Tarikh 12 Rabi‘ al-Awwal adalah menjadi tarikh
kemuliaan kepada tamadun umat manusia sejagat kerana telah dizahirkan padanya
seorang insan mulia. Insan ini datang dengan sifat “Rahmatan li al-Alamin“ iaitu
sebagai rahmat kepada seluruh alam seperti yang dinyatakan dalam al-Quran
al-Karim.
Perkataan yang rajih tentang tarikh kelahiran insan
ini ialah pada malam Isnin 12 Rabi‘ al-Awwal tahun gajah di kota Makkah.
Perkara ini telah dijelaskan oleh Muhammad Said Ramadhan al-Buthi dalam
karyanya yang terkenal Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah, kata beliau :
“ Adapun kelahiran Muhammad s.a.w. ialah pada tahun
gajah, iaitu pada tahun adanya percubaan Abrahah al-Asyram memerangi Makkah
serta meruntuhkan Kaabah namun Allah s.w.t. melindungi Kaabah dengan menolak
percubaan itu dengan tanda-tanda kekuasaanya seperti disifatkan dalam al-Quran.
Pendapat yang rajih kelahiran baginda ialah pada malam Isnin 12 Rabi‘ al-Awwal”( Muhammad Said Ramadhan
al-Buthi Fiqh al-Sirah al-Nabawiyah, hlm. 44 )
Dialah nabimu Muhammad s.a.w. yang diutuskan membawa
berita gembira dan membawa berita ancaman. Berita gembira yang dimaksudkan
ialah syurga untuk orang-orang yang beriman manakala ancaman ialah neraka untuk
sesiapa yang engkar tidak mahu beriman.
Antara akhlak nabimu untuk dicontohi seperti yang
diterangkan dalam kitab al-Riyadh al-Nadiyyah :
1. Benar dalam perkataan.
Kesaksian benar ini turut diakui oleh musuh baginda
seperti dinyatakan dalam hadith riwayat al-Bukhari :
وَسَأَلْتُكَ هَلْ كُنْتُمْ تَتَّهِمُونَهُ بِالْكَذِبِ قَبْلَ أَنْ
يَقُولَ مَا قَالَ فَذَكَرْتَ أَنْ لَا فَقَدْ أَعْرِفُ أَنَّهُ لَمْ يَكُنْ
لِيَذَرَ الْكَذِبَ عَلَى النَّاسِ وَيَكْذِبَ عَلَى اللَّهِ
Maksudnya :
“Aku bertanya kepada kamu adakah kamu menuduhnya
berdusta sebelum dia mengatakan dia adalah nabi, kamu menjawab tidak, maka aku
( Hercules ) mengetahui orang yang tidak menyebarkan dusta terhadap manusia
sama sekali tidak berbuat demikian terhadap Allah” ( Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, bab kaifa bada al-Wahy, hadith no. 7, hlm. 9)
Perawi bagi potongan
hadith di atas adalah Abu Sufyan ( sebelum islam ) yang menceritakan peristiwa
ketika beliau menjadi tetamu Maharaja
Rom ( Hercules ). Antara soalan yang ditanya ialah tentang adakah Muhammad
s.a.w. pernah berdusta. Daripada jawapan Abu Sufyan, Hercules mengakui Muhammad
s.a.w. tidak pernah berdusta.
2. Paling
kuat ibadat malam.
عَنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ ،
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُصَلِّي حَتَّى تَرِمَ قَدَمَاهُ
فَقِيلَ لَهُ : يَا رَسُولَ اللهِ ، أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا
تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه
وسلم : أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا.
Maksudnya :
“Daripada al-Mughirah b. Syu‘bah, Rasulullah s.a.w bersolat
sehingga bengkak kedua belah kakinya dan ditanya kepada baginda : Wahai
Rasulullah, engkau melakukan ini sedangkan engkau telah diampunkan dosa yang
akan datang dan dosa yang telah lalu, maka Rasulullah s.a.w. menjawab: Tidakkah
aku ini menjadi hamba yang bersyukur” (Abi Daud, Musnad Abi Daud, bab ma asnada an al-Mughirah, hadith
no.728, hlm. 71, j. 2)
Bengkak kedua-dua belah kaki baginda kerana lamanya
berdiri ketika solat sunat waktu malam. Di manakah status kita dalam bab ini???
“Adakah jauh panggang dari api”. Masing-masing mengetahui jawapannya.
Walau tidak akan setanding sekurang-kurangnya ada dilakukan.
3. Paling zuhud.
Rasulullah s.a.w adalah seorang yang paling zuhud
kehidupannya di dunia. Walaupun baginda menguasai wilayah-wilayah yang semakin
luas serta mendapat al-Ghanimah ( harta rampasan perang ) namun baginda
tidak terkesan sedikitpun mengenai itu semua. Baginda mengambil harta hanya
untuk nafkahya, pakaiannya, dan tempat tinggalnya sekadar keperluan sahaja ( 1/5
untuk rasul ). Sebahagian besar harta-harta tersebut diberikan kepada
orang-orang miskin dan Baitulmal al-Muslimin. Ketika baginda wafat baju
besinya masih tergadai di tangan orang Yahudi semata-mata untuk memberi nafkah
terhadap keluarganya.(Muhammad Helmi Muhammad Khidir, al-Riyadh al-Nadiyyah,
hlm. 38-39)
Amru b. al-Harith berkata :
مَا تَرَكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا بَغْلَتَهُ الْبَيْضَاءَ وَسِلَاحَهُ وَأَرْضًا
تَرَكَهَا صَدَقَةً
Maksudnya :
“Rasululah tidak meninggalkan harta kecuali baghalnya
yang berwarna putih, senjata perang, dan tanah yang disedekahkan” ( Al-Nasaie, Sunan al-Nasaie bi
syarh al-Suyuthi,
hadith. no. 3597, hlm. 539, j.6 )
Zuhud bermaksud mengalihkan keinginan terhadap sesuatu
kepada apa yang kebih baik daripadanya. Ia juga mengambil makna meninggalkan
dunia kerana mengetahui kefanaanya berbanding dengan akhirat. (Ibn Qudamah
al-Maqdisi, Muktasar Minhaj al-Qasidin, hlm. 329 ). Inilah
kesempurnaan zuhud…
Secebis
daripada akhlak Rasulullah s.a.w. yang sayugia diikuti oleh mereka-mereka yang
mengaku umat Muhammad s.a.w. Dapatkah kita ???
No comments:
Post a Comment