أن رسول الله صلى الله عليه وسلم – قال : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة نبيه


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat (selama-lamanya) selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya:Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

(Malik b. Anas, Al-Muwatta, hadis no. 2618 )





Monday, January 13, 2014

Maulidurrasul : Ketika Quraisy Membawa Pulang Kambing Dan Unta


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ زَيْدِ بْنِ عَاصِمٍ قَالَ لَمَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ حُنَيْنٍ قَسَمَ فِي النَّاسِ فِي الْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَلَمْ يُعْطِ الْأَنْصَارَ شَيْئًا فَكَأَنَّهُمْ وَجَدُوا إِذْ لَمْ يُصِبْهُمْ مَا أَصَابَ النَّاسَ فَخَطَبَهُمْ فَقَالَ يَا مَعْشَرَ الْأَنْصَارِ أَلَمْ أَجِدْكُمْ ضُلَّالًا فَهَدَاكُمْ اللَّهُ بِي وَكُنْتُمْ مُتَفَرِّقِينَ فَأَلَّفَكُمْ اللَّهُ بِي وَعَالَةً فَأَغْنَاكُمْ اللَّهُ بِي كُلَّمَا قَالَ شَيْئًا قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمَنُّ قَالَ مَا يَمْنَعُكُمْ أَنْ تُجِيبُوا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلَّمَا قَالَ شَيْئًا قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمَنُّ قَالَ لَوْ شِئْتُمْ قُلْتُمْ جِئْتَنَا كَذَا وَكَذَا أَتَرْضَوْنَ أَنْ يَذْهَبَ النَّاسُ بِالشَّاةِ وَالْبَعِيرِ وَتَذْهَبُونَ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى رِحَالِكُمْ
( Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Fuad Abd al-Baqi, hadith no. 4330, hlm. 520 )


Maksudnya :

Daripada Abdullah b. Zaid b. Asim berkata :”Selepas Allah s..w.t memenangkan Rasulullah s.a.w. dalam perang Hunain, Rasulullah memberikan kepada orang-orang mualaf  ( Quraisy dan kabilah Arab) harta rampasan perang tanpa diberikan kepada kaum Ansar sedikitpun lalu mereka merasa sedih kerana tidak mendapat harta sebagaimana orang-orang mualaf mendapatnya. Rasulullah s.a.w.menyedari kesedihan kaum Ansar dan berkata kepada mereka:” Wahai kaum Ansar, tidakkah kamu dalam keadaan sesat lalu Allah memberi hidayat kepada kamu  melaluiku ,tidakkah kamu berpecahbelah lalu Allah melembutkan hati kamu melaluiku,tidakkah kamu miskin lalu Allah mengkayakan kamu melaluiku, setiap kali Rasulullah s.a.w. berkata sesuatu mereka menjawab kami beriman kepada Allah dan Rasul, Rasulullah berkata“apa yang menghalang kamu untuk menjawab perkataan Rasulullah s.a.w sehingga setiap kali Rasulullah s.a.w. berkata sesuatu kamu menjawab kami beriman kepada Allah dan Rasul. Rasulullah meneruskan:”jika kamu mahu kamu boleh berkata bahawa  kamu datang kepada kami begini dan begini, “ wahai kaum Ansar adakah kamu redha terhadap orang-orang ( Quraisy dan kabilah Arab) membawa pulang kambing-kambing dan unta-unta sedangkan kamu membawa pulang nabi s.a.w. ke rumah-rumah kamu”

Ulasan hadis

Setelah selesai perang Hunain Rasulullah s.a.w. telah membahagikan harta rampasan perang kepada beberapa pembesar Quraisy dan kabilah Arab yang lain. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan Baihaqi harta itu berupa kambing dan unta. Rasulullah s.a.w. telah memberikan kepada Abu Sufyan, Safwan b. Umaiyyah, Uyainah b. Husn, Malik b. Auf dan lain-lain sebanyak seratus ekor unta setiap seorang.( Ibn Hajar , Fath al-Bari, hlm.50, j.8 )

Namun pembahagian ini tidak disenangi oleh kaum Ansar sehingga percakapan mereka sampai kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda s.a.w. meminta kaum Ansar berhimpun pada suatu tempat dan baginda s.a.w. memberikan ucapan kepada mereka. Antara lain Rasulullah s.a.w. menjelaskan kedatangannya telah memberi hidayat dan menyatukan mereka. Kaum Ansar hanya menjawab kami beriman kepada Allah dan Rasul setiap kali pertanyaan dilontarkan oleh Rasulullah s.a.w. Sebenarnya kaum Ansar boleh menjawab bahawa kaum merekalah yang membantu Rasulullah s.aw. ketika baginda s.a.w. datang dengan sehelai sepinggang ke Madinah.

Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa harta yang berupa kambing dan unta diberikan kepada orang-orang Quraisy yang baru memeluk Islam adalah untuk menjinakkan hati mereka kepada Islam. Bukanlah pemberian itu semata-mata Quraisy merupakan kaum Rasululah s.a.w. Kaum Ansar telah terlupa tentang hal ini.( Muhammad Said Ramadhan al-Buthi, Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah, hlm. 294 )

Kemuncaknya, Rasululah s.a.w. bertanya kepada kaum Ansar iaitu adakah kaum Ansar redha dengan pemberian Rasulullah s.a.w. kepada orang-orang Quraisy berupa kambing dan unta untuk dibawa pulang ke Makkah sedangkan kaum Ansar membawa pulang Rasulullah s.a.w. ke Madinah?

Kaum Ansar semuanya menjawab " Kami redha dengan dengan pembahagian Rasulullah s.a.w." Peristiwa ini seperti yang disebut dalam Musnad Ahmad.

Rasulullah s.a.w  berdoa kepada kaum Ansar :


اللَّهُمَّ ارْحَمْ الْأَنْصَارَ وَأَبْنَاءَ الْأَنْصَارِ وَأَبْنَاءَ أَبْنَاءِ الْأَنْصَارِ قَالَ فَبَكَى الْقَوْمُ حَتَّى أَخْضَلُوا لِحَاهُمْ وَقَالُوا رَضِينَا بِرَسُولِ اللَّهِ قِسْمًا وَحَظًّا

“Ya Allah rahmatilah kaum Ansar, anak-anak Ansar, dan cucu-cucu Ansar”Kemudian semua kaum Ansar menangis sehingga tangisan itu membasahi janggut-janggut mereka serta mereka berkata " kami redha dengan pemberian ini Wahai Rasulullah."
Ahmad b. Hanbal, Musnad Ahmad,Syuaib al-Arnaut,  hlm. 255 j. 1

Inilah cebisan kisah kaum Ansar bersama Rasulullah s.a.w. di Madinah. Mereka memiliki dan membawa pulang  Rasulullah s.a.w. sedangkan kaum Quraisy memiliki dan membawa pulang kambing dan unta. Kaum Quraisy dan kaum Ansar masing-masing telah membawa harta yang sangat bernilai ke Makkah dan Madinah

Kini umat Islam dapat memiliki Rasulullah s.a.w. dengan mengikuti segala sunnahnya. Ia merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai sama seperti yang dimiliki kaum Ansar terdahulu. Semoga peristiwa lalu menjadi teladan untuk seluruh umat Islam sepanjang zaman. 



No comments:

Post a Comment