi ( w. 945H ) telah menilainya sebagai mufasirin dan meletakkan terjemah Ibn Kathir dalam Tabaqatnya.(Ahmad Syakir, Umdah al-Tafsir, hlm.23-24 )
Seterusnya penerokaan ilmu beliau diteruskan dengan menghafaz kitab “Mukhtasar Ibn Hajib dalam bidang ilmu Usul al-Fiqh” selepas itu mendalami ilmu dengan dua orang guru iaitu Burhan al-Din al-Fazri dan Kamal al-Din bin Qadi Syahbah.
Kemudian beliau menghafaz kitab al-Tanbih karya al-Syirazi dalam ilmu furu’ al-Syafi’iyyah, Beliau juga berguru dengan Abu al-Hujjaj al-Mizzi dan mengambil manfaat dari kitab Rijal al-Mizzi yang terkenal iaitu Tahzib al-Kamal fi Asma al-Rijal. Ibn Kathir kemudian berkahwin dengan anak perempuan gurunya yang bernama Zainab. Beliau juga di antara murid kanan Ibn Taimiyyah yang selalu mendampingi dan mendapat Ibn Taimiyyah secara langsung. (Muhammad Tahir, Nil al-Sairin fi Ùabaqat al-Mufasirin , hlm 247 )
Kedudukan sebagai ilmuan
Ibn Kathir telah dilantik menjadi Masyayikh Ummu al-Salah selepas kewafatan al-Dhahabi, dan dilantik sebagai Masyayikh Dar al-Hadith al-Asyrafiah selepas kewafatan al-Subki.
Antara madrasah-madrasah yang beliau terajui ialah madrasah Dar al-Hadith al-Asyrafiah, madrasah al-Salahiyyah atau madrasah Ummu al-Salah, madrasah al-Najibiyyah, madrasah al-Tankiziyyah, madrasah al-Nuriyyah al-Kubra. Madrasah-madrasah ini menjadi tumpuan seluruh penuntut ilmu dari timur dan barat ( Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, hlm. 15-16 )
Antara masjid yang yang beliau sampaikan kuliahnya ialah masjid al-Umawi, masjid Ibn Hisyam, Jami’ al-Tinkiz dan Jami’ al-Faqani. Masjid ini juga menjadi tempat beliau menyampaikan khutbah Jumaat. ( Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, hlm. 17 )
Pujian ulama terhadap Ibn Kathir
Ibn Hajar menerangkan dalam al-Durar al-Kaminah yang memetik perkataan al-Dhahabi dalam Mu’jam al-Mukhtas :
“Beliau seorang imam, mufti, Ahl al-Hadith yang mahir, seorang yang faqih, pakar hadith yang sangat mahir, ahli tafsir, dan mempunyai karya-karya yang bermanfaat” (Ibn Hajar, Al-Durar al-Kaminah, hlm. 374, j. 1 )
Al-Dhahabi berkata dalam al-Mu’jam al-Mukhtas :
“Beliau menguasai Fiqh, memahami bahasa Arab dan Usul, menghafal
sebilangan besar matan-matan tafsir, rijal al-hadith, beliau mendengar
daripadaku, seorang yang hafz dan seorang yang berpengetahuan”
(Al-Dhahabi, Al-Mu‘jam al-Mukhtas , hlm. 75 )
Karya-karya yang dihasilkan
Antara kitab- kitab beliau yang masyhur seperti yang disebut di dalam kitab ‘Alam :
1. Al-BidÉyah wa al-NihÉyah
2. Syarh SahÊh al-BukhÉrÊ
3. ÙabaqÉt al-Fuqaha’ al-SyÉfi’iyyÊn
4. TafsÊr al-QurÉn al-‘AzÊm
5. Al-IjtihÉd fi Ùalab al-JihÉd
6. Jami’ al-MasÉnid
7. IkhtisÉr ‘UlËm al-HadÊth
8. IkhtisÉr al-SirÉh al-NabawiyyÉh
9. RisÉlah fi al-JihÉd
10. Al-TakmÊl fi ‘Marifah al-ThiqÉt wa al-Dhu‘afa’ wa al-MajÉhil
( Khayr al-DÊn al- ZiriklÊ, al‘AlÉm, hlm.178, j. 1 )
Dalam kitab al-Baith al-Hathith :
1. ThabaqÉal-Syafi’iyyÉh
2.TakhrÊj AhÉdith Adillah al-TanbÊh fi Fiqh al-Syafi‘iyyÉh
3. Takhrij AhÉdith MukhtasÉr Ibn Al-HÉjib
3. Al-AhkÉm al-SughrÉ fi al-HadÊth
4. KabÊr fi al-AhkÉm
5. MusnÉd Abi Bakar al-SiddÊq
6. MusnÉd ‘Umar Ibn al-KhattÉb
7. Al-MuqadimÉt
8. Al-MukhtasÉr al-MudkhÉl ilÉ KitÉb al-Sunan li al-BaihaqÊ
(Ahmad Muhammad Syakir, Al-BÉ’ith al-HathÊth Syarh IkhtisÉr UlËm al-HadÊth , hlm. 14-15 )
Manakala dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah :
1. Syarh Qut’ah min al-BukhÉrÊ
2. Syarh Qut’ah min al-TanbÊh
3. ÙabaqÉt al-‘Ulama
4. ÙabaqÉt ‘ImÉd al-DÊn
5. Al-Fusul fi IkhtisÉr Sirah al-RasËl
6. FaÌÉil al-QurÉn
7. Al-KawÉkÊb al-DËrÉrÊ fi al-TÉrÊkh
( Al-Bidayah wa al-Nihayah, hlm. 25-33, j. 1)
Kewafatan
Ibn Kathir telah wafat pada hari Khamis 26 haribulan Syaaban tahun 774H di Damsyiq ketika berumur 74 tahun. Beliau dikebumikan mengikut wasiatnya iaitu berdekatan dengan kubur gurunya Ibn Taimiyyah di perkuburan al-Sufiyyah, di Damsyiq. (Ahmad bin Muhammad al-Adnarawi, Ùabaqat al-Mufassirin, hlm. 260 ) Tidak ada khilaf dalam kalangan ulama tentang tahun kewafatan beliau iaitu pada tahun 774H.
Renungan
Setelah menghayati ketekunan, kegigihan, jasa, pengorbanan dan ketokohan Ibn Kathir terhadap umat Islam pada zamannya sehingga zaman kini maka timbul persoalan untuk difikirkan penyelesaiannya. Di manakah kedudukan dan keprihatinan kita terhadap umat ini ? Apakah ada ruang-ruang yang boleh kita "jihadkan" terhadap kemuliaan agama ini ?
Hakikatnya, bumi Damsyiq, Syria yang ada dalamnya jasad Ibn Kathir tetap bergolak dan bergolak, berterusan menuntut keprihatinan umat Islam seluruhnya.Tanah ini akhirnya akan menyaksikan penurunan nabi Isa a.s pada suatu hari kelak.
No comments:
Post a Comment