أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Thursday, January 2, 2014

Lelaki misteri di masjid al-Fath, Mubarrah, Zagazig.



Image result for masjid fath zagazig


Ketika itu masuk waktu solat fardhu Isyak. Imam yang rutin entah ke mana. Seorang lelaki tua sekitar umur 60-an mengambil tempat dan mengimani solat fardhu Isyak. Lelaki ini seingat aku sekali atau dua kali  sahaja menjadi imam di masjid ini.

Lelaki ini membaca ayat-ayat dari surah Maryam dan getaran ayat-ayat ini mengocak hati  para jemaah, termasuklah aku yang berada dalam saf yang ketiga. Getaran ayat-ayat kian terasa apabila sampai pada ayat 90-95 surah ini iaitu :

تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنْشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا (90) أَنْ دَعَوْا لِلرَّحْمَنِ وَلَدًا (91) وَمَا يَنْبَغِي لِلرَّحْمَنِ أَنْ يَتَّخِذَ وَلَدًا (92) إِنْ كُلُّ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ إِلَّا آتِي الرَّحْمَنِ عَبْدًا (93) لَقَدْ أَحْصَاهُمْ وَعَدَّهُمْ عَدًّا (94) وَكُلُّهُمْ آتِيهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَرْدًا (95)

Maksudnya:

“Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan tanggapan mereka yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah serta gunung-gunung pun nyaris-nyaris runtuh ranap ( 90) Kerana mereka mendakwa al-Rahman (Allah) mempunyai anak ( 91) Padahal tiada layak bagi al-Rahman (Allah) mempunyai anak (92) Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan dia akan datang kepada al-Rahman (Allah) sebagai hamba (93) Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka serta menghitung mereka satu persatu (94) Dan mereka masing-masing akan datang menghadapNya pada hari kiamat seorang diri” (95) (surah Maryam 19 : 90 -95)

Begitu kudusnya ayat-ayat yang dibaca. Halim seorang sahabatku berkata dia hampir-hampir gugur air mata seandainya ada lagi rakaat-rakaat tambahan yang dibacakan oleh lelaki ini. Begitulah perasaan sahabat-sahabatku yang lain.

Namun, bak kata pepatah Melayu “ rambut sama hitam hati lain-lain”. Pepatah ini terbukti benar apabila selepas solat dan doa, berlaku pertengkaran mulut antara lelaki ini dengan salah seorang jemaah. Jemaah ini berumur sekitar 50-an. Aku kenal jemaah ini kerana dia jiranku (selang beberapa rumah). Aku dan sahabat-sahabatku pernah dijemput ke rumahnya untuk menikmati “syai” (teh). Katanya dia ada anak lelaki yang bekerja di “Vienna”. Pada mulanya aku sangkakan tempat itu “Vietnam”, tetapi sebenarnya “Vienna” yang merupakan satu bandar di Jerman.

Aku mendengar pertengkaran itu dari kejauhan sahaja kerana ingin cepat pulang ke rumah. Sahabat-sahabat yang lain begitu juga kerana masing-masing ingin cepat pulang untuk mengambil “asyak” (makan malam). Tidak ada seorangpun yang memberi perhatian serius terhadap pertengkaran itu, mungkin disebabkan kami lapar dan juga tidak memahami butir-butir pertengkaran itu dengan jelas. 

Keesokannya harinya barulah kami berbual tentang lelaki yang menjadi imam dan pertengkarannya dengan salah seorang jemaah. Perbualan sesama sendiri yang tiada jawapan. Apa yang dikesali, aku tidak pernah nampak lelaki itu di Zagazig lagi…!!!!!. Kami tidak berpeluang untuk berkenalan dengan lelaki ini. Butiran yang dipertengkarkan juga menjadi misteri serentak dengan misteri kehilangannya dari masjid al-Fath, Zagazig.

Berkaitan ayat 90,91,92 surah Maryam yang dibacakan lelaki misteri ini, mengikut Tafsir pimpinan al-Rahman menyimpulkan sebagai berikut :

(84) Dengan ini Allah Taala menerangkan bagaimana salahnya dakwaan kaum kafir yang mengatakan Allah mempunyai anak, sehinggakan alam langit dan bumi serta gunung ganangnya nyaris-nyaris pecah dan hancur lebur kerana ngeri dan besarnya dakwaan yang dusta dan tidak berasas itu. (Sheikh Abdullah Basmeih, Tafsir Pimpinan al-Rahman, hlm. 767).

Ayat-ayat yang diperkatakan ini adalah berkaitan dengan orang-orang Yahudi yang mengatakan bahawa Uzair adalah anak Allah, sementara orang-orang Nasrani pula mengatakan Isa adalah anak Allah. Ayat-ayat yang dibacakan oleh lelaki misteri ini menafikan dakwaan Yahudi dan Nasrani tersebut !!! 

Allahu Akbar, ayat-ayat ini sangat menarik maknanya dan lelaki ini sangat misteri...

1 comment: