أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Thursday, January 30, 2014

Muhammad s.a.w : Rahmat kepada haiwan

Masih membicarakan tentang kedatangan nabi Muhammad s.a.w. sebagai nabi akhir zaman yang menjadi   rahmat kepada seluruh alam. Alam haiwan tidak terkecuali dalam kerahmatan ini. Terdapat hadith dalam riwayat Abu Daud :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ جَعْفَرٍ قَالَ...... فَإِذَا جَمَلٌ فَلَمَّا رَأَى النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- حَنَّ وَذَرَفَتْ عَيْنَاهُ فَأَتَاهُ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم- فَمَسَحَ ذِفْرَاهُ فَسَكَتَ فَقَالَ : مَنْ رَبُّ هَذَا الْجَمَلِ لِمَنْ هَذَا الْجَمَلُ . فَجَاءَ فَتًى مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ : لِى يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَقَالَ : أَفَلاَ تَتَّقِى اللَّهَ فِى هَذِهِ الْبَهِيمَةِ الَّتِى مَلَّكَكَ اللَّهُ إِيَّاهَا فَإِنَّهُ شَكَى إِلَىَّ أَنَّكَ تُجِيعُهُ وَتُدْئِبُهُ .

  Maksudnya

“ Daripada Abdullah b.Jaafar beliau berkata :......tiba-tiba terdapat seekor unta. Ketika  nabi s.a.w. melihat unta tersebut maka kelihatan unta itu dalam keadaan sayu dan mengalir air mata dari kedua-dua  matanya. Maka nabi s.a.w.menghampiri unta dan mengusap-usap dibahagian belakang telinga unta lantas unta berhenti mengalirkan air mata. Rasulullah bertanya siapakah tuan unta ini . seorang pemuda daripada kaum Ansar menjawab unta itu kepunyaan saya wahai Rasulullah. Rasulullah bersabda : “Tidakkah kamu bertakwa kepada Allah terhadap haiwan ini. Allah telah memberi milik kepada kamu dan ia telah mengadu kepadaku bahawa kamu membiarkannya dalam keadaan kelaparan sedangkan kamu membebankannya dengan pekerjaan”( Abu Daud, Sunan Abu Daud, Izzat Ubaid, no. h. 2549, bab jihad, hlm. 37, j. 3 ) 


Hadith ini terdapat dalam riwayat Sunan Abu Daud. Al-Albani seorang pengkaji hadith telah menilai hadith ini sebagai hadith sahih.




Kisah seekor unta yang mengadu kepada nabi s.a.w tentang tuannya yang tidak memberikan makanan secukupnya sedangkan pada masa yang sama tuan unta ini membebankannya dengan pekerjaan ladang. Hal ini menjadi mukjizat kepada nabi s.a.w. yang memahami keadaan dan keperluan haiwan. Sepatutnya manusia bersyukur terhadap nikmat memiliki haiwan dengan memberinya makan secukupnya dan berbuat ihsan ( belas kasihan ) kepadanya. ( Mustafa al-Khin, Nuzhah al-Muttaqin, hlm. 724-725 )


Dalam hadith sahih yang lain diceritakan bahawa seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka kerana mengurung seekor kucing dan tidak membiarkannya lepas bebas untuk mencari makanan sendiri. Kucing itu akhirnya mati kelaparan. Perkara yang menyebabkan wanita itu ke neraka ialah kerana tidak ada perasaan ihsan terhadap haiwan tersebut.



Termasuk dalam erti kata tidak bersyukur terhadap nikmat memiliki haiwan ialah membiarkan haiwan-haiwan ini berkeliaran di jalan raya. Sering berlaku kemalangan ngeri disebabkan tidak bertanggungjawab tuan punya haiwan ini. Tuan punya haiwan akan disoal pada hari akhirat di atas kelalaian ini. Insaflah...





Monday, January 13, 2014

Maulidurrasul : Ketika Quraisy Membawa Pulang Kambing Dan Unta


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ زَيْدِ بْنِ عَاصِمٍ قَالَ لَمَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ حُنَيْنٍ قَسَمَ فِي النَّاسِ فِي الْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَلَمْ يُعْطِ الْأَنْصَارَ شَيْئًا فَكَأَنَّهُمْ وَجَدُوا إِذْ لَمْ يُصِبْهُمْ مَا أَصَابَ النَّاسَ فَخَطَبَهُمْ فَقَالَ يَا مَعْشَرَ الْأَنْصَارِ أَلَمْ أَجِدْكُمْ ضُلَّالًا فَهَدَاكُمْ اللَّهُ بِي وَكُنْتُمْ مُتَفَرِّقِينَ فَأَلَّفَكُمْ اللَّهُ بِي وَعَالَةً فَأَغْنَاكُمْ اللَّهُ بِي كُلَّمَا قَالَ شَيْئًا قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمَنُّ قَالَ مَا يَمْنَعُكُمْ أَنْ تُجِيبُوا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلَّمَا قَالَ شَيْئًا قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمَنُّ قَالَ لَوْ شِئْتُمْ قُلْتُمْ جِئْتَنَا كَذَا وَكَذَا أَتَرْضَوْنَ أَنْ يَذْهَبَ النَّاسُ بِالشَّاةِ وَالْبَعِيرِ وَتَذْهَبُونَ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى رِحَالِكُمْ
( Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Fuad Abd al-Baqi, hadith no. 4330, hlm. 520 )


Maksudnya :

Daripada Abdullah b. Zaid b. Asim berkata :”Selepas Allah s..w.t memenangkan Rasulullah s.a.w. dalam perang Hunain, Rasulullah memberikan kepada orang-orang mualaf  ( Quraisy dan kabilah Arab) harta rampasan perang tanpa diberikan kepada kaum Ansar sedikitpun lalu mereka merasa sedih kerana tidak mendapat harta sebagaimana orang-orang mualaf mendapatnya. Rasulullah s.a.w.menyedari kesedihan kaum Ansar dan berkata kepada mereka:” Wahai kaum Ansar, tidakkah kamu dalam keadaan sesat lalu Allah memberi hidayat kepada kamu  melaluiku ,tidakkah kamu berpecahbelah lalu Allah melembutkan hati kamu melaluiku,tidakkah kamu miskin lalu Allah mengkayakan kamu melaluiku, setiap kali Rasulullah s.a.w. berkata sesuatu mereka menjawab kami beriman kepada Allah dan Rasul, Rasulullah berkata“apa yang menghalang kamu untuk menjawab perkataan Rasulullah s.a.w sehingga setiap kali Rasulullah s.a.w. berkata sesuatu kamu menjawab kami beriman kepada Allah dan Rasul. Rasulullah meneruskan:”jika kamu mahu kamu boleh berkata bahawa  kamu datang kepada kami begini dan begini, “ wahai kaum Ansar adakah kamu redha terhadap orang-orang ( Quraisy dan kabilah Arab) membawa pulang kambing-kambing dan unta-unta sedangkan kamu membawa pulang nabi s.a.w. ke rumah-rumah kamu”

Ulasan hadis

Setelah selesai perang Hunain Rasulullah s.a.w. telah membahagikan harta rampasan perang kepada beberapa pembesar Quraisy dan kabilah Arab yang lain. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan Baihaqi harta itu berupa kambing dan unta. Rasulullah s.a.w. telah memberikan kepada Abu Sufyan, Safwan b. Umaiyyah, Uyainah b. Husn, Malik b. Auf dan lain-lain sebanyak seratus ekor unta setiap seorang.( Ibn Hajar , Fath al-Bari, hlm.50, j.8 )

Namun pembahagian ini tidak disenangi oleh kaum Ansar sehingga percakapan mereka sampai kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda s.a.w. meminta kaum Ansar berhimpun pada suatu tempat dan baginda s.a.w. memberikan ucapan kepada mereka. Antara lain Rasulullah s.a.w. menjelaskan kedatangannya telah memberi hidayat dan menyatukan mereka. Kaum Ansar hanya menjawab kami beriman kepada Allah dan Rasul setiap kali pertanyaan dilontarkan oleh Rasulullah s.a.w. Sebenarnya kaum Ansar boleh menjawab bahawa kaum merekalah yang membantu Rasulullah s.aw. ketika baginda s.a.w. datang dengan sehelai sepinggang ke Madinah.

Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa harta yang berupa kambing dan unta diberikan kepada orang-orang Quraisy yang baru memeluk Islam adalah untuk menjinakkan hati mereka kepada Islam. Bukanlah pemberian itu semata-mata Quraisy merupakan kaum Rasululah s.a.w. Kaum Ansar telah terlupa tentang hal ini.( Muhammad Said Ramadhan al-Buthi, Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah, hlm. 294 )

Kemuncaknya, Rasululah s.a.w. bertanya kepada kaum Ansar iaitu adakah kaum Ansar redha dengan pemberian Rasulullah s.a.w. kepada orang-orang Quraisy berupa kambing dan unta untuk dibawa pulang ke Makkah sedangkan kaum Ansar membawa pulang Rasulullah s.a.w. ke Madinah?

Kaum Ansar semuanya menjawab " Kami redha dengan dengan pembahagian Rasulullah s.a.w." Peristiwa ini seperti yang disebut dalam Musnad Ahmad.

Rasulullah s.a.w  berdoa kepada kaum Ansar :


اللَّهُمَّ ارْحَمْ الْأَنْصَارَ وَأَبْنَاءَ الْأَنْصَارِ وَأَبْنَاءَ أَبْنَاءِ الْأَنْصَارِ قَالَ فَبَكَى الْقَوْمُ حَتَّى أَخْضَلُوا لِحَاهُمْ وَقَالُوا رَضِينَا بِرَسُولِ اللَّهِ قِسْمًا وَحَظًّا

“Ya Allah rahmatilah kaum Ansar, anak-anak Ansar, dan cucu-cucu Ansar”Kemudian semua kaum Ansar menangis sehingga tangisan itu membasahi janggut-janggut mereka serta mereka berkata " kami redha dengan pemberian ini Wahai Rasulullah."
Ahmad b. Hanbal, Musnad Ahmad,Syuaib al-Arnaut,  hlm. 255 j. 1

Inilah cebisan kisah kaum Ansar bersama Rasulullah s.a.w. di Madinah. Mereka memiliki dan membawa pulang  Rasulullah s.a.w. sedangkan kaum Quraisy memiliki dan membawa pulang kambing dan unta. Kaum Quraisy dan kaum Ansar masing-masing telah membawa harta yang sangat bernilai ke Makkah dan Madinah

Kini umat Islam dapat memiliki Rasulullah s.a.w. dengan mengikuti segala sunnahnya. Ia merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai sama seperti yang dimiliki kaum Ansar terdahulu. Semoga peristiwa lalu menjadi teladan untuk seluruh umat Islam sepanjang zaman. 



Friday, January 10, 2014

Inilah akhlak nabimu Muhammad s.a.w.


Tarikh 12 Rabi‘ al-Awwal adalah menjadi tarikh kemuliaan kepada tamadun umat manusia sejagat kerana telah dizahirkan padanya seorang insan mulia. Insan ini datang dengan sifat “Rahmatan li al-Alamin“ iaitu sebagai rahmat kepada seluruh alam seperti yang dinyatakan dalam al-Quran al-Karim.

Perkataan yang rajih tentang tarikh kelahiran insan ini ialah pada malam Isnin 12 Rabi‘ al-Awwal tahun gajah di kota Makkah. Perkara ini telah dijelaskan oleh Muhammad Said Ramadhan al-Buthi dalam karyanya yang terkenal Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah, kata beliau :

“ Adapun kelahiran Muhammad s.a.w. ialah pada tahun gajah, iaitu pada tahun adanya percubaan Abrahah al-Asyram memerangi Makkah serta meruntuhkan Kaabah namun Allah s.w.t. melindungi Kaabah dengan menolak percubaan itu dengan tanda-tanda kekuasaanya seperti disifatkan dalam al-Quran. Pendapat yang rajih kelahiran baginda ialah pada malam Isnin 12 Rabi‘ al-Awwal”( Muhammad Said Ramadhan al-Buthi Fiqh al-Sirah al-Nabawiyah, hlm. 44 )

Dialah nabimu Muhammad s.a.w. yang diutuskan membawa berita gembira dan membawa berita ancaman. Berita gembira yang dimaksudkan ialah syurga untuk orang-orang yang beriman manakala ancaman ialah neraka untuk sesiapa yang engkar tidak mahu beriman.

Antara akhlak nabimu untuk dicontohi seperti yang diterangkan dalam kitab al-Riyadh al-Nadiyyah :

1. Benar dalam perkataan.

Kesaksian benar ini turut diakui oleh musuh baginda seperti dinyatakan dalam hadith riwayat al-Bukhari :

وَسَأَلْتُكَ هَلْ كُنْتُمْ تَتَّهِمُونَهُ بِالْكَذِبِ قَبْلَ أَنْ يَقُولَ مَا قَالَ فَذَكَرْتَ أَنْ لَا فَقَدْ أَعْرِفُ أَنَّهُ لَمْ يَكُنْ لِيَذَرَ الْكَذِبَ عَلَى النَّاسِ وَيَكْذِبَ عَلَى اللَّهِ
Maksudnya :

“Aku bertanya kepada kamu adakah kamu menuduhnya berdusta sebelum dia mengatakan dia adalah nabi, kamu menjawab tidak, maka aku ( Hercules ) mengetahui orang yang tidak menyebarkan dusta terhadap manusia sama sekali tidak berbuat demikian terhadap Allah( Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, bab kaifa bada al-Wahy, hadith  no. 7, hlm. 9)

Perawi bagi potongan hadith di atas adalah Abu Sufyan ( sebelum islam ) yang menceritakan peristiwa ketika  beliau menjadi tetamu Maharaja Rom ( Hercules ). Antara soalan yang ditanya ialah tentang adakah Muhammad s.a.w. pernah berdusta. Daripada jawapan Abu Sufyan, Hercules mengakui Muhammad s.a.w. tidak pernah berdusta.

2. Paling kuat ibadat malam.

عَنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُصَلِّي حَتَّى تَرِمَ قَدَمَاهُ فَقِيلَ لَهُ : يَا رَسُولَ اللهِ ، أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا.

Maksudnya :

“Daripada al-Mughirah b. Syu‘bah, Rasulullah s.a.w bersolat sehingga bengkak kedua belah kakinya dan ditanya kepada baginda : Wahai Rasulullah, engkau melakukan ini sedangkan engkau telah diampunkan dosa yang akan datang dan dosa yang telah lalu, maka Rasulullah s.a.w. menjawab: Tidakkah aku ini menjadi hamba yang bersyukur(Abi Daud, Musnad Abi Daud, bab ma asnada an al-Mughirah, hadith no.728,  hlm. 71, j. 2)

Bengkak kedua-dua belah kaki baginda kerana lamanya berdiri ketika solat sunat waktu malam. Di manakah status kita dalam bab ini??? “Adakah jauh panggang dari api”. Masing-masing mengetahui jawapannya. Walau tidak akan setanding sekurang-kurangnya ada dilakukan.

3. Paling zuhud.

Rasulullah s.a.w adalah seorang yang paling zuhud kehidupannya di dunia. Walaupun baginda menguasai wilayah-wilayah yang semakin luas serta mendapat al-Ghanimah ( harta rampasan perang ) namun baginda tidak terkesan sedikitpun mengenai itu semua. Baginda mengambil harta hanya untuk nafkahya, pakaiannya, dan tempat tinggalnya sekadar keperluan sahaja ( 1/5 untuk rasul ). Sebahagian besar harta-harta tersebut diberikan kepada orang-orang miskin dan Baitulmal al-Muslimin. Ketika baginda wafat baju besinya masih tergadai di tangan orang Yahudi semata-mata untuk memberi nafkah terhadap keluarganya.(Muhammad Helmi Muhammad Khidir, al-Riyadh al-Nadiyyah, hlm. 38-39)

Amru b. al-Harith berkata :

مَا تَرَكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا بَغْلَتَهُ الْبَيْضَاءَ وَسِلَاحَهُ وَأَرْضًا تَرَكَهَا صَدَقَةً
Maksudnya :

“Rasululah tidak meninggalkan harta kecuali baghalnya yang berwarna putih, senjata perang, dan tanah yang disedekahkan” ( Al-Nasaie, Sunan al-Nasaie bi syarh al-Suyuthi,
hadith. no. 3597, hlm. 539, j.6 )

Zuhud bermaksud mengalihkan keinginan terhadap sesuatu kepada apa yang kebih baik daripadanya. Ia juga mengambil makna meninggalkan dunia kerana mengetahui kefanaanya berbanding dengan akhirat. (Ibn Qudamah al-Maqdisi, Muktasar Minhaj al-Qasidin, hlm. 329 ). Inilah kesempurnaan zuhud…

Secebis daripada akhlak Rasulullah s.a.w. yang sayugia diikuti oleh mereka-mereka yang mengaku umat Muhammad s.a.w. Dapatkah kita ???

Monday, January 6, 2014

Bughah dalam surah al-Hujurat (49) : 9

وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (9)    
   ( surah al-Hujurat  (49) : 9

Maksudnya :

Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya, jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang  lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia  kembali mematuhi perintah Allah. Jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil ( menurut hukum Allah ), serta berlaku adillah kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil
  
Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir menbawakan lima sabab nuzul ( sebab turun ) ayat ini. Kelima-lima sabab nuzul hampir bersamaan dari sudut kejadian yang berlaku antaranya :

“Rasulullah s.a.w berjalan untuk melawat Saad bin Ubadah yang sakit dan melewati penempatan Abdullah bin Ubay bin Salul lantas Abdullah bin Ubay bin Salul berkata sesuatu kepada Abdullah Abi Rawahah kemudian Abdullah Abi Rawahah menjawab dan disampuk oleh para sahabatnya dan mereka mula saling berlawan antara satu sama lain. Maka ketika itu diturunkan ayat. Rasulullah s.a.w. membacakan ayat ini supaya mereka berdamai. Abdullah bin Abi Rawahah adalah orang Khazraj sementara Abdullah bin Ubay adalah orang Aus”.( Wahbah al-Zuhaili,Tafsir Munir hlm. 234, j.26 )

Kata Wahbah al-Zuhaili kemungkinan sabab nuzul banyak dan peristiwa yang disebutkan menyamai antara satu sama lain dalam isu pergaduhan antara dua kumpulan orang mukmin.

Dalam sabab nuzul di atas diterangkan pergaduhan antara dua kumpulan orang mukmin. Se kumpulan diketuai Abdullah bin Ubay daripada kaum Aus sementara sekumpulan lagi diketuai oleh Abdullah bin Abi Rawahah daripada kaum Khazraj. Kedua-dua kaum ini dikenali sebagai kaum Ansar yang membantu perjuangan Rasulullah s.a.w di Madinah. Pertengkaran mulut antara mereka menjadi pergaduhan besar. Dalam keadaan tersebut ayat  ini diturunkan dan Rasulullah s.a.w. membacakan kepada mereka lantas mereka terus berdamai.

Walaupun Abdullah bin Ubay dikenali sebagai seorang munafik dalam kitab-kitab sirah, namun hukum sebagai seorang mukmin terpakai pada zahirnya. Beliau tetap dianggap sebagai sahabat Rasulullah s.a.w. pada zahirnya.

Mufradat ayat :

طَائِفَتَانِ =  Dua kumpulan manusia
بَغَتْ = zalim dan melampaui batas
تَفِيءَ = kembali dalam keadaan terpuji ( Muhammad Mahmud Hijazi, Al-Tafsir al-Wadih, hlm. 504, j.3 )

Muhammad Mahmud Hijazi dalam al-Tafsir al-Wadih  berkata :

“Sekiranya dua puak daripada orang Islam saling berperang maka wajib kepada orang Islam mendamaikan antara kedua-duanya dan menghukum dengan syariat Allah sama ada qisas atau diyah. Perkara ini wajib kepada Imam (pemerintah) untuk memanggil kedua-dua puak yang bersengketa untuk melakukan perdamaian. Sekiranya satu puak mengulangi persengketaan dan enggan menerima nasihat wajib kepada kaum muslimin dan Imam memerangi kaum yang melampau ini” ( Muhammad Mahmud Hijazi, Al-Tafsir al-Wadih, hlm. 505, j.3 )

Kata al-Qurtubi ketika membuat tafsiran ayat ini  :

“Apabila satu puak keluar kepada Imam yang adil,dan mereka adalah puak yang zalim atau melampaui batas serta mereka tiada hujah, maka hendaklah Imam dan kaum muslimin semuanya atau sekadar melepaskan hukum fardhu kifayah,memerangi puak ini, tetapi sebelum itu Imam hendaklah menyeru mereka untuk ketaatan dan menyertai jemaah. Jika mereka enggan kembali dan membuat kebaikan perangilah mereka. Jangan dibunuh tawanan mereka, jangan menyerang ketika mereka lari”( Al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, hlm. 315, j.16 )

Kata Wahbah al-Zuhaili majoriti ulama berpendapat bughah tidak dihukum fasiq atau kafir berdalilkan firman Allah :
وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا
“Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang”
,
Kata Sayyidina Ali  r.hu :

“ Saudara kita melampau kepada kita sedangkan mereka silap dengan apa yang mereka lakukan, mereka menggunakan takwil ”

Majoriti ulama berpendapat Muawiyah bin Abi Sufian dan pengikutnya adalah bughah berdasarkan hadith yang masyhur tentang Ammar bin Yasir dibunuh oleh puak pelampau. ( Wahbah al-Zuhaili,Tafsir Munir hlm. 234, j.26 ) Namun, ada sebahagian ulama mengatakan Muawiyah menggunakan ijtihad dalam peperangannya menentang Ali Karramallahu Wajhah.

Dari penjelasan-penjelasan di atas dapat di fahami bahawa yang dimaksudkan dengan bughah ialah :

1.Sekumpulan orang  mukmin yang melakukan  kezaliman dan melampau terhadap sekumpulan orang mukmin yang lain atau satu kumpulan orang mukmin keluar memerangi Imam yang adil. Mereka  tiada alasan kukuh yang dari sudut syariat di atas tindakan melampau mereka.

2.Wajib bagi Imam atau pemerintah mendamaikan antara dua kumpulan mukmin yang berperang .

3.Wajib bagi Imam atau pemerintah menyeru mereka supaya taat sebelum memerangi mereka.

4. Di larang membunuh tawanan bughah, menyerang ketika mereka melarikan diri, dan merampas harta-harta mereka.

 5. Bughah tidak dihukumkan  kafir. Mereka adalah kumpulan orang mukmin yang melakukan kezaliman.

Setelah meneliti perbincangan di atas, adakah istilah bughah ini terpakai dalam kalangan masyarakat Islam dewasa ini ???


Sunday, January 5, 2014

Surat Muhammad al-Beltaji kepada anaknya yang syahid di dataran Rabaah al-Adawiyyah, Kaherah.

Rakyat Mesir yang terlibat dengan demontrasi aman di dataran Rabaah al-Adawiyyah pada Ogos 2013 mempunyai cerita tersendiri, antaranya  Muhammad al-Beltaji ( pemimpin parti kebebasan & keadilan ) yang kehilangan anak perempuan Asma binti Muhammad al-Beltaji. Surat ini ditulis meratapi kematian anak kesayangannya.

“Anakku yang dikasihi dan juga guruku yang ulung Asma binti Muhammad al-Beltaji, aku tidak mengatakan selamat tinggal, bahkan aku mengatakan  esok kita berjumpa”…

“Kamu hidup dengan mendongak kepala melawan kezaliman dan menentang pemimpin-pemimpin kejahatan. Kamu  mencari dalam diam ufuk baru untuk mengulangi dan membina umat ini semula dan  mengembalikan kepada kedudukannya yang bertamadun “


“Kamu tidak sibuk dengan sesuatu yang menjadi keinginan gadis pada usia kamu, bahkan kamu mengutamakan pelajaran, namun pembelajaran tradisi masih tidak memuaskan hati kamu”.

“Aku masih tidak puas untuk hidup bersamamu dalam kehidupan yang pendek ini, khasnya masaku tidak banyak untuk aku berikan kebahagiaan dan keseronokan dalam kehidupan bersamamu. Pada saat akhir hayatmu kita duduk bersama-sama di dataran Rabaah al-Adawiyah dan engkau menegurku dengan lembut dengan berkata ( kamu sentiasa sibuk untuk bersama kami) aku menjawab ( kehidupan ini tidak panjang untuk kita memuaskan hati sesama kita. Aku berdoa kepada Allah supaya memberi kebahagiaan kepada kita di dalam Syurga untuk kita bersama-sama menikmati kehidupan sepuas-puasnya )

“Dua hari sebelum engkau syahid aku melihat dalam mimpi engkau memakai pakaian pengantin yang terserlah kecantikannya, segar bercahaya yang tiada tandingan dalam dunia. Ketika engkau menghampiriku, aku bertanya dalam diam adakah ini malam pengantin engkau? engkau telah memberi jawapan pasti pada  hari ini ( pada waktu Zohor bukan pada waktu Asar yang dijanjikan pertemuan) ketika aku mendapat berita kesyahidan engkau pada hari Rabu waktu Zohor…



Saturday, January 4, 2014

Perkahwinan nabi Yusuf a.s. dan Zulaikha.

Riwayat yang mengatakan nabi Yusuf dan Zulaikha berkahwin merupakan riwayat Israiliyyat yang bersumberkan dari ahli kitab ( Yahudi dan Nasrani ). Al-Quran dan hadith tidak menceritakan perkara ini. 

Nama Zulaikha juga merupakan riwayat bersumberkan Israiliyyat. Ada riwayat lain yang mengatakan namanya adalah Raa‘il. Nama suami Zulaika pula ialah Itfir. ( Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, hlm. 378, j. 4 )

Berkaitan Israiliyyat pula ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu bahagian yang dibenarkan, bahagian yang didustakan dan bahagian yang didiamkan. ( Muhammad Husain al-Dhahabi, al-Tafsir wa al-Mufasirun, hlm. 130-131, j. 2 )

Para ulama tafsir seperti Ibn Taimiyyah mengatakan bahagian ketiga ini adalah bahagian yang didiamkan. Kita tidak membenarkan dan kita tidak mendustakan riwayat dalam bahagian ini. Namun hukumnya harus untuk meriwayatkan . Ini berdasarkan hadith nabi :

لا تصدقوا أهل الكتاب ولا تكذبوهم وقولوا آمنا بالله وما أنزل إلينا وما أنزل إليكم

Janganlah kamu membenarkan Ahli Kitab dan janganlah kamu mendustakannya dan katakanlah kepada mereka kami beriman kepada Allah dan kami beriman dengan apa yang diturunkan kepada kami  dan dengan  apa yang diturunkan kepada kamu.
( riwayat Bukhari no. hadith 7362 )

Kesimpulannya, perkahwinan nabi yusuf dengan Zulaikha adalah bersumberkan riwayat Israiliyyat bahagian ketiga. Sekiranya kita tidak percaya bahawa nabi Yusuf dan Zulaika berkahwin, ia tidak menjejaskan akidah kita. Sekiranya kita percaya  ia juga tidak menjejaskan akidah kita. Seperti dinyatakan ia adalah Israiliyyat bahagian ketiga yang tidak dibenarkan dan tidak didustakan (didiamkan). Namun yang afdhalnya kita mengikut apa yang dterangkan dalam al-Quran dan hadith iaitu, al-Quran dan hadith tidak menceritakan perkahwinan ini kerana ia dianggap tiada keperluan dari sudut akidah. Wallahu‘alam.



Friday, January 3, 2014

Ringkasan mengenali hadis palsu

Pengertian hadis palsu

Bahasa : Bohong, jatuh, tinggal.

Istilah : Apa yang disandarkan kepada nabi s.a.w. atau selainnya, daripada perkataan, perbuatan, pengakuan, atau sifat secara bohong dan dusta “ ( Muhammad Abu al-Laith, Ulum al-Hadith, hlm. 184 )

Hadith palsu dapat dikesan melalui sanad ( rangkaian perawi ) dan melalui matan  ( teks hadith )

Kata Ahmad bin Abd al-Karim al-Amiri :

1. Dikesan melalui sanad dengan beberapa cara iaitu :

a. Perawi hadith yang terkenal sebagai seorang pendusta.

b. Perakuan perawi hadith terhadap hadith rekaannya. (Ahmad bin Abd al-Karim al-Amiri, al-Jaddu  al-Hathit , hlm. 12)

Kata Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah :

2. Dikesan melalui matan dengan beberapa cara iaitu :

a. Mengandungi unsur keterlaluan pada balasan pahala.

"من قال لا إله إلا الله خلق الله من تلك الكلمة طائرا له سبعون ألف لسان لكل لسان سبعون ألف لغة يستغفرون الله له" 53

“ Sesiapa yang berkata “Lailahailallah” maka Allah mencipta dari kalimah itu seekor burung yang mempunyai 70 ribu lidah, setiap lidah mempunyai 70 ribu bahasa yang beristighfar untuknya”

b. Pendustaan mengikut kehendak nalurinya.

الباذنجان شفاء من كل داء".54

“ Terung adalah penyembuh bagi setiap penyakit”

c. Matan hadith yang nampak selekeh.

من اتخذ ديكا أبيض لم يقربه شيطان ولا سحر".77

“ Sesiapa yang membela ayam putih maka dia tidak akan didekati syaitan mau pun sihir “

Semua hadith berkaitan ayam adalah dusta kecuali satu hadith iaitu :

إذا سمعتم صياح الديكة فسألوا الله من فضله فإنها رأت ملكا( riwayat Bukhari )
“ Apabila kamu mendengar kokokan ayam jantan, maka mintalah kelebihan daripada Allah kerana sesungguhnya ia telah melihat malaikat”

d. Matan hadith bertentangan dengan sunnah sarih.

Hadith-hadith yang memuji sesiapa yang bernama “Ahmad” atau “ Muhammad” yang tidak akan masuk neraka. Sedangkan hadith sarih menyatakan hanya iman dan amal yang membolehkan seseorang masuk ke syurga.

e. Hadith yang mendakwa nabi s.a.w.  menyuruh para sahabat menyembunyikan hadith.

هذا وصيي وأخي والخليفة من بعدي فأسمعوا له وأطيعوا" .82

“Ini adalah wasiatku dan saudaraku dan khalifah selepasku maka dengar dan patuhilah kamu semua”

f. Hadith yang nampak batil pada asal matan lagi.

“ .84المجرة التي في السماء من عرق الأفعى التي تحت العرش"                                         

“ Pelangi yang berada di langit adalah peluh ular di bawah arasy”     


g. Perkataan yang tidak menyamai perkataan para nabi

“ .96 ثلاثة  تزيد في البصر النظر إلى الخضرة والماء الجاري والوجه الحسن"                             

“ Tiga perkara akan menambahkan penglihatan, melihat kepada tumbuhan hijau, melihat air yang mengalir, dan melihat wajah yang cantik”

h. Hadith yang menggalakkan berselawat pada siang hari dan malamnya.

Iaitu berselawat pada hari Ahad dan malamnya, hari Isnin dan malamnya dan seterusnya.

i. Hadith berkaitan tarikh peristiwa masa hadapan.

“ . 213 صوت في رمضان إذا كانت ليلة النصف منه ليلة الجمعة                            " 

“Satu pekikan suara akan kedengaran pada bulan Ramadhan apabila pertengahan bulan Ramadhan jatuh pada malam Jumaat” ( Ibn al-Qayyim,  al-Manar al-Munif, hlm. 50-95) 

Begitulah perbahasan secara ringkas tentang cara-cara untuk mengenali hadith-hadith palsu. Para ulama hadith telah menyusun kitab-kitab  al-rijal ( perawi-perawi ) untuk memastikan kesahihan dan ketulenan  sesebuah hadith terpelihara. Dengan ini hadith-hadith tetap terjaga sebagaimana terjaga kitab  suci al-Quran untuk sepanjang zaman.