وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (9)
( surah al-Hujurat (49) : 9
( surah al-Hujurat (49) : 9
Maksudnya :
Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya, jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah. Jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil ( menurut hukum Allah ), serta berlaku adillah kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil
Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir menbawakan lima sabab nuzul ( sebab turun ) ayat ini. Kelima-lima sabab nuzul hampir bersamaan dari sudut kejadian yang berlaku antaranya :
“Rasulullah s.a.w berjalan untuk melawat Saad bin Ubadah yang sakit dan melewati penempatan Abdullah bin Ubay bin Salul lantas Abdullah bin Ubay bin Salul berkata sesuatu kepada Abdullah Abi Rawahah kemudian Abdullah Abi Rawahah menjawab dan disampuk oleh para sahabatnya dan mereka mula saling berlawan antara satu sama lain. Maka ketika itu diturunkan ayat. Rasulullah s.a.w. membacakan ayat ini supaya mereka berdamai. Abdullah bin Abi Rawahah adalah orang Khazraj sementara Abdullah bin Ubay adalah orang Aus”.( Wahbah al-Zuhaili,Tafsir Munir hlm. 234, j.26 )
Kata Wahbah al-Zuhaili kemungkinan sabab nuzul banyak dan peristiwa yang disebutkan menyamai antara satu sama lain dalam isu pergaduhan antara dua kumpulan orang mukmin.
Dalam sabab nuzul di atas diterangkan pergaduhan antara dua kumpulan orang mukmin. Se kumpulan diketuai Abdullah bin Ubay daripada kaum Aus sementara sekumpulan lagi diketuai oleh Abdullah bin Abi Rawahah daripada kaum Khazraj. Kedua-dua kaum ini dikenali sebagai kaum Ansar yang membantu perjuangan Rasulullah s.a.w di Madinah. Pertengkaran mulut antara mereka menjadi pergaduhan besar. Dalam keadaan tersebut ayat ini diturunkan dan Rasulullah s.a.w. membacakan kepada mereka lantas mereka terus berdamai.
Walaupun Abdullah bin Ubay dikenali sebagai seorang munafik dalam kitab-kitab sirah, namun hukum sebagai seorang mukmin terpakai pada zahirnya. Beliau tetap dianggap sebagai sahabat Rasulullah s.a.w. pada zahirnya.
Mufradat ayat :
طَائِفَتَانِ = Dua kumpulan manusia
بَغَتْ = zalim dan melampaui batas
تَفِيءَ = kembali dalam keadaan terpuji ( Muhammad Mahmud Hijazi, Al-Tafsir al-Wadih, hlm. 504, j.3 )
Muhammad Mahmud Hijazi dalam al-Tafsir al-Wadih berkata :
“Sekiranya dua puak daripada orang Islam saling berperang maka wajib kepada orang Islam mendamaikan antara kedua-duanya dan menghukum dengan syariat Allah sama ada qisas atau diyah. Perkara ini wajib kepada Imam (pemerintah) untuk memanggil kedua-dua puak yang bersengketa untuk melakukan perdamaian. Sekiranya satu puak mengulangi persengketaan dan enggan menerima nasihat wajib kepada kaum muslimin dan Imam memerangi kaum yang melampau ini” ( Muhammad Mahmud Hijazi, Al-Tafsir al-Wadih, hlm. 505, j.3 )
Kata al-Qurtubi ketika membuat tafsiran ayat ini :
“Apabila satu puak keluar kepada Imam yang adil,dan mereka adalah puak yang zalim atau melampaui batas serta mereka tiada hujah, maka hendaklah Imam dan kaum muslimin semuanya atau sekadar melepaskan hukum fardhu kifayah,memerangi puak ini, tetapi sebelum itu Imam hendaklah menyeru mereka untuk ketaatan dan menyertai jemaah. Jika mereka enggan kembali dan membuat kebaikan perangilah mereka. Jangan dibunuh tawanan mereka, jangan menyerang ketika mereka lari”( Al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, hlm. 315, j.16 )
Kata Wahbah al-Zuhaili majoriti ulama berpendapat bughah tidak dihukum fasiq atau kafir berdalilkan firman Allah :
وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا
“Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang”
,
Kata Sayyidina Ali r.hu :
“ Saudara kita melampau kepada kita sedangkan mereka silap dengan apa yang mereka lakukan, mereka menggunakan takwil ”
Majoriti ulama berpendapat Muawiyah bin Abi Sufian dan pengikutnya adalah bughah berdasarkan hadith yang masyhur tentang Ammar bin Yasir dibunuh oleh puak pelampau. ( Wahbah al-Zuhaili,Tafsir Munir hlm. 234, j.26 ) Namun, ada sebahagian ulama mengatakan Muawiyah menggunakan ijtihad dalam peperangannya menentang Ali Karramallahu Wajhah.
Dari penjelasan-penjelasan di atas dapat di fahami bahawa yang dimaksudkan dengan bughah ialah :
1.Sekumpulan orang mukmin yang melakukan kezaliman dan melampau terhadap sekumpulan orang mukmin yang lain atau satu kumpulan orang mukmin keluar memerangi Imam yang adil. Mereka tiada alasan kukuh yang dari sudut syariat di atas tindakan melampau mereka.
2.Wajib bagi Imam atau pemerintah mendamaikan antara dua kumpulan mukmin yang berperang .
3.Wajib bagi Imam atau pemerintah menyeru mereka supaya taat sebelum memerangi mereka.
4. Di larang membunuh tawanan bughah, menyerang ketika mereka melarikan diri, dan merampas harta-harta mereka.
5. Bughah tidak dihukumkan kafir. Mereka adalah kumpulan orang mukmin yang melakukan kezaliman.
Setelah meneliti perbincangan di atas, adakah istilah bughah ini terpakai dalam kalangan masyarakat Islam dewasa ini ???
No comments:
Post a Comment