أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Wednesday, June 11, 2014

Nisfu Syaaban : Antara bidaah dan syariat.

Malam Nisfu Syaaban

Isu lama yang tiada pengakhiran antara dua golongan berkenaan amalan menghidupkan malam Nisfu Syaaban (pertengahan bulan Syaaban). Persoalan berkisar amalan membaca Yasin selepas waktu Maghrib sebanyak tiga kali, membaca doa Nisfu Syaaban, solat sunat Nisfu Syaaban, dan puasa sunat pada siangnya. Adakah semua ini bidaah atau syariat?

Pendapat golongan pertama (aliran salaf ) mengatakan menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan ibadat khusus secara berjemaah adalah bidaah. Mereka berpendapat setiap bidaah adalah dhalalah  (sesat) kerana perkara ini tidak pernah dilakukan oleh nabi s.a.w. , para sahabat dan tabien. Golongan ini juga berpendapat tiada istilah bidaah hasanah ( baik ). Setiap bidaah adalah dhalalah. Contohnya amalan membaca Yasin sebanyak tiga kali secara berjemaah selepas Maghrib pada malamnya. Nabi s.a.w dan para sahabat tidak pernah melakukannya.

Yusuf al-Qaradawi berkata :

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabat, tabien dan tabi tabien). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggah dan bertentang maknanya. Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.”( Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Muasarah, hlm. 382-383, jld. 1)

Sementara golongan kedua (aliran khalaf) berpendapat ia adalah amalan yang disyariatkan.Walaupun nabi s.a.w. dan para sahabat tidak melakukannya namun ia adalah baik kerana termasuk dalam bab berzikir kepada Allah berdasarkan dalil umum.

Kata Ali Jumaah dalam fatwanya :

" Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya ( Lataif al-Maarif ) :

“Ulama di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban kepada dua pandangan.

Pertama :

Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid.

Khalid b. Maadan dan Luqman b. Amir dan selain daripada mereka telah memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta mengenakan celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.


Dan Ishaq b.  Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka terhadap perkara tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan ibadah di masjid secara berjamaah : “Perkara tersebut tidaklah menjadi bidaah.” Perkataan ini dinukilkan oleh Harb al-Kirmani di dalam kitab Masail. 

Kedua :


Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya di masjid untuk melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh sekiranya seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan al-Auzaie Imam penduduk Syam.(http://elmansyud.blogspot.com/2009/08/solat-dan-doa-pada-malam-nisfu-syaban.html )

Hadis sahih Nisfu Syaaban

عن مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ ". 

Maksudnya :Daripada Muaz b. Jabal r.a.hu. Rasulullah s.a.w. bersabda : “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, ( syuaib al-Arnaut) hlm.481, jld.12, no. 5665)

Syuaib al-Arnaut mensahihkan hadis ini dengan mengatakan hadis ini sahih dengan banyak syawahid ( hadis-hadis menyokong matan ).Hadis ini juga terdapat di dalam Musnad Ahmad, al-Tabrani dan lain-lain.

Hadis Maudu Nisfu Syaaban

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله وجهه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ".


Maksudnya :“Daripada Ali r.a.hu bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Apabila masuk malamNisfu Syaaban, maka hendaklah kamu bangun pada malamnya dan berpuasa pada siang harinya, Sesungguhnya Allah Taala turun ke langit dunia pada malamnya setelah terbenamnya matahari, lalu Allah berkata : “Sesiapa yang memohon keampunan padaKu maka Aku akan mengampunkan baginya, Sesiapa yang memohon rezeki padaKu maka Aku akan memberikannya rezeki, Sesiapa yang ditimpa musibah maka Aku akan melepaskannya, sesiapa yang demikian..sesiapa yang demikian..sehinggalah terbitnya fajar.”
(Ibn Majah,Sunan Ibn Majah,(Muhammad fuad) hlm. 444, jld. 1, no. 3888 )

Kata al-Albani hadis ini terlalu dhaif atau maudhu kerana salah seorang perawi hadis ini yang bernama Ibn Sabrah atau Abu Bakar b. Abdullah b. Muhammad b. Abu Sabrah adalah perawi yang lemah. (Ibn Majah,Sunan Ibn Majah,(Muhammad fuad) hlm. 444, jld. 1, no. 3888 )

Ahmad b. Hanbal dan Yahya b. Main mengatakan Ibn Sabrah adalah seorang pereka hadis palsu. Perkataan ini juga dinukilkan daripada Ibn Hajar dalam al-Taqrib dan al-Zahabi dalam Lisan al-Mizan.

Sementara al-Nasai mengatakan Ibn Sabrah matruk al-hadis ( ditinggalkan hadisnya ) Ibn al-Jauzi telah meletakkakn hadis ini dalam kitabnya al-Mauduah sebagai hadis palsu. ( al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, hlm. 366-368, jld. 3 )

Kesimpulan

Amalan menghidupkan malam Nisfu Syaaban secara berjemaah dengan bacaan Yasin, doa Nisfu Syaaban, solat Nisfu Syaaban, puasa Nisfu Syaaban adalah menjadi bidaah yang diharamkan jika seseorang beranggapan perkara ini telah diwajibkan oleh agama.

Hal ini kerana tiada dalil yang sahih menyatakan bahawa nabi s.a.w dan para sahabat melakukan amalan ini secara berjemaah.

Gandaan amalan bidaah akan terkena sekiranya seseorang melakukan solat sunat Nisfu Syaaban dan  berpuasa sunat Nisfu Syaaban pada siangnya. Hadis yang menganjurkan hal ini adalah hadis palsu mengikut kebanyakkan ahli hadis.Mereka mengatakan  Ibn Sabrah salah seorang perawi hadis ( riwayat ibn Majah ) telah dihukum pereka hadis palsu. Teks doa malam Nisfu Syaaban juga mengalami kekacauan makna. 

Namun begitu kelebihan malam Nisfu Syaaban tetap  ada seperti yang digambarkan dalam  hadis sahih Ibn Hibban yang menerangkan keampunan Allah Taala kepada semua hambanya yang memohon ampun kepadanya. Mereka akan diampunkan kecuali orang yang bersyirik dan orang yang saling bermusuh.

Tidak menjadi kesalahan sekiranya seseorang menghidupkannya secara berjemaah dengan menganggap ia sebagai majlis zikir untuk mengingati Allah Taala tanpa mewajibkannya. Begitu juga tidak menjadi kesalahan jika seseorang  berpuasa siangnya dengan berniat puasa sunat Hari Putih ( puasa sunat 13,14, 15 setiap bulan Hijrah ) atau berniat puasa sunat mutlak.

Ajaran agama tidak boleh direka cipta. Ia mestilah berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah. Amalan yang menyalahi dalil khusus atau dalil umum dari al-Quran dan al-Sunnah akan menjadi amalan bidaah.

Dalam isu ini yang paling afdhal ialah kita mengikut jejak langkah nabi s.a.w dan para sahabat. Mereka menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan bertahajud, membaca al-Quran, dan beristighfar secara individu di rumah masing-masing. Perkara ini mempunyai hikmat yang tersendiri. Hanya jalan yang telah ditunjukkan oleh nabi s.a.w.  dan para sahabat adalah paling benar dan terbaik untuk diteladani.







2 comments: